KHASIAT PETAI DAN JERING
TUBUH BADAN yang sihat amat diperlukan oleh setiap manusia dalam kehidupan mereka sehari-hari. Apabila tubuh badan dalam keadaan sempurna, manusia akan dapat menjalankan segala tugas dengan baik. Dengan demikian, untuk menjaga supaya anggota tubuh badan sentiasa berfungsi dengan sebaiknya, amalan pemakanan yang seimbang dan bersih, tidur yang cukup serta menyisihkan sikap banyak berfikir apabila didatangi masalah.
Apabila tubuh badan diserang penyakit, maka kita pastinya akan teringat tentang rawatan yang sepatutnya. Dalam hal demikian, bukan sahaja kita memerlukan ubat-ubatan dan pil-pil vitamin sebagai langkah untuk meredakan dan menyembuhkan penyakit tersebut. Ini kerana, adakalanya ubat-ubatan yang dimakan atau diminum itu dibimbangi tidak sesuai dengan tubuh badan manusia, menyebabkan kesan sampingan yang memudaratkan serta dibimbangi mendatangkan masalah penyakit lain yang lebih teruk disebabkan pertentangan ubat-ubatan yang diberikan itu.
Apa yang penting ialah makanan tambahan yang diperlukan bagi menghasilkan banyak zat dan vitamin yang cukup untuk tubuh. Untuk tujuan ini, ulam-ulam dari daun kayu merupakan makanan tambahan yang terbaik selain dari makanan asas harian.
Orang-orang tua zaman dahulu menjadikan ulam-ulam dari tumbuh-tumbuhan sebagai lauk-pauk kedua. Walaupun dengan hanya berlaukkan ikan ataupun daging semata-mata, selera mereka masih di tahap biasa, tetapi dengan adanya bantuan ulam-ulam dari daun-daun kayu, selera mereka akan semakin meningkat. Bukan sekadar bertambahnya selera makan, bahkan ulam-ulam itu sendiri menampung banyak khasiat terhadap kesihatan berbanding sayur-sayuran lain yang dimasak di mana telah kehilangan banyak zat galian yang diperlukan oleh tubuh.
Malangnya hanya sebilangan rakyat Malaysia yang mengetahui serta menyakini tentang khasiat sebenar ulam-ulam tersebut. Mereka beranggapan kononnya hanya sayur-sayuran sahaja yang mudah diperolehi kerana zat dan vitamin sudah cukup untuk keperluan tubuh bada berbanding ulam-ulam itu. Keduanya, ulam-ulam kayu sukar diperolehi kecuali di kampung-kampung. Ketiga, citarasa dan bau ulam-ulam kayu terlalu payau dan busuk. Sedangkan rasa yang dianggap aneh dan luar biasa itulah merupakan khasiat sebenar yang diperlukan oleh tubuh badan.
Hal ini terjadi adalah disebabkan ulam-ulam kayu sukar diperolehi
kecuali di kampung-kampung. Kini mungkin jumlahnya agak terbatas
disebabkan pokok-pokok ulam ini turut dimusnahkan untuk tujuan
pembangunan selain kebanyakannya disembur racun rumpai dan ia
membahayakan kesihatan.
Di samping itu, sesetengah di kalangan masyarakat kita hampir lupa bahawa khasiat dalam ubat-ubatan moden itu adalah dari bahan tumbuh-tumbuhan. Tetapi keaslian bahan tumbuh-tumbuhan dalam ubatan hari ini sudah tercemar disebabkan banyak campuran bahan-bahan lain. Hanya akar-akar dan daun-daun kayu yang tidak dicampurkan dengan bahan-bahan kimia (masih segar) sahaja adalah ubatan asli dan dianggap terjamin.
Kalau ditinjau di kawasan pedalaman khususnya di luar-luar bandar, ternyata negara kita memang kaya dengan hasil hutan. Dari kekayaan hasil hutan itu terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan yang sesuai untuk merawat tubuh badan manusia yang lebih dikenali sebagai "pohon-pohon ubat". Di antara pohon-pohon ulam (berunsur perubatan) adalah "Petai" dan "Jering".
Petai
Pokok Petai atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Parkia speciosa"
tergolong dalam kelompok pokok ulam di mana pokoknya boleh dilihat
dengan banyak dalam hutan terutamanya di kampung-kampung dan bahagian
pedalaman. Disebabkan pokok ini begitu sesuai dan subur, kebanyakan
penduduk-penduduk kampung di kalangan masyarakat Melayu yang turut
menanam pokok ini di halaman rumah mereka kerana pelbagai kegunaan
khususnya terhadap kesihatan.
Dalam setiap hidangan, petai sering dimasak atau digoreng bersama daging
yang dicampur dengan halia, menambahkan lagi aroma dan citarasa masakan
tersebut, selain dapat meningkatkan khasiat yang terkandung di
dalamnya. Malahan, ada yang menggemari petai dengan menjadikannya ulam
mentah yang dimakan bersama nasi dan petai ini dijadikan sebagai
pencicah iaitu sebagai lauk-pauk kedua. Tidak kurang juga petai turut
dijeruk, direbus dan dibakar yang boleh menambahkan aroma yang secara
tidak langsung menambahkan selera makan.
Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan
(IMR, 1988) turut menyenaraikan petai mengandungi zat pemakanan yang
kaya dengan Karotena (151 mcg), Vitamin A (25 mcg), Vitamin B1 (0.15
mg), Vitamin B2 (0.20 mg), Vitamin C (32.7 mg) dan Niasin (0.5 mg).
Manakala kandungan bahan galiannya seperti Kalium (376 mg), Kalsium (126
mg), Natrium (11 mg), Ferum (3.4 mg), Fosforus (3 mg), Karbohidrat
(16.9 g), Protein (10.0 g), Serat (1.0 g), Abu (1.3 g), Lemak (1.8 g),
Air (69.0 g) dan Tenaga (124 kcal).
Selain buahnya yang kecil, kulit petai juga bernilai perubatan.
Petai: Pokok dalam rimba yang hidup subur di tanah lapang di laman rumah.
Jering
Begitu juga dengan "Jering" atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Pithecellobium jiringa". Ia memang kaya dengan karoten (373 mcg), vitamin A (62 mcg), niasin (5.8 mg) serta vitamin C (3.5 mg) dan hanya sedikit vitamin B2 (0.13 mg) serta vitamin B1 (0.10 mg). Sementara bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (230 mg), Fosforus (60 mg) dan Kalsium (29 mg).
Orang-orang Melayu berpendapat, jering dipercayai boleh mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi dengan menjadikannya sebagai ulam mentah ataupun direbus dan dimakan bersama kelapa parut yang dicampur sedikit gula.
Kulit jering juga berguna untuk mengubati penyakit kencing manis. Petua-petua tradisional mengenal pasti bahawa, kulit jering hendaklah terlebih dahulu digoreng hingga garing tanpa menggunakan minyak. Selepas digoreng, ia ditumbuk hingga kelihatan halus. Kemudian masukkannya ke dalam air kopi dalam kadar satu sudu kecil serbuk jering tadi dan meminumnya selama dua kali seminggu. Kedua-dua ulam tersebut mempunyai banyak khasiat tersendiri menandingi khasiat bunga kubis.
Begitulah keistimewaan ulam atau daun-daun kayu yang dianggap tidak berguna. Sebilangan masyarakat Malaysia hanya mendapatkan keperluan yang mudah dan segera tanpa memperhitungkan kesukaran untuk memperolehi zat makanan yang lain seperti ulam-ulaman yang mempunyai banyak manfaatnya kepada kesihatan dan pemakanan.
Justeru, tidak semestinya benda-benda yang mudah diperolehi itu dianggap berguna. Berikutan itu, pil-pil dan ubat-ubatan moden kadangkala boleh menyembuhkan penyakit, tetapi kadang-kadang menimbulkan kesan sampingan dan membawa risiko yang lebih teruk dari yang dijangkakan. Alangkah eloknya jika petua tradisional yang mengutamakan ulam-ulam diketengahkan di samping perubatan moden apabila diserang penyakit kerana peranan tumbuh-tumbuhan seperti ulam-ulam itu banyak manfaat dan khasiatnya.
Jering dapat mengubati kencing manis dan darah tinggi.
Kulit jering jangan dibuang kerana turut berguna untuk mengubati kencing manis.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan