RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 1 Jun 2012

Sampah: Punca Penyakit


SAMPAH: PUNCA PENYAKIT

SAMPAH boleh dilihat di mana-mana tempat, dan ia tidak didasarkan di dalam negeri yang berkonsepkan Islam semata-mata. Apabila menyebutkan tentang sampah, tentunya kita terbayang sikap segelintir di kalangan kita yang suka melonggok dan mencampakkannya secara sewenang-wenangnyanya menurut kemahuan masing-masing asalkan bahan buangan atau sisa yang paling busuk itu dapat dinyahkan dari rumah mereka. 

Apabila kita membicarakan soal kebersihan, agenda utama yang turut mengaitkan kepada persoalan berkenaan adalah "sampah". Di negara kita, aktiviti pembuangan dan pembakaran sampah bukanlah suatu fenomena baru sebaliknya tabiat yang tidak bertanggungjawab ini berlaku hampir setiap masa dan tempat. Keadaan ini menunjukkan, masih terdapat segelintir di kalangan masyarakat kita yang mengambil jalan mudah dengan membuang sisa dari rumah  ke kawasan  semak-samun,  pantai,  jeram  dan  tempat  peranginan,  parit,  tasik  dan ke dalam sungai.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, sampah adalah sisa buangan yang menunjukkan suatu bahan itu telah digunakan dan tidak dipedulikan lagi. Membuang sampah adalah satu tindakan yang mudah dilakukan. Tetapi perlu diketahui bahawa, sampah boleh mendatangkan risiko yang lebih teruk kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Sampah boleh mengandungi bahan-bahan yang berisiko tinggi. Kandungan bahan-bahan dalam sampah bukan sahaja meliputi kertas, puntung rokok, plastik, habuk-habuk kayu dan cat yang telah merekah, kepingan besi dan keluli, kaca, tulang-tulang dan organ haiwan serta tin-tin kosong, tempurung kelapa dan tayar buruk. Tetapi kadang-kadang sampah yang dibuang mengandungi bahan-bahan beracun terutamanya bekas-bekas aerosol dan bahan-bahan kimia.

Kuantiti sampah berkenaan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia. Tin-tin kosong, tempurung kelapa serta tayar-tayar buruk yang dibuang sesuka hati dan terbiar apabila ditakungi air hujan boleh membahayakan kesihatan kerana ia menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk. Manakala pembuangan sampah yang terdiri dari bekas-bekas racun akan menyebabkan keracunan terhadap sumber bekalan air dan apabila dibakar akan menyebabkan pencemaran udara yang serius.

Membicarakan persoalan sampah, jika hal berkenaan tidak dibendung akan menimbulkan pelbagai masalah. Persoalan penyakit yang diakibatkan oleh sampah perlu diketahui oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Tetapi persoalan untuk melupuskan sampah juga menjadi suatu bebanan apabila masyarakat setempat tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya apabila diminta.

Sebenarnya, majlis-majlis tempatan juga menghadapi pelbagai masalah apabila berhadapan dengan isu sampah. Isu yang menyukarkan untuk pihak berkenaan menjalankan peranannya ialah berhubung dengan tidak ada alat kelengkapan yang diperlukan supaya setiap majlis daerah, majlis perbandaran dan majlis bandar raya dapat memainkan peranan masing-masing untuk membendung permaslaah sampah. Di samping itu, satu perkara lagi ialah masalh tenaga pekerja yang tidak mencukupi dan bayaran gaji pekerja yang terlalu rendah adalah beberapa punca yang menyebabkan sampah tidak dapat diuruskan dengan baik.

Suatu perkara yang sepatutnya diberikan perhatian oleh pihak majlis tempatan untuk melupuskan sampah yang semakin bertimbun ialah, pihak-pihak berkenaan perlu mempunyai tempat atau kawasan yang sesuai supaya segala sampah dapat dilupus dan dilonggokkan dengan lebih selamat. Selain memerlukan tempat yang jauh dari kawasan perumahan dan orang ramai, sampah ini perlu dilonggokkan di kawasan tanah tinggi, bebas dari kawasan air atau banjir dan tidak menjadi sensitiviti atau kemarahan masyarakat setempat. Tetapi persoalan yang timbul ialah, bagaimana pula dengan sikap masyarakat kita dalam membendung masalah sampah?

Pembuangan sampah merata-rata atau sampah yang tidak diurus dengan baik adalah berpunca daripada tabiat masyarakat itu sendiri. Masyarakat di negara kita sebenarnya tidak bertanggungawab dan dapat ditakrifkan sebagai tidak mementingkan dan menyayangi aspek alam sekitar, kesihatan dan negara sendiri. Lebih-lebih lagi ada di kalangan penduduk di kawasan bandar yang mendakwa sampah adalah urusan majlis tempatan kerana pihak berkenaan telahpun dibayar cukai untuk menguruskan sisa buangan tersebut.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tabiat segelintir di kalangan peniaga, pengusaha restoran dan warung kopi yang sengaja membuang sampah di kawasan perniagaan mereka walaupun tong-tong sampah telah disediakan dengan sempurna dan secukupnya. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab ini sengaja melonggokkan sampah atau mencampakkan organ-organ haiwan sembelihan ke dalam longkang, menyebabkan aliran air tersumbat atau membiarkan sampah berselerakan akhirnya kawasan berkenaan menjadi kotor dan berbau busuk.

Dalam pada itu, kelemahan yang ketara ialah tidak ada kerjasama di antara pihak-pihak tertentu umpamanya pihak sekolah, ketua kampung, masjid dan ahli exco kerajaan negeri sendiri. Seandainya fungsi keempat-empat badan berkenaan turut memainkan peranan, nescaya masalah pembuangan sampah tidak akan timbul. Tetatpi di dalam konteks Malaysia hari ini, suatu hal yang menyebabkan kurangnya keberkesanan dalam langkah membendung pembuangan sampah merata-rata adalah berpunca dari penguatkuasaan undang-undang yang terlalu lemah.

Kita mempunyai akta atau undang-undang umpamanya Akta Majlis Tempatan 1971 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Tetapi akta ini menjadi helaian kertas semata-mata kerana denda dan hukuman yang dikenakan tidak dikuatkuasakan.

Akibat dari kelemahan penguatkuasaan undang-undang ini menyebabkan orang ramai tidak menghiraukan tentang pembuangan sampah. Apabila aktiviti pembuangan sampah dilakukan tetapi tiada sebarang tindakan diambil, seolah-olah mereka menganggap sampah tidak bermasalah dan aktiviti berkenaan semakin berleluasa. Tempat larangan untuk membuang sampah dipersendakan dan tempat itulah menjadi medan longgokan sampah.

Hakikatnya kita patut mencontohi negara jiran iaitu Singapura yang telah berjaya memperkenalkan undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkualiti terhadap rakyatnya. Apabila rakyat membuang sampah, tindakan undang-undang akan diambil bukan bertujuan untuk menghukum atau menganiayai orang ramai yang melakukan kesalahan. Tetapi sebaliknya untuk memberikan pengajaran dan pendidikan tentang tabiat membuang sampah itu adalah suatu sikap yang tidak elok dan boleh mengotorkan persekitaran malah menjejaskan kesihatan.


Sampah yang penuh dilonggokkan di luar tong.

Senangnya sampah dicampakkan di tepi jalan.

Sampah dicampakkan dari rumah ke tepi semak.

Lepas itu, sampah dibakar.

 Kadang-kadang tong sampah juga menjadi sampah.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan