RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 28 Mei 2012

Gula: Manisnya Membunuh


GULA: MANISNYA MEMBUNUH

RAMAI yang menggemari makanan dan minuman yang manis kerana dikatakan lazat dan menyelerakan. Dalam hal ini, tidak hairanlah penggemar-penggemar makanan manis begitu rakus menambah gula dalam setiap juadah yang mereka sajikan.

Akibat dari itu, masalah untuk mendapatkan gula seperti yang berlaku dalam negara beberapa dekad yang lalu turut meresahkan golongan berkenaan. Ini menunjukkan, bahawa masyarakat masih belum menyedari lebihan gula di dalam badan membawa risiko kesihatan.

Makanan yang menggunakan gula sebagai pelazat sememangnya enak dimakan. Tetapi hakikat yang perlu diketahui, pengambilannya perlu dikurangkan kerana badan tidak dapat menampung jumlah gula yang berlebihan.

Gula merupakan keperluan pemakanan yang tergolong dalam juzuk karbohidrat, juga merupakan salah satu sumber tenaga. Nama-nama lain bagi gula ialah maltosa, dekstrosa, sukrosa, glukosa, laktosa dan fruktosa. Ia meliputi gula melaka, gula putih, gula perang, gula mentah, madu dan sirap.

Umumnya, gula memainkan peranan penting di dalam badan manusia jika pengambilannya terkawal. Gula merupakan sumber tenaga di dalam tubuh kerana ia mengandungi kadar karbohidrat yang terpenting. Kekurangan gula boleh menyebabkan tubuh kurang bertenaga, gangguan otak dan kadang-kadang menyebabkan pitam. Oleh itu, gula amat perlu di dalam tubuh seseorang sebaik-baiknya dengan kadar 180 miligram (mg) sehari.

Di samping itu, salah tanggapan yang sering terjadi ialah ramai orang beranggapan kebanyakan gula diproses dari tebu. Tanggapan ini tidak tepat. Sebenarnya, gula mempunyai dua kategori iaitu gula asli dan gula tiruan.

Gula asli diperolehi dari buah-buahan, sebaliknya gula tiruan yang dikenali sebagai 'sukros' dan 'glukos' dihasilkan dari tebu dan lobak gula. Kedua-dua unsur ini amat sama tetapi berbeza dari segi kimia masing-masing. Namun, satu hal yang ketara berhubung dengan gula tiruan ialah ia diproses oleh manusia di kilang. Gula yang diproses melalui kilang menghasilkan gula putih, gula perang dan pelbagai lagi.

Dalam proses pengilangan, sumber-sumber protein, serat, vitamin, garam galian dan air yang terdapat dalam bahan mentah yang diperlukan oleh tubuh telah disingkirkan. Keadaan ini bermakna, gula putih yang ditambah dalam makanan dan minuman hari ini merupakan gula tiruan. Walaupun kaya untuk sumber tenaga, gula tiruan tidak mempunyai sebarang zat pemakanan yang lain.

Menurut anggaran "Buku Tahunan Gula 1984", secara purata rakyat Malaysia mengambil kira-kira 21 sudu teh gula sehari atau 38.4 kilogram gula setahun. Peningkatan ini amat ketara sejak tahun 1970. Pengambilan gula pada waktu itu hanyalah sekadar 17 sudu teh sehari atau setiap orang secara purata mengambil gula sebanyak 86 gram sahaja.

Sebaliknya kini, ramai orang merungut jika gula yang diinginkan sukar diperolehi. Pengusaha-pengusaha makanan tempatan beranggapan bahawa kuih-muih, masakan atau hidangan yang tidak (atau kurang) mengandungi gula rasanya tidak begitu enak. Bukan sahaja kuih-muih mengandungi gula, malah makanan-makanan proses sama ada biskut, kek, coklat, aiskrim, bijirin bayi dan minuman tin serta botol turut menggunakan gula. Tetapi sebagai pengguna, anda perlu menyedari bahawa gula di dalam makanan berkenaan adalah 'gula yang tersembunyi'.

Sebenarnya lebihan gula di dalam badan boleh mendatangkan ancaman terhadap kesihatan individu. Di antara gejala-gejala penyakit yang disebabkan pengambilan gula yang berlebihan ialah serangan jantung, kencing manis, kegemukan, gangguan penglihatan dan kerosakan gigi.

Langkah terbaik untuk menjamin kesihatan yang berterusan ialah dengan cara mengurangkan pengambilan gula. Ingatlah! Gula memang manis tetapi manisnya boleh membunuh. Lebihan gula merosakan kesihatan. Justeru, kalau anda sayangkan kesihatan dan nyawa, kurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman harian, itulah kaedah dan langkah terbaik untuk mengekalkan kesihatan yang sempurna.





Enak! Tetapi berhati-hati kerana terdapat gula yang tersembunyi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan