RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 10 Ogos 2012

Abe Man Alabaladi: Pemuzik Istimewa


ABE MAN ALABALADI:
PEMUZIK ISTIMEWA

WAKAF BAHARU, KELANTANSIAPA yang tidak mengenali Abd. Rahman bin Mohamed, 68, atau lebih dikenali sebagai Abe Man Alabaladi yang kini menetap di Jalan Kebakat dekat sini. Sebatang lorong di jalan tersebut diabadikan dengan nama Lorong Alabaladi bagi memudahkan orang ramai menemui beliau di kediamannya.

Lagu berjodol "Alabaladi" yang digarap dari sebuah lagu penyanyi tersohor wanita dari Mesir, Umi Kalthum berjodol "Alabaladi Mahbob" menjadi ilham buat dirinya dan bermula dari situlah beliau menggunakan lagu Alabaladi itu dalam setiap persembahannya termasuk barangan promosi seperti cakera padat video (VCD) serta minyak urut dikenali Minyak Merah Alabaladi. Kebanyakan lagu-lagu yang didendangkannya kebanyakannya berunsur nasihat, keagamaan serta berirama padang pasir.

Menyingkap serba sedikit tentang latarbelakang dirinya, beliau dilahirkan di Kampung Delima, Wakaf Baharu dan merupakan seorang anak bongsu yang paling disayangi oleh kedua-dua orang tuanya, Mohamed Haji Omar dan Fatimah binti Mat Resad. Ketika dilahirkan, keadaan beliau memang sempurna sifatnya, namun disebabkan mengalami masalah kesihatan, ketika usianya enam tahun dengan tiba-tiba beliau hilang daya penglihatan pula.

Ketika zaman kanak-kanaknya itu, Abe Man Alabaladi pernah belajar di pondok Kampung Delima malah berpeluang belajar nasyid daripada Idrus Saidi di Kepala Batas, Perak. Beliau juga begitu fasih membaca Al-Quran secara berlagu, berkasidah dan bernasyid.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Abe Man Alabaladi berkata, sejarah beliau berkecimpung dalam muzik bermula di zaman kanak-kanak ketika beliau menetap di Kampung Delima itu. Ketika itu beliau diserang sakit mata yang agak luar biasa sehingga dianggap sebagai cacat penglihatan. Walaupun telah mengalami cacat penglihatan dan dianggap OKU, namun beliau mempunyai keistimewaan apabila beliau dianggap mahir dan fasih membaca Al-Quran selain berkasidah dan bernasyid.

Katanya, disebabkan beliau cacat penglihatan, tentunya pergaulan beliau dengan orang ramai agak terbatas kerana beliau tidak dapat melihat dunia luar dan tidak mengenali dengan siapakah beliau sedang bertutur. Lantas dengan cara mencipta kecapi buluh itu menjadikan orang-orang kampung dapat mengenali beliau melalui alat muzik itu. Pada masa itu di kampungnya juga agak tersohor dengan permainan bolasepak, tentunya beliau agak kecewa kerana tidak dapat bermain bersama-sama rakan-rakan yang sebaya dengannya.

Disebabkan tidak ingin melihat beliau sentiasa di dalam kekecewaan malahan sentiasa tersisih dan bersendirian, arwah bapanya pada mulanya bercadang supaya beliau menunggu durian yang pada masa itu sedang gugur dengan banyaknya. Namun, melihatkan keadaannya yang tidak mengizinkan, lantas bapanya mencipta suatu alat muzik dikenali "gendang kecapi". Daripada gendang kecapi boleh dimainkan kepada pelbagai bunyi seperti gendang silat, dikir barat, mak yong dan sebagainya. Dan pemainnya pula hanya beliau seorang sahaja dengan tidak memerlukan tenaga yang ramai. Walaupun begitu, gendang kecapi ketika zaman kanak-kanaknya itu hanya boleh dimainkan dan didengari dalam lingkungan dua atau tiga orang sahaja.

Justeru, dengan memainkan gendang kecapi itu sedikit sebanyak dapat menghilangkan segala kesunyian dan gundah gelana di hatinya. Apabila gendang kecapi itu dimainkan, kanak-kanak yang mendengarnya berasa terhibur kerana tidak pernah mendengar bunyi yang semerdu itu sebelum ini. Secara langsung, kanak-kanak yang turut serta ketika itu segera memberikan pertolongan kepadanya apabila mereka sanggup memungut durian yang luruh itu, sebagai salah satu upah kepada mereka kerana diperdengarkan muzik tersebut.

Apabila usianya semakin meningkat remaja, beliau cuba mencipta sendiri alat muzik tradisional Kelantan yang dikenali Kecapi Buluh atau Kecaluh itu. Asalnya pada masa dulu, orang-orang kampungnya menggunakan kecapi buluh kerana alat ini merupakan permainan orang-orang kampung untuk menghasilkan bunyi yang merdu. Alat ini dibuat dengan sebatang buluh lalu ditebuk. Buluh yang telah ditebuk itu kemudiannya dipasang tali dan sebahagian tempat pada buluh itu diumpil untuk menghasilkan bunyi yang diharapkan. Namun, cara ini dianggap tidak tahan lama kerana apabila terkena panas menyebabkan talinya mudah putus.

Selepas itu katanya, beliau mereka cipta sejenis alat dikenali "gitar elektrik" yang mana alat yang dikenali sebagai "head" ini boleh menjadikan talinya semakin tegang. Setelah tali itu tegang, perlulah pula bantuan gendang (gong). Setelah memperolehi gendang kecapi, sesuatu yang diperlukan pula ialah "amplifier" yang akhirnya terbentuklah gitar elektrik. Kalau dulunya dikenali sebagai kecapi buluh, tetapi sekarang ini dikenali pula sebagai "kecapi elektrik".

"Asalnya Abang Man mereka cipta alat muzik ini adalah sekadar suka-suka saja. Tetapi apabila dilihat dan masyarakat yang mendengar Abang Man yang memainkannya, menyebabkan orang ramai pula yang berminat.

"Ini menjadikan dari satu alat muzik yang diciptakan itu boleh dimainkan kepada pelbagai alat dan bunyian lain pula seperti sebagai alat muzik, gendang silat, wayang kulit, dikir barat dan kompang. Tetapi bunyi kompang biasa perlu dimainkan seramai 10 orang berbanding dengan alat muzik Abang Man ini, tidak perlu dalam jumlah yang ramai memadai Abang Man seorang saja", katanya.

Tambahnya, dengan yang demikian, dari alat muzik seperti sebatang buluh kecapi itu, tidak perlu dimainkan dalam jumlah yang ramai sebagaimana pemuzik biasa sekarang yang perlu dimainkan seramai empat atau lima orang. Kecapi buluh Abe Man Alabaladi hanya boleh dimainkan oleh beliau seorang sahaja yang boleh menerbitkan pelbagai bunyi yang dikehendaki sebagaimana pemuzik moden hari ini.

Ditanya tentang persembahannya di pentas umum, beliau telah banyak membuat persembahan di merata tempat sama ada seluruh Kelantan sendiri, malah sehingga menjangkau ke seluruh negara. Kebanyakan tempat yang pernah dibuat persembahan olehnya seperti di hotel-hotel terkemuka sempena seminar dan sebagainya, rakaman VCD tersebut turut dibawa bersama sebagai mempromosi secara komersial. Manakala di Kota Bharu, Kelantan hotel terkemuka di negeri ini yang pernah beliau buat persembahan nyanyian di khalayak seperti di Hotel Renaissance dan sebagainya. Justeru, apabila adanya jamuan malam, beliau turut diundang untuk memainkan alat muzik tersebut di hadapan khalayak umum.

Katanya, di awal persembahan menggunakan alat muzik tersebut, beliau pernah menubuhkan sebuah kumpulan nasyid dikenali "Gambus Delima Arabi" sempena dengan nama Kampung Delima, tempat tinggal beliau. Ketika itu beliau bermain gambus dan penonton terpegun malah terpesona dengan cara beliau memetik gambus kasidah tersebut. Pada masa itu, beliau hanya menyanyikan lagu-lagu Arab dan irama padang pasir sahaja.

Pada masa yang sama, beliau mendapat tahu tentang satu festival dikenali "Festival Islamik" di Jerman Barat dalam tahun 1980. Atas urusan penganjur, beliau berlepas ke Jerman, memang kerajaan di sana memerlukan lagu-lagu berentak Arab dan Islam khususnya daripada penyanyi-penyanyi Malaysia. Dan penganjur yang memilih lagu-lagu sedemikian ialah Dr. Abic Hassan Thauma daripada Berlin Barat.

Apatah lagi, Dr Hassan yang berasal dari Arab Saudi memang gemarkan lagu-lagu sedemikian seperti lagu "Alabaladi" yang berentak Arab yang sememangnya menjadi kegemarannya untuk mendengar lagu-lagu tersebut, apatah lagi suara beliau seperti kebanyakan orang-orang Arab yang bukannya lagu-lagu rock yang tidak memberikan sebarang makna. Malahan beliau juga pernah diminta supaya membaca Al-Quran, seruan azan dan sebagainya, kesemuanya itu beliau menurut kehendak penganjur. Beliau yang mewakili Malaysia ke festival tersebut di mana peserta-peserta dari negara lain seperti Jerman Barat, Itali, Belanda, Perancis, Switzerland, Belgium, Frankfurt, Beijing, Hong Kong yang dikenali sebagai "Asean Hurt". Menurutnya, beliau jadikannya sebagai kenangan untuk anak cucunya kelak.

"Kenangan yang paling indah ialah ketika Abang Man menerima bintang Ahli Kelantan (A.K) daripada KDYMM Sultan Ismail Petra. Kalau tak silap pada tahun 2004", katanya.

Sambungnya, "kecapi buluh" atau kecaluh dianggap satu alat muzik ciptaannya yang paling maju ke depan berbanding dengan keyboard. Ini menurutnya, keyboard bukan sahaja boleh dimainkan oleh orang-orang dewasa sebaliknya kanak-kanak juga pasti mahir menggunakannya. Tetapi kecapi buluh memang ternyata agak sukar dan hanya beliau seorang sahaja yang mampu bermain alat muzik tersebut.

Ini menurutnya, dengan terciptanya peralatan muzik kecaluh itu menjadikan satu alat muzik yang oleh dimainkan hanya seorang sahaja tanpa bantuan ramai. Misalnya jika ada majlis kenduri perkahwinan, beliau akan menggunakan alat muzik itu seperti bunyi kompang. Disebabkan alat muzik berkenaan berbunyi seperti kompang, jadi ada orang bertanya bagaimana alat berkenaan dicipta. Katanya, beliau menciptanya dengan hanya memejam mata sahaja, sebab beliau tidak dapat melihatnya.

Tambah Abe Man Alabaladi, dari alat muzik kecapi buluhnya juga, beliau telah berjaya merakamkan lagu riwayat hidupnya sendiri di mana alat muzik berkenaan boleh dipalu atau dimainkan secara tradisional umpamanya zapin, inang dengan hanya dimainkan oleh beliau seorang sahaja. Bahkan penyanyinya adalah Abe Man Alabaladi seorang sahaja sehingga berjaya membuat rakaman lagu yang dimaksudkan.

Beliau kini menumpukan kepada rakaman lagu di mana pada masa dulu hanya menumpukan kepada kaset, tetapi kini beralih arah kepada CD dan VCD pula. Menurutnya, bagi orang ramai yang berminat, beliau boleh mempertontonkan secara live alat muzik berkenaan dimainkan. Malahan reka ciptanya itu juga telah dimasukkan ke dalam VCD yang dimaksudkan. Apabila beliau membuat persembahan di mana-mana, VCD tersebut dijual kepada peminat yang ingin mendengar lagu-lagu yang telah dirakamkan.

Kebanyakan lagu-lagu yang telah dinyanyikannya sejak dari zaman kaset juga telah dimuatkan ke dalam VCD berkenaan dalam bentuk audio dan video pula, keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap album VCDnya itu agak memberangsangkan. Salah satu lagu yang telah melonjakkan nama Abe Man Alabaladi di persada muzik OKU sehingga hari ini ialah lagu "Alabaladi".

Jadi, dengan adanya rakaman ke bentuk VCD beliau akan mendendangkan lagu-lagu sambil bermain muzik kecaluh itu. Misalnya lagu tersohornya iaitu Alabaladi, sebenarnya album berkenaan telah dirakam agak lama ketika muzik awal dulu. Namun, dari semasa ke semasa, beliau mendendangkan lagu Alabaladi itu menggunakan muzik kecaluh itu. Malahan menurutnya, di mana-mana persembahan yang dilakukannya, lagu tema Alabaladi tidak pernah diabaikan dan beliau tetap akan menyanyikannya.

"Penyanyi asal lagi "Alabaladi" ialah Umi Kalthum dari Mesir yang mempunyai vokal suara yang agak tinggi. Jadi, ketika Abe Man menyanyikan semula lagu itu, pada awalnya agak sukar kerana suara lelaki amat berbeza dengan suara penyanyi Umi Kalthum itu yang mempunyai vokal suara yang tinggi dan berbunga-bunga. Namun, Abe Man sentiasa memcubanya dari semasa ke semasa agar dapat serasi sebagaimana suaranya itu", ujar Abe Man Alabaladi.

Apabila ditanya, siapakah individu istimewa yang pernah mendengar lagu-lagu terbaik semasa persembahannya. Katanya, lagu-lagu yang didendangkannya itu pernah menjadi minat Pangeran Muda Brunei di mana persembahannya dibuat di Istana Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan. Pada permulaannya, beliau menerima bayaran agak lumayan berjumlah RM4,500, selepas itu pada bulan Ramadan berikutnya beliau memperolehi RM2,000 dan seterusnya beliau memperolehi RM5,000.

"Dari wang tersebutlah Abe Man telah membeli kenderaan sendiri untuk memudahkan Abe Man bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk membuat persembahan sambil menjalankan perniagaan saya seperti ubat-ubatan tradisional.

"Tentang ubat-ubatan tradisional ini, orang ramai tidak perlu bimbang kerana telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Dan sekarang ini, Minyak Merah Alabaladi telahpun dikomersialkan di farmasi pula. Harga pasaran minyak ini dijual dengan harga RM8 sebotol", katanya.

Sementara itu, sekarang ini beliau sedang giat mempromosi Minyak Merah Alabaladi termasuklah video cakera padat (VCD) dan album persembahannya yang terbaru. Di dalam setiap persembahannya, perkataan "Alabaladi" adalah trademark bagi syarikatnya. Pada awalnya, beliau ingin mendaftarkan perniagaannya atas nama Alabaladi OKU, namun beliau disarankan bahawa nama tersebut tidak begitu menarik. Jadi, adalah lebih baik didaftarkan atas nama Alabaladi Enterprise bagi memudahkan nama tersebut ditukar milik atas nama anaknya pula apabila beliau meninggal dunia. Jika dikekalkan Alabaladi OKU, nama berkenaan tidak dapat ditukar milik kepada anaknya kerana anak-anaknya bukan OKU.


Abd. Rahman bin Mohamed atau Abe Man Alabaladi.

Abe Man Alabaladi ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah alat muzik Kecapi Buluh atau Kecaluh.

Album Foto: Ketika beliau menerima anugerah Ahli Kelantan (A.K) daripada KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra pada tahun 2004.

Sebahagian VCD Alabaladi dan minyak urut dikenali Minyak Merah Alabaladi yang dikomersialkannya.

Inilah Lorong Alabaladi, jalan masuk ke rumahnya di Jalan Kebakat, Wakaf Baharu, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Aslkm..bagaimana yer kalo sy nk beli minyak merah alabaladi nie..bole hubungi sy..mak sy nak sgt beli 0179553102

    BalasPadam