RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 10 September 2012

Misteri Kura-Kura Putih


MISTERI KURA-KURA PUTIH

PASIR MAS, KELANTAN:  Pengalaman melalui suatu kejadian aneh dan misteri memang menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan seumur hidup, apatah lagi yang melibatkan pertemuan dengan makhluk halus. Begitulah halnya yang dialami oleh seorang bekas sekuriti dan pemandu van pekerja Perdana Resort di Pantai Cinta Berahi (kini Pantai Cahaya Bulan), Che Rosli bin Mat, 47, atau lebih dikenali Tok Ayah dari Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Ketika ditemui Penulis di kediamannya itu, beliau adalah seorang pesara pemandu dan sekuriti Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan. Malah menurutnya, kejadian misteri beliau bertemu kura-kura putih pada tahun 1997 di Jalan Pantai Cinta Berahi (kini Jalan Pantai Cahaya Bulan) itu tidak pernah dimaklumkan kepada sesiapa sama ada kepada jiran-jirannya sendiri mahupun penduduk setempat apatah lagi setelah beliau memperolehi dan membawa pulang ke rumahnya seekor kura-kura putih yang agak aneh ketika kejadian yang dialaminya itu.

Katanya, pada malam kejadian, beliau menghantar kakitangan Perdana Resort ke rumah masing-masing setelah tamat waktu kerja jam 1.00 pagi menggunakan van syarikat. Di antara kakitangannya termasuklah yang menetap di Pasir Tumboh, Kota Bharu. Beliau menemui kura-kura putih misteri itu ketika dalam perjalanan pulang menghantar kakitangan berkenaan dengan melalui kawasan terbabit.

"Saya temui kura-kura putih itu kira-kira jam 2.00 pagi hari yang sama iaitu pada malam Jumaat betul-betul di atas jalan di tempat itu. Ketika saya melihat kura-kura putih itu, saya dapati keadaan jalan yang diduduki kura-kura putih itu mengeluarkan cahaya yang menyilau terutamanya di sekeliling kura-kura pada pagi itu", katanya.

Apabila melihat kura-kura putih di tengah-tengah jalan seolah-olah menghalang laluannya, dengan segera beliau memberhentikan van yang dipandunya iaitu kira-kira beberapa meter dari kilauan cahaya tersebut seraya mendekatinya. Semasa beliau mendekati objek bercahaya aneh itu, amat jelas pada pandangannya bahawa cahaya tersebut adalah seekor kura-kura, tetapi bentuk fizikalnya agak kecil sahaja kecuali kilauan cahaya terbabit yang kelihatannya agak besar.

"Ketika saya mendekati kura-kura misteri itu, saya lihat kura-kura itu seperti mengeluarkan api yang marak menyala, jadi saya takut untuk menyentuhnya, bimbang terbakar.

"Selepas memerhatikan kura-kura itu, saya memindahkan kenderaan lalu saya parkir di tepi jalan kerana bimbang kenderaan pula terbakar", jelasnya.

Tambahnya, selepas meletakkan kenderaan di tempat yang agak selamat iaitu di bahu jalan tersebut, beliau melangkah ke arah kura-kura aneh itu untuk mengambilnya. Namun, dengan tidak disangka-sangkanya kura-kura misteri itu mula bergerak dan merangkak perlahan-lahan ke tepi jalan yang berdekatan seolah-olah melarikan diri darinya.

Beliau kemudiannya mengejar kura-kura itu dengan niat untuk memegangnya. Ketika tangannya dihulurkan untuk memegang tubuh kura-kura itu, hatinya terus berbisik supaya tidak menyentuhnya kerana bimbang kura-kura berapi itu boleh menyebabkannya berasa panas kerana ketika itu silauan api sedang marak menyala dari tubuh kura-kura terbabit walaupun kura-kura berkenaan sedang merangkak secara perlahan-lahan dari tempat asalnya.

Selang berulang kali beliau berhasrat untuk mengambil kura-kura itu sebagai miliknya, namun dalam masa yang sama hatinya berbisik berulang kali seolah-olah tidak mengizinkannya kerana melihat api sedang marak menyala.

Sedang asyik gelagatnya dengan kura-kura misteri itu, dengan tiba-tiba dan tidak disangka-sangkanya, didapati seorang tua muncul lalu berdiri tegak berdekatan dengan tempat beliau parkir kenderaannya di tepi jalan tersebut. Melihatkan keadaan itu, beliau agak terkejut kerana pada awalnya beliau tidak melihat sesiapa yang lalu lalang di kawasan itu kecuali beliau dengan kura-kura putih misteri itu saja.

Hatinya mula tertanya-tanya tentang seorang tua yang menjelma secara tiba-tiba berhampiran tempat beliau parkir kenderaannya. Oleh kerana beliau tidak berfikir tentang hal-hal lain walaupun hatinya ketika itu berdebar-debar kerana hanya beliau seorang diri sahaja. Lantas beliau mendapatkan orang tua yang berdiri berdekatan van yang diparkirnya di tepi jalan terbabit.

Beliau memberanikan diri meminta dengan orang tua tersebut untuk mengambil kura-kura putih itu walaupun pada tubuh kura-kura putih itu api masih marak menyala. Anak telinganya dapat menangkap bunyi suara orang tua aneh itu yang memberikan kebenaran kepadanya untuk mengambil kura-kura tersebut. Namun, beliau tidak berpuas hati kalau kura-kura itu pula akan menggigit jarinya dan soalan yang terbuku di hatinya ketika itu segera diluahkan kepada orang tua yang menjelma secara misteri itu. Orang tua aneh itu memberitahunya, kura-kura misteri itu tidak menggigit manusia dan beliau boleh mengambilnya pada pagi itu.

Selepas selesai orang tua itu berkata-kata, lantas beliau mendapatkan kura-kura putih yang masih merangkak  di tepi jalan itu seraya mengangkatnya dengan mudah, padahal pada mulanya beliau agak keberatan kerana bimbang digigit kura-kura yang dimaksudkan. Kura-kura yang diambilnya itu diangkatnya lalu diletakkan di sebelah belakang vannya lalu menutup pintunya.

"Selepas saya menutup pintu van saya pada pagi itu, saya berpaling ke arah orang tua itu untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi orang tua itu ghaib secara tiba-tiba", ujarnya.

Setelah didapati orang tua tersebut ghaib, secara tiba-tiba bulu romanya meremang. Beliau mengagak bahawa, orang tua tersebut bukannya manusia kerana ghaib secara tiba-tiba apatah lagi bulu romanya berdiri tegak ketika itu.

Katanya, ukuran tinggi orang tua aneh itu agak rendah sedikit dari tubuhnya iaitu kira-kira lima kaki (lebih semeter) tanpa mengenakan baju. Sementara sehelai kain semutar diletakkan di atas bahunya dengan hanya mengenakan sehelai kain sarung sebagai pakaian utamanya. Perutnya agak tidak kelihatan kerana suasana pada ketika itu agak gelap.

Seminggu selepas itu, pada sebelah malamnya beliau bermimpi tentang orang tua aneh yang ditemuinya di Jalan Pantai Cinta Berahi dalam kejadian tempoh hari. Menurutnya, beliau bermimpi orang tua tersebut memberitahunya supaya beliau menggali dengan kedalaman sejengkal di bawah kura-kura yang sedang menjelma di tengah-tengah jalan pada pagi kejadian tempoh hari itu. Katanya, di bawah perut kura-kura itu terdapat ketulan emas dalam jumlah yang banyak untuk diberikan kepadanya.

"Saya memang tidak mempunyai niat untuk menggalinya kerana saya tidak tahu tentang hal itu. Bukan emas sahaja yang diberitahu oleh orang tua itu, berlian pun ada. Mungkin disebabkan saya dianggap tidak menghargai pemberiannya, emas dan berlian yang ada di bawah perut kura-kura itupun ghaib, yang tinggal hanya kura-kura putih itu saja", ujar Che Rosli menambah.

Menurut Che Rosli, sinaran api yang keluar dari kura-kura itu hanya melingkari tubuh kura-kura putih itu sahaja sebagai tanda untuk memberitahunya terdapat ketulan emas dan berlian di bawahnya. Bentuk fizikal kura-kura yang menjelma pada pagi itu agak kecil sahaja, tetapi beliau memperolehi kulit kura-kura putih itu melebihi bentuk fizikalnya yang asal.

Selepas kejadian itu, beliau berpendapat memang agak rugi kerana tidak menggalinya ketika beliau mula-mula menemui kura-kura putih misteri di tengah-tengah jalan yang seolah-olah merintang laluannya pada ketika itu kerana sudah sememangnya, beliau pasti akan memperolehi emas dan berlian yang dimaksudkan. Namun, disebabkan beliau tidak mengetahui petanda yang ditunjukkan kura-kura tersebut, peluang keemasan itu terlepas begitu sahaja. Walaupun beliau tidak memperolehi emas itu, namun sudah memadai beliau memperolehi seekor kura-kura putih di tempat kejadian tempoh hari.

Suatu hari ketika beliau sedang berehat di rumahnya, ibunya (kini arwah) ingin mengetahui dan ingin melihat objek apakah yang dibawanya pulang pada pukul 3.00 pagi tempoh hari. Ini kerana, ibunya secara tiba-tiba telah bermimpi tentang suatu kejadian aneh sebagai petanda ada sesuatu yang pelik di rumahnya ketika itu. Beliau kemudiannya mengambil objek tersebut lalu menghulurkannya seekor kura-kura putih yang diperolehinya itu kepada ibunya. Beliau meminta ibunya memberikan komen sama ada beliau perlu menyimpannya atau patut mengembalikannya ke tempat asal kerana beliau bimbang akan berlakunya sesuatu kejadian buruk.

Melihatkan keanehan kura-kura putih itu, ibunya agak terkejut kerana selama hayat ibunya tidak pernah melihat kura-kura putih itu sebelum ini. Malahan menurutnya, ibunya mengakui haiwan berkulit keras itu memang kura-kura putih, jadi ibunya meminta beliau memeliharanya di tempat khas agar haiwan itu dapat hidup dengan sempurna.

Berikutan itu, ibunya itu memintanya melihat dalam sebuah bekas di sebuah tanah perkuburan kerana didapatinya ada beberapa ketul emas dalam bekas di tempat itu. Pada awal pagi itu juga beliau ke tanah perkuburan terbabit untuk melihat ketulan emas sebagaimana dakwaan ibunya, namun beliau tidak nampak ketulan emas terbabit, lalu beliau bergegas pulang.

Menurut Che Rosli, kura-kura putih itu mati awal Januari 2009 dengan hanya memakan nasi semata-mata. Kalau dihitung dari segi umur, kura-kura tersebut dapat hidup kira-kira selama 12 tahun ketika beliau mengambilnya di tepi jalan dalam kejadian yang dialaminya pada tahun 1997 itu.

Justeru, kejadian dan pengalaman bertemu dengan kura-kura putih misteri sebagai tanda wujudnya ketulan emas dan berlian di bawah perut kura-kura tersebut serta dapat bertemu orang tua aneh sebagai penjaga kura-kura putih pada pagi kejadian tahun 1997 malah beliau dapat pula membawa pulang kura-kura misteri itu ke rumahnya adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Dari seekor kura-kura misteri bersaiz kecil yang telah dibelanya menjadi besar, tetapi hayat kura-kura itu mati awal Januari 2009 itu yang hanya tinggal kulitnya sahaja yang berwarna putih yang masih ada dalam simpanannya kini. Kisah berkenaan tidak pernah diberitahu kepada jiran-jirannya termasuk penduduk setempat mahupun kepada warisnya yang terdekat kerana beliau tidak ingin mereka membuat andaian yang tidak munasabah malah enggan menjadi tumpuan umum pula. Biarlah tinggal pengalaman dan kenangan yang masih kekal di ingatannya sehingga kini.

Che Rosli bin Mat atau Tok Ayah.

Che Rosli ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Di sinilah tempat kejadian kura-kura putih ditemui.


Hanya kulit kura-kura putih yang tinggal sebagai kenangan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Saya ada memiliki jasad seekor kura-kura putih (Bhg. Tapak dan Topi) yang mati meragan . Kepada yang berhajat memilikinya hubungi saya 0125073007 (Aminkanda).

    BalasPadam