EKSPEDISI GUNUNG RENG KEDUA
(8.9.2012)
JELI, KELANTAN: Mendaki gunung adalah aktiviti lasak yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal pesertanya. Orang yang menyertai aktiviti sedemikian dianggap manusia yang berhati cekal kerana sanggup melalui liku-liku kepayahan yang perlu mereka tanggung akibat mengambil keputusan sedemikian.
Walaupun mereka akan berhadapan dengan masalah keletihan, keperitan anggota badan seperti kaki, pinggang dan tangan kerana berusaha untuk melangkah dan menggunakan anggota itu untuk tujuan mencapai matlamat dan sampai ke tempat yang dituju. Namun, setiap pendaki juga pastinya akan berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan lain seperti masalah bekalan air minum, diganggu makhluk ghaib, berhadapan dengan haiwan buas yang sedang memburu mangsa sebagai makanan dan mencari air minum di samping batu yang mudah runtuh, jalan yang becak dan licin serta berhadapan dengan kayu yang merintangi laluan semasa mendaki itu.
Walau bagaimanapun cabaran yang bakal dan akan dihadapi oleh setiap pendaki, mereka sudah bersedia ke arah itu dan kejayaan sampai ke puncak adalah matlamat utama yang sentiasa diharapkan oleh pendaki.
Sejajar dengan itu, kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Anis Sabirin bin Azmi (Anak Keempat Penulis) serta Mohd. Nasiruddin Mohamed Nor (Din) telah melakukan "Ekspedisi Gunung Reng Kedua" pada 8 September, 2012 yang lalu. Tujuan ekspedisi kami ini adalah untuk menggeledah ruang Gua Payong sehingga ke puncaknya. Gunung Reng dan Gua Payong ini letaknya di laluan tersohor Lebuh Raya Timur-Barat, Jeli di Kelantan dan Gerik di Perak dekat Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan yang juga bersempadan dengan Gerik di Perak.
Dari Kota Bharu, Kelantan kami bertolak kira-kira jam 2.30 petang. Setelah menunaikan Solat Zohor di Stesen Minyak Petronas dekat Batu Melintang, Jeli. Kemudiannya, kami bertolak ke lokasi gunung itu dan kami memasuki Gua Payong di Gunung Reng jam 4.15 petang.
Setelah berbincang di hadapan Gua Payong yang juga di kaki Gunung Reng itu beberapa ketika, kami pun memulakan langkah memasuki Gua Payong yang pada masa lampau gua berkenaan banyak menyimpan kisah-kisah misteri seperti penemuan baju milik Puteri Sa'adong, penemuan emas asli dalam Gua Payong itu dan jelmaan makhluk halus seperti nenek kebayan.
Ketika memasuki muka Gua Payong dari laluan pejalan kaki tingkat bawah, Penulis sempat merakam foto menarik sehinggalah ke Tingkat Tiga, Gua Payong. Dari dalam gua berkenaan, kami kemudiannya keluar dari arah pintu gua di Tingkat Dua. Dari luar gua di Tingkat Dua itu kami memasuki dan kami sempat melihat pemandangan gua dalam gua yang samar-samar dipanah cahaya mentari dari luar gua.
Kami juga sempat melihat beberapa lubang gua yang menuju ke arah laluan lain, namun kami tidak berkesempatan untuk menyusurnya kerana tidak membuat persediaan peralatan seperti lampu dan tali disebabkan suasananya agak gelap.
Suasana di dalam guanya walaupun sesetengah tempat agak kelam dan gelap, namun kami dapat melihat dan melangkah perlahan-lahan. Anak telinga kami dapat mendengar bunyi suara kelawar terbang dan bernyanyi riang di dalam gua diikuti bunyi suara air mengalir di bawah gua tersebut.
Hembusan angin dari arah bawah gua dan dari luar di Tingkat Dua dan Tingkat Tiga di Gua Payong berkenaan sesekali dapat menyejukkan tubuh badan kami yang sejak tadi terasa bahangnya kerana terpaksa menerjah, melompat dan memanjat batu-batu gua yang agak besar melebihi ketinggian peserta kami.
Melihatkan corak batu-batu di dalam gua yang kami merasakan telah berlaku suatu runtuhan kecil kerana terdapat di antara batu-batu tersebut yang pecah berderai menjadi kecil. Namun, bagi batu-batu gua yang masih kuat dan pejal seolah-olah tidak berganjak malah setia dengan kedudukannya dalam gua berkenaan.
Dari tinjauan peserta kami dari dalam gua tersebut juga sempat melihat beberapa corak batu dalam gua termasuk stalektait gua yang terbentuk agak lama. Perubahan dalam gua berkenaan sewajarnya berlaku kerana usia Gua Payong dan Gunung Reng telah berdekad lamanya melebihi usia 1400 tahun dulu. Kejadian yang meranapkan pesta dan temasya mengadu kehebatan haiwan tentunya menyebabkan batu-batu berbentuk haiwan yang ditelangkupkan Gunung Reng mungkin ada yang masih kekal sehingga kini dan ada sebahagiannya mungkin telah dimamah usia, telah runtuh akibat beberapa faktor.
Namun, aktiviti pendakian ini tidaklah memakan masa yang lama berikutan keadaan hari sudah semakin gelap. Kami mula beredar turun dari bahagian atas gunung melalui lurah dan batu-batu pejal Gua Payong itu. Kami keluar dari gua tersebut pada jam 5.20 petang.
Selepas itu, kami bergegas ke arah Sungai Reng yang setia mengalir tenang yang pada masa itu sudah semakin cetek akibat berlakunya kemarau. Kami sempat bergambar di salah satu lokasi di Sungai Reng itu dalam keadaan cuaca mendung.
Kami bertolak pulang jam 6.50 petang. Mungkin suatu masa nanti jika diizinkan Allah, kami berkesempatan menongkah sebuah gua aneh di perut bumi dan puncak Gunung Reng kerana di puncaknya tercatat seribu satu sejarah tersirat tentang Gunung Reng sebagai sebuah istana yang menjadi tempat bersemayamnya puteri lagenda Negeri Kelantan dikenali Puteri Sa'adong atau Puteri Maryam Raja Loyor.
Peserta "Ekspedisi Gunung Reng Pertama" pada 8.9.2012.
Gunung Reng dari arah Lebuh raya Timur-Barat (Jeli-Gerik).
Puncak Gunung Reng, dirakam dari jarak jauh.
Papan kenyataan di pintu masuk Gua Payong.
Penulis berdiri di hadapan pintu masuk Gua Payong.
Gua Payong dari arah dalam gua.
Di sinilah ekspedisi kami bermula.
Bentuk batu yang dapat dilihat bersebelahan dengan trek laluan.
Sesekali terpaksa mendaki melalui dinding gunung.
Cili api pun dapat tumbuh subur di lereng gunung.
Peserta kami terpaksa kembali ke dalam gua setelah pendakian melalui dinding gunung.
Tebing dan curam di tingkat dua Gua Payong.
Lubang gua ini dipenuhi kelawar.
Kelihatan seekor kelawar terbang dalam lubang gua yang dalam.
Kami mula turun kembali ke tingkat bawah gua setelah sampai di atas.
Kelihatan sebatang Sungai Reng dari arah Negeri Perak.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan