RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 20 September 2012

Misteri Diusik Hantu Raya


MISTERI DIUSIK HANTU RAYA

TUMPAT, KELANTAN:  PADA masa dulu, khidmat makhluk halus yang dikenali "hantu raya" menjadi kemestian di kalangan sesetengah penduduk kampung untuk tujuan mengawal harta seperti dusun buah-buahan, rumah dan kampung dari dirosakkan atau diganggu-gugat oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Bukan sahaja penduduk terbabit akan memberikan "jamuan" malah mereka sanggup "memuja" makhluk berdarjat rendah itu  supaya menurut arahan mereka. Sebagai upahnya, makhluk hantu raya tersebut akan dijamu dengan makanan-makanan tertentu.

Atas ketiadaan pemilik harta itu yang mungkin ke tempat yang jauh, makhluk hantu raya inilah yang ditugaskan untuk mengawal barangan berharga dan harta si pemiliknya. Makhluk hantu raya itu pula akan menjelmakan diri mereka dengan berbagai jelmaan seperti "monyet" dan "gorila" dan kadang-kadang akan menjelmakan dalam rupa manusia seolah-olah "tuannya" iaitu pemilik harta itu ada di rumahnya, biarpun pemilik harta itu telah berbulan-bulan lamanya meninggalkan harta-harta dan kampung halaman mereka.

Seorang warga emas ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Mohamed bin Yusoff, 73, atau lebih dikenali sebagai Ayah Mat dari Kampung Jalan Masjid, Tumpat, Kelantan berkata, beliau sendiri pernah melihat makhluk hantu raya itu tercegat berdiri di bahagian belakang rumahnya beberapa kali sebagai "pengawal" kawasan yang dimaksudkan. Walaupun beliau pernah beberapa kali bertembung dan terserempak dengan lembaga terbabit, namun beliau tidak mempedulikannya kerana telah mengetahui keadaan dan asal usulnya.

"Ketinggian makhluk hantu raya itu kira-kira enam hingga tujuh kaki (2 meter). Bentuk badannya agak besar. Tubuh hantu raya itu berbulu hitam lebat, sesuai dikatakan spesis monyet. Kadang-kadang jelmaannya dilihat sepasang", ujarnya ketika diminta menceritakan bentuk fizikal makhluk halus yang dikenali sebagai hantu raya yang pernah dilihatnya itu.

Katanya, anak perempuannya yang kelapan yang merupakan seorang peniaga dan penjaja makanan di sebuah gerai di kawasan terbabit turut menjadi mangsa hantu raya tersebut apabila sering diusik dan disakat makhluk hantu raya tersebut beberapa kali ketika anaknya itu tinggal bersendirian. Berikutan gangguan makhluk hantu raya tersebut menyebabkan anaknya itu tidak dapat memakai baju dengan sempurna, kadang-kadang tidak dapat tidur malah kadang-kadang menjadikannya tidak keruan disebabkan gangguan makhluk tersebut.

Gangguan hantu raya itu menyebabkan anak perempuannya mengalami masalah dan hidupnya tidak begitu tenteram. Berikutan itu, beliau terpaksa mendapatkan khidmat bomoh yang handal dalam usaha merawat dan menghindarkan gangguan hantu raya itu. Namun, kebanyakan bomoh-bomoh berkenaan gagal dalam tugas mereka untuk menghalang gangguan terhadap anaknya itu.

"Jelmaan dan gangguan hantu raya itu bukan berlaku setiap hari, tetapi kadang-kadang saja. Tetapi setiap kali jelmaan dan gangguan hantu raya tersebut mangsanya akan menerima padahnya. Lazimnya, makhluk hantu raya tersebut menjelma ketika waktu Maghrib berkumandang dan kadang-kadang jam 7.00 serta 8.00 malam", katanya.

Bukan anak perempuannya sahaja yang sering diusik, sebaliknya jirannya sendiri yang dikenali sebagai Cikgu Yusof juga mengalami hal yang sama. Gangguan berkenaan berlaku apabila mangsanya dalam keadaan lemah dan tidak bersemangat, lazimnya akan diganggu beberapa kali selepas itu.

Menurutnya, beliau memang mengetahui jelmaan hantu raya itu tidak akan wujud jika tiada orang yang membelanya. Memang mudah untuk mengetahui siapakah dalangnya di sebalik jelmaan hantu raya itu apabila makhluk akan sering muncul di kawasan tuan atau pemilik harta tersebut. Mereka membela hantu raya adalah untuk tujuan peribadi, tetapi hakikatnya amat menyusahkan orang lain.

"Jelmaan hantu raya itu berlaku dalam masa tiga bulan sekali. Kadang-kadang kemunculannya berlaku malam Sabtu, malam Ahad untuk menunjukkan jelmaan itu tidak menentu", ujar Ayah Mat menambah.

Katanya, disebabkan hantu raya tersebut adalah jelmaan jin bukan Islam yang termasuk dalam kategori makhluk ghaib, beliau tidak dapat memberikan jawapan yang sebaiknya tentang makhluk tersebut.

Menurut katanya, ketika beliau masih remaja dalam usia 18 tahun, makhluk hantu raya pernah dilihatnya beberapa kali sering berkeliaran dan mundar-mandir di kawasan kampungnya ketika itu. Namun, beliau buat-buat tidak mempedulikannya sebab makhluk tersebut tidak pernah mengganggunya.

Apabila ditanya tentang orang-orang kampungnya berhubung dengan hantu raya tersebut, pernahkah mereka diusik atau sebaliknya. Beliau tidak dapat memberikan jawapannya kerana mereka tidak dapat melihat makhluk halus tersebut. Bagi yang dapat melihatnya, mereka akan melarikan diri untuk tidak bertembung dengan makhluk terbabit. Namun, beliau pernah mendengarnya, ada beberapa orang penduduk kampung berdekatan seperti Kampung Che Salam dan Kampung Jalan Masjid sendiri yang terkena usikan hantu raya tersebut. Tetapi berita berkenaan tidak tersebar kerana mangsa sekadar mendiamkannya sahaja, jadi orang lain tidak mengetahui mangsa yang terlibat.

Beliau tidak pernah disakat hantu raya tersebut tetapi sekadar melihatnya semata-mata apatah lagi beliau adalah penduduk asal kampung berkenaan, mungkin makhluk berkenaan memang sedia maklum. Tetapi menurutnya, sering berlaku ialah apabila penduduk dari luar yang menyewa di beberapa rumah di kawasan itu sering kena usik. Tetapi mereka tidak mempedulikannya kerana bimbang diketahui oleh orang lain.

"Selain hantu raya yang menjelma dalam rupa monyet, terdapat juga makhluk pelesit yang menjelma seperti manusia di kampung ini. Salah seorang penduduk kampung ini (kini arwah) memelihara pelesit untuk mengawal stor kayunya dari dilarikan oleh pencuri", jelasnya.

Katanya, walaupun jelmaannya seperti manusia, bentuk fizikal tubuh badannya agak luar biasa daripada fizikal manusia. Apabila kita melihat dan bertembung dengan makhluk halus tersebut badannya akan beras seram sejuk malah kadang-kadang berasa dan panas silih berganti. Kaki pula berasa seperti tidak berpijak di bumi. Sering berlaku apabila didapati keadaan hujan renyai-renyai, ketika beliau membuka pintu dilihatnya makhluk itu tercegat berhampiran rumahnya.

"Hantu raya bukan sahaja menjelma dalam rupa monyet, kadang-kadang dalam bentuk gorilla, kadang-kadang menjelma dalam bentuk kera. Selagi manusia itu wujud, makhluk berkenaan akan wujud bersama-sama manusia, itulah sifat jin (makhluk halus)", ujarnya.

Beliau tidak lokek untuk berkongsi petua. Menurutnya, apabila individu itu berjalan yang dikhuatiri ada hantu raya sedang memerhatikan, cubalah bercakap dengan makhluk itu walaupun makhluk itu tidak dapat dilihat dengan berkata, pergilah kami jauh-jauh, aku guna jalan ini. Atau kamu jangan ganggu aku. Atau aku akan tinggal di sini, kamu jangan ganggu aku. Atau tipu makhluk itu dengan katanya, kamu jangan ganggu aku, isteri aku nak bersalin, dia perlukan bantuan aku. Pastinya makhluk berkenaan tidak akan ganggu lagi.

"Jin dan syaitan itu adalah makhluk Allah, tentunya apabila dikatakan makhluk, dia akan memahami tentang makhluk lain. Makhluk berkenaan pasti tidak akan menjelma jika tiada manusia yang mempedulikannya. Makhluk berkenaan akan muncul apabila ada manusia yang memujanya.

"Contohnya, di Kampung Dalam Masjid ini, di belakang rumah pakcik sekarang sering berlaku jelmaan hantu raya itu. Makhluk ini dipelihara oleh seseorang untuk tujuan mengawal kampung daripada dicerobohi olah pihak-pihak yang tidak bertanggung awab seperti perbuatan mencuri dan sebagainya", ujarnya.

Justeru katanya, walaupun jelmaan hantu raya di Kampung Jalan Masjid didapati tidak seperti dulu, namun beliau tidak mempercayai makhluk halus kerana yang pastinya makhluk ini akan muncul secara tiba-tiba. Dengan itu, kita sebagai manusia perlu berwaspada, jangan jadi hamba jin dan syaitan kelak akan menyusahkan manusia juga.   
 

Mohamed bin Yusoff atau Ayah Mat.

Ayah Mat ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Hantu raya sering muncul di kedua-dua tempat ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan