RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 1 Jun 2012

Rawat Patah Tulang


RAWAT PATAH TULANG

PASIR MAS, KELANTAN:  MASALAH patah tulang sering terjadi dan mangsanya pasti berasa sakit yang amat sangat. Lazimnya patah tulang berlaku terhadap mangsa akibat nahas jalan raya, terjatuh dari pokok, ditimpa benda yang berat atau sebagainya. Namun, mangsa patah tulang tidak perlu berasa bimbang tentang bakal berlaku seperti cacat atau sebagainya kerana rawatan terhadapnya akan dapat mengembalikan sebagaimana keadaan asal malah sembuh sepenuhnya dalam masa tiga hari sahaja. Apatah lagi, rawatan patah tulang terbabit tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar jika dilakukan secara tradisional berbanding di hospital.

Pengalaman salah seorang pakar merawat tulang secara tradisional yang ditemui Penulis, Abdul Rahman bin Daud, 65, atau lebih dikenali Tok Ayah Man Bomoh Patah dari Kampung Chetok Sungai, Pasir Mas, Kelantan mengakui, merawat mangsa patah tulang paling senang baginya dan tidak sesukar mana berbanding yang dilakukan secara moden.

Menyorot sejarah beliau mendapat ilmu merawat patah tulang sebagai bomoh dari arwah orang tuanya. Namun, kebanyakan amalan yang diajari oleh orang tuanya itu adalah sebagaimana wirid yang diamalkannya di dalam sembahyang.Tetapi beliau tidak menolak pernah memperolehi ilmu berkenaan daripada keturunan atuknya yang berasal dari Pattani, Siam.

Katanya, beliau berkecimpung sebagai bomoh patah tulang sejak lebih 10 tahun lalu. Pada awalnya, beliau memang menolak untuk diajarkan ilmu berkenaan kerana menurut adiknya, beliau adalah seorang yang agak lembam. Namun, takdir Allah S.W.T  adalah penentu segala-galanya apabila salah seorang penunggang motosikal yang terbabit dengan nahas jalan raya semasa menunggang menyebabkan beberapa bahagian tulang tangannya patah dua.

"Kalau tersilap rawat kemungkinan tulang mangsa yang patah itu pasti putus. Pada mulanya, Tok Ayah Man berkata tidak kepada mangsa, namun kerana sifat kasihankan penunggang terbabit terpaksalah Tok Ayah merawatnya.

"Hasil rawatan tersebut, masalah patah tulang yang dialami oleh mangsa sembuh sepenuhnya dan apabila dilihat tulang yang patah itu bersambung sebagaimana yang asal. Sekarang ini, mangsa berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)", ujarnya ketika menjelaskan mangsa pertama yang pernah dirawatnya.

Menurut Tok Ayah Man, kaedah beliau merawatnya dengan memasukkan tulang yang patah tersebut kepada asalnya dan selepas itu beliau menggunakan "belat" (bilah-bilah buluh atau papan untuk membalut tulang patah). Semasa memasukkan tulang tersebut, tentunya pesakit akan berasa sedikit kesakitan, namun dalam masa tiga hari sahaja patah tulang tersebut sembuh seperti sediakala. Katanya, kalau tangan yang patah mangsa tidak akan berasa sakit tetapi kalau sendi yang patah atau tercabut pastinya akan berasa sakit.

Sambungnya lagi, kebanyakan mangsa yang datang menerima rawatan daripadanya bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat dan daerah-daerah lain di Kelantan. Namun, agak ramai juga dari luar Kelantan seperti Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan dan paling jauh datangnya dari Singapura. Kebanyakan khidmat yang pernah diberikan bukan sahaja mangsa datang ke rumahnya, namun jika perlu beliau akan ke rumah mangsa untuk membuat rawatan.

Katanya lagi, semasa beliau memulakan rawatan beliau sekadar membaca "bismillah" sahaja. Namun, beliau tidak nafikan semasa sessi rawatan keturunannya itu akan datang membantu. Dengan demikian, rawatan yang dilakukannya agak mudah dan menjimatkan masa. Hasil daripada bantuan keturunannya itu beliau seolah-olah mengetahuinya sendiri dan apakah yang perlu dilakukannya.

Kalau dikatakan keadaan tulang mangsa yang patah itu agak berat dan parah sekalipun, keturunannya akan datang dari arah belakangnya untuk membantu. Dengan sendirinya, beliau dapat melakukannya daripada ilham yang diajarkan melalui keturunannya itu. Jika sekiranya pada awalnya mangsa akan merasa kesakitan semasa rawatan dilakukan, namun dengan bantuan keturunannya, mangsa tidak akan merasai sebarang kesakitan lagi.

Semasa rakaman temubual ini dibuat, mangsa yang mengalami patah tulang yang memerlukan khidmatnya masih menunggu seramai tujuh orang lagi, kesemuanya dari Kelantan. Kebanyakan mangsa patah masih memerlukan rawatannya dan sanggup menunggu agar beliau dapat memberikan rawatan yang diperlukan.

"Walaupun rawatan yang Tok Ayah lakukan melibatkan tulang patah akibat nahas jalan raya, walaupun dikatakan agak parah, namun kesemua rawatan berkenaan Tok Ayah anggap sebagai biasa saja.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi Tok Ayah bahawa setiap orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan, Tok Ayah bersedia memberikan pertolongan apatah lagi yang melibatkan patah tulang dan sendi yang tertanggal.

"Walaupun tugas berkenaan pada sesetengah orang dianggap berat, Tok Ayah berpegang kepada satu prinsip iaitu Tok Ayah hanya berikhtiar dan berusaha sahaja, hanya Allah jua yang menyembuhkannya", ujarnya.

Tambahnya, beliau pernah membuat rawatan mangsa patah tulang yang keluar dari daging malah terdapat "tulang kering" patah beliau sanggup menyambungnya berdasarkan kelebihan ilmu yang dimilikinya.

"Tok Ayah pernah membuat rawatan patah tulang dari beberapa pesakit yang pernah masuk ke wad Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

"Ada seorang doktor pakar dari HUSM yang datang menemui Tok Ayah bagi mendapatkan rawatan untuk anaknya yang patah tulang. Ini kerana, bagi doktor pakar itu tidak sanggup memasukkan besi ke dalam tubuh anaknya", katanya menceritakan pengalamannya merawat anak seorang doktor pakar dari HUSM itu.

Apabila ditanya, apakah sebab pihak hospital merujuk kepada beliau sedangkan di kalangan doktor ramai yang berpengalaman malah mampu merawat secara moden dengan baik, apatah lagi memiliki beberapa peralatan yang moden dan canggih. Tok Ayah Man menjelaskan, pihak hospital memasuki kursus dengan cara dan kaedah lain. Berdasarkan rawatan moden, pihak hospital memerlukan tulang yang senggang (jarak) bagi memudahkan rawatan dijalankan. Sebaliknya, bagi rawatan tradisional menganggap tulang yang senggang (jarak) bermasalah.

Menurut Tok Ayah Man seterusnya, dalam konteks rawatan tradisional, seseorang bomoh patah akan merapatkan tulang yang patah itu supaya lemak yang terdapat pada tulang berkenaan akan turun ke bawah barulah tulang itu akan bercantum balik dengan sempurna. Berbeza pula dengan hospital yang menggunakan "besi skru" untuk mencantumkan tulang. Kaedah ini memerlukan masa yang agak lama, sebab lemak dalam tulang tersebut dihalang atau disekat oleh skru tersebut.

Katanya, salah seorang kanak-kanak yang merupakan mangsa patah tulang baru akibat terjatuh ketika bermain bolasepak berjaya dirawatnya hanya memakan masa selama dua hari sahaja dan apabila masuk hari yang ketiga telah sembuh sepenuhnya. Tulang yang patah itu telah bercantum sepenuhnya, malahan kanak-kanak berkenaan boleh bermain bolasepak yang digemarinya semula.

Jelas Tok Ayah Man, bagi mangsa patah tulang, walaupun kita lihat tidak ada apa-apa, namun setelah beliau menyentuh di tempat terbabit beliau akan dapat mengetahui keadaan patah tulang yang dialami oleh mangsa sama ada serius ataupun tidak. Kalau sekiranya tulang tersebut menembusi daging, beliau akan menariknya kemudian memperbetulkan kedudukannya kemudian beliau akan membelatnya dengan bilah-bilah buluh untuk tujuan memperbetulkan tulang yang patah itu menjadi lurus.

Namun, bagi mangsa patah tulang yang dianggap rawatan lambat dijalankan berikutan terdapat mangsa yang begitu takut untuk menerima rawatan. Lazimnya mangsa datang menemuinya untuk meminta "air penawar". Cara berkenaan agak lambat dari kebiasaannya, namun dari pengalamannya pernah mangsa memberitahu tulangnya telah bercantum seperti sediakala tanpa sebarang rawatan, memadai sekadar mendapatkan air penawar darinya sahaja.

"Pengalaman anak saudara Tok Ayah Man sendiri yang mengalami patah tulang akibat nahas jalan raya ketika menunggang motosikal. Ibunya meminta anaknya itu menemui Tok Ayah Man bagi merawat tulangnya yang berbonjol keluar. Tok Ayah Man hanya sekadar memberikan air penawarnya sahaja, dengan izin Allah tulang anak saudara Tok Ayah Man itu bercantum kembali", ujarnya ketika menceritakan pengalamannya dengan anak saudaranya itu.

Menurut Tok Ayah Man, setakat ini khidmat beliau sebagai bomoh patah, beliau dapati sudah lebih 1,000 mangsa patah tulang yang pernah dirawatnya kembali menjalani kehidupan normal dan dapat menjalankan kerja seperti biasa untuk menunjukkan tulang yang patah itu sembuh sepenuhnya. Mangsa yang pernah menerima rawatan dalam sehari dianggap tidak menentu. Kadangkala agak ramai sehingga beliau tidak dapat menguruskan keperluan hariannya pernah berlaku dalam usaha untuk membantu mangsa pulih sepenuhnya. Lazimnya, kira-kira lima orang mangsa yang datang mendapatkan rawatan darinya dalam sehari.

Katanya, kebanyakan pesakit atau mangsa patah tulang apabila mendapati mereka sembuh sepenuhnya, mangsa berkenaan akan memanjatkan syukur terhadap Allah malah berterima kasih kepadanya kerana berjaya merawat patah tulang yang dialami dalam masa yang agak singkat sahaja.

Apabila ditanya tentang bayaran yang dikenakan terhadap mangsa, beliau sebenarnya tidak mengharapkan sebarang bayaran daripada pesakit atau mangsa, kecuali atas kerelaan dan keikhlasan daripada mangsa itu sendiri. Beliau hanya mengikut sunnah Nabi S.A.W  yang sedia berkhidmat kepada individu yang memerlukan bantuannya sahaja. Beliau tidak menetapkan harga, hanya pesakit atau mangsa yang memberikan hadiah menurut keikhlasan dan kemampuan masing-masing, itulah rezekinya pada masa itu.

Bagi Tok Ayah Man, beliau tidak berasa pelik atau sukar untuk merawat mangsa patah tulang asalkan mangsa berkenaan terus mendapatkan khidmatnya dengan segera. Bagi mangsa patah tulang yang baru pastinya akan sembuh dengan cepat berbanding dengan membiarkannya menderita sakit dalam tempoh yang agak lama, itulah yang paling sukar sekali kerana tulang yang patah itu telah didapati sebati dengan darah dan daging. Pokok pangkalnya, beliau begitu teruja untuk merawat mangsa patah tulang kerana baginya rawatan berkenaan tidaklah sesukar mana.

"Ketika Tok Ayah Man membuat rawatan, Tok Ayah hanya membaca "auzubillah himinnas syaiton nirrajim, bismillah hirrahman nirrahim" dengan kehendak dan izin Allah, tulang yang patah itu bersambung dengan sendirinya pada ketika itu juga", jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan kepada mangsa-mangsa patah tulang terutamanya dari luar Kelantan yang berharap kepada khidmatnya dipersilakanlah ke rumahnya di kampung berkenaan pada bila-bila masa, sebab patah tulang pasti berlaku pada bila-bila masa tanpa perlu takut. Beliau bersedia memberikan rawatan supaya mangsa dapat menjalani kehidupan yang sempurna seperti biasa sebagaimana sebelum mengalami peristiwa tersebut.

Untuk mendapatkan rawatan, Tok Ayah Man boleh dihubungi melalui
talian: 019-9298395.  

Abdul Rahman bin Daud atau Tok Ayah Man Bomoh Patah.

Tok Ayah Man ketika ditemubual Penulis di rumahnya.


Papan tanda menghala ke rumahnya yang dipacakkan di jalan utama kampung berkenaan.

Inilah rumah kediamannya, tempat rawatan patah tulang dijalankannya setiap hari.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

5 ulasan:

  1. Assalamualaikum.. Tok Ayah Man (arwah) telah kembali ke rahmatullah pada 4.4.2012 pada usia 64 tahun, kerana kanser paru-paru..

    Al-Fatihah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. al-Fatihah..moga arwah ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh..

      Padam
  2. Gimana cara cepat menyembuhkan anak yang patah tulang

    BalasPadam
  3. Solusi cara cepat penyembuhan patah tulang

    BalasPadam