RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 17 Februari 2012

Langau Kota


LANGAU KOTA

KOTA BHARU, KELANTAN:  MASALAH kehadiran pengemis dan pesakit mental yang semakin menjadi-jadi di pusat bandar Kota Bharu sejak kebelakangan ini menjadi beban kepada warga kota yang lain. Kebanyakan pengemis dan pesakit mental berkenaan dikatakan bukan berasal dari bandar ini, sebaliknya datang dari tempat lain. Hasil risikan, dikatakan terdapat pengemis berkenaan yang berasal dari beberapa daerah di Bachok, Kelantan.

Pengemis berkenaan menjadikan restoran, pejabat dan bank di pusat bandar Kota Bharu sebagai pejabat mereka untuk meraih simpati orang ramai, sanggup menghulurkan wang ringgit malah mereka juga turut dijamu makanan sebagaimana yang diminta. Mereka datang ke Kota Bharu dengan pelbagai pengangkutan awam seperti bas dan kereta setiap hari, ternyata golongan berkenaan memerlukan wang ringgit sebagai tambang kenderaan awam itu. Sekali lihat mereka juga seperti kakitangan pejabat yang sentiasa bertukar pakaian setiap hari.

Kehadiran langau kota ini menyesakkan pandangan, pastinya menjatuhkan imej negeri Kelantan amnya yang terkenal dengan jolokan "Serambi Mekah" yang ternyata boleh mencemarkan nama Kota Bharu khususnya di kalangan warga pelancong luar yang berslogankan "Membangun Bersama Islam". Masalah seumpama ini adalah wajar diberikan perhatian dan diambil tindakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Misalnya, masalah kehadiran pengemis di pusat bandar Kota Bharu perlu ditangani oleh PBT terbabit seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Sementara, masalah pesakit mental pula perlu ditangani oleh pihak polis. Masalah pesakit mental ini akan dapat ditangani jika pihak polis mengambil sikap cakna sebagaimana yang dilakukan oleh pihak polis di Perak. Pesakit mental ini boleh dibawa ke Hospital Bahagia yang terletak di Tanjung Rambutan, Perak kerana di hospital ini segala keperluan semuanya terurus dan diuruskan dengan baik. Tetapi melihat kepada senario di Kelantan hari ini, seolah-olah tiada pihak yang mempedulikannya seolah-olah pihak berkuasa berkenaan tidak berbuat apa-apa.

Dalam hal ini, sebelum masalah berkenaan berakar umbi yang boleh menjadi virus dan barah dalam masyarakat dan menyusahkan dalam negeri sendiri, adalah wajar hal berkenaan diselesaikan dengan segera.

Pesakit Mental




Pengemis



Pengemis tidak mempedulikan jalanan, asalkan ada yang sanggup memberikan mereka wang.

Seorang pengemis wanita (kanan) menerima pemberian orang ramai.

Pengemis asing (berketayap) juga mengambil kesempatan.

   Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 13 Februari 2012

Gadis Hilang Malu


GADIS HILANG MALU

MASALAH keruntuhan akhlak di kalangan remaja sering menjadi buah mulut orang ramai. Nampaknya tidak ada sebarang perubahan yang boleh menjurus agar masalah sedemikian dapat dibendung. Usaha yang sepatutnya diteruskan untuk melihat generasi muda tidak terus hanyut seolah-olah menemui jalan buntu.

Apakah pihak kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensinya sudah hilang keyakinan untuk mengambil langkah wajar. Atau mungkin sikap para ibu bapa yang enggan memberikan kerjasama dan tidak ingin campur tangan dalam mendidik dan memberikan nasihat kepada anak-anak remaja mereka yang menjadikan anak-anak naik kepala?

Kalau di bandar-bandar terkemuka umpamanya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru sering menjadi tumpuan golongan remaja dengan segala nasalahnya, tetapi kita jangan lupa masalah remaja telah menular ke seluruh negeri tanpa memilih tempat atau kawasan.

Berita tentang keruntuhan moral di kalangan remaja ini dianggap tidak berkesudahan. Apakah langkah terbaik memerlukan paradigma dan perhatian yang lebih khusus oleh pihak kerajaan?

Kita tidak menaruh bimbang sangat terhadap remaja lelaki kerana itulah sikap mereka dan mereka mudah dibentuk. Namun, hal yang paling ketara kini adalah sukarnya membentuk gadis-gadis remaja supaya mereka dapat menerima segala nasihat dan tunjuk ajar yang terbaik. Apatah lagi jika gadis-gadis remaja sudah jauh terjebak tanpa pengetahuan ibu bapa dan keluarga mereka.

Masalah yang menghantui gadis-gadis remaja kini adalah berhubung dengan cara berpakaian yang dianggap tidak senonoh, menjolok mata dan hilang kesopanan yang sepatutnya diberikan perhatian oleh insan yang bergelar 'gadis'.

Sifat kegadisan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T  yang penuh dengan kelembutan, sopan-santun dan berbudi bahasa yang sering diamalkan oleh gadis-gadis remaja zaman lampau telah beransur hilang. Kita lihat hari ini, sifat gadis telah bertukar kepada sifat 'lelaki'.

Gadis-gadis remaja hari ini kebanyakannya lebih gemar memakai pakaian ketat dan adakalanya nipis yang menampakkan anggota tubuh yang dianggapkan oleh mereka sebagai perkara biasa malah telah dijadikan amalan dalam berpakaian harian. Mereka tidak menunjukkan rasa 'malu' berpakaian seperti itu.

Sebagai gadis atau perempuan yang penuh dengan adat ketimuran, sepatutnya mereka mengenakan pakaian yang lebih sopan umpamanya berbaju kurung dan pakaian yang menutup aurat sepenuhnya supaya kelihatan lebih menarik dan dipandang mulia. Tetapi gadis-gadis remaja hari ini menganggapkan, berbaju kurung dan mengenakan pakaian yang sopan serta yang menutup seluruh tubuh itu amat tidak selesa dan telah 'ketinggalan zaman'.

Maka hari ini, kita dapat lihat di mana-mana sekalipun gadis-gadis bebas berpakaian menurut kehendak dan kemahuan mereka tanpa halangan. Mereka bukan sahaja berpakaian nipis dan ketat yang menampakkan bentuk-bentuk tubuh. Sebaliknya mereka turut berpakaian seperti lelaki iaitu berseluar panjang, berbaju-T (T-Shirt) atau berkemeja panjang yang hakikatnya dipakai oleh lelaki. Malahan baju yang selebihnya akan dililitkan di pinggang yang sepatutnya mereka memegangnya dengan tangan. Malahan apabila dilihat dari belakang, kita mungkin akan terkeliru sama ada seorang lelaki atau gadis jika berpakaian sedemikian?

Keadaan ini menyebabkan kita sebagai seorang lelaki merasa malu jika mengenakan pakaian yang seakan-akan sama dengan pakaian yang dipakai oleh gadis-gadis berkenaan. Sebaliknya gadis-gadis remaja adalah sebaliknya tanpa menunjukkan rasa segan dan malu dengan cara berpakaian sedemikian.

Dalam pada itu, kadang-kadang terdapat juga kalangan gadis-gadis remaja yang berjalan menurut rentak lelaki. Mereka berjalan terkial-kial sambil hilai ketawa dan bersorak-sorai mengalahkan remaja lelaki. Sepatutnya, mereka memulakan langkah secara teratur dan penuh sopan-santun untuk menunjukkan seorang gadis yang penuh dengan adat. Tetapi hari ini sebaliknya pula yang berlaku.

Di samping itu, mereka bebas melepak di mana-mana menurut runtunan naluri. Pergaulan mereka juga di luar batasan sebagai seorang gadis yang mempunyai harga diri. Dari konteks pergaulan harian misalnya, seorang gadis akan bersama-sama dengan dua orang lelaki atau lebih, mereka tidak menunjukkan rasa malu ataupun takut terhadap risiko yang bakal mereka hadapi jika berkeadaan begitu. Mereka boleh mengangkat sebelah kaki yang diletakkan di sebelah atas sebagai tempat untuk berpijak dan sebelah lagi diletakkan di bawah.

Perhatikan juga semasa gadis-gadis hari ini duduk di kerusi atau sebarang jenis tempat duduk. Mereka duduk dengan semahunya tanpa melapik punggung dengan tapak tangan sebagai salah satu cara penuh hormat yang sepatutnya dilakukan oleh tiap-tiap wanita beradab. Malahan mereka duduk secara 'mengangkang' di samping berseluar ketat yang menampakkan anggota tubuh tertentu.

Namun, kita tidak nampak apakah perubahan seterusnya antara sikap mereka dengan ibu bapa mereka sendiri. Apakah mereka menghormati ibu bapa sebagai orang tua berguna yang membesarkan mereka atau sebagai 'sampah?'

Jika mereka menganggap ibu bapa sebagai sampah dan hilangnya rasa hormat terhadap orang-orang tua, maka masalah keruntuhan akhlak di kalangan gadis hari ini di tahap yang serius dan ia perlu diberikan perhatian yang serius agar gadis-gadis remaja tidak menurut haluannya sendiri dan terus tersesat dengan dunianya.

Tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak akibat perubahan tersebut sama ada berpunca dari pembangunan dan persekitaran yang dialami dalam negara, masalah filem-filem menyampah melalui media elektronik dan video cakera padat (VCD) yang berlambak di pasaran, pengaruh meniru budaya dari Barat yang telah jauh meresap hingga menjadi ikutan gadis-gadis remaja di negara ini atau akibat pengaruh internet yang menjadikan gadis-gadis remaja hilang arah.

Walau apa pun yang berlaku, masalah keruntuhan akhlak yang majoritinya di kalangan remaja-remaja Melayu, langkah yang wajar dan bijaksana perlu dilakukan segera sebelum 'nasi menjadi bubur' yang akhirnya kita sendiri yang sakit mata memandangnya. Dengan demikian, para ibu bapa perlulah sentiasa memberikan nasihat serta tunjuk ajar yang terbaik bermula dari bangku sekolah supaya anak-anak gadis mereka  tidak 'menconteng arang ke muka'.


Gadis remaja sekarang gemar berpakaian ketat dan menampakkan susuk tubuh.


Berpakaian seperti ini (berbaju kurung) kelihatannya lebih bersopan sesuai dengan gadis Timur.

Gadis remaja sanggup membonceng motosikal teman lelaki.

Minum sambil berjalan pun menjadi trend gadis-gadis remaja sekarang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 10 Februari 2012

Malang Nasib Kucing


MALANG NASIB KUCING

KUCING adalah haiwan jinak dalam kumpulan Mamalia dan merupakan binatang peliharaan yang manja. Sejarah kucing mungkin bermula di zaman Mesir purba sejak 3,500 tahun dulu, dikatakan haiwan ini digunakan untuk menjaga simpanan bijirin daripada tikus dan roden yang lain.

Terdapat pelbagai baka kucing domestik seperti kucing baka, kucing baka tulen atau kucing pertunjukan. Kucing baka tulen adalah kurang dari satu peratus daripada keseluruhan populasi kucing.

Tidak ada kajian khusus tentang kucing. Kucing dapat difahami dan dimengertikan oleh golongan yang gemar memelihara kucing. Namun, agak ramai golongan yang membenci kehadiran kucing kononnya bulunya boleh menyebabkan penyakit lelah (asma), bau najisnya agak busuk, suka mencuri ikan dan makanan atas meja dan pelbagai lagi tanggapan negatif terhadap kucing.

Kucing adalah haiwan peliharaan yang menjadi kesayangan Nabi Muhammad S.A.W. Baginda S.A.W menganggapkan kucing sebagai haiwan berkeliling di rumah atau haiwan perumahan. Sebuah hadis yang diceritakan daripada Abu Qatadah r.a, Nabi S.A.W bersabda bermaksud:

"Kucing itu tidak najis. Ia binatang yang suka berkeliling di rumah (binatang perumahan)".
(Hadis riwayat At-Termidzi, An-Nasa'i, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Banyak lagi kisah Nabi S.A.W  yang menceritakan perihal kucing untuk menunjukkan peluh, bekas dari sisa jilatannya adalah suci. Nabi S.A.W juga menganggap kucing adalah termasuk perhiasan rumahtangga, ia tidak dikotori sesuatu malah tidak najis. Malah Nabi S.A.W  pernah memberikan gelaran "Abu Hurairah" kepada Abd. Al-Rahman ibn Sakhr Al-Azdi yang bermaksud "bapa anak-anak kucing" kerana sikapnya yang menyayangi kucing.

Dewasa ini, segelintir masyarakat tidak lagi menyayangi kucing kerang menganggap binatang berkenaan menyusahkan mereka. Kucing diletakkan di luar rumah malah ada di antaranya tidak diberi makan. Paling menyedihkan ialah, binatang berkenaan dilanggar, ada yang meletakkannya dalam sangkar, sedangkan binatang berkenaan bukan jenis burung, binatang berkenaan adalah haiwan pengembara, ke mana haiwan ini pergi di situlah ia menetap tetapi kebanyakannya haiwan ini disepak, diterajang, dilempar ke dinding dan dibunuh kejam.

Walaupun ada pihak yang sudi memelihara kucing jalanan kerana kasihankan binatang berkenaan merayau tidak bertempat. Kucing berkenaan diberi perlindungan, diberi makan dan tempat tinggal yang memuaskan. Namun, sikap jiran tetangga adalah punca segalanya, apabila kucing berkenaan perlu dipindahkan setelah pemiliknya mendapat arahan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Disebabkan kucing adalah binatang kesukaan Nabi S.A.W  sewajarnya dipelihara. Tidak sepatutnya binatang berkenaan dikurung kerana bukan habitatnya. Dalam hadis Al-Bukhari diceritakan seorang wanita yang mengurung kucing kerana dirinya telah dicakar oleh kucing peliharaannya menyebabkannya menghukum kucing tersebut dengan mengurungnya tanpa diberikan makanan dan minuman. Akibatnya wanita berkenaan mendapat hukuman dan balasan buruk dari Allah S.W.T.



Pelbagai ragam kucing.

Kucing dikurung, diberi makanan dan minuman seperti burung.
 


 Kucing ini dilanggar dan dipijak oleh kenderaan di Jalan Tanah Merah, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Rujukan:  WIKIPEDIA

Isnin, 6 Februari 2012

Maruah Gadis Melayu


MARUAH GADIS MELAYU

BEGITU seronok remaja-remaja Melayu menconteng arang ke muka kedua ibu bapa mereka. Bahkan paling jelas ialah mencemarkan imej bangsa Melayu apabila ada di kalangan remaja-remaja Melayu sama ada lelaki mahupun perempuan yang begitu bernafsu melakukan perbuatan terkutuk atas nama keseronokan dan kebebasan. Mereka sanggup menunaikan desakan nafsu syaitan dengan melakukan persetubuhan haram dan penzinaan.

Atas nama pembangunan mapan, remaja-remaja perempuan kini tidak lagi bimbang 'daranya' yang menjadi 'mahkota suci' sebagaimana yang dipertahankan dan dibanggakan oleh orang-orang tua zaman lampau, tetapi kini status dara tidak lagi begitu penting kepada golongan gadis-gadis remaja.

Mereka bukan sahaja sanggup membonceng di belakang motosikal teman lelaki sambil berpelukan, meraba dan memberikan kerelaan untuk dibawa ke mana sahaja oleh teman lelaki kononnya atas nama 'cinta'. Kerana cinta, mereka sanggup menyerahkan tubuh dan mahkota kegadisan kepada teman lelaki masing-masing. Walaupun terdapat sesetengah di kalangan teman lelaki mereka yang tidak jujur untuk meratah 'daging gebu' bersama-sama rakan-rakan lelaki yang lain, tetapi gadis-gadis yang dianggap mangsa tidak bimbang mahkota kegadisannya diragut kerana telah mendapat keseronokan nafsu.

Berbanding dengan gadis-gadis remaja zaman dahulu yang sanggup mati untuk mempertahankan dara masing-masing dan begitu perit jika hal ketiadaan dara diketahui oleh kedua orang tuanya terutamanya bapa mereka. Ini bertolak dari sikap tegas orang-orang tua zaman dahulu, walaupun mereka tidak mempunyai pendidikan tinggi malah dianggap 'jahil', namun mempertahankan maruah anak-anak gadis mereka adalah perkara utama untuk menunjukkan orang-orang tua zaman dahulu begitu mengambil berat terhadap gerak-geri anak-anak gadis mereka.

Namun, bagaimana pula dengan sikap orang-orang tua di zaman ini yang dikatakan berpendidikan tinggi, kaya dan berada, arif dengan undang-undang dan sebagainya. Jika diperhatikan, untuk mempertahankan anak-anak gadis mereka dari menjadi mangsa nafsu buas buaya-buaya darat hanya sekadar mencurahkan air di daun keladi semata-mata.

Berita negatif gadis-gadis Melayu yang terjebak dalam kancah seks bebas, berpeleseran sebagaimana yang dilaporkan media semakin membimbangkan. Sesetengah di kalangan mereka yang mabuk kerana minum arak, pil kuda, merokok, berpakaian ketat dan menjolok mata, masuk kelab-kelab malam, pesta seks sehingga kepada melakukan persetubuhan haram sering dipaparkan setiap hari di dada-dada akhbar. Bahkan ada yang terlibat dengan VCD lucah dan video dalam telefon bimbit lucah seperti asam garam bagi gadis-gadis remaja kini.

Kalau sebelum ini pernah digemparkan dengan cerita di Lubuk Tupah. Malah ada remaja-remaja kita yang sanggup dan begitu berani melempiaskan nafsu seks di tangga sebuah stesen pengangkutan awam di pusat ibu kota di Kuala Lumpur. Adengan seks berkenaan kemudiannya disebarkan secara meluas melalui teleon bimbit 3gp dan MMS serta internet malah ia turut dimuat turun dan disalin ke dalam cakera padat video (VCD) yang boleh ditonton pula melalui komputer dengan menggunakan perisian tertentu.

Aksi gadis-gadis Melayu terlibat dengan seks bebas dan murahan tidak habis setakat itu sahaja kerana mereka juga menjadi pertaruhan oleh kumpulan "mat rempit". Teman wanita ketua-ketua mat rempit boleh dibawa ke mana sahaja sekalipun untuk ditiduri jika pertaruhan mereka dalam perlumbaan motosikal haram mendapat kekalahan.

Gadis-gadis berkenaan dianggap murah kerana kesanggupan mereka untuk turut serta dalam kumpulan yang tidak berguna dan membazir masa. Jika mereka berfikiran waras, mereka tidak sewajarnya mencampuri urusan kegiatan mat rempit yang menyesakkan jalan raya dengan berlumba motosikal yang ternyata boleh mengganggu lalu lintas jalan.

Mungkin banyak lagi aktiviti tersembunyi anak-anak gadis kita sama ada masih sekolah dan yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta, misalnya yang turut terlibat dengan aktiviti menggadai maruah ini. Kononnya atas alasan untuk membayar yuran pelajaran, sanggup mahkota kegadisan diserahkan kepada lelaki hidung belang yang membayar harga tinggi dan diberikan telefon bimbit percuma supaya mudah dihubungi atau diberikan sebiji 'burger' sebagai bayaran melempiaskan nafsu terhadap gadis-gadis yang sanggup berbuat demikian.

Mereka sebenarnya tidak ada menyimpan perasaan malu. Ini kerana, bukan sahaja mendapat wang yang sentiasa menjadi 'kegilaan' manusia yang bernama perempuan, namun dalam masa yang sama mereka tidak lagi mementingkan mahkota kegadisan mereka diragut oleh buaya-buaya darat. Asalkan mereka sanggup disayangi dan menjadi buah hati si pemuda yang dicintai, dalam bangsal buruk, dalam tandas, di tepi jalan dan sekalipun di tempat-tempat terbuka, desakan nafsu perlu diturutkan asalkan kedua-dua pihak 'suka sama suka' bahkan sanggup pula dirakam melalui kamera video dan telefon bimbit.

Disebabkan tidak ada perasaan malu juga, gambar-gambar seksi dan sesetengahnya 'seksa' seperti melakukan persetubuhan haram dengan lelaki sanggup disebarkan melalui internet untuk ditonton oleh jutaan pelayar web lucah kononnya wajah mereka yang cantik, glamour ataupun tubuh badan mereka yang seksi lagi menggiurkan itu perlu dipertontonkan kepada umum untuk menyatakan merekalah gadis yang paling seksi yang perlu disaksikan oleh mata lelaki.

Apabila gambar-gambar berkenaan disebarkan di internet, foto yang dipaparkan di beberapa laman sesawang berkenaan dalam keadaan seksi itu tentunya dibuat salinan dan mereka pula yang menjadi virus untuk disebarkan pula kepada orang lain.

Dalam hal ini, adakah gadis-gadis Melayu sekarang dianggap terlalu murah? Di manakah sifat sebagai gadis Melayu sewaktu ketika dulu yang sememangnya dipertahankan oleh orang-orang tua supaya anak-anak gadis mereka sentiasa dalam keadaan suci, untuk bertemu bakal tunang pun memang sukar, apatah lagi untuk diusung ke sana ke mari sehingga melakukan perbuatan terkutuk jika dibandingkan dengan zaman ini? 

Mungkin kita pernah mendengar lagu 'Gadis Melayu' memang menawan untuk menunjukkan pujian terhadap gadis-gadis Melayu yang dianggap cantik dan mempesonakan jika dibandingkan dengan tingkah laku sedemikian rupa?

Kita sedia maklum, gadis-gadis zaman lampau amat pemalu tetapi bagaimana pula dengan perangai gadis-gadis sekarang yang dianggap tidak lagi pemalu, bebas bertemu dengan lelaki yang bergelar buaya darat. Paling menyedihkan, ada di antara mereka yang sanggup mempertontonkan gambar-gambar bogel sedemikian malah telah melakukan persetubuhan haram yang sememangnya diharamkan di dalam Islam. Mereka bukan sahaja mencemarkan maruah orang-orang Melayu, sebaliknya mencabar kesucian Islam yang turut mempertahankan kaum Hawa dari diperalatkan oleh golongan tertentu.

Islam memandang tinggi kaum perempuan jika di antara mereka dapat menjaga kehormatan dan maruah diri, keluarga dan agama Islam. Sebaliknya hari ini, mereka sendiri sengaja mendedahkan keaiban sifat-sifat pemalu wanita malah sanggup pula dinodai kerana inginkan kemewahan dan keseronokan yang sementara.

Di mana-mana pun bukan sahaja gadis-gadis remaja tidak lagi berjaya mewujudkan nilai sopan santun dan budi bahasa dengan taraf mereka sebagai seorang gadis yang menjadi kebanggaan ibu bapa jika dilihat kepada perkembangan moral mereka hari ini. Berpakaian ketat dan menjolok mata menjadi perkara biasa tanpa ada undang-undang untuk mencegah gadis-gadis beragama Islam supaya mengenakan 'busana' atau pakaian mereka secara sopan dan sejuk mata memandangnya. Sebaliknya, mereka lebih selesa mendedahkan kepada lelaki hidung belang malah ada di antaranya yang lebih suka menjadi "gro" dan "pelacur" sama ada bertaraf amatur mahupun profesional.

Dalam konteks ini, apakah kelemahan dan sikap tidak ambil peduli di kalangan segelintir ibu bapa sebagai puncanya? Ataukah ia diakibatkan pembangunan pesat dalam negara yang tidak terkawal, pengaruh bisikan rakan-rakan atau berpunca daripada mental dan fizikal mereka sendiri yang sakit? Jika hal ini sebagai puncanya, bagaimanakah cara untuk membendung kenakalan anak-anak gadis kita dari terjebak ke kancah seks bebas yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri, tetapi hakikatnya boleh mencemarkan maruah orang-orang Melayu dan mengaibkan kesucian Islam di mata agama-agama lain. Justeru, tepuk dada tanyalah hati.   


 

Tulisan: 
AZMI MOHD. SALLEH

Foto:
INTERNET   

Jumaat, 3 Februari 2012

Keluar Gas Asli


KELUAR GAS ASLI

KETEREH, KELANTAN:  NEGERI KELANTAN memang kaya dengan khazanah bumi seperti bijih besi, emas dan berlian. Tetapi tidak kurang juga dengan penemuan sumber bahan api paling berharga iaitu 'gas asli' turut ditemui. Kalau sebelum ini gas asli ditemui di Kampung Kubang Chenok, To' Uban, Pasir Mas, Kelantan oleh seorang penduduk, Che Ghazali Awang Kechik. Manakala terbaru pula sumber bahan api berkenaan juga wujud di Kampung Kedai Piah, Ketereh, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Kota Bharu telah lengkaplah bahawa sumber dan khazanah dari tempat-tempat terbabit boleh dimanfaatkan bersama jika ada usaha ke arah itu.

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang penemuan sumber bahan api itu, Wartawan RELATIF telah menemui Nasemaidi Jaais, 38, di kediaman milik Mohd. Bakri Hasbullah di kampung berkenaan ketika usaha menggali untuk mendapatkan bekalan air bawah tanah pada 20 Jun lalu menemui sesuatu yang agak luar biasa iaitu 'telaga gas'.

Menurut Nasemaidi, beliau menggali sedalam 22 meter dan ketika mula-mula menggali di kedalaman 12 meter berdasarkan dua batang paip yang disediakan oleh pemilik rumah berkenaan, air bawah tanah yang diharapkan sebaliknya lumpur pula yang terpancut keluar kerana kediaman berkenaan dibina berhampiran dengan sawah padi. Namun, beliau yang turut dibantu dua lagi rakannya meneruskan usaha menggali dengan berharap menemui pasir di kedalaman tambahan 6 meter juga masih gagal menemui bekalan air bersih itu. Manakala ketika menggali di kedalaman 16 meter, beliau menemui kayu yang agak reput, namun apabila kerja-kerja menggali mencecah sehingga 17 meter berikutnya beliau mendapati seperti pelampung atau plastik polistrin melekat pada alat yang digunakannya.

"Pada mulanya saya agak hairan juga kerana alat yang digunakan adalah batang paip dibuat dari besi tiba-tiba melantun keluar. Tapi disebabkan salah seorang pekerja saya berpengalaman berkaitan dalam bumi yang menganggapnya biasa dalam situasi begitu, taklah terasa bimbang sangat", ujarnya yang menganggap hal seumpama itu adalah pengalaman pertamanya dalam kerja-kerja menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Selepas menggali di kedalaman 18 meter, dengan tiba-tiba terpancut air berlumpur yang agak kuat lebih kurang 7 meter selama 15 minit sehingga tempiasnya terkena keretanya yang diparkir di luar rumah berkenaan. Selepas kejadian itu, beliau dan dua rakannya itu mendengar dengan jelas bunyi seumpama tanah runtuh dari dalam bumi lalu merakam ke dalam telefon bimbitnya.

"Pada mula-mulanya saya agak bunyi tanah runtuh. Kalau harapkan saya seorang diri, sudah tentu saya cabut lari", ujar Nasemaidi Jaais sambil ketawa kecil.

Usaha menggali dihentikan setakat itu sahaja untuk menunjukkan hasil yang diharapkan telah diperolehi dan peralatan yang digunakan pun memadai. Niatnya untuk datang lagi pada hari esoknya untuk memasang peralatan enjin menyedut air berkenaan secepat mungkin kerana beranggapan sudah tentu bekalan air bawah tanah itu pasti ditemui, lalu berjanji dengan pemilik rumah berkenaan untuk datang lagi pada pagi esoknya.

"Esoknya apabila saya datang untuk memasang enjin mengepam air, pemilik rumah itu kata beliau tercium bau gas. Kuatnya gas itu sehingga menyebabkan hidungnya tidak selesa untuk bernafas dan tersekat-sekat serta keluar kahak", ujar Nasemaidi.

Kerana tidak ingin membuang masa, Nasemaidi bergegas ke arah batang paip yang disalurkan ke dalam bumi seraya memegang penutupnya. Dengan tidak disangka-sangka penutup batang paip itu melantun dengan kuat sewaktu beliau cuba menyentuhnya. Beliau kemudiannya mengeluarkan pemetik api dan sewaktu nyalaan api terbit dari muncungnya, dengan tiba-tiba api itu disambar pantas dari muka batang paip tersebut. Tanpa berlengah, beliau menutup batang paip itu kemudian membukanya. Namun, kerana masih tidak berpuas hati, beliau kemudian menghidupkan pemetik api buat kali kedua, api dari muncungnya juga terus disambar sebagaimana di awal tadi.

"Kalau sudah dua kali api disambar dari pemetik api, tidak syak lagi telaga tersebut mengandungi gas. Jadi, sudah jelas air berlumpur dan tekanan udara yang berkelodak dalam bumi tadi sebenarnya gas asli", ujarnya.

Tambah Nasemaidi, beliau hanya menunggu keputusan daripada pihak Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengenal pasti status gas tersebut sama ada bersifat selama-lamanya atau sekadar sementara. Dan adakah perigi yang digali untuk mendapatkan bekalan air itu boleh digunakan atau sebaliknya.

"Sekarang ini terpulanglah kepada pemilik rumah berkenaan, kalu beliau ingin menggunakan gas itu, batang paip yang menyambungkan ke telaganya boleh kekal di situ. Jika tidak, saya terpaksa tanggalkannya sebab kerja saya hanya menggali untuk mendapatkan bekalan air bersih sahaja", katanya.

Sementara itu, menurut Shukran Mohd. Noor, 32, selaku pembantu Nasemaidi yang berpengalaman sebagai buruh Jabatan Kerja Raya (JKR) selama 15 tahun menganggapkan, penemuan gas di rumah Mohd. Bakri Hasbullah itu hampir sama sebagaimana pengalamannya sewaktu bekerja dengan JKR ketika membina tapak bangunan melebihi tahap 100 meter. Katanya, aktiviti menggali pada ketika itu menggunakan peralatan mesin agak canggih dan sewaktu tanah digali lalu diangkat ke atas, tiba-tiba terpancut keluar air setinggi 20 meter.

"Pada mulanya saya dan rakan-rakan yang lain memang nak cabut lari, tetapi ditegah oleh juruteknik yang berada di situ. Katanya, keadaan demikian adalah perkara biasa dalam bumi", jelasnya sambil menambah bahawa jika tidak terjadinya tanah runtuh berkemungkinan berlakunya tekanan udara yang agak kuat dari dalam bumi di mana selepas itu keadaan menjadi reda dan tekanan udara dalam bumi tiada lagi.

Kini, kejadian yang sama turut dialami oleh beliau dan rakan-rakannya ketika kerja-kerja menggali di Kampung Kedai Piah, Ketereh itu apabila dengan jelas bunyi sesuatu yang menggelegak dari dalam bumi dan desiran udara yang agak kuat keluar melalui batang paip yang telah dipacakkan. Mendengarkan bunyi yang agak luar biasa itu, rakan-rakannya yang lain memang ingin cabut kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku. Namun, disebabkan pengalaman beliau telah melaluinya beliau turut menegah rakan-rakannya supaya tidak berganjak kerana perkara seumpama itu memang biasa dalam bumi untuk menandakan wujudnya gas.

Manakala menurut pemilik rumah berkenaan yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan, Jabatan Ortopedik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Mohd. Bakri Hasbullah, 34, berkata, niat asalnya untuk mendapatkan bekalan air bersih lalu menyerahkan tugas itu kepada Nasemaidi dan Shukran. Beliau pada mulanya hanya menyediakan dua batang paip sahaja untuk tujuan berkenaan, tetapi beliau diberitahu batang paip itu tidak mencukupi.

Tambah Mohd. Bakri, seingatnya kerja-kerja tersebut hanya dilakukan selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu bermula 20 Jun, 2008 sahaja, namun air bersih yang diharapkan masih belum ditemui. Kemudiannya beliau dimaklumkan satu batang paip lagi perlu ditambah, manakala hari yang ketiga pula ditambah lagi satu batang paip tetapi masih tidak mencukupi.

"Selepas ditambah satu batang paip untuk hari kelima, saya diberitahu telah terpancut air yang agak berlumpur melepasi bumbung rumah saya. Pada masa itu saya dihubungi melalui telefon bimbit kerana sedang bertugas.

"Agak luar biasa pula, saya diberitahu air berlumpur itu bercampur dengan gas. Saya diperdengarkan dengan bunyi yang dirakam menggunakan telefon bimbit seperti sesuatu yang menggelegak dari dalam bumi dan selepas itu desisan angin yang agak jelas", ujar Mohd. Bakri lagi.

Sementara itu, menurut Profesor Madya Dr. Sa'ari Mustapha dari Fakulti Kejuruteraan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, contoh gas tersebut telah dihantar kepada pihak Bomba, Kuala Lumpur dan hasilnya mendapati gas tersebut adalah jenis Methane.

"Gas ini wujud dalam kadar 30 peratus sahaja apabila berlakunya sifat-sifat biomas seperti jerami padi, kayu reput dan polistrin dari dalam bumi. Biasalah gas sedemikian wujud di sawah-sawah padi dan ia hanya bersifat sementara", katanya.

Dalam hal demikian, Allah S.W.T  tidak menjadikan bumi kita ini sebagai sia-sia kerana selain memberikan manfaat untuk menumbuhkan tanaman, namun siapa sangka tanah yang melata ditumbuhi semak-samun, hutan belukar dan kawasan yang didakwa agak gersang itupun mengandungi sumber dan khazanah dari bumi yang paling bernilai.

Justeru, penemuan pelbagai sumber berkenaan sebagai menjelaskan hakikat tentang keesaan dan kekuasaan Allah yang menjadikan bumi ini selain untuk didiami, namun dalam masa yang sama manusia mendapat faedah dari kejadian-Nya.

 
Nasemaidi Jaais.

Shukran Mohd. Noor sedang menunjukkan nyalaan api untuk membuktikan wujudnya gas di situ.

Profesor Madya Dr. Sa'ari Mustapha.

Contoh gas diambil untuk kajian oleh pihak Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, UPM.

Inilah kediaman Mohd. Bakri Hasbullah. Usaha menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air, tiba-tiba keluar gas asli.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH