RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 21 Mei 2012

Kufurnya Tinggal Solat



KUFURNYA TINGGAL SOLAT

SOLAT (SEMBAHYANG) bolehlah diertikan iaitu beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam. Pengertian ini didasarkan dari segi bahasanya yang bermaksud "doa". Setiap mukmin yang mengerjakan solat wajib mengetahui syarat-syarat sah yang terdiri dari lima perkara dan rukun-rukun solat yang mengandungi tiga belas rukun.

Untuk mengerjakan solat, setiap mukmin juga dituntut mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan mengamalkan apa yang telah dipelajarinya itu dengan sebaik-baiknya. Ini kerana, sekiranya solat tidak ditunaikan dengan betul dari awal (semasa takbiratul ihram) hingga salam, solat tersebut tidak akan sah. Begitu juga ketika mengangkat kedua belah tangan untuk takbiratul ihram. Kedua tapak tangan hendaklah menghadap arah kiblat dan jari-jemarinya tidak boleh terlampau lebar renggangnya atau terlalu dirapatkan malah hendaklah dilakukan seperti yang kebiasaan dibuat.

Di samping itu, sebutan semasa takbiratul ihram tadi hendaklah juga dibetulkan. Tidak boleh disebut selain yang dituntut. Misalnya kesalahan sebutan yang lazim didengar, "Ollah huakhbar". Sebutan yang sebenarnya berbunyi: "Allah hu akhbar" (lengkap dengan bunyi nahu, panjang dan pendek sebutan).

Berikutan solat merupakan tiang seri agama, iaitu sesiapa yang menunaikan kewajipannya bermakna dia telah menegakkan agama Islam dan jika dia meninggalkannya bererti dengan sendirinya runtuhlah agama. Bertolak dari hal inilah, setiap mukmin hendaklah menunaikannya serta menjaga solatnya dengan baik dan sempurna sebagaimana ia menjaga dirinya sendiri. Bahkan sekiranya seseorang mukmin itu meninggalkan solat bermakna dia telah mengingkari perintah Allah S.W.T  supaya setiap umat Islam menunaikan solat apabila telah cukup syarat-syaratnya seperti Islam, baligh dan berakal. Berdasarkan firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Sungguhnya sembahyang itu adalah suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman". (Surah An-Nisa': ayat 103)

Berikutnya pula, Allah telah mengarahkan Nabi Muhammad S.A.W  supaya menyeru umat-umat Baginda betapa pentingnnya menunaikan solat. Sedangkan dengan mengerjakannya Allah S.W.T  tidak mengkehendaki sebarang balasan setelah perintah-Nya dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Firman-Nya yang berbunyi:

"Dan perintahkanlah umat engkau bersembahyang dan bersabarlah engkau dalam mengerjakannya; Kami tidaklah meminta rezeki pada engkau (sebaliknya) Kamilah yang memberi rezeki kepada engkau; dan akibat (kesudahan) yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa". (Surah Taaha: ayat 132)

Solat mempunyai banyak faedah, manfaat dan kebaikannya apabila dikerjakan dengan baik tanpa melalaikannya. Di antara kebaikan-kebaikan yang dapat diterapkan di sini ialah:

1. Dapat menghapuskan segala kesalahan dan dosa serta dapat mencegah seseorang dari melakukan perkara-perkara keji dan mungkar. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Sungguhnya sembahyang (fardu) itu dapat mencegah (manusia) dari melakukan kekejian dan kemungkaran". (Surah Al-Ankabut: ayat 45)

2. Seseorang yang mengerjakannya akan sentiasa memperolehi cahaya (nur) dan terlepas dari siksaan di hari kiamat. Sabda Nabi S.A.W  dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat ke satu Jumaat adalah mengkifaratkan dosa (yang terjadi) antaranya selama dia tidak melakukan dosa-dosa besar".
(Hadis riwayat Imam Muslim dan At-Termidzi)

Walaupun begitu, terdapat rumusan-rumusan mengenai hukum orang-orang yang meninggalkan solat berdasarkan Pendapat Imam-Imam Mazhab dan Para Alim Ulama. Di antaranya:


1. Mengingkari kewajipan solat dan mengatakan tidak wajib:


Seseorang yang meninggalkan solat, mengingkari akan kewajipannya dengan mengatakannya solat itu tidak wajib untuk orang Islam adalah dihukumkan "kufur" (ingkar: menjadi kafir) disebabkan menurut suatu kaedah syarak: "Siapa yang mengingkari sesuatu hukum (perintah atau larangan) Allah yang mempunyai nas (punca pegangan) daripada sumber kitab Al-Quran (Nas Qat'i: yang tiada keraguan mengenai sumbernya) seperti mengatakan tidak wajib mana yang diwajibkan Al-Quran, menghalalkan yang diharamkan Al-Quran atau sebaliknya, maka perlakuannya adalah kufur". 
(Petikan: Ijmak Kata Sepakat-Empat Orang Mazhab).

Menurut hukum tersebut, darahnya adalah halal serta boleh dibunuh sekiranya amaran dan disuruh bertaubat sedangkan ia masih berdegil juga. Kematiannya dikira dalam kekufuran bahkan mayatnya tidak dimandikan, tidak dikafan, tidak disembahyangkan dan tidak dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam. Segala hartanya tidak boleh dimiliki sesiapa kecuali dimilik negarakan.

2. Kerana malas tanpa keuzuran:

Seseorang yang meninggalkan solat secara sengaja tanpa keuzuran tetapi tidak ingkar terhadap kewajipannya dan hanya kerana malas semata-mata, sebahagian ulama menghukumnya 'kufur'. Berdasarkan sebuah hadis yang diberitakan daripada Anas bin Malik r.a, Nabi S.A.W  bersabda bermaksud:

"Siapa sengaja meninggalkan sembahyang (sebab malas, tanpa keuzuran) maka terang-teranglah ia kufur". (Hadis riwayat At-Tayaalisi - Sahih)

Sedangkan Imam Malik dan Imam Asy-Syaafi'i dan kebanyakan ulama Salaf dan Khalaf berpendapat seseorang meninggalkan solat kerana malas, belumlah dihukumkan kufur malah bolehlah dikatakan 'fasik' (pelaku dosa besar) yang boleh dibunuh jika dia berdegil dan tidak mahu bertaubat. Setelah dibunuh, dia tidak boleh dihukum 'orang kafir' tetapi atas nama 'denda' (had) ataupun tindakan biasa. Mayatnya itu wajib dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Manakala pendapat Imam Abu Hanifah termasuk sahabatnya Sufyaan Ath-Thauri diikuti segolongan Ahli Ilmu di Kota Kufah dan Al-Muzani (daripada Mazhab Syaafi'i) menyatakan orang yang meninggalkan solat kerana malas belumlah kufur dan fasik malah belum boleh dibunuh tetapi hendaklah didenda dengan memenjarakan sahaja sehingga ia insaf dan menunaikan solat.

3. Kerana lupa, tidak sedar dan tertidur: 

Orang yang meninggalkan solat disebabkan perkara-perkara seperti itu tidak dikenakan dosa dan kesalahan tetapi wajib diqada' akan solat yang ditinggalkannya.

Rumusan dari kata-kata Imam Malik dan Imam Abu Hanifah bahawa, solat yang ditinggalkan dengan sengaja terlebih dahulu solat yang telah luput itu hendaklah diqada'kan sebelum menunaikan solat lain yang hadir dalam waktu itu dan luput kerananya. Oleh itu, jika solat ditinggalkannya itu terpaksa diqada' sampai lima waktu berturut-turut baharulah ia boleh melakukan solat yang hadir itu.

Rumusan dari kata-kata Imam An-Nawawi melalui kitabnya "Syarh Muslim" berpendapat, tidak wajib qada' solat yang ditinggalkan dengan sengaja bahkan ia tidak tepat, tidak logik, melampau dan tidak wajar.

Malahan berbeza pula dengan pendapat Jumhur Ulama supaya mengqada'kan solat fardu yang luput sehingga qada' itu boleh dilakukan dalam waktu terlarang (waktu Makruh Tahriim) sama ada yang meninggalkannya sebab sengaja, lupa atau tertidur. Pengertian "lupa" (meninggalkan solat) sama ada kesibukan dan kifarat (denda) dikenakan itu disebabkan kesalahan 'sengaja'. Maka hutang Allah adalah patut dibayar berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:

"Maka hutang Allah adalah lebih patut engkau jelaskan (bayar)". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sesetengah di kalangan ulama berpendapat dan telah sepakat adalah wajib setiap orang yang keluputan solat atau tertidur menjadi wajib baginya menunaikannya setelah teringat. Pendapat ini didasarkan dari dalil hadis-hadis sabda Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Siapa lupa untuk bersembahyang, maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia teringat; tiadalah cara mengatasinya selain berbuat demikian". (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi S.A.W  lagi dalam hadis yang lain bermaksud:

"Maka apabila seseorang kamu lupa akan sembahyang atau dia tertidur; maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia teringat". (Hadis riwayat At-Termidzi)

Berbalik kepada hal-hal seseorang yang meninggalkan solat boleh menjadi kufur. Dalam konteks ini, telah berlaku perdebatan di antara Imam Asy-Syaafi'i dengan muridnya, Imam Ahmad bin Hanbal.

Syaafi'i:  Apakah pendapatmu tentang orang yang meninggalkan sembahyang? Adakah dia menjadi kufur?
Ahmad:  Malah! Dia itu kafir.
Syaafi'i:  Kalau dia telah kafir, maka dengan (jalan) apa dia masuk Islam kembali?
Ahmad:  Dengan ucapan: "La illah ha illallah Muhammadan Rasulullah". Ucapan lengkapnya: "Asy-hadu allah illah ha illallah waasy-hadu an namuhammadan Rasulullah".
Syaafi'i:  Seseorang yang tidak berhenti-henti mengucapkan kalimah itu, bagaimana halnya.
Ahmad:  Islam (Muslim), jika ia sembahyang.
Syaafi'i:  Sembahyang orang kafir itu adalah tidak sah; dan tidaklah dihukumkan seseorang itu menjadi Islam dengan semata-mata sembahyang sahaja.
Ahmad:  (Diam tidak menjawab lagi, sambil terus berfikir).

Terdapat juga pendapat yang mengatakan supaya orang yang meninggalkan suatu solat fardu (sahaja) secara sengaja (berbeza dengan orang yang melengahkan solat sebab dia berazam akan melakukan juga solat itu dalam waktunya) tetapi tidak juga menunaikannya hingga tamat waktunya, dia dihukum pancung dengan pedang. Mayatnya diurus seperti orang Islam, disolatkan mayatnya dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Rumusan dari pendapat ini datangnya daripada Imam Al-Ghazali (seorang tokoh Fiqah Islam yang diberi gelaran "Asy-Syaafi'i Kedua" menerusi kitabnya "Al-Wajiiz").

Sedangkan pendapat Ibnu Hazm (tokoh ulama Islam terkenal) telah menggemparkan dunia Islam bahawa tidak boleh mengqada'kan solat yang telah ditinggalkan secara sengaja. Seseorang itu hendaklah memperbanyakkan solat sunat, mesti bertaubat dan memohon ampun dari Allah S.W.T. Rumusan pendapat ini didapati menerusi kitabnya "Al-Muhalla".

Allah S.W.T  telahpun memberikan peringatan berhubung dengan solat ini. Ada batas-batas atau sempadan tertentu yang boleh dilakukan untuk mengerjakan solat sama ada dalam waktunya dan luar waktunya. Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan siapa yang melampaui batas Allah (melanggar hukum, solat di luar waktunya), maka dia telah menganiayai dirinya sendiri". (Surah Ath-Thalaq: ayat 1)

Sementara itu, bagi individu Islam yang sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing dan sanggup meninggalkan solatnya, mereka akan ditempatkan bersama-sama empat tokoh kekufuran di hari kiamat nanti. Tokoh-tokoh tersebut adalah seperti berikut:

1. Sesiapa yang meninggalkan solat sebab sibuk menguruskan harta bendanya, maka dia akan bersama-sama "Qarun".

2. Sesiapa yang sibuk dengan urusan kerajaannya sedangkan dia meninggalkan solat, maka bersama-samalah dia dengan "Firaun".

3. Sesiapa yang sibuk oleh urusan pentadbirannya dan meninggalkan solatnya, maka dia bersama-sama "Haman".

4. Siapa-siapa yang meninggalkan solatnya kerana sibuk dengan perniagaannya, maka dia akan bersama-sama "Ubay bin Khalaf".

Dalam sebuah hadis, sabda Nabi S.A.W  bersumberkan peristiwa di kala para sahabat menyebutkan "solat" di sisi Nabi S.A.W:

"Siapa memelihara sembahyang (fardu) adalah dia akan memperoleh cahaya, kenyataan dan kelepasan di Hari Kiamat; dan siapa tidak memeliharanya, tidaklah akan memperoleh cahaya, kenyataan dan kelepasan; dan di Hari Kiamat adalah bersama-sama Qarun, Firaun, Haman dan Ubay bin Khalaf".
(Hadis riwayat Imam Ahmad dengan isnad yang bagus: Jayyid)

Bagaimanapun, empat faktor yang dapat dirumuskan mengenai penyakit-penyakit dalam solat yang terdiri dari:

1. Penyakit sengaja meninggalkan solat.
2. Penyakit sengaja membuat rancangan meninggalkan solat untuk mengqada'nya di lain waktu.
3. Penyakit sengaja melewatkan waktu solat.
4. Penyakit solat ekspres (tanpa tumakninah).

Berdasarkan penyakit-penyakit dalam solat tersebut, dewasa ini hal demikian memang wujud adalah disebabkan keimanan yang lemah sama ada kurang percaya kepada (Allah S.W.T, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat, Qada' dan Qadar), kurang mendapat pendidikan agama, memberikan alasan diserang penyakit, berasa segan dan malu kalau-kalau tersalah mengerjakannya, tidak sempat disebabkan lebih menumpukan untuk mengumpul harta benda dan memberikan anggapan usia masih panjang, solat yang ditinggalkan itu boleh diqada' apabila menjangkau dewasa kelak.

Sejajar dengan itu, marilah bersama-sama kita bersegera untuk menunaikan solat serta menyempurnakan (tanpa meninggalkannya walaupun untuk satu fardu). Hasil ketekunan yang bersungguh-sungguh sudah tentu kita akan mendapat kebahagiaan lahir dan batin kerana solat itu adalah "anak kunci syurga". Hadis yang diberitakan daripada Abdullah bin Ab. Rahman, Nabi S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Anak kunci syurga itu ialah sembahyang". (Hadis riwayat Ad-Daarimi)

Lagipun suasana yang lebih dekat antara seorang hamba dengan Allah ialah dalam masa sujud (solat). Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan bersujud serta dekatkanlah (dirimu) kepada Tuhan". (Surah Al-'Alaq: ayat 19)

Justeru, mulai saat ini berubahlah dari sikap yang malas kepada seorang yang sentiasa bertakwa, bersegera mengerja solat tanpa mengabaikannya. Lagipun kita tidak perlu berangan-angan untuk mengerjakan solat apabila tiba waktu usia sudah lanjut. Ketika usia muda inilah segala amalan perlu diperbanyakkan sebagai bekalan di hari yang paling kekal buat manusia seluruhnya.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T  telah menjanjikan kebahagiaan serta akan mendapat kurniaan syurga Firdaus bagi seseorang yang sentiasa menjaga solatnya. Firman-Nya yang bermaksud:

".... Mereka itu adalah pewaris-pewaris (yang mewarisi syurga Firdaus) dan di situlah mereka akan kekal selama-lamanya". (Surah Mukmin: ayat 10-11)


            
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Nota:
Ucapan Penghargaan dan Terima kasih kepada Ustaz Haji Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S) - cucu Tok Kenali yang memberi izin dan pendapatnya untuk menghasilkan Rencana ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan