RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 2 April 2012

Pantai Bisikan Bayu


PANTAI BISIKAN BAYU

PASIR PUTEH, KELANTAN:  PANTAI BISIKAN BAYU yang terletak di Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan adalah produk pelancongan terawal dibangunkan di jajahan Pasir Puteh. Jarak pantai ini dari bandar Pasir Puteh sejauh 16 kilometer, manakala dari Pekan Cherang Ruku sendiri sejauh tiga kilometer.

Pada masa dulu, Pantai Bisikan Bayu adalah sebuah pantai yang cantik dan landai dengan pasirnya yang halus dan memutih memukau pandangan, sering menjadi tempat pertemuan penulis dan penyair bahkan pantai ini juga telah diabadikan dalam buku "Antologi Sajak" terbitan Persatuan Seniman dan Penulis Pasir Puteh (PUSPA) berjodol "Bisikan".

Tetapi hari ini, pantai berkenaan seolah-olah tidak bernafas apabila pengunjung semakin berkurangan kerana pesisir pasirnya yang kotor dan tidak terkawal apabila banyak kayu-kayu hanyut didapati terdampar di pesisir pantai, namun tiada pihak yang memberikan perhatian untuk membangunkan dalam segala segi dalam usaha untuk menarik pelancong dan pengunjung ke pantai berkenaan sebagaimana pada masa-masa dulu.

Sebelum ini, banyak kemudahan asas yang telah disediakan untuk pengunjung di Pantai Bisikan Bayu seperti pondok rehat, chalet penginapan seperti Taman Rehlah, surau, taman permainan, bilik persalinan dan tandas. Tetapi kini, akibat berlaku peredaran masa dan pengubahsuaian baru-baru ini didapati Pantai Bisikan Bayu kurang menyerlah, kemudahan asas yang siap dibina hanyalah pondok rehat semata-mata, sementara kemudahan asas yang lain agak tidak kelihatan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sepatutnya cakna dan jika sikap membiarkannya akan menyebabkan Pantai Bisikan Bayu yang indah dan mempesonakan pada masa dulu pastinya akan mati dan pengunjung tidak lagi mengenali Pantai Bisikan Bayu.

Kerajaan Negeri Kelantan juga sepatutnya memberikan perhatian yang sama penting jika mengharapkan kedatangan enam juta pelancong ke negeri Kelantan pada tahun 2012 ini dan salah satunya ialah membangunkan semula Pantai Bisikan Bayu kerana pelancong luar negara pastinya akan begitu teruja untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik yang menjanjikan suasana dan pemandangan yang menyegarkan dan pilihannya ialah "pantai".

Papan tanda arah ke Pantai Bisikan Bayu dari jalan utama.







Beginilah suasana pantai dalam konteks hari ini.

Kelihatan pondok rehat tidak bermaya. Kayu-kayu hanyut terdampar di pesisir pasir.

Gerai makanan ringan bergerak, juga agak lengang.

AKTIVITI KAMI

PENULIS pernah berkunjung ke Pantai Bisikan Bayu sebanyak empat kali. Kali pertama ketika mengikuti rombongan pelajar sebuah sekolah swasta, Institut Tok Kemuning, Machang pada tahun 1980. Ketika Penulis tiba di pantai berkenaan, Pantai Bisikan Bayu memang hidup dengan segala aktivitinya dan terdapat banyak gerai jualan yang terdapat di pinggir pantai ini.

Pada tahun yang sama juga, salah seorang rakan Penulis yang mengikuti rombongan pelajar sekolah berkenaan didapati lemas dan dibawa ombak ke tengah pantai. Penulis yang kebetulan melihat kejadian berkenaan segera memberikan pertolongan cemas yang turut dibantu oleh seorang lagi rakan Penulis dengan menarik rambut mangsa ke pinggir pantai.

Kunjungan Penulis buat kali kedua ke Pantai Bisikan Bayu pula pada tahun 1991 iaitu ketika mengikuti program kepenggunaan sebagai Pegawai Persatuan Pengguna Kelantan (KCA). Selepas program berkenaan, Penulis membongkar satu kejadian maksiat yang dilakukan oleh muda mudi dari luar daerah ini dengan menjadikan Pantai Bisikan Bayu sebagai tempat pertemuan untuk berdua-dua dengan pasangan masing-masing. Akibat aktiviti yang tidak sihat ini menyebabkan Pantai Bisikan Bayu tercemar disebabkan sikap manusia yang bernafsu.

Kunjungan Penulis kali ketiga pada 18.10.2009 dan dalam pemerhatian Penulis mendapati, aktiviti di Pantai Bisikan Bayu sememangnya telah mati seratus peratus dan gerai jualan juga boleh dibilang dengan jari. Hanya yang dapat dilakukan ialah aktiviti merakam foto, namun ketika itu banyak sampah dibuang dan dilonggok di Pantai Bisikan Bayu.

Kunjungan Penulis kali keempat bersama keluarga ialah pada 28.11.2011. Namun kunjungan ini juga tidak ke mana kerana Pantai Bisikan Bayu sememangnya mati, hanya aktiviti yang dapat dilakukan selain merakam foto ialah bersisiran di gigi pantai sambil melihat ombak menghempas pantai.



 Penulis bersama keluarga bergambar di atas pasir yang halus dan landai.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 1 April 2012

Foto: Keajaiban Alam

KEAJAIBAN ALAM
Ruangan ini hanya memaparkan tentang "Foto: Keajaiban Alam" sama ada langit, bumi, air dan sebagainya

Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH
AWAN KELABU, MENTARI MALU

KOTA BHARU, KELANTAN:  BUKAN alam yang dipandang saja kelihatannya redup, tetapi awan juga berwarna kelabu. Mentari juga kelihatannya malu-malu untuk menguntumkan senyuman. Selama satu hari, hari ini cuaca redup dan mendung menyelubungi Kota Bharu dan seluruh Kelantan dan mungkin juga seluruh dunia.

Foto ini dirakam di Jalan Bawah Lembah dekat sini pada 29.7.2012 jam 5.13 petang.


Awan kelihatannya berwarna kelabu dan mentari kurang menyerlah sinarnya.


ALAM REDUP

KOTA BHARU, KELANTAN:  HARI ini (29.7.2012), suasana alam kelihatannya redup dan mendung, tetapi tiada tanda-tanda hujan akan turun. Apakah yang tidak kena? Apakah alam sedang menanggung kesakitan, merajuk atau sedang memprotes di atas sikap manusia yang semakin lalai?

Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit di Jalan Doktor, Kota Bharu, Kelantan pada 29.7.2012.
   



Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
AIR MASIN DAN AIR TAWAR

Air masin di Bukit Keluang, Besut Terengganu.

Air tawar dikenali Sungai Keluang di Bukit Keluang, Besut, Terengganu.

TERENGGANU:  KEAJAIBAN ALAM bukan sahaja terdapat di luar negara semata-mata, namun di Malaysia juga mempunyai hal yang sama. Misalnya, wujudnya air masin dan air tawar di Bukit Keluang, Besut, Terengganu membuatkan kita ingin berfikir tentangnya. Air masin yang terdapat di kawasan perkelahan di hadapan Bukit Keluang, manakala air tawar di belakang bukit berkenaan memberikan gambaran alam yang Allah S.W.T  ciptakan ini berpasang-pasangan sebagaimana manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Foto ini dirakam di Bukit Keluang, Besut, Terengganu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 
MENTARI PAGI WARNA MERAH



KOTA BHARU, KELANTAN:  MENTARI ini jika dilihat secara realiti iaitu dengan mata kasar, warnanya adalah merah darah. Namun apabila dirakam dengan kamera, kelihatan di sisinya sahaja yang berwarna merah, manakala mentari itu sendiri berwarna putih seperti kilauan lampu. Apakah tanda dan apakah petanda di sebalik kejadian ini? 

Foto ini dirakam di Jalan Bawah Lembah, melalui Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan
pada 28.3.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH


MENTARI PAGI WARNA KUNING



Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit di Lorong Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan pada 23.2.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

BULAN SABIT




Foto ini dirakam di Kampung Bawah Lembah, Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan pada 16.6.2011.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH


KILAUAN CAHAYA DARI KIBLAT


KOTA BHARU, KELANTAN:  SUATU kejadian yang tidak diduga ini berlaku pada 1.8.2009 di pusat bandar Kota Bharu. Selepas ribut dan hujan lebat melanda pusat bandar Kota Bharu kira-kira jam 6.30 petang itu, secara tiba-tiba terpancar cahaya berwarna kuning berkilauan dari arah kiblat. Kesemua objek seperti langit, bangunan, pokok kayu, jalan raya dan air di jalanan hasil pancaran cahaya tersebut semuanya berwarna kuning berkilau seperti emas. Anehnya, dari arah bertentangannya pula kelihatan langit berwarna biru muda kemudiannya diseliputi pelangi. Ramai yang tidak mengetahui kejadian ini, namun hasil tinjauan Penulis terhadap 10 orang yang pernah melihat kejadian ini tidak dapat memberikan jawapannya. Justeru, Penulis memberikan kesimpulan bahawa, tentunya akan berlaku ribut yang pastinya tidak diduga oleh sesiapa.

 Foto ini dirakam menggunakan telefon bimbit dari arah Wakaf Siku, Kota Bharu pada 1.8.2009 jam 6.30 petang.

Rentetan Kejadian 

Telahan dan tanggapan Penulis memang benar, apabila dua bulan selepas ini iaitu pada 30.9.2009 terjadilah ribut yang dikatakan tidak diduga itu. Kejadian berkenaan bukan sahaja berlaku di pusat bandar Kota Bharu tetapi hampir di setiap tempat dan daerah. Ada bumbung rumah diterbangkan ribut, rumah ranap dipukul ribut dan sebagainya.


Kelihatan perhentian bas (bus stand) di Jalan Sultan Ibrahim patah tiangnya dipukul ribut. Sehingga hari ini, perhentian ini tidak lagi diwujudkan.

Foto ini dirakam pada hari kejadian 30.9.2009 di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, Kelantan.

Selepas dua bulan kejadian ribut di bandar Kota Bharu, berlaku pula ribut yang seterusnya yang berlaku pada 20.6.2011. Sebuah pondok rehat yang dibina dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) juga telah roboh dipukul ribut ganas.

 
Di tempat lain pada tarikh 20.6.2011 iaitu di Jalan Sultan Ibrahim sebatang pokok nyaris tumbang kerana dipukul ribut. Tetapi syukurlah hanya rantingnya sahaja yang merekah dan patah lalu menjunam ke bumi. Agak bernasib baik kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan tiada kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan sebagaimana yang lazim diparkir di kawasan itu.


Foto ini dirakam di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, Kelantan pada 20.6.2011.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Foto: Ragam Kita

RAGAM KITA
Ruangan ini memaparkan tentang foto lucu secara tidak sengaja
 Ruangan ini dikelolakan oleh:
AZMI MOHD. SALLEH

ANGKUT AYAM BASAH


KOTA BHARU, KELANTAN:  KERJA punya hal, sekalipun perkara yang sukar dibuat terpaksa dilakukan semata-mata menurut arahan supaya kerja dapat disiapkan pada masanya. Begitulah halnya yang dilakukan oleh salah seorang pengangkut ayam basah. Kalaulah ayam yang dibawanya itu, terlucut dari yang dikendongnya lalu tergolek ke atas jalan raya semasa sedang menunggang motosikalnya, tidakkah haru-biru dibuatnya.

Foto ini dirakam di Jalan Maju dekat sini pada 29.3.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
BERPAYUNG DI TENGAH HARI


KOTA BHARU, KELANTAN:  LAZIM yang kita lihat, wanita sahaja yang suka berpayung apatah lagi di tengah hari, tetapi lelaki tidak pernah berbuat demikian. Namun, melihatkan gelagat lelaki dalam foto ini, mungkin agak pelik, kerana kalau berpayung ketika hujan turun memang sesuai bukannya ketika tengah hari.

Foto ini dirakam di Jalan Doktor dekat sini pada 4.7.2011.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 31 Mac 2012

Kampung Ana (Tumpat)


KEHIDUPAN MASYARAKAT
KAMPUNG ANA

TUMPAT, KELANTAN:  KAMPUNG ANA yang terletak dalam daerah ini pastinya terpinggir dari arus pembangunan sekiranya hal yang menyelubungi kebanyakan penduduk di kampung tersebut tidak diberikan perhatian. Ini kerana, walaupun kebanyakan bahagian pedalaman di Kelantan dikatakan telah maju dalam pelbagai aspek, namun kehidupan masyarakat di kampung terbabit seolah-olah diabaikan dan terbeban dengan masalah yang menimpa mereka.

Salah seorang penduduk Kampung Ana yang ditemui Penulis, Mat Rani bin Ismail, 57, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Rani berkata, kebanyakan penduduk di Kampung Ana terdiri daripada bangsa Melayu dan sebahagiannya kaum Siam.

"Saya tidak dapat menjelaskan asal usul Kampung Ana. Ini kerana, ketika saya dilahirkan Kampung Ana telahpun mempunyai nama, orang-orang tua telah memanggilnya Kampung Ana.

"Lagipun, setahu saya arwah moyang saya yang menetap di kampung ini dulupun menyatakan Kampung Ana telahpun wujud. Saya anggarkan, nama Kampung Ana telah wujud sejak lebih 50 tahun lalu", katanya apabila diminta menjelaskan sejarah dinamakan Kampung Ana ketika kunjungan Penulis di kediamannya.

Tambahnya, pada masa dulu hanya terdapat sebuah rumah sahaja di Kampung Ana. Pada masa itu, keadaan keluasan tanah tidaklah banyak sangat, namun apabila diduduki hanya sebuah rumah tentunya dapat diusahakan tanaman sampingan seperti sayur-sayuran dan sebagainya sebagai sumber rezeki. Tetapi jika dibandingkan dengan hari ini, keadaan penempatan di Kampung Ana agak sesak kerana rumah semakin banyak dibangunkan dan kini mencecah 12 buah rumah di Kampung Ana, dengan pembinaan rumah-rumah kediaman terbabit menyebabkan keluasan tanah di kampung berkenaan menjadi sempit.

"Kebanyakan rumah yang dibina di atas satu lot dianggarkan 12 buah yang didiami sekurang-kurangnya 86 orang penduduk dalam satu-satu lot tersebut. Satu lot tanah itu pula kira-kira 900 depa.

"Pada masa dulu sememangnya Kampung Ana adalah kawasan hutan, namun setahu saya ia adalah sawah padi. Peneroka asal yang tidak diketahui namanya tidak pernah menebang atau menebas untuk membangunkan Kampung Ana, namun sawah padi telahpun wujud dan sememangnya sesuai untuk tanaman padi sahaja tetapi tidak sesuai untuk sebarang tanaman lain", ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan rutin harian penduduk-penduduk Kampung Ana terdiri daripada petani sebagai pekerjaan turun-temurun dan tiada kerja lain yang dapat dilakukan di kampung berkenaan. Dalam konteks hari ini, kebanyakan tanah di kawasan Kampung Ana telah diambil alih oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Ana agak tertekan akibat masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan masalah yang dihadapi pada masa dulu, memang keadaan pada waktu itu agak sukar berbanding hari ini. Ini kerana, walaupun tanaman padi tiada lagi di Kampung Ana, namun dari segi pekerjaan hari ini agak tidak membebankan sebagaimana masa dulu. Ini berikutan, kebanyakan anak-anak petani di kampung berkenaan telah memperolehi pendapatan daripada pekerjaan lain yang diperolehi oleh mereka.

"Kampung Ana tidak menjanjikan sebarang pekerjaan buat penduduk-penduduknya selain sebagai petani. Kalau ada kerja-kerja kampung sekalipun, bersawah padi adalah pekerjaan turun-temurun di Kampung Ana.

"Hanya yang dapat ditanam di Kampung Ana ialah padi, usaha menanam sayur tidak dapat dilakukan kerana bukan sahaja tanah di Kampung Ana tidak sesuai untuk tanaman sayur, lebih menyedihkan apabila tiada tempat atau tanah untuk mengusahakan hal tersebut", ujarnya dengan nada agak sedikit sedih dengan perkembangan itu.

Menyorot tentang peralatan membajak sawah padi pada masa dulu sebagai salah satu pekerjaan utama di Kampung Ana, beliau berkata, kebanyakan peralatan yang digunakan oleh pesawah padi di kampung berkenaan adalah dengan bantuan kerbau dan lembu. Beliau difahamkan, keadaan masyarakat di Kampung Ana pada waktu itu memang agak susah, misalnya untuk mendapatkan bekalan ikan sebagai lauk-pauk amat sukar apatah lagi untuk menikmati ikan laut perlukan wang, dengan itu kebanyakan dari mereka menangkap ikan air tawar secara percuma di sebatang sungai di kampung berkenaan.

"Pada masa dulu, tanaman padi tidak dijual sebaliknya ditukar dengan ikan kerana nilai mata wang pada ketika itu adalah atas pertukaran barangan makanan. Jadi, padi terpaksa dibawa ke bandar Tumpat untuk ditukarkan dengan ikan, tidak sebagaimana hari ini.

"Masalah di kampung ini turut dibebani apabila banjir melanda akan memusnahkan segala yang ada di kampung ini", ujarnya.

Katanya, hari ini kebanyakan penduduk tidak dapat menanam padi berikutan tanah di kampung terbabit telah diambil alih oleh pihak Kada pula. Walaupun terdapat sesetengah penduduk yang dapat menjelaskan hasil tanah, namun kesemua itu berikutan penduduk terbabit masih lagi mempunyai tanah, jika tanah telah tiada bagaimana hasil dapat dijelaskan sebagaimana yang berlaku oleh kebanyakan penduduk di Kampung Ana hari ini.

Berikutan tidak mempunyai tanah untuk mengusahakan sesuatu sebagai mata pencarian selagi terdaya tentunya tidak dapat dilakukan. Kerana itu, jika keluarga terbabit ingin mendapatkan pekerjaan perlulah mereka ke bandar mencari pekerjaan sebagai tukang rumah dan sebagainya. Kesukaran semakin mencengkam, contohnya jika orang tua dahulu mempunyai tanah tidak sampai satu ekar, sedangkan anak seramai 10 orang, tentunya tanah tiada lagi dan bagaimana ingin mengusahakan tanah tersebut.

"Jika salah seorang menjual sebahagian tanah tersebut, duit yang diperolehi dibahagikan sama rata, yang ada cuma bekas tapak rumah sahaja. Apatah lagi, tapak bekas rumah saya sekarang ini pun sudah menjadi 12 buah rumah, jadi tidak ada lagi tempat atau kawasan yang dapat dibangunkan.

"Kalau ada anak-anak yang telah meningkat dewasa dan telah berkahwin tidak lagi dapat menetap di atas tanah ini, jadi mereka terpaksa membeli tanah dan menetap di tempat lain", katanya.

Apabila ditanya tentang sebab-sebab pengambilan tanah yang dimaksudkan, beliau berkata, pada masa dulu bagi keluarga beliau yang tidak mempunyai tanah terpaksa menanam padi kemudian kita berhasrat untuk melakukan perkara yang sama dengan tanah orang lain tidak dapat dilakukan. Katanya, hanya yang boleh dibuat setakat dua ekar dengan modal RM500 sahaja, yang lain pastinya tanah terbiar.

"Sebab-sebab lain tentang hal itu, kebanyakan golongan muda hari ini agak malas untuk mengusahakan tanaman padi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas yang masih meneruskan tradisi tersebut.

"Misalnya kalau mengikut usia saya sekarang, nak kerja sebagai buruh binaan sudah tidak larat berbanding dengan golongan muda, jadi golongan dewasa dan warga emas yang masih mengusahakan tanaman padi.

"Disebabkan tiada usaha kerana dilihat tanah terbiar, akhirnya tanah berkenaan terpaksa diambil alih untuk diusahakan projek tertentu yang boleh memberikan manfaat terhadap tanah terbabit", jelasnya.

Tekannya, dalam Kampung Ana terdapat 300 buah rumah. Manakala penduduk yang mengusahakan tanaman padi hanya 20 buah rumah sahaja. Dengan demikian menyebabkan tanah selebihnya itu menjadi terbiar, adi akhirnya kerajaan terpaksa mengambil tanah terbiar itu supaya dapat diusahakan.

"Akibat pengambilan tersebut menyebabkan rezeki segelintir penduduk di kampung ini memang tiada. Tetapi rezeki itu agak luas dan tidak semestinya terus pupus, jadi keluarga saya memperolehi rezeki melalui pekerjaan lain.

"Walau bagaimanapun, sebuah kawasan yang didiami oleh kaum Siam, mereka tidak membenarkan pihak Kada untuk mengambil alih tanah yang dimaksudkan, justeru Kada tidak mengambilnya, kerajaan pusat tidak memaksa", katanya.

Justeru, mungkin ada sinar baru yang dapat memancarkan cahaya ke Kampung Ana sebagaimana kampung-kampung yang lain di Kelantan yang tentunya mempunyai masalah yang sama, namun jika ada usaha tentunya beroleh kejayaan. Adalah wajar, masyarakat di kampung terbabit bangun dan pihak kerajaan juga diminta tidak terlepas pandang supaya penduduk di Kampung Ana tidak terus tersisih dari arus pembangunan negara.

Mat Rani bin Ismail atau Pakcu Rani.

Pakcu Rani ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Sawah padi yang diambil alih.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 30 Mac 2012

Pondok Paya Ular


PONDOK PAYA ULAR

PASIR MAS, KELANTAN:  PONDOK PAYA ULAR yang terletak di Kampung Paya Ular dalam daerah Bunut Susu dekat sini telah diasaskan oleh arwah Haji Wan Mamat iaitu bapa kepada Haji Wan Abdullah pada 13 September, 1984 selaras dengan pembukaan pondok orang-orang tua dan warga emas di kampung berkenaan. Selepas kematian bapanya itu, Haji Wan Abdullah terus mewarisi generasi pondok tersebut sehingga hari ini.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mamat dari Kampung Paya Ular, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkata, lazimnya kebanyakan pondok di negeri Kelantan terdiri daripada pelajar-pelajar remaja, namun bagi Pondok Paya Ular, pelajar-pelajarnya terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas.

Katanya, sebelum mewarisi pondok berkenaan dari arwah bapanya, beliau adalah seorang pelajar dan juga tenaga pengajar dari Pondok Berangan, Tumpat pada tahun 1950. Menyorot beliau sebagai pelajar pada sebelah siang bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 malam, di mana pada pukul 10.00 pagi adalah sekadar minum teh, manakala jam 12.00 tengah hari pula baru dapat menikmati hidangan.

Selepas solat Zohor, kuliah diteruskan seperti biasa sehingga jam 4.00 petang. Manakala pada sebelah malam iaitu selepas Maghrib, Tuan Guru menyambung kembali sebagai tenaga pengajar. Berhenti kerana solat Isyak, kemudiannya kuliah diteruskan sehingga jam 9.30 malam. Bermula jam 10.00 malam beliau menyambung kuliah tersebut sebagai guru (tenaga pengajar) sehingga jam 11.00 setiap malam, itulah rutin hariannya ketika berada di Pondok Kampung Berangan itu.

Menurutnya, beliau keluar dari Pondok Berangan untuk menyambung pelajaran di sebuah pondok yang terletak di Pulau Pinang yang juga salah sebuah sekolah Arab di Pulau Pinang dikenali Sekolah Arab Al-Masyhor dalam pengajian Syarah pada tahun 1964 di mana ketika itu beliau berusia 23 tahun. Setelah tamat belajar di sekolah tersebut, beliau pulang ke Kelantan di salah sebuah sekolah Arab selama tujuh bulan, sekolah ini adalah sebuah sekolah pembiayaan persendirian bukan di bawah kerajaan negeri.

Pada tahun 1970, di bawah kepimpinan kerajaan negeri yang diteraju oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Wan Asri Wan Muda (arwah), beliau menjadi guru di salah sebuah sekolah Arab. Pada masa yang sama, arwah Datuk Wan Asri amat memerlukan Guru Agama, beliau kemudiannya membuat permohonan ke jawatan tersebut dan dalam temuduga berkenaan beliau berjaya menjawat jawatan sebagai guru terbabit dan sejak itu beliau sebagai guru di Sekolah Arab Karangan Hulu, milik Kerajaan Negeri Kelantan selama tiga tahun.

Setelah mencurahkan khidmat bakti sebagai guru di sekolah berkenaan selama tiga tahun, beliau mengajar pula di Sekolah Kebangsaan Penggu, Pasir Mas selama tujuh tahun. Selepas itu, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Padang Mandul, Tumpat selama tujuh tahun diikuti Sekolah Kebangsaan Padang Embun, Pasir Mas selama tujuh tahun.

Setelah khidmat baktinya tamat di sekolah berkenaan, kerajaan pusat memerlukan seorang guru agama dan beliau ditawarkan sebagai guru agama lalu diminta mengajar di Sekolah Kebangsaan Tinggi, Machang selama empat tahun. Selepas berkhidmat di sekolah terbabit, beliau pulang ke kediamannya sekarang untuk menyambung generasi pondok yang diasaskan oleh arwah bapanya itu.

"Peranan saya di pondok ini adalah sebagai penyambung warisan arwah bapa dan bertindak sebagai mudir (guru agama). Turut membantu saya di pondok ini ialah Haji Wan Sanusi", katanya.

Tambahnya, kebanyakan pelajar di Pondok Paya Ular sekarang adalah terdiri daripada kalangan orang-orang dewasa meliputi lelaki dan wanita berusia 50 tahun dan ke atas. Paling ramai pelajarnya adalah kaum wanita seramai 20 orang dan tiga lelaki.

"Di antara mata pelajaran yang saya ajarkan pada sebelah malam terdiri dari Usuluddin, Tauhid, Fekah dan Tasauf. Pada sebelah pagi, lazimnya banyak pelajar dari luar negara seperti dari negara Qatar dengan menekankan aspek Bahasa Arab. Ramai yang datang belajar dengan saya berkait dengan bahasa Arab adalah terdiri daripada kalangan imam", jelasnya.

Ditanya, kenapa pelajar dari luar negara bertumpu di Pondok Paya Ular sedangkan banyak lagi pondok lain dan pusat pengajian Islam di negara terbabit, beliau menjelaskan bahawa di sana tiada tenaga pengajar yang benar-benar berpengalaman dan berpengetahuan. Apabila berkomunikasi dengan pelajar luar negara, beliau terpaksa bertutur dalam bahasa Arab kerana senang difahami.

"Misalnya perihal tentang Al-Quran diajar di sebelah siang, biasanya pelajar-pelajarnya terdiri daripada lima orang pelajar sahaja yang berminat", ujarnya.

Setakat ini menurutnya, sambutan yang agak luar biasa adalah di sebelah malam, kerana pengalaman beliau mengajar di sebelah malam pelajar-pelajarnya mencecah dari 40 hingga 50 orang, tetapi dianggap tidak menentu berbanding di siang hari. Kebanyakan pelajarnya sebelum ini datangnya dari Pattani (Siam), namun sejak kebelakangan ini beliau mendapati ramai pelajar dari Kampung Bunohan, Tumpat, Kelantan. Manakala jadual masa ditekankan bermula jam 9.00 hingga 11.00 pagi yang meliputi pengajian Al-Quran meliputi pelajar seramai enam orang, malah pengajian di Pondok Paya Ular tiada had.

"Saya mengalu-alukan jika ada sokongan dari para pelajar khususnya dari kalangan warga emas yang ingin belajar di pondok ini", ujarnya.

Apabila membicarakan tentang sumbangan pelajar terhadap Pondok Paya Ular pula, katanya, sesetengah pondok berharap sumbangan daripada pelajar-pelajarnya untuk menampung kos dan bayaran bekalan elektrik ditetapkan sebanyak RM5 seorang. Di samping penggunaan bekalan air paip, penggunaan peralatan menulis dan sebagainya. Namun, di Pondok Paya Ular beliau tidak mengharapkan sebarang sumbangan asalkan pelajar-pelajarnya itu mempunyai niat ikhlas untuk belajar di pondoknya itupun sudah memadai. Ini kerana, pondoknya itu telahpun memperolehi bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sambungnya, pengajian pondok tidak sebagaimana menuntut di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan kerana setiap tahun naik atau meningkat dari satu kelas ke kelas yang berikutnya. Pengajian pondok khususnya pengajian kitab amat sukar dan seseorang pelajar dianggap benar-benar lulus yang memerlukan pembelajaran selama lapan tahun.

Di Pondok Paya Ular, pelajar-pelajarnya tidak diwajibkan menduduki ujian kecuali dalam bab Al-Quran dan pengajian kitab, pelajar-pelajar perlu menulis untuk menambahkan lagi pengetahuan tentangnya.

Justeru, sebagai generasi pengasas Pondok Paya Ular, beliau mengalu-alukan hasrat di kalangan orang-orang dewasa dan warga emas khususnya untuk mempelajari bidang agama dan mendalami pengajian Al-Quran dipersilakan ke Pondok Paya Ular dan beliau bersedia berkhidmat untuk itu.

Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat boleh dihubungi melalui talian: 013-3367829.

Generasi Pengasas Pondok Paya Ular, Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat.

Haji Wan Abdullah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Papan tanda arah masuk ke Pondok Paya Ular.

Inilah surau dan di sebelahnya adalah pondok.

Inilah kediaman Haji Wan Abdullah Haji Wan Mamat.


 Rumah kebajikan orang-orang tua dalam kawasan Pondok Paya Ular.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH