RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 30 Ogos 2012

Misteri Penunggu Kuala Tujuh


MISTERI PENUNGGU KUALA TUJUH

TUMPAT, KELANTAN:  KUALA TUJUH yang terletak di Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan memang agak tersohor kerana pemandangan sungainya yang menarik. Bukan itu sahaja, kawasan tersebut juga menjadi sebuah tempat yang paling aktif di kalangan kaki pancing untuk melabuhkan joran mereka kerana kawasan itu dikatakan dihuni spesis ikan yang agak banyak selain sebuah kawasan menangguk udang kerana keadaannya yang berteluk. Dikatakan juga spesis udang di situ secara berkawan, dengan demikian bagi penggemar udang mereka tidak ingin melepaskan peluang kerana rezeki pastinya terpampang di hadapan mata apabila berjaya ke Kuala Tujuh.

Walau bagaimanapun, tanpa disangka Kuala Tujuh yang turut dikenali sebagai "hujung kuala" tiba-tiba berubah wajah dan kawasan tersebut seolah-olah sebuah kawasan yang agak mengerikan. Setiap kali malam menjelma, mereka yang lemah semangat pastinya tidak ingin cuba mencari pasal untuk berkunjung ke Kuala Tujuh. Ini kerana, semenjak kejadian sekujur mayat yang dibunuh lalu reput di situ menyebabkan kawasan berkenaan "berpuaka" dan "mengusik".

Individu yang datang ke situ untuk tujuan mendapatkan hasil ikan dan udang yang tidak terkira jumlahnya adalah terdiri daripada mereka yang berhati cekal dan berani serta tahan dugaan walaupun kerap kali disakat. Ada yang mendakwa, Kuala Tujuh mempunyai penunggunya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia, tetapi makhluk halus itu dapat melihat manusia yang datang ke situ, siapa yang penakut dan siapa pula yang paling berani.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi, Tuan Mustafa Tuan Musa dari Kampung Kuala Batas, Tumpat, Kelantan bersedia berkongsi pengalamannya turut disakat di tempat terbabit ketika berkunjung ke hujung kuala itubersama seorang rakannya yang ingin menangguk udang.

"Pada mula-mula saya masuk ke situ, saya lihat sebatang pokok yang ada di hujung kuala itu tiba-tiba tunduk ke bawah. Pada masa yang sama, saya lihat pula pokok itu menegak dalam keadaan asalnya.

"Walaupunn begitu, saya tidak pedulikannya kerana menganggapnya sebagai biasa sahaja. Selang beberapa ketika, saya lihat pokok tersebut patah secara tiba-tiba di hadapan saya sendiri. Saya tidak dapat lihat sama ada ranting atau dahannya yang patah, sebab suasananya agak terlalu gelap.

"Apabila saya lihat balik didapati pokok tersebut dalam keadaan menegak seperti asal, tetapi tiada pun ranting atau dahannya yang patah. Memang agak pelik juga", cerita Tuan Mustafa.

Katanya, melihatkan hal berkenaan, rambutnya yang tersikat rapi pada masa itu secara tiba-tiba menegak dan kepalanya juga menebal, malah seluruh badannya berasa seram sejuk sebagai tanda ada sesuatu yang tidak kena dengan sebatang pokok yang berdiri di hadapan matanya di hujung kuala tempat beliau dan rakannya menangguk udang itu.

Menurut Tuan Mustafa, melihatkan situasi yang agak luar biasa dan aneh pada ketika itu, beliau cuba pusing kepalanya ke arah belakang dan melihat kembali pokok tersebut dalam keadaan asal tetapi tiada tanda-tanda ranting mahupun dahannya yang patah dan jatuh ke tanah.

"Rakan saya yang pada mulanya tidak mengetahui kejadian itu tiba-tiba melarikan diri dan keluar dari kawasan Kuala Tujuh itu secara tiba-tiba. Saya agak dia juga baru perasan akan hal itu.

"Tetapi ketika kakinya melangkah beberapa ela, dengan tiba-tiba rakan saya itu pula terpijak seekor ular. Saya tidak tahu dari mana ular itu muncul. Rakan saya lompat secara tidak sengaja kerana terkejut", ujarnya dengan nada lucu.

Menurut Tuan Mustafa, suasana malam pada ketika kejadian itu memang agak gelap walaupun langit kelihatan cerah. Katanya, beliau datang ke hujung kuala itu dengan perahu, jadi beliau tidak membawa lampu kerana mengharapkan bantuan cahaya dari langit saja.

Akibat kejadian pada malam itu menurutnya, beliau terpaksa bergegas naik ke perahu lalu pulang dengan keadaan gopoh-gapah. Harapkan hasil udang, namun beliau dan rakannya terpaksa berputih mata, mereka pulang dengan tangan kosong.

Apabila ditanya, mengapa hal tersebut terjadi di kawasan kuala tujuh, apa kaitan dengan pokok besar dan Kuala Tujuh yang menyebabkan kejadian yang dialaminya pada malam itu. Beliau menjelaskan, sememangnya pernah berlaku kematian di Kuala Tujuh itu. Katanya, salah seorang mangsa tetak (bunuh) dibiarkan menghabiskan riwayat hidup di kawasan hujung kuala itu. Mayat yang terbaring tidak bernyawa di kawasan terbabit tidak dipedulikan dan semenjak saat itu, kawasan Kuala Tujuh itu berpuaka dan mengusik siapa sahaja yang berkunjung ke situ. Beliau agak, kemungkinan kawasan tersebut telahpun dihuni penunggu yang dikenali sebagai makhluk halus disebabkan hal yang sedemikian.

Tambahnya, bagi yang berani tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan apabila melalui kawasan Kuala Tujuh itu, namun bagi yang dianggap penakut mereka pastinya tidak akan menjejakkan kaki ke kawasan hujung kuala itu. Sehingga hari ini katanya, beliau seakan fobia untuk ke Kuala Tujuh semula kerana kejadian usikan yang agak keras di kawasan berkenaan seolah-olah tidak membenarkannya terus ke situ.

Walau bagaimanapun, minatnya terhadap memancing tidak mematahkan semangatnya untuk kembali semula ke Kuala Tujuh biarpun pernah disakat oleh penunggu kuala itu. Walaupun aktiviti menangguk udang sebelumnya gagal mendapat hasil disebabkan peristiwa disakat penunggu yang tidak dapat dilihat oleh matanya tetapi sedang memerhatikannya di kawasan Kuala Tujuh pada malam itu. Kali ini beliau datang lagi tetapi dengan cara lain pula iaitu memancing ikan.

Dalam masa sedang asyik memancing, dengan tiba-tiba joran yang dipegangnya seperti digoyang sesuatu. Matanya melilau ke serata arah untuk melihat gerangan siapakah yang melakukannya, namun tiada sesiapa di kawasan itu kecuali beliau seorang diri.

Selepas kali pertama jorannya digoyang, beliau masih meneruskan aktiviti memancing di kawasan hujung kuala itu dengan harapan dapat membawa pulang hasilnya sama ada ikan mahupun udang pada malam terbabit. Buat kali kedua juga jorannya digoyang dengan agak kasar. Namun, beliau tidak pedulikan hal itu, beliau meneruskan aktiviti memancing itu tanpa memikirkan sesuatu yangt cuba mengganggunya. Selang beberapa minit kemudian, didapati jorannya digoyang dan ditarik dengan agak kasar.

Berasa sesuatu yang tidak kena dengan jorannya digoyang dan ditarik beberapa kali, beliau kemudiannya angkat kaki meninggalkan kawasan tersebut lalu bergegas pulang ke rumah tanpa memperolehi hasilnya. Buat kali kedua beliau gagal dalam misinya untuk mendapatkan hasil yang dihasratkan disebabkan gangguan penunggu Kuala Tujuh itu.

Disebabkan dua kali beliau mengalami perkara yang sama disakat ketika di kawasan Kuala Tujuh itu, beliau mula mengesyakki, mungkin berpunca dari mayat yang mati dibunuh dan terbiar reput di kawasan Kuala Tujuh itu menyebabkan orang yang lalu lalang di kawasan terbabit setiap kali malam menjelang akan kecut perut dan tidak lagi ke kawasan itu.

Sambungnya, berikutan kejadian gangguan itu menyebabkan aktiviti memancing serta menangguk udang di Kuala Tujuh seolah-olah tidak lagi dipedulikan. Mereka yang berkunjung ke situ terdiri daripada kalangan yang berjiwa kental. Bagi yang lemah semangat, sekali gertak saja sudah lari lintang-pukang.

Tuan Mustafa bin Tuan Musa.

Tuan Mustafa ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi.

Inilah wajah Kuala Tujuh atau dikenali juga hujung kuala yang dikatakan berpuaka dan sering mengusik.

 Kemungkinan inilah pokok (anak panah) yang dimaksudkan Tuan Mustafa berpenunggu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan