RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 1 November 2012

Bukit Marak (Bachok)


BUKIT MARAK
(BACHOK)

BACHOK, KELANTAN: BUKIT MARAK yang terletak dalam daerah Bachok, Kelantan adalah sebuah bukit yang agak tersohor lebih dari 360 tahun lalu. Pada awalnya, Bukit Marak menjadi tempat Raja Kelantan Keenam, Cik Siti Wan Kembang yang ketika itu memerintah di Gunung Dang Besar kemudian ditukar nama kepada Gunung Chinta Wangsa dan kini dikenali sebagai Gunung Ayam yang terletak dalam daerah Dabong, Kuala Krai. Baginda pernah datang bersemayam di Bukit Marak sewaktu Pengkalan Datu menjadi pelabuhan yang penting sekitar tahun 1605 Masihi.

Selepas itu, Puteri Maryam binti Sultan Adiluddin (Raja Loyor) atau lebih dikenali sebagai "Puteri Sa'adong" telah menjadikan Bukit Marak sebagai tempat Baginda bersemayam pula selepas kemangkatan suami Baginda, Raja Abdullah pada tahun 1671 Masihi. Kota Mahligai yang menjadi pusat pemerintahan ketika itu telah diserahkan kepada Raja Abdul Rahim yang ditabalkan oleh Puteri Sa'adong untuk menggantikan tempat Raja Abdullah.

Salah seorang warga emas yang merupakan penduduk asal turun-temurun sejak dari zaman moyangnya, Mohd. Yusoff Mat Daud, 55, atau lebih dikenali sebagai Pak Soh dari Kampung Bukit Marak dekat sini berkata, beliau mengetahui serba sedikit cerita dan sejarah Bukit Marak termasuk Puteri Sa'adong bersemayam di bukit berkenaan daripada arwah bapanya yang meninggal ketika usia 90 tahun. Apa yang diketahuinya, Puteri Sa'adong bersemayam di Bukit Marak lebih dari 300 tahun lalu.

Katanya, ketika zaman beliau masih kanak-kanak, beliau pernah mendengar bunyi paluan gendang silat dari arah gua Bukit Marak yang kini terletak di belakang rumahnya. Menurutnya, beliau pernah mendengar arwah bapanya memberitahu, lazimnya apabila kedatangan Puteri Sa'adong ke Bukit Marak menyebabkan kambing bertempik kerana takutkan harimau yang mengiringi Puteri Sa'adong dan selepas itu akan kedengaran pula bunyi gendang silat sebagai tanda kehadiran puteri berkenaan. Jelasnya, Puteri Sa'adong datang ke Bukit Marak hanya dalam tempoh yang agak singkat dan selepas itu Baginda puteri akan keluar dari gua itu.

"Setahu pakcik, Puteri Sa'adong datang ke Bukit Marak setelah kematian suaminya, Raja Abdullah kerana membawa hati yang lara. Semasa di Bukit Marak, Puteri Sa'adong seorang yang baik hati, berhemah dan pemurah.

"Salah satu sifat pemurah Baginda puteri apabila setiap kali orang-orang kampung ingin mengadakan kenduri, Puteri Sa'adong akan meminjamkan perkakasan dapur seperti pinggan mangkuk kepada orang-orang kampung.

"Kebanyakan orang-orang kampung bebas meminjam pinggan mangkuk Baginda, dengan syarat mengembalikannya semula kepada Puteri Sa'adong dalam keadaan yang asal. Namun, disebabkan sikap penduduk-penduduk kampung ketika itu yang didapati tidak jujur kerana pinggan mangkuk yang dipinjam tidak dikembalikan kepadanya, bahkan banyak dari peralatan tersebut yang didapati telah pecah, mereka tidak menggantinya dengan yang baru.

"Bagaimana orang-orang kampung ingin menggantinya, mereka tidak mampu berbuat demikian. Keadaan ini menyebabkan Puteri Sa'adong berdukacita dan tidak puas hati dengan sikap orang-orang kampung ketika itu. Selepas kejadian itu, Puteri Sa'adong enggan meminjamkannya walaupun diminta dan dirayu oleh penduduk-penduduk kampung.

"Akhirnya, Puteri Sa'adong merajuk lalu menetap di Gunung Ayam. Dalam hal ini, pakcik beranggapan, Puteri Sa'adong meninggalkan Bukit Marak disebabkan berdukacita bukan sahaa terhadap suaminya apatah lagi dengan sikap penduduk-penduduk kampung ketika itu yang tidak amanah", katanya yang mendakwa tapak rumahnya kini baru saja dimajukan kerana pada masa itu adalah kawasan orang asli.

Sambung Pak Soh lagi, keluasan Bukit Marak mencecah 60 ekar iaitu milik kerajaan (10 ekar) dan milik persendirian (60 ekar). Bukit Marak jika dilihat dari pandangan luar adalah sebuah bukit yang berdiri gagah di tempatnya, namun tanpa diketahui umum, Bukit Marak mempunyai sebuah gua sebagai pintu yang boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja. Gua ini menurutnya boleh dilalui sehingga ke tengah bukit dan boleh menuju ke puncak Bukit Marak.

Tambah Pak Soh lagi, paling menarik tentang Bukit Marak selain sebuah gua yang agak luar biasa adalah tentang kesan peninggalan sejarah Puteri Sa'adong. Kesemua kesan sejarah berkenaan terdapat di dalam gua berkenaan seperti batu gendang (tanpa pemalu, apabila diketuk batu gendang itu dengan batu yang lain akan kedengaran suara di bawah bukit). Tetapi kini, batu terbabit telah runtuh dan musnah kerana peredaran masa.

Selain itu katanya, terdapat batu seekor gajah (tetapi belalainya telah patah), batu hampar besar (tempat isirehat Puteri Sa'adong), batu asah (dikatakan sebagai batu untuk mengasah pedang), batu katak, kesan laluan ular/naga peliharaan Awang Selamat (pengiring Puteri Sa'adong), kesan tapak kaki dan tapak tangan Awang Selamat (di dinding dan bumbung gua), telaga Puteri Sa'adong (dulunya dikatakan tidak pernah kering), dua buah gua (sebuah gua terdapat perigi dan tasik kecil yang mengeluarkan mata air), kesan tapak kaki Puteri Sa'adong, bilik tempat Puteri Sa'adong bersemayam, katil tempat Puteri Sa'adong baring dan sebiji buah durian menjadi batu.

Hal yang paling menarik tentang sejarah peninggalan Puteri Sa'adong adalah tentang katil tempat baring Puteri Sa'adong, kadang-kadang boleh ditemui dalam sebuah bilik dalam gua berkenaan di samping sebuah perigi dan tasik kecil milik Puteri Sa'adong yang agak cantik akan dapat dilihat bergantung kepada keadaan pada hari itu. Keadaan gua tersebut berdasarkan sesuatu tempat, kadang-kadang terdapat bilik yang agak luas dan ada tempat yang agak kecil. Misalnya, perigi dan tasik Puteri Sa'adong, berdasarkan kepada sesuatu keadaan. Kadang-kadang walaupun di musim hujan, tetapi pernah terjadi perigi atau tasik itu kering, sedangkan hal berkenaan belum pernah berlaku ketiadaan air sebelum ini.

"Setakat pakcik pernah masuk ke dalam gua itu, pakcik pernah temui sebiji batu buah durian. Pakcik tidak pasti sama ada sebiji buah durian telah menjadi batu atau sebaliknya. Kadang-kadang pakcik pernah tidak menemui jalan ketika memasuki gua itu kerana suasananya yang agak gelap", ujarnya.

Apabila ditanya tentang Bukit Marak yang berkemungkinan mempunyai rangkaian dengan Bukit Peraksi di Pasir Puteh, Pada awalnya, beliau tidak dapat memberikan jawapannya. Tetapi setahunya, Bukit Marak mempunyai kaitan dengan Gunung Reng di Batu Melintang, Jeli dan Gunung Ayam di Dabong, Kuala Krai. Ini setahunya hanya tiga rangkaian ini sahaja yang sering dikunjungi Puteri Sa'adong sebagai tempat Baginda untuk berehat dan bersemayam.

Walau bagaimanapun, jika dikatakan menjadi tempat habitat kijang dan landak, sememangnya wujud sejak tahun 1950 sehingga hari ini. Landak tidak pernah diburu kerana masyarakat Kampung Bukit Marak tidak ingin menzalimi haiwan tersebut. Biarlah haiwan itu dengan habitatnya dan manusia dengan kehidupan manusia.

Namun, beliau berharap kerajaan negeri berusaha membangunkan prasarana Bukit Marak dengan membina Taman Rekreasi Bukit Marak, zoo, gedung perniagaan dan lain-lainnya sebagai destinasi pelancongan yang diimpikan. Bukit Marak yang sewaktu ketika dulu dikenali umum sebagai sebuah bukit yang kaya dengan kesan peninggalan sejarah, wajarlah Bukit Marak dipromosikan pula di peta dunia bukan sekadar sebuah bukit yang terabai sebaliknya perlu dimajukan untuk kepentingan penduduk setempat dan generasi yang akan datang.
 
Mohd. Yusoff Mat Daud atau Pak Soh.

Pak Soh ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya di kaki gua Bukit Marak.

                                           Cik Siti Wan Kembang             Puteri Sa'adong


Bukit Marak dirakam jauh dari arah Jalan Kampung Chap.


Laluan atau lorong ke muka gua Bukit Marak.

Ruang masuk gua Bukit Marak

Laluan atau lorong ini boleh dilalui hingga ke tengah dan ke puncak Bukit Marak.

Tapak kaki kiri Awang Selamat di dinding gua Bukit Marak.

Tapak tangan kanan Awang Selamat di bumbung gua Bukit Marak.

Kesan runtuhan di lereng Bukit Marak akibat aktiviti manusia.

Batu asas Bukit Marak sebagai tanda warta dari pihak agensi pelancongan.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
ANIS SABIRIN BIN AZMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan