RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 19 Mei 2012

Sikap Remaja Kita


SIKAP REMAJA KITA

REMAJA atau belia adalah pelapis generasi hari ini, mereka adalah generasi masa depan yang bakal menerajui kepemimpinan negara. Mereka juga sebagai penggerak generasi seterusnya bukan sahaja dalam konteks negara tetapi juga dalam aspek agama dan insan. Tanpa kehadiran mereka, generasi akan goyah dan tanpa mereka juga negara akan pincang. Pentingnya remaja atau belia mengisi perjalanan hidup yang bakal mereka tempuhi kelak adalah terletak di atas bahu mereka, ke mana arah tujuan mereka, merekalah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Remaja hari ini amat berbeza dengan remaja zaman lampau walaupun sekadar perubahan zaman dan masa. Remaja hari ini banyak terdedah kepada persekitaran, pergaulan dan perubahan teknologi yang begitu ketara. Remaja yang cekal sahaja akan dapat meneruskan perjalanan tersebut. Ini kerana, mereka bukan sahaja dicengkam oleh teknologi yang melalaikan, namun dalam masa yang sama turut ditekan oleh anasir luar yang ingin melihat remaja-remaja Islam khususnya terumbang-ambing dipukul gelombang dunia yang akan menghanyutkan dan menguburkan mereka ke dasar dunia yang tidak bertepi.

Seharusnya remaja-remaja Islam perlu berhati-hati dalam setiap langkah dan tindak-tanduk mereka. Mereka sebenarnya sentiasa dalam pemerhatian pihak yang antikan Islam lalu menjadikan remaja Islam sebagai mangsa dan kuda tunggangan. Berita-berita tentang berlakunya tentang penzinaan dan persetubuhan haram, perbuatan membuang bayi dan ada remaja yang dikatakan keluar dari agama Islam semata-mata terpengaruh dengan hasutan dan dakyah Barat untuk mencemarkan imej Islam dan penganut-penganutnya yang lain.

Setiap remaa perlu fokus dan berfikir, untuk apa mereka hidup. Adakah sekadar untuk menikmati kehidupan dunia. Mereka yang lahir, dapat bernafas dan melangkah di alam ini mempunyai tujuan tertentu. Mereka tentunya jangan lupa, amalan yang diwajibkan ke atas mereka perlu ditunaikan. Namun, melihatkan remaja-remaja Islam hari ini yang sememangnya terumbang-ambing seolah-olah hidup mereka tidak mempunyai tujuannya dan ke mana pula mereka selepas hidup nanti?

Ada remaja yang sanggup membanting tulang sekadar untuk mendapatkan rezeki tetapi meninggalkan suruhan seperti solat lima waktu, malahan ada yang enggan berpuasa dan sebagainya. Kerana kelalaian merekakah atau berpunca dari sikap kedua-dua orang yang sentiasa dilalaikan dengan kemewahan duniawi tanpa menitikberatkan kehidupan ukhrawi yang bakal mereka tempuhi nanti.

Hari ini, selain remaja kita lalai dengan kemewahan dunia malah ada di antaranya yang meninggalkan solat dan melakukan maksiat. Malahan mereka sering beranggapan "hidup hanya sekali" marilah sama-sama habiskan sisa-sisa hidup dengan berfoya-foya dan bersandiwara. Hal seumpama ini disebabkan kemodenan dunia yang semakin ketara dan mencengkam jiwa remaja, lantas remaja kita menggunakan kesempatan itu untuk membazirkan masa. Hasil aktiviti Yahudi yang sentiasa memusuhi Islam dan penganut-penganutnya digunakan sepenuhnya untuk menyekat kebangkitan Islam. Bagi Yahudi dan kuncu-kuncunya, mereka tidak berpuas hati jika kebangkitan Islam itu boleh menggugat kedudukan mereka, tanpa banyak bicara mereka cuba merancang pelbagai cara dan melancarkan agenda supaya Islam dan penganut-penganutnya kacau-bilau dan terus merana.

Kini golongan remaja Islam menjadi sasaran Yahudi yang sentiasa iri hati. Mereka akan cuba memperdaya remaja-remaja Islam kita dengan apa jua tindakan sama ada melalui ceramah, saluran media cetak, elektronik dan maya (internet) serta menyebarkan fahaman songsang untuk tujuan berlakunya perkelahian sesama Islam. Remaja yang cekal akan selamat, sebalik bagi remaja yang mudah termakan pujuk dan terjebak mereka pasti kecundang.

Benarlah menurut sebuah hadis dari Ali r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Akan timbul pada akhir zaman golongan pemuda yang kurang akal. Mereka mengucapkan perkataan yang amat baik. Mereka keluar dari Islam bagai panah keluar dari busarnya. Keimanan mereka tiada melampaui kerongkongannya. Bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai. Sesungguhnya siapa yang membunuh mereka memperoleh pahala di hari Kiamat". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di antara gejala yang sering mengancam kelakuan dan telah menjadi ikutan remaja kini seperti suka membuang masa, lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki. Tabiat merokok juga menjadi satu igauan ngeri, kerana bukan sahaja remaja-remaja merokok tetapi kanak-kanak di bangku sekolah rendah juga turut merokok.

Membicarakan tentang masa yang dianggap berguna, masa yang berlalu tidak akan dapat diputar kembali pada kedudukannya, sebab itulah pepatah ada menyebutkan "masa itu emas" dan "masa itu tidak akan menunggu kita" adalah beberapa pepatah yang sering kita dengar. Ini menunjukkan masa yang dibiarkan berlalu akan mendatangkan kerugian kepada manusia.

Kerana itu, Al-Quran telah menggariskan tentang kepentingan masa terhadap manusia. Kerugian yang didapati oleh manusia disebabkan ia tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat, ini termasuklah amalan-amalan yang soleh yang lebih berfaedah untuk mereka. Dalam hal ini Allah S.W.T  berfirman yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran". (Surah Al-Asr: ayat 1-3)

Sikap gemar membuang masa pada hakikatnya boleh memberikan gambaran imej yang tidak sihat, menjatuhkan maruah diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Remaja-remaja tidak sewajarnya mengamalkan sikap meremehkan masa yang berguna dan menghabiskan usia muda mereka kepada perkara-perkara yang tidak bermanfaat, membazir dan melakukan maksiat.

Bagi individu yang bekerja tentunya akan memahami konsep pentingnya masa. Seorang pekerja tidak akan membohongi majikannya semata-mata untuk curi tulang, masa telah terbuang, kerja tidak dapat dihabiskan tetapi upah dan gaji diterima. Tetapi bagi remaja yang tidak bekerja, menjadi lazimnya mereka meremehkan soal-soal ibadat dan majlis-majlis ilmu, tetapi mengutamakan kegiatan sosial dan hiburan.

Golongan remaja patut bertindak dari sekarang kerana mereka mempunyai kesempurnaan dalam segala hal seperti tenaga yang masih banyak, fikiran tajam dan bernas serta mempunyai perasaan yang sempurna.

Sejajar kepentingan masa dan manfaatnya kepada manusia, remaja wajar merebut masa itu dari terus berlalu begitu sahaja. Sebuah hadis yang diberitakan daripada Amr ibni Maimun r.a, Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah masa yang lima sebelum masa yang lima mendatang, iaitu waktu mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu masih berada sebelum kamu fakir, masa lapangmu sebelum masa sibuk dan masa kamu masih hidup sebelum maut menjemputmu".

Oleh kerana betapa besarnya kepentingan masa dalam kehidupan manusia, amalan yang baik perlu dilaksanakan secara ikhlas. Walaupun di waktu muda kelihatan gagah dan cantik pada pandangan mata tetapi ia tidak akan tahan lama dan pasti luntur juga. Begitu juga jika dikatakan tubuh yang sihat, namun pada ketika-ketikanya kesihatan turut terganggu akibat serangan penyakit yang tidak diduga oleh kita.

Di samping itu, menggunakan masa yang lapang untuk melakukan ibadat yang sepatutnya sememangnya perlu diteruskan. Ini kerana, apabila tibanya masa yang sibuk tentunya membantutkan masa yang lapang dan pada ketika itu fikiran juga terganggu dan bercelaru. Sebelum kematian menjemput seseorang, hidup ini hendaklah dipergunakan untuk perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Menyedari hakikat tersebut, umat-umat Islam di zaman ini hanya dapat hidup dalam usia yang terbatas iaitu di antara enam puluh dan tujuh puluh tahun sahaja. Baginda Rasulullah S.A.W  sendiri wafat sewaktu berusia enam puluh tiga tahun dalilnya di dalam sebuah hadis Baginda S.A.W  yang bermaksud:

"Masa penuaian umur umatku dari enam puluh hingga tujuh puluh tahun".

Ini membuktikan bahawa betapa pentingnya masa itu dipergunakan kepada sesuatu amalan yang mendatangkan manfaat. Ini kerana, amalan baik yang dilakukan di dunia ini menjadi bekalan dan jambatan untuk ke negeri akhirat nanti. Tetapi seandainya kehidupan yang terlalu singkat ini kita cuba melengah-lengahkan dan mengabaikannya apatah lagi ibadat yang dilakukan sebelum ini belum tentu bermutu sepenuhnya, bilakah kita akan menunaikan dan menjelaskan segala hutan-hutang Allah S.W.T.  Sedangkan hutang Allah wajib ditunaikan sebagaimana sabda Nabi S.A.W  dalam sebuah hadis bermaksud:

"Maka hutang Allah adalah lebih patut engkau jelaskan (bayar)". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah S.W.T  malah Rasulullah S.A.W  sendiri menyuruh umat-umat Islam tidak kira seorang remaja mahupun golongan dewasa supaya sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan ibadat dan kebaikan kerana amalan berkenaan amat bermanfaat kepada mereka sendiri. Firman Allah bermaksud:

"Maka berlumba-lumbalah engkau sekalian untuk mengerjakan berbagai kebaikan". (Surah Al-Baqarah: ayat 148)

Dalam pada itu, agar kehidupan tidak berlalu dengan sia-sia, umat-umat Islam sentiasa diperingatkan supaya sentiasa berlumba-lumba mencari ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk masa depan tetapi ia amat bernilai untuk keperluan sejagat apatah lagi Islam amat menuntut umat-umatnya mencari ilmu sebanyak mungkin. Perintah mencari ilmu ini telah ditimbulkan dalam sebuah hadis Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Carilah ilmu walaupun antara dirimu dengan ilmu itu ada lautan api".

Bahkan dengan mempelajari ilmu itu pula merupakan satu kebaikan nyata dan satu-satunya ibadah yang sangat-sangat dituntut di dalam Islam. Dalam konteks ini, sebuah hadis yang diterima daripada Mu'adz bin Jabat r.a, katanya Rasulullah S.A.W  bersabda:

"Pelajarilah ilmu itu dengan sungguh-sungguh, sebab mempelajarinya dengan sungguh-sungguh kerana Allah adalah suatu kebaikan. Adapun mentadaruskan ilmu itu adalah tasbih, membahasnya adalah jihad, sedangkan menuntutnya adalah ibadah. Adapun mengajarkan ilmu sama dengan bersedekah, memberikan ilmu kepada ahlinya adalah suatu korban, memikirkan ilmu menyamai puasa, muzakarah ilmu sama dengan mengerjakan sembahyang sunat".

Di samping itu, remaja yang berakhlak sempurna tidak mudah terpedaya dengan segala dakyah yang disesatkan dalam segala program yang mereka lalui. Salah satunya adalah berhubung dengan soal berpakaian. Jika pada masa dulu, remaja gemar berambut panjang sehingga ke bahu tetapi sejak akhir-akhir ini pula, remaja didombakan dengan karenah berpakaian yang menjolok mata, sama ada lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.

Penularan gejala seumpama ini menyebabkan mereka terbawa-bawa dengan tingkahlaku yang tidak sempurna. Bukan sahaja mereka terkeliru, sebenarnya mereka dikelirukan oleh budaya songsang yang dibawa oleh Barat yang terdiri daripada golongan Yahudi dan Kristian. Golongan ini menyalurkan fahaman kononnya pakaian adalah menjadi kelaziman, tidak sepatutnya Islam menitikberatkannya asalkan menutup aurat.

Masalah menutup aurat memang perkara utama, tetapi pakaian yang menjolok mata juga amat diberikan perhatian di dalam Islam. Ini kerana, jika berpakaian tidak senonoh akan mewujudkan gejala kurang sihat seperti berlakunya rogol dan mencabul kehormatan. Sebab itulah, dari awal lagi Islam menitikberatkan soal-soal berpakaian. Rasulullah S.A.W  mengutuk umat-umat Islam khususnya di kalangan gadis-gadis dan wanita yang mengenakan pakaian tidak sesuai. Sebuah hadis yang diberitakan daripada Ibnu Abbas r.a, katanya: "Rasulullah S.A.W  mengutuk laki-laki yang berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti laki-laki". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam konteks ini menunjukkan banyak hal-hal yang buruk telah dilakukan oleh manusia tanpa disedari, biarpun menurut mereka tidak melakukannya. Sedangkan bagi Allah S.W.T  hal yang buruk itu tidak sama. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Katakan: Yang buruk dan yang baik tiada sama, biarpun hatimu tertarik kerana (melihat) banyaknya yang buruk itu, sebab itu patuhlah kepada Allah, hai orang-orang yang berakal supaya kamu beruntung".
(Surah Al-Maidah: ayat 100)

Seterusnya, masalah yang masih menghantui kalangan remaja-remaja Islam hari ini berhubung dengan tabiat merokok. Tabiat ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja-remaja lelaki tetapi gadis-gadis remaja dan kanak-kanak juga turut merokok disebabkan pengaruh dan dakyah yang disebarkan oleh Yahudi dan Kristian yang sengaja ingin melihat remaja-remaja kita berfikiran lesu dengan merokok. Sedangkan tabiat merokok adalah suatu perbuatan ke arah pembaziran. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan berilah jiran-jiran kamu haknya, dan orang-orang miskin, dan orang yang berjuang di jalan Allah dan janganlah anda melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu bagi Tuhanmu golongan kafir". (Surah Al-Isra': ayat 26-27)

Merokok ditakrifkan sebagai satu perbuatan yang buruk dan kotor. Islam sendiri mengharamkan benda-benda yang buruk dan kotor serta menghalalkan hanya benda-benda yang baik. Firman Allah bermaksud:

"Mereka menyuruh dengan kebaikan dan menegah dari kemungkaran, dan Allah menghalalkan bagimu benda-benda yang baik dan mengharamkan ke atasmu benda-benda yang jijik-jijik dan kotor".
(Surah Al-'Araf: ayat 157)

Allah S.W.T  dan Nabi S.A.W  sentiasa berharap umat-umat Islam menuruti jalan yang lurus, akur kepada suruhan Allah S.W.T  supaya mereka tidak tersesat, sementara larangan dan kemungkaran hendaklah dijauhi agar terpelihara dari kejahatan dan siksaan Allah. Firman-Nya yang bermaksud:    
 
"Sesungguhnya inilah jalan yang lurus maka turutlah. Dan janganlah kamu turutkan jalan-jalan (yang lain) kerana nanti kamu terpisah dari jalan Allah. Itulah yang diperintahkan Tuhan kepada kamu, mudah-mudahan kamu terpelihara (dari kejahatan)". (Surah Al-An'am: ayat 153)

Kerana itu, setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini hendaklah sentiasa beringat dari melakukan perbuatan di luar batasan. Hidup di dunia ini adalah sebagai suatu cubaan semata-mata. Suatu masa kelak, manusia akan dibangkitkan dari bumi ini juga. Firman Allah bermaksud:

"Tuhan mengatakan: Di bumi itu kamu hidup, dan di bumi itu kamu mati dan dari bumi itu pula kamu nanti dibangkitkan". (Surah Al-A'raaf: ayat 25)

Justeru, kehidupan manusia di dunia ini bukanlah kehidupan yang sengaja diada-adakan oleh Allah S.W.T. Sebaliknya suatu masa yang ditetapkan, setiap manusia akan dibicarakan di mahkamah Allah tentang amalan-amalan yang pernah atau tidak pernah dilakukan oleh manusia semasa tinggal di dunia dulu. Di sana manusia tidak dapat berdolak-dalik atau berbohong terhadap kerana setiap perlakuan tersebut telah tercatat dan tersusun rapi. Setiap amalan yang baik yang pernah dikerjakan oleh manusia semasa di dunia dulu akan memperolehi kebaikannya dan sekiranya kejahatan yang menjadi pilihan, balasan siksa yang teramat pedih sesuai dengan perbuatan masing-masing.    





Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan