RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 1 Ogos 2012

Jepun Ratah Kg. Kelaweh


JEPUN RATAH KG. KELAWEH

MACHANG, KELANTAN:  NAMA Kampung Kelaweh yang terletak dalam daerah Pangkal Meleret, Machang, Kelantan mungkin agak asing bagi segelintir masyarakat di negeri ini kerana menganggapkan tidak pernah mendengar nama tersebut. Tetapi bagi penduduk-penduduk kampung terbabit memang agak tersohor kerana semasa pendudukan Jepun di Kelantan, Kampung Kelaweh mempunyai kubu Jepun terbesar yang terletak di antara tebing Sungai Kelantan dan Sungai Kelaweh itu sendiri. Bahkan jiran terdekat dengan kampung berkenaan iaitu Kampung Joh telah dijadikan lapangan terbang Jepun dalam daerah yang sama.

Membicarakan tentang Kampung Kelaweh dan kepentingannya kepada tentera Jepun di Tanah Melayu khususnya di Kelantan ketika pendudukan Jepun di Kelantan pada 9 Disember, 1941, Penulis berkesempatan menemui seorang warga emas yang juga bekas Penghulu Kampung mukim tersebut sejak tahun 1978 dan bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), Ibrahim bin Salleh, 72, berkata, pada asalnya Kampung Kelaweh dipanggil "Kleweh". Menurutnya, terdapat cerita tentang Kampung Kelaweh, pada zaman lampau ada dua sahabat karib yang begitu akrab digelarkan orang sebagai Tok Pa Cik dan Tok Sial, kedua-duanya berusia 30 tahun di mana kedua-duanya mempunyai minat yang sama iaitu menangguk ikan di sungai.
 
Disebabkan rutin harian mereka berdua suka menangguk ikan, mereka berdua kemudiannya pergi ke sebuah sungai iaitu "Sungai Kleweh" yang masih wujud sehingga sekarang. Mereka berdua membawa dua buah raga yang diperbuat dari buluh. Mereka turun ke dalam sungai mencari ikan, dengan tidak disangka mereka memperolehi hasil yang agak luar biasa dan memuaskan hati sehinggakan penuh kedua-dua raga yang dibawa oleh mereka ketika itu.
 
"Disebabkan ikan terlalu penuh, salah seorang dari sahabat ini bertanya "lagu mana nak buat weh?" Dari istilah dan singkatan nama "weh" dan raga yang dibawa secara dialek Kelantan sebagai "kilah" maka kedua-dua nama itu tercantum menjadi "Kelaweh" yang diguna pakai sehingga hari ini", jelas Ibrahim.

Membicarakan tentang pendudukan Jepun di Kelantan sebagaimana di tempat-tempat yang lain, Kampung Kelaweh juga tidak terkecuali apabila tentera Jepun terbabit begitu pantas memasuki ke dalam kampung berkenaan untuk tujuan menemui Penghulu sebagai ketua seluruh penduduk. Memang menjadi kelaziman pihak tentera Jepun akan menggunakan khidmat Penghulu sebagai kepala atau ketua dalam pelbagai perkara seperti untuk mendapatkan bekalan makanan, rampas anak dara orang, menganiaya orang dan sebagainya. Kepala inilah yang membantu dan menghasut Jepun sebagai makluman dan memberitahu siapakah yang layak untuk diambil oleh pihak tentera Jepun tersebut sama ada sebagai kuli atau hamba.

Menurut Ibrahim, di Kampung Kelaweh ketika itu terdapat tiga orang yang paling disukai pihak Jepun seperti Tok Sial (kini arwah) yang ketika itu berusia dalam lingkungan 30 tahun telah disiksa pihak Jepun dengan diberikan minum air sabun lalu dihentak dengan tapak senapang pihak Jepun sehingga giginya patah dan hancur bertaburan.

"Pihak Jepun memang suka masuk ke Kampung Kelaweh kerana Jepun pernah mendarat di Kampung Joh. Di Kampung Joh itu Jepun telah membina sebuah lapangan terbang di mana di antara pekerja dan tukang masak di lapangan terbang itu adalah terdiri daripada anak-anak tempatan dari Kampung Kelaweh sendiri.

"Berdasarkan purata penduduk tempatan yang berusia 20 tahun ke atas sebagai pekerja di lapangan terbang Jepun di Kampung Joh itu kebanyakannya anak-anak tempatan Kampung kelaweh sendiri melebihi 20 orang semuanya", ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan penduduk tempatan yang bekerja sebagai kuli Jepun dari Kampung Kelaweh ketika itu hanya terdiri daripada kalangan pemuda-pemuda lelaki sahaja tetapi tidak gadis-gadis remaja. Selepas itu, kebanyakan penduduk dari kampung berkenaan akan dibawa Jepun ke Burma sebagai pekerja untuk pembinaan landasan keretapi maut di sana. Ini termasuklah dua pupunya sendiri dan kira-kira tiga orang penduduk kampung terbabit yang meninggal secara tersiksa di negara berkenaan ketika usaha membina landasan keretapi maut itu.

Apabila ditanya, kenapa pihak Jepun gemar mendapatkan penduduk Kelantan bekerja sebagai kuli untuk membina landasan keretapi maut di Burma, Ibrahim menjelaskan, ini disebabkan orang-orang Kelantan mudah menurut tanpa sebarang bantahan. Salah satunya ialah kerana orang-orang Kelantan mudah termakan budi disebabkan mereka telah diberikan kerja, jadi secara langsung atau tidak, arahan Jepun perlu ditunaikan ke mana saja akan dibawa pergi.

Katanya, kebanyakan orang-orang Kelantan memang takut dengan sikap Jepun yang akan melakukan keganasan apa sahaja. Sementara, anak-anak gadis yang cantik-cantik untuk mengelakkan tentera Jepun merampas dan mengambil mereka sebagai teman seks, kebanyakan ibu bapa akan melumurkan cat dan pelbagai warna yang agak gelap agar kelihatan buruk dan berwajah hodoh. Apabila Jepun melihat gadis-gadis sunti berkenaan dalam rupa yang hodoh, maka selamatlah anak-anak gadis tersebut dari diganggu oleh tentera Jepun terbabit.

Sementara itu, pihak Jepun tidak menjanjikan elaun dan gaji sebagai upah pekerja di lapangan terbang di Kampung Joh itu mahupun sebagai pekerja landasan keretapi maut di Burma. Sebaliknya, pekerja-pekerja berkenaan diberikan makanan semata-mata. Apabila pekerja-pekerja berkenaan menderita sakit, mangsa tidak diberikan ubat, malahan ada yang meninggal dalam keadaan tersiksa dan ngeri kerana menanggung kesakitan yang berpanjangan. Kebanyakan pekerja landasan keretapi maut sebenarnya telah dijadikan hamba abdi oleh pihak Jepun tanpa mendapat sebarang pembelaan dari segi rawatan dan sebagainya.
 
"Kebanyakan pemuda-pemuda Kelantan memang mudah bekerja sebagai tukang masak di lapangan terbang tentera Jepun  di Kampung Joh itu. Sebabnya mereka dikatakan agak segak dan kacak, ini tentunya menarik minat Jepun", kata Ibrahim lagi.
 
Ditanya tentang sikap Jepun apabila mereka menggeledah kampung, mereka akan merampas barangan penduduk kampung menurut kehendak mereka seperti padi, beras, ayam, kelapa dan sebagainya menurut kemahuan mereka. Beliau menjelaskan, hal berkenaan memang tidak dinafikan, kebanyakan penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa malah terpaksa menyerahkannya bulat-bulat kepada pihak Jepun, jika melawan nyawa pula yang melayang.
 
Sambungnya, kalau diambil contoh di Kampung Kelaweh tiada di kalangan penduduk kampung berkenaan yang "berani tunjuk hero" dengan tentera Jepun terbabit. Ketakutan tentang sikap ganas dan tidak berperikemanusiaan mereka memang ada. Sekiranya ada yang cuba melawan, bukan sahaja nyawa melayang, rumah kediaman juga turut dibakar.
 
Kebanyakan tentera Jepun akan sentiasa membuat tinjauan dan memantau ke serata ceruk kampung menggunakan pengangkutan jip untuk melihat keadaan dan persekitaran dalam kampung berkenaan. Penghulu yang dilantik khusus oleh Jepun sebagai ketua akan membawa kumpulan Jepun berkenaan sambil menunjukkan siapakah yang patut diambil oleh pihak Jepun terbabit untuk sesuatu tujuan tertentu.
 
"Gadis-gadis remaja tidak pernah diambil secara paksa dari ibu bapa mereka di Kampung Kelaweh ini, kecuali segelintir pemuda yang pernah dipukul oleh pihak Jepun angkara Penghulu yang dikatakan terlalu dengki", ujarnya.
 
Sebuah jambatan baru yang dibina di Kampung Kelaweh sekarang ini adalah sumbangan sebuah syarikat Jepun untuk kegunaan penduduk-penduduk dalam kampung tersebut. Jambatan berkenaan tiada kaitan dengan pendudukan Jepun di Kampung Kelaweh tersebut tetapi berkemungkinan sebagai salah satu khidmat sosial untuk kegunaan dan kemudahan penduduk-penduduk berulang-alik di Kampung Kelaweh itu.
 
"Terdapat sebuah kubu Jepun yang dibina di atas tebing berhampiran Sungai Kelantan dan Sungai Kelaweh. Mereka membinanya untuk melindungi dari serangan pihak tentera Hindia British. Usia kubu tersebut dibina pada tahun 1941, sebuah tempat yang agak strategik bagi pihak tentera Jepun. Lazimnya, setiap serangan dilakukan melalui sungai", katanya.
 
Katanya, agak ramai juga kalangan pemuda-pemuda di Kampung Kelaweh yang diambil dan dibawa oleh pihak Jepun untuk tujuan pembinaan landasan keretapi maut di Burma yang bertindak dan berjaya melarikan diri. Salah seorang ialah arwah Abang Yeh dari Kampung Kelaweh dan arwah Pakcik Mahmud (Pasir Puteh) dan Abang Sulaiman.
 
Justeru, zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu khususnya di Kelantan menggambarkan hakikat yang sebenarnya. Setiap penduduk wajar menyayangi negeri dan negaranya dengan tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh menjadikan negara terus tergadai. Sikap panas baran dan suka mengikut telunjuk Barat atau pihak lain seperti suka berdemonstrasi sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu dan hal seumpama ini perlu dielakkan. Sebagai masyarakat dan penduduk dalam negara, kalau kita selalu bersengketa dan bermusuh sesama penduduk dan sesama kaum, keamanan tidak akan wujud dan tidak dapat ditegakkan. Apabila berlaku kejadian seumpama ini, pihak lain yang sentiasa mengintai peluang akan mengambil kesempatan dari kelalaian dan kelemahan kita. Ketika itu kita baru sedar dengan kesilapan  yang pernah dilakukan, contoh terdekat ialah pendudukan Jepun di Tanah Melayu itu sendiri. Ingatlah dengan pepatah Melayu, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".
 
Ibrahim bin Salleh, 72 tahun.

Ibrahim bin Salleh ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Ibrahim sedang menunjukkan kubu Jepun terbesar di Kampung Kelaweh.

Inilah jambatan dan Sungai Kelaweh.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan