MISTERI NAHAS VAN
PASIR MAS, KELANTAN: TUGAS makhluk halus memang suka menimbulkan masalah, menyebabkan minda dan perasaan manusia sentiasa dalam kecelaruan malah akan berfikir kepada sesuatu yang dianggap tidak masuk akal. Kadang-kadang mangsanya akan merasai seperti dalam khayalan, terawang-awang seperti bermimpi, tidak sedarkan diri walaupun semua itu adalah suatu realiti. Dengan cara yang sedemikian, manusia pastinya tidak akan menyedari, setelah berlaku sesuatu yang tidak diduga, barulah manusia mula menyesal setelah menyedari kejadian yang dialami.
Itulah suatu pengalaman yang ingin dikongsi oleh seorang warga emas, Ismail bin Che Sulaiman, 59, atau lebih dikenali sebagai Abang Wail dari Kampung Chekok, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.
Katanya, kejadian yang dialaminya berlaku pada tahun 1997. Pada suatu malam Ahad, beliau bersama salah seorang jiran sebelah rumahnya yang hanya dikenali sebagai Abang Mat ingin menyiapkan sebuah pondok untuk kegunaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Tujuan dibina pondok berkenaan disebabkan institusi berkenaan akan mengadakan mesyuarat sebagaimana yang dijadualkan. Beliau dengan rakannya itu perlu menyiapkannya dengan kadar yang segera.
Menurutnya, kerja tersebut diteruskannya bersama Abang Mat sehingga mencecah waktu pagi dan apabila jam 2.30 pagi, beliau pulang ke rumah. Namun, beliau tidak dapat melelapkan mata kerana giginya pula meragam, sakitnya bukan kepalang. Pada pagi Ahad esoknya, beliau bermenung seorang diri bagaimana untuk menyelesaikan masalah giginya yang sakit itu.
Disebabkan sakit yang amat sangat, beliau mengambil keputusan drastik untuk meminta bantuan seorang pengamal rawatan gigi secara tradisional dikenali sebagai Pak Nik Soh dari Kampung Padang Hangus, yang hanya terletak beberapa kilometer sahaja dari kediamannya itu. Dengan itu, pada pukul 7.30 pagi beliau mencapai motosikalnya lalu bergegas ke kebunnya terlebih dahulu untuk melihat keadaan kebun pisangnya dan dalam perjalanan pulang dari kebun pisangnya, beliau sempat singgah di rumah seorang pengamal rawatan gigi secara tradisional yang dimaksudkan.
Pak Nik Soh yang melihat kelibat Abang Wail juga agak hairan kerana pagi-pagi lagi Abang Wail sudah bertandang ke rumahnya. Kata Abang Wail, beliau berhasrat untuk mencabut giginya kerana terlalu sakit. Mengetahui tentang masalah yang dihadapi Abang Wail, Pak Nik Soh lantas membuat suntikan gusi bagi mengelakkan Abang Wail berasa sakit apabila giginya dicabut kelak.
Terkejut juga Abang Wail, beliau meminta dicabut giginya yang sakit, sebaliknya Pak Nik Soh mencabut giginya yang masih sihat. Jadi, akibat kempunan berikutan giginya yang sakit itu tidak dapat dicabut pada hari itu, beliau diminta untuk datang mencabutnya pada hari yang lain, lalu beliau pun beredar dari rumah Pak Nik Soh.
Setiba di rumahnya, jam masih belum menunjukkan jam 9.30 pagi, lalu beliau menyambung projek untuk menyiapkan pondok AIM yang tertangguh sejak semalam. Kira-kira jam 10.00 pagi beliau ke tempat kerjanya seperti biasa di Kampung Paloh, Tanah Merah sambil menunggang motosikalnya. Setibanya di Kampung Paloh, beliau mendapatkan sebuah kenderaan "van" milik majikannya untuk tujuan membawa dan mengangkut karpet dari rumah kakaknya di Bukit Panau, Tanah Merah kerana pada hari Isnin berikutnya beliau berhasrat untuk mengadakan kenduri "pertunangan" anaknya di rumahnya.
Ketika beliau memandu van dari rumah kakaknya di Bukit Panau dengan membawa pulang karpet kira-kira jam 12.00 tengah hari dengan melalui jalan utama Tanah Merah - Pasir Mas. Dalam perjalanan dari Bukit Panau itu lagi beliau memandu vannya itu dalam keadaan seperti tidak sedarkan diri (seperti dalam khayalan dan terawang-awang di udara). Sebabnya, ketika berselisih dengan salah seorang pelajar UiTM di Kampung Kubang Keli, beliau sememangnya mendengar pelajar tersebut membunyikan hon kenderaannya berulang kali terhadapnya, tetapi beliau tidak membunyikan hon van seperti yang lazim dilakukan oleh sesetengah pemandu sebagai komunikasi dua hala terhadap pelajar tersebut kerana beliau dalam keadaan sesuatu yang tidak dapat digambarkan ketika itu.
Namun, beliau meneruskan pemanduannya lalu berselisih pula dengan seorang petani dan petani terbabit juga turut membunyikan hon motosikal terhadapnya. Tetapi beliau tidak membalasnya juga. Selepas itu, beliau melalui hadapan rumah Abang Lah, seorang rakannya dari kampung yang sama. Ketika itu beliau tidak sedar tentang kejadian melalui hadapan rumah rakannya itu, dengan tiba-tiba van yang dipandunya merempuh sesuatu yang agak keras dan kasar. Setelah nahas itu, barulah beliau sedar dari khayalannya bahawa vannya telah merempuh sebuah rumah orang lain di tempat kejadian. Beliau tidak dapat memaklumkan, apakah objek yang telah dilanggarnya untuk menunjukkan ketika beliau sedang memandu itu seperti dikuasai oleh sesuatu kuasa ghaib sehinggakan beliau berkeadaan begitu.
Apabila ditanya, hakikat kejadian yang dialaminya disebabkan gangguan makhluk halus yang sedang mengekori van yang dipandunya. Katanya, beliau tidak menafikannya dan kemungkinan itu ada, jika tidak beliau pastinya akan menekan hon kepada pelajar UiTM yang pernah berselisih dengannya di Kampung Kubang Keli itu termasuklah juga dengan seorang petani yang juga agak hairan dengan sikap Abang Wail pada hari itu.
"Pakcik pun tidak sedar masa pakcik melalui hadapan rumah kawan pakcik yang dikenali sebagai Abang Lah itu. Setelah pakcik merempuh objek keras dan kasar itulah pakcik mula menyedarinya.
"Pakcik mendengar orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian. Mereka tanya pakcik, tetapi pakcik tidak dapat jelaskannya kerana masih dalam keadaan mamai ketika itu. Setelah dilihat, rupa-rupanya bukan rumah saja yang pakcik langgar, tetapi sebuah kenderaan Econovan juga rosak dirempuh van pakcik sehingga pakcik terbabas lalu merempuh rumah itu pula", katanya.
Tambah Abang Wail, pengalaman seumpama itu bukan dia seorang saja yang mengalaminya, namun setakat ini beberapa kes pemandu kenderaan yang melalui laluan di hadapan kubur berkenaan akan mengalami nasib yang sama sepertinya apabila didapati ada satu lembaga sedang melintas di hadapan kenderaan yang sedang dipandu.
Justeru menurutnya, sebelum kejadian yang dialaminya banyak kejadian yang seumpamanya didapati dua pemandu kenderaan menemui ajal di tempat kejadian dan empat mangsa yang lain dalam keadaan selamat walaupun mengalami kecederaan ketika melintasi hadapan kubur terbabit. Setakat ini menurut Abang Wail, kejadian nahas ketika melalui hadapan tanah perkuburan yang dimaksudkan sebanyak enam kes.
Ismail bin Che Sulaiman atau Abang Wail.
Abang Wail ketika diwawancara Wartawan RELATIF.
Inilah laluan utama Pasir Mas - Tanah Merah. Makhluk halus sering melintasi laluan ini walaupun di siang hari.
Berhati-hati, lembaga makhluk halus kadang-kadang melintasi kenderaan yang dipandu dari arah kubur ini menyebabkan van yang dipandu Abang Wail dan kenderaan lain terbabas.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan