RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 30 September 2012

Misteri Makhluk Saka


MISTERI MAKHLUK SAKA

PASIR MAS, KELANTAN:  Saka adalah makhluk jin yang ada pada setiap manusia khususnya di kalangan umat-umat Islam sebagai pendamping. Kira-kira 98 peratus umat Islam mengalami saka tanpa disedari oleh mereka tetapi tidak wujud kepada bangsa lain. Dengan kata lain, saka hanya wujud di kalangan orang-orang Melayu, apatah lagi sikap orang-orang Melayu zaman nenek moyang dahulu yang gemar dan sering mengamalkan ilmu-ilmu khurafat, natijahnya akan dialami oleh generasi mereka walaupun pengamalnya telahpun meninggal dunia.

Walaupun dikatakan zaman sains dan teknologi, saka tetap wujud kerana saka itu akan sentiasa mengalir melalui peredaran darah keturunan yang mempunyai saka. Ini menunjukkan, makhluk saka yang selama ini terpenjara atau tidak dipedulikan disebabkan kematian pengamalnya yang sebelum itu sering menjamunya untuk tujuan memperolehi ilmu kebal, sebagai penunduk, tidak tembus (lut) sebarang jenis senjata dan untuk kelihatan nampak hebat serta kacak di kalangan wanita bagi pengamal lelaki. Manakala bagi pengamal wanita pula untuk tujuan dapat menundukkan lelaki, menaikkan seri wajah dan awet muda supaya lelaki jatuh cinta dengannya, digunakan sebagai pelaris dan lain-lainnya.

Berhubung derngan hal saka ini, ramai yang mengetahui keluarga mereka didampingi makhluk sedemikian, namun disebabkan sesuatu hal tertentu mereka tidak ingin mengaku hal yang sebenarnya.

Salah seorang warga emas, Ismail Yusoff, 61, atau lebih dikenali sebagai Pak Wil dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas, Kelantan  pada mulanya enggan memberitahu pengalaman tentang makhluk berkenaan kerana dakwaannya beliau tidak dapat melihat makhluk terbabit. Namun, daripada pemerhatiannya mendapati makhluk tersebut pernah mengunjungi rumahnya beberapa kali dan ekoran hal itu menyebabkan anak-anaknya mengalami simptom ketakutan.

Katanya, ketika beliau menetap di kawasan sekarang ini, anak perempuannya belum lagi dilahirkan. Sebaliknya apabila anaknya itu berusia setahun lebih, bermulalah episod sedemikian apabila makhluk yang dimaksudkan sering mengunjungi rumahnya setelah anak gadisnya berusia 10 tahun.

"Berikutan kejadian itu menyebabkan kesihatan anak gadis pakcik terganggu, dia sering mengalami masalah demam. Kadang-kadang dia takut untuk tinggal di rumah dan untuk ke sekolah. Pakcik agak, dia telah melihat makhluk ghaib itu", ujar Pak Wil yang merupakan seorang tukang rumah di Kampung Slow Machang itu.

Menurut Pak Wil, apabila anak gadisnya tiba di sekolah, anak gadisnya tidak dapat masuk ke dalam kelas dan apabila pulang dari sekolah untuk terus masuk ke dalam rumah, anak gadisnya itu tiba-tiba berasa lemah seluruh anggota badan secara luar biasa.

"Sering dilihat oleh anak gadis pakcik, makhluk terbabit sering menjelma di setiap penjuru rumah ini malah kerap kali muncul di hadapan laman rumah. Pakcik tidak mengetahui kejadian berkenaan kerana hanya dialami oleh anak gadis pakcik itu saja", ujarnya yang merujuk kepada anak gadisnya yang bongsu sambil menunding jari ke tempat yang dimaksudkan.

Katanya, anak gadisnya memberitahu bahawa beliau melihat jelmaan lembaga perempuan tua dan kadang-kadang seorang lelaki tua sering berkunjung ke rumahnya. Lelaki tua tersebut katanya memakai jubah dan ketayap seperti seorang alim. Manakala kakaknya juga berasa takut untuk keluar rumah ekoran jelmaan makhluk itu. Bukan itu sahaja, kakaknya uga akan berasa seperti ada sesuatu yang kelihatan setiap kali tinggal di rumah seorang diri.

"Tapak rumah ini adalah pusaka peninggalan orang tua. Walau bagaimanapun, pakcik tidak menolak jika ada sesuatu yang cuba mengganggu keluarga pakcik oleh perbuatan yang tidak masuk akal itu", katanya.

Beritahunya, kejadian yang dialami pada bulan Oktober 2008 itu menyebabkan anak gadisnya enggan ke sekolah kerana bimbang bertembung di jalanan pula. Begitu juga dengan anak lelakinya juga mengalami perkara yang sama sebagaimana yang dialami oleh kakak-kakaknya. Kadang-kadang mereka akan berasa berat seluruh tubuh malah berasa seram bulu roma apabila berada di rumah.

Sementara anak tiri Pak Wil, Najmuddin Aziz mendakwa beliau sering berasa takut yang amat sangat sedangkan beliau sendiri tidak mengetahui apakah yang menyebabkan beliau mengalami hal yang sedemikian.

Berikutan timbul hal yang sedemikian, beliau cuba mendapatkan pandangan pihak pengamal rawatan tradisional yang memaklumkan bahawa kejadian berkenaan disebabkan pertalian keluarga terdahulu, malah ada juga yang menyatakan rumah berkenaan menjadi tempat persinggahan makhluk terbabit.

Apabila ditanya, adakah beliau dapat melihat makhluk tersebut, beliau sememangnya tidak dapat melihat makhluk yang dimaksudkan, makhluk apakah yang menyebabkannya sering di dalam ketakutan setiap kali berada di rumah berkenaan. Beliau dapat tahu dari tindakan deria tubuhnya yang dapat menangkap kehadiran makhluk terbabit. Ini katanya, setiap kali kehadiran makhluk ghaib itu beliau akan berasa sesuatu yang agak seram dan dirinya bagaikan tidak selesa dengan situasi itu.

"Saya pernah bermimpi diubati oleh seseorang secara ghaib dan setakat ini sudah dua kali saya mengalami mimpi yang seumpamanya. Menariknya, kehadiran makhluk yang cuba untuk mengubati saya itu bukannya pada malam hari sebaliknya di siang hari terutamanya apabila  saya tinggal seorang diri di rumah.

"Jika kehadiran makhluk tersebut sekadar untuk memberikan ilmu, saya sedia menerimanya jika ilmu tersebut memberikan manfaat dengan tidak memudaratkan diri saya. Kalau ilmu tersebut mengkhususkan saya sesuai sebagai "bomoh", saya juga bersedia menerimanya", ujar Najmuddin Aziz lagi.

Katanya, makhluk tersebut memberitahu supaya beliau membaca sepotong ayat sebelum kehadirannya. Apabila membaca ayat tersebut, makhluk terbabit akan terus datang. Menurutnya, sejak kebelakangan ini sahaja beliau seperti dapat mengawal dirinya dari unsur ketakutan. Sebelum ini, kalau beliau keluar rumah untuk ke warung kopi sekalipun hanya dalam kadar sekejap sahaja dan beliau akan bergegas pulang secara tergesa-gesa kerana berasa dalam ketakutan.

Manakala bagi anak perempuan Pak Wil, Noraini Ismail, 10, pelajar Sekolah Dato' Abdullah Hamid Satu dekat sini berkata, makhluk tersebut telah dihantar oleh seorang bertaraf Haji dari keluarganya supaya mendekatinya. Apabila ditanya bentuk makhluk yang dihantar itu, beliau tidak dapat memberikan gambaran sebenarnya.

Katanya, makhluk tersebut adalah seorang lelaki datang menemuinya pada waktu malam dalam bentuk mimpi. Ketika kehadiran makhluk yang dimaksudkan, tubuhnya berasa gementar dan ekoran dari itu beliau sering dalam ketakutan.

Makhluk tersebut datang ke rumahnya semata-mata untuk menemuinya bukan sahaja pada waktu malam hari. Namun, pada hari-hari tertentu makhluk yang dimaksudkan akan hadir pada waktu pagi terutamanya ketika beliau ingin ke sekolah pada masa-masa terbabit iaitu jam 7.00 pagi.

Apabila mengetahui makhluk tersebut ada di kawasan laman rumahnya, beliau tiba-tiba berasa gementar dan tangannya mula berasa sejuk yang amat sangat. Makhluk tersebut mula datang menemuinya pada tahun 2007 dan sehingga kini makhluk tersebut masih mengunjunginya beberapa kali.

Menurut Noraini, kalau lazimnya makhluk lelaki pernah datang beberapa kali di rumahnya, makhluk yang perempuan pula sering menunggu kehadirannya di sekolah iaitu jam 7.00 pagi. Bermakna, ketika beliau tiba di sekolahnya makhluk perempuan itu sudah menunggunya. Jika makhluk terbabit datang ke sekolah, makhluk itu akan menunggunya di sebuah jendela bilik darjah sambil memerhatikannya sedang belajar di dalam kelas. Malah pada ketikanya makhluk terbabit setia menunggunya sehingga pembelajaran tamat dan semasa waktu pulang dari sekolah. Makhluk ini sering datang pada waktu pagi dan waktu petang beberapa kali.

"Adik nampak dengan jelas, makhluk perempuan itu berambut panjang dan berpakaian serba putih tetapi tidak bertudung sambil sedang mendukung bayinya", ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua makhluk lelaki dan perempuan amat jelas dilihatnya. Malah jika makhluk berkenaan ingin mengajarkannya ilmu bomoh khususnya hal-hal yang baik, beliau sanggup menerimanya dan akan menolak jika sebaliknya.  

Ismail Yusoff atau Pak Wil.

Najmuddin Aziz.

Noraini Ismail.



Di kawasan rumah Pak Wil inilah, makhluk ghaib itu menjelma sehingga dapat dilihat oleh anak-anaknya.

Inilah kawasan laman rumahnya, makhluk saka itu juga menjelma di sini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan