RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 30 Mei 2012

Plastik Ancam Kesihatan


PLASTIK ANCAM KESIHATAN

TAHUKAH anda bahawa, kebanyakan bekas-bekas dan pembungkus makanan yang digunakan ke atas produk makanan yang digunakan oleh kita sebagai penggunanya mengandungi bahan-bahan kimia merbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan dan boleh mengancam nyawa. Malahan kita dapati juga, produk-produk makanan di zaman moden ini dilabelkan sebagai makanan untuk kesihatan dan selamat dimakan, sering disebarkan dalam pelbagai media massa untuk tujuan memerangkap pengguna yang lalai walaupun pada hakikatnya ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna secara keseluruhannya.

Dalam konteks peraturan pemakanan di negara kita sendiri, produk makanan berkenaan boleh mengancam kesihatan tanpa disedari oleh pengguna walaupun terdapat pelbagai dakwaan kononnya selamat untuk dimakan, sedangkan dalam konteks jangka panjang, ia boleh mengundangkan akibat. Pengguna yang kurang dan tidak bermaklumat sering terdedah dengan dakwaan ini dan mereka akan sanggup menerima apa sahaja yang ada di pasaran kerana tertarikh dengannya atau telah diperalatkan.

Sejajar dengan itu, kebanyakan makanan yang ada di pasaran hari ini sama ada makanan yang diproses yang menggunakan bekas mahupun pembungkus makanan yang dibuat dari plastik boleh memudaratkan kesihatan.

Sementara dalam konteks alam sekitar pula, plastik mengundang risiko pencemaran yang serius kerana tempoh pereputannya memakan masa hampir 1,000 tahun dan dalam tempoh berkenaan segala habitat kecil terancam bahkan sistem saliran dan sumber bekalan air turut tercemar dan menyebabkan kesuburan tanah menjadi musnah.

Namun dalam konteks makanan dan kesihatan manusia, di negara kita penggunaan plastik sebagai bekas dan bungkusan makanan sering digunakan sama ada terhadap makanan basah, makanan siap masak mahupun makanan yang diproses. Anda mungkin memakan nasi lemak, nasi ayam, rojak, aiskrim, mi segera dan sebagainya, malah kebanyakan makanan berkenaan tentunya dimasukkan ke dalam plastik. Anda sebenarnya terdedah kepada masalah kesihatan yang anda tidak ketahui kerana plastik berkenaan adalah "beracun". Ia dikenali sebagai "Stirena".

Menurut laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Stirena ialah hasil sampingan petroleum yang digunakan dengan banyaknya dalam plastik bungkusan makanan, terutamanya "polistirena" dan "busa polistirena" yang lebih dikenali sebagai "styrofoam".

Menurut kajian itu lagi, beberapa kajian dan penyelidikan menunjukkan bahawa ia melarut resap daripada bekas dan bungkusan makanan lalu mencemari makanan dan minuman.

Di Britain, ujian Kementerian Pertanian, Perikanan dan Makanan mengumumkan sesetengah 92 peratus daripada sejumlah 248 contoh makanan berjaya mengesan stirena dalam pelbagai jenis makanan terutama susu dan produk lemak bagi minuman, majerin, keju lembut dan dadih masam (yoghurt). Di Taiwan, ujian Persatuan Pengguna Taiwan pada tahun 1996 mengesan kandungan bahan kimia yang tinggi dalam mi segera yang dijual dalam cawan styrofoam. Manakala (pada bulan April) di Jepun, satu kajian yang dijalankan oleh institut pendidikan kebangsaan mengesan stirena dalam bekas polistirena untuk makanan segar dan bekas pengisi mi segera yang dijual di pasar raya. Manakala menurut Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan stirena sebagai karsinogen kumpulan 2B (agen penyebab kanser) dan berkemungkinan karsinogen manusia. (Sumber: Utusan Pengguna, CAP, September 1999)

Malah banyak lagi kajian yang telah dijalankan oleh pelbagai agensi antarabangsa dan pusat pengajian di seluruh dunia yang telah dapat mengesan dan mengesahkan kehadiran stirena dalam produk makanan. Namun masalahnya, bagaimana pula dengan tindakan kerajaan, kesedaran pengguna, pembekal produk makanan dan para peniaga di negara kita berhubung dengan bahayanya stirena terhadap makanan yang ternyata boleh menjejaskan kesihatan?

Di negara-negara Barat, atas kesedaran masyarakat pengguna dan prihatinnya kerajaan mereka terhadap permasalahan kesihatan yang akan dialami dalam jangka masa panjang akibat kehadiran stirena dalam makanan, penggunaan plastik dikenakan bayaran untuk tujuan menyelamatkan alam sekitar dan kesihatan manusia.

Menurut Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan bahawa, di negara-negara Eropah, pengguna digalakkan menggunakan beg kain atau guni yang boleh dibeli di kedai-kedai, manakala beg plastik dikenakan bayaran. Untuk barangan kecil, kertas digunakan sebagai pembalut. Manakala di negara Amerika pula, pekedai menyediakan beg kertas (brown paper bag) untuk pengguna.

Dalam hubungan ini, sudah sampai masanya para pengguna di negara kita beralih kepada penggunaan bahan yang lebih selamat untuk persekitaran dan kesihatan. Pengguna wajar menggunakan beg kertas dan pembalut dari kertas sebagai bahan yang cukup selamat untuk alam sekitar lebih-lebih lagi penggunaannya sebagai pembungkus makanan.

Kita perlu mencari langkah yang paling baik dan cukup bijak dari yang terbaik supaya masalah penyakit-penyakit kronik yang berpunca dari bahan-bahan kimia tidak mengancam generasi kita yang akan datang yang hakikatnya berpunca dari kecuaian dan kurangnya maklumat dan pengetahuan dari generasi kita hari ini.




Plastik mengancam kesihatan. Apabila dibuang merata-rata boleh mengancam alam sekitar.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan