RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 7 Mac 2012

Cabaran Globalisasi


CABARAN GLOBALISASI

GLOBALISASI menurut pengertian Kamus Dewan (DBP) bermaksud fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat (IT). Namun dalam pengertian lain, ia bermaksud dunia ini tidak lagi mempunyai sempadan dan manusia bebas ke mana-mana tanpa sekatan dan halangan.

Manusia bebas menjalankan peranan masing-masing di negara-negara yang mereka kehendaki tanpa menimbulkan masalah tertentu. Namun persoalannya, apakah masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat di negara ini dengan kehadiran globalisasi itu?

Tahun 2003 dikatakan bermulanya era globalisasi yang memungkinkan seluruh dunia pasti menghadapinya walaupun antara mahu dengan tidak ataupun kita tidak bersedia untuk menerimanya.

Segelintir pemimpin di kebanyakan negara hari ini berasa pening kepala dalam usaha menghadapi dan mengekang permasalahan era globalisasi jika hal berkenaan mendatangkan masalah tertentu, apatah lagi jika melihat keadaan rakyat di dalam negara-negara terbabit.

Mungkin kebimbangan tidak wujud jika globalisasi melebarkan sayapnya ke negara-negara maju kerana mereka telah biasa terdedah dengan pelbagai teknologi maklumat dan masalah-masalah yang bakal dihadapi. Namun, bagaimana halnya jika kehadiran globalisasi ke negara-negara dunia ketiga seperti negara-negara mambangun dan negara-negara miskin?

Satu hal lagi tentang masalah globalisasi ialah peniaga-peniaga dan pedagang asing bebas untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan perniagaan di negara-negara yang mereka sukai tanpa sebarang sekatan. Jika hal ini benar-benar berlaku, bagaimana halnya dengan peniaga-peniaga di negara kita terutamanya berhubung dengan industri kecil dan sederhana.

Pedagang-pedagang asing khususnya peniaga-peniaga kecil dari negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah membuat persediaan awal dan kedatangan globalisasi tentunya tidak begitu mencengkam mereka. Ini kerana, peniaga-peniaga kecil mereka telahpun dilatih dan turut menjalani kursus intensif supaya apabila globalisasi wujud mereka tidak akan menggelabah terutamanya dalam penggunaan teknologi maklumat seperti komputer untuk bersaing di pasaran global.

Dengan wujudnya komputer, teknologi maklumat dan era internet membolehkan peniaga-peniaga kecil di negara-negara maju menyumbang dan memasarkan hasil produk di samping memperkenalkan jenama-jenama baru yang setaraf dengan jenama-jenama popular dengan harga yang lebih murah dan berkualiti.

Malahan hari ini, tempahan barangan yang dikehendaki oleh pelanggan yang jauh boleh dilakukan hanya dengan menggunakan komputer di rumah yang suatu ketika dahulu memerlukan tempoh masa yang agak lama dengan jarak perjalanan yang jauh pula. Tetapi kini, masa yang diperlukan amat singkat iaitu sehari sahaja.

Walaupun tahun 2003 telah pun berlalu dan kini tahun 2012 pula, namun akibat bahang globalisasi yang dinantikan sejak tahun tersebut sememangnya telah dirasai dan ternyata mewujudkan pelbagai masalah. Paling jelas dan terjejas ialah golongan peniaga apabila peniaga-peniaga kecil terpaksa gulung tikar kerana tidak sanggup bersaing di zaman inflasi. Ketika ini juga akan wujud masalah pengangguran.

Sektor perbankan yang ternyata terkedepan dalam arus globalisasi ini seperti penggunaan mesin juruwang bukan sahaja membolehkan pelanggan dapat mengeluarkan wang dengan mudah, memeriksa baki akaun, menyimpan wang dan memindahkan wang. Sebaliknya, mesin-mesin ATM berkenaan bertindak menggantikan peranan manusia sama ada untuk urusan bayaran pinjaman, kad kredit, mencetak baki akaun, menghantar sejumlah wang yang banyak ke negara-negara lain dan sebagainya.

Namun, sesuatu yang wujud dari globalisasi khususnya dalam sektor perbankan ini apabila pekerja yang ramai terpaksa dikurangkan dan tidak lagi diperlukan. Lantas tentunya mewujudkan masalah pengangguran.

Globalisasi juga turut mencorakkan bidang ketenteraan, penjualan dan penggunaan senjata di negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Britain, China, Jepun dan Korea. Kalau dahulu, segala senjata dan peralatannya dikawal oleh manusia secara biasa. Tetapi hari ini, penggunaan senjata ketenteraan  dan yang sedang dibuat kajian telah dikawal oleh teknologi berkenaan.

Sektor pendidikan juga turut berubah dengan kemunculan era globalisasi. Di negara-negara Barat, sektor berkenaan telahpun menggunakan teknologi terkini sesuai dengan peredaran zaman menjadikan minda masyarakat dan penuntut-penuntut di sana mendahului beberapa tahun ke hadapan. Di samping corak pembelajaran masih menggunakan kaedah guru-guru terlatih, tetapi teknologi maklumat diberikan penekanan dan keutamaan.

Dalam pada itu, sektor pengangkutan dan lalu lintas juga turut merasai bahang globalisasi apabila sektor berkenaan menggunakan teknologi komputer untuk mempercepatkan serta memberikan kemudahan yang tercanggih kepada pengguna.

Kalau dulu, pengangkutan awam dikuasai oleh kenderaan seperti kereta, bas dan kereta api yang dipandu manusia sebagai pengangkutan pilihan pengguna untuk ke sesuatu tempat dalam tempoh masa yang agak lama. Namun, dengan wujudnya kemudahan kereta api yang dikawal oleh komputer seperti LRT dan komuter menjadikan masa yang panjang menjadi pendek untuk sampai ke destinasi yang dituju terutamanya kepada pengguna-pengguna pengangkutan awam berkenaan.

Berdasarkan kepada kewujudan globalisasi yang telahpun dirasai dunia dalam dekad ini, bagaimana halnya dengan pemimpin-pemimpin di negara-negara Islam sendiri? Apakah mereka telah bersedia dengan kehadiran globalisasi atau terpaksa merempat di negara sendiri?

Dalam konteks persaingan dalam era globalisasi dan teknologi maklumat, siapa yang rajin berusaha untuk maju pasti akan berjaya. Sebaliknya, siapa yang masih berangan-angan dan hanya bercakap besar "seperti katak di bawah tempurung" negara Islam pastinya ketinggalan dalam segenap bidang.

Paling deritanya jika negara-negara Islam terpaksa menjadi hamba sepanjang hayat jika era terkini tidak dapat direntasi sebagaimana yang dilalui oleh negara-negara bukan Islam. Dengan itu, pertikaian dan percanggahan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin negara Islam yang dianggap telah lapuk dan tidak memberikan sebarang manfaatnya yang hakikatnya boleh merugikan  negara dan masyarakatnya sendiri perlu dielakkan dengan segera.

Sebaliknya kita perlu menyahut era berkenaan apatah lagi dengan ramai golongan yang berilmu dan pakar-pakar Islam yang sudah tiba masanya kemahiran mereka itu  digunakan sepenuhnya supaya kita tidak ketinggalan jauh ke belakang yang nantinya kita dijadikan sebagai alat untuk memusnah dan dimusnahkan sesama sendiri.     


Peralatan canggih petanda wujudnya globalisasi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 5 Mac 2012

Krisis Air Dunia


KRISIS AIR DUNIA

KALAU tidak kerana haiwan dan tumbuh-tumbuhan, jangan harap hujan akan turun. Namun jika hujan tidak turun, adakah manusia akan memperolehi air sebagaimana yang sepatutnya? Sebaliknya apabila dianugerahkan air sebagai bahan keperluan manusia, apakah tabiat dan sikap kita terhadap bahan keperluan tersebut?

Persoalannya, mengapa air bersih yang digunakan sebagai minuman, mencuci pakaian dan mandi yang ketika dahulu melebihi paras keperluan tetapi kini telah susut dan semakin menurun. Apakah puncanya dan siapakah penyebabnya sehingga di sesetengah tempat air sukar ditemui walaupun aktiviti menggali perigi sebagai alternatif untuk mendapatkan sumber bekalan air tidak berhasil?

Masyarakat kita jangan terlalu berharap bahawa bekalan air bersih masih mencukupi walaupun kita masih sempat minum, mandi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk. Kekurangan bekalan air yang menyebabkan beberapa batang sungai dan tempat simpanan air turut kering sebagaimana yang dialami di beberapa negeri sebelum ini adalah sebagai pengajaran bahawa air semakin berkurangan. Namun, tabiat membazirkan air masih terus dilakukan.

Dalam jangka panjang, manusia akan menghadapi krisis sumber bekalan air yang serius seiringan dengan krisis makanan dan krisis nilai mata wang yang juga dijangka bermasalah. Namun, air adalah lebih berharga berbanding makanan.

Tanpa makanan, manusia masih dapat hidup, sebaliknya jika tanpa air untuk selama tiga hari sahaja, manusia akan mati. Maknanya air itu lebih penting, tetapi jika air yang diminum turut tercemar ternyata akan lebih mendatangkan kesan buruk kepada jangka hayat manusia.

Menurut fakta, dianggarkan kira-kira 1.2 bilion penduduk kini kekurangan bekalan air bersih disebabkan beberapa punca seperti pencemaran, kemarau, pembaziran air, pembebasan karbon dioksida di udara, masalah lapisan ozon yang semakin nipis akibat pelepasan bahan-bahan kimia dan racun makhluk perosak, aktiviti pembalakan dan pembakaran terbuka serta peningkatan jumlah penduduk bumi dua kali ganda atau lebih dalam abad yang akan datang.

Wartawan alam sekitar BBC, Alex Kirby melaporkan "bumi ini tidak lagi mempunyai air bersih berbanding 2,000 tahun lalu apabila penduduk kurang dari saiz tiga (3) peratus daripada saiz hari ini".

Perbezaannya amat jelas apabila negara-negara Timur Tengah sebelum ini yang dilaporkan jarang-jarang mendapat hujan seperti Israel, Jordan dan Syria memperolehi sumber air dari Lembah Sungai Jordan. Tetapi kini, akibat dari kekurangan bekalan air tersebut, beberapa buah negara seperti Arab Saudi, Israel, Jordan dan Afrika terpaksa mengimpot air bersih, malah dianggarkan dalam tempoh 25 tahun lagi, kira-kira 48 buah negara dengan lebih dari satu pertiga penduduk dunia akan menderita kehausan air.

Semasa musim kemarau pada tahun 1984-1985 di Mesir, jumlah air yang mengalir ke Aswan telah jatuh sebanyak 38 bilion meter padu, di bawah bahagian yang diperuntukkan kepada Mesir.

Manakala pada tahun 1986, simpanan air Mesir telah jatuh ke paras 24 bilion meter padu atau kurang satu perlima daripada kandungan simpanannya dan lebih kurang satu pertiga jumlah penggunaan tahunannya. China juga menghadapi kekurangan bekalan air yang mana hanya lapan (8) peratus air jernih yang boleh dibaharui selain Rusia juga turut menjadi kontang akibat penggunaan air yang berlebihan.

Bagaimana pula dalam konteks negara kita, walaupun mempunyai standard sistem dan pengurusan air yang terbaik dengan adanya sistem takungan dan tempat tadahan air serta sungai-sungai dan tasik, adakah cukup untuk menampung generasi hari ini akan datang?

Beberapa kes catuan air serta kejadian beberapa batang sungai yang turut kering akibat kemarau sebelum ini adalah menjadi pengajaran kepada masyarakat di negara kita supaya tidak terus membazirkan air dan tidak mencemari sumber bekalan air bersih itu.

Kita sedia maklum bahawa, petanda kemarau yang mengakibatkan sungai dan tempat tadahan air menjadi kering adalah berpunca dari sikap manusia sendiri iaitu dengan sengaja mencemari bekalan air, menggondol bukit-bukau dan aktiviti menebang pokok dengan sewenang-wenangnya.

Perbuatan membuang sampah, menyalurkan sisa bahan kimia dan toksik ke dalam sumber bekalan air adalah sikap yang tidak bertanggungjawab manusia terhadap ekologi yang secara langsung menyebabkan air bersih semakin susut dan berkurangan.

Usaha pihak Jabatan Pengairan dan Saliran memulihkan beberapa batang sungai tercemar sebelum ini seperti Sungai Kelang, Sungai Juru, Sungai Kinta, Sungai Melaka dan Sungai Kedah adalah menunjukkan bahawa negara kita juga mengalami masalah sumber air tersebut.

Sejajar dengan itu, kalau sikap suka membazirkan air tidak dibendung, lambat-laun masyarakat di negara ini akan menghadapi krisis air yang kronik dan menderita kehausan air berpanjangan dan mungkin selama-lamanya.

Justeru, ingatlah kepada titah "Parakrama Bahu The Great, iaitu Raja Sri Lanka pada abad ke-12 telah membentuk satu standard pengurusan air iaitu "jangan membiarkan setitik air hujan mengalir ke laut tanpa memberi faedah kepada manusia". Dengan itu, hargailah air sebagaimana kita menghargai nyawa kita sendiri.


Hargailah air sebagai bahan keperluan untuk hidup.




 Apabila kemarau, air semakin susut dan berkurangan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 4 Mac 2012

Memanfaatkan Masa


MEMANFAATKAN MASA

MASA itu emas. Jangan bazirkan masa itu dengan perkara yang sia-sia. Masa itu tidak akan menunggu kita. Inilah sebahagian ungkapan dan kata-kata nasihat yang sering dicetuskan oleh orang-orang tua kita supaya setiap kanak-kanak, remaja yang masih di bangku persekolahan serta masyarakat umumnya tidak membazirkan masa paling berguna dalam kehidupan mereka.

Sebagaimana garapan Sasterawan Negara (SN), Datuk A. Samad Said melalui puisinya "Inti Masa" bahawa, masa itu sebenarnya ghaib tetapi ada. Namun kebanyakan manusia tidak menggunakan kesempatan dan ruang masa itu dengan sebaik mungkin. Sebaliknya manusia sering mensia-siakan masa dengan menjadikannya sebagai tunggul yang tidak berguna sehingga manusia sendiri lupa tentang hikmah di sebaliknya.

Setiap insan di dunia dikurniakan 24 jam atau 1,440 minit atau 86,440 saat dalam sehari. Masa itu pada hakikatnya penting mulai daripada lahirnya seorang bayi ke dunia sehinggalah akhir hayat mereka.Sebagaimana nasihat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W  bahawa tidak wajar setiap manusia khasnya dan masyarakat muslim amnya membazirkan masa yang diperuntukkan kepada perkara-perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada diri mereka sendiri lebih-lebih lagi kepada agama, bangsa dan negara.

Seorang muslim yang baik, bijak dan berfikiran waras akan menilai kepentingan masa kepada mereka dengan sebaik mungkin. Ini kerana, jika ketinggalan sesaat masa seolah-olah mereka kerugian selama satu jam. Mereka akan melakukan segala aktiviti yang memberikan manfaat sahaja sebagai mengisi masa lapang. Golongan remaja dan adik-adik yang masih di bangku persekolahan juga tidak wajar menghabiskan masa yang diperuntukkan itu kepada aktiviti yang tidak mendatangkan faedah seperti menonton televisyen secara keterlaluan, bermain permainan video dan komputer, melepak, membaca komik dan majalah hiburan serta tidak berbuat apa-apa dengan menjadikan masa itu berlalu begitu sahaja.

Manakala aktiviti bermanfaat yang boleh adik-adik lakukan ialah menolong ibu bapa, mengemas rumah, membaca buku dan bahan bacaan yang berfaedah, belajar membaca dan menghafal Al-Quran dengan betul, bermain bersama kawan-kawan, bersenam atau beriadah, pergi ke perpustakaan dan gotong-royong membersihkan halaman rumah.

Sesetengah golongan dewasa juga sama ada kalangan lelaki dan wanita dikatakan sering menghabiskan masa yang berguna kepada aktiviti yang tidak mendatangkan keuntungan umpamanya berbual kosong, banyak tidur, menghabiskan masa di warung-warung kopi, bermain dam dan membeli-belah.

Amat malang sekali terdapat segelintir di kalangan ibu bapa yang menunjukkan teladan yang tidak baik kepad anak-anak mereka itu yang akhirnya turut ditiru oleh mereka.

Kenapa kita tidak melakukan aktiviti yang sihat sepanjang hari umpamanya bersenam untuk menyihatkan badan, membaca buku dan akhbar yang mempunyai banyak maklumat dan pengetahuan, membuat potongan akhbar dan ditampal ke dalam buku, membersihkan sampah-sarap untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes dan lalat, membersihkan longkang untuk mengelakkan air bertakung dan tersumbat, mengadakan perbincangan dalam hal-hal kemasyarakatan untuk mendekatkan hubungan sesama jiran tetangga, mendidik anak-anak membaca dengan lancar, mengajar anak-anak perempuan memasak dan sebagainya.

Sebagai seorang muslim dan muslimat yang sejati dan bijak yang dapat menilai masa sebagai nikmat yang paling berharga yang diperuntukkan oleh Allah S.W.T, maka tidak sepatutnya manusia mensia-siakannya kepada perkara-perkara yang membazir.

Seseorang yang ketinggalan masa bermakna dia telah ketinggalan usianya. Dengan itu, nilailah masa itu sebagai nikmat yang paling berharga dalam hidup. Sesungguhnya damai dan bertuahlah bagi seseorang yang dapat menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik-baiknya.


 Masa itu sebahagian daripada kehidupan manusia.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 2 Mac 2012

Kg.Che Him (Thailand)


KEHIDUPAN MASYARAKAT KG. CHE HIM

TAK BAI, THAILAND:  KAMPUNG CHE HIM yang terletak dalam daerah Tak Bai (Taba), Thailand adalah sebuah perkampungan Melayu yang sekadar dipisahkan dengan Malaysia di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan melalui perhubungan sungai berjarak 300 meter. Sejumlah besar penduduk di kampung berkenaan adalah terdiri daripada bangsa Melayu beragama Islam dan rata-ratanya bertutur dalam dua bahasa iaitu bahasa Siam dan dialek Kelantan. Oleh kerana mereka masih mampu bertutur dalam loghat Kelantan akan memudahkan segala urusan terutamanya dengan para penduduk dari daratan sebelah sini yang sering bertandang ke tempat itu sama ada untuk urusan membeli barangan dan hubungan kekeluargaan.

Berikutan Kampung Che Him, Tak Bai sekadar dipisahkan oleh sebuah sungai melalui jeti utama dari Pengkalan Kubor yang menghubungkan Jabatan Imigresen Kelantan dengan Jabatan Imigresen, Thailand, maka laluan berkenaan dianggap laluan tersohor yang disahkan oleh kedua-dua buah negara berjiran dan rata-ratanya bagi kedua-dua penduduk yang cintakan keamanan dan keharmonian akan menggunakan laluan berkenaan untuk berulang-alik melalui perkhidmatan kapal penumpang (tongkang) dengan tambang sebanyak RM2 seorang.

Menariknya apabila anda ke sana, layanan masyarakat di situ amat mesra sebagai rumpun Melayu yang masih unggul yang cintakan keharmonian dengan menganggap Islam itu sebagai agama persahabatan. Dengan yang demikian, sebagai pelancong kita tidak akan teringat lagi tragedi Selatan Tak Bai yang tercetus beberapa tahun lalu. Setibanya anda di Jeti Tak Bai itu, anda akan disambut oleh sekumpulan penunggang bermotosikal yang menawarkan khidmat menghantar ke destinasi yang ingin dituju selain perkhidmatan kenderaan awam berwarna biru dan hijau yang siap menunggu kedatangan penumpang dan pelancong.

Penulis yang disambut baik sebagai pelancong yang dihargai dari Malaysia daripada beberapa penduduk di Jeti Tak Bai itu kemudiannya dibawa ke kediaman Ahmad bin Yaacob, 49, yang menetap di Kampung Che Him sejak tahun 1990. Masyarakat di kampung itu yang begitu ramah memanggil namanya secara ringkas 'Abang Mat' dan kunjungan Penulis ke kampung berkenaan adalah sekadar untuk mengetahui kehidupan semasa masyarakat di Kampung Che Him tersebut.

Menurut Abang Mat, kebanyakan penduduk Melayu di situ akan bertutur dalam bahasa Siam apabila bertemu sesama mereka dan akan melayani setiap tetamu dari Kelantan dengan dialek Kelantan. Manakala anak-anaknya sendiri tidak begitu mahir bertutur dalam dialek Kelantan tetapi amat fasih bertutur dalam bahasa Siam, namun baginya sering menggunakan kedua-dua bahasa tersebut terutamanya apabila menyambut kunjungan Penulis.

Menceritakan tentang kehidupan dan rutin harian penduduk-penduduk Kampung Che Him, pada masa dulu kebanyakan penduduk kampung berkenaan terdiri daripada golongan nelayan seperti nelayan kecil serta nelayan laut dalam. Bagi nelayan kecil, mereka menangkap ikan di sungai-sungai dan muara sungai serta kawasan pinggir pantai. Manakala bagi nelayan yang mampu berdikari dan mempunyai kelengkapan seperti kapal besar akan menangkap ikan di kawasan laut dalam.

Selain itu, bagi yang mampu membeli dan mengemudi kapal penumpang (tongkang), mereka akan menjadikannya sebagai kapal pengangkutan awam dengan mengutip tambang terutamanya kepada penumpang-penumpang dari sempadan sebagai salah satu sumber pendapatan harian.

Manakala bagi golongan yang mempunyai van sendiri akan menjadikan kenderaan tersebut sebagai kenderaan awam untuk membawa pelajar-pelajar ke sekolah yang letaknya di bandar besar seperti Narathiwat dalam jarak 8 kilometer sebagai pekerjaan sampingan yang boleh menambahkan pendapatan. Mereka akan mengambil tambang di antara 50 sen sehingga 10 baht (RM1) untuk seorang secara pergi dan balik. Malahan bagi ibu bapa yang mempunyai kenderaan sendiri akan menghantar anak-anak mereka sendiri ke sekolah.

Hari ini, apabila dunia semakin maju apatah lagi dengan wujudnya konsep negara berjiran seperti Malaysia (Kelantan), kebanyakan perusahaan di Kampung Che Him telah berkembang pesat seperti pembuatan kain tudung. Sasaran utama jualan kain tudung ini adalah kepada pembeli-pembeli dari Kelantan yang sering ke Kampung Che Him atas urusan perniagaan mahupun kekeluargaan. Namun, perolehan pendapatan yang dianggap paling lumayan di Kampung Che Him sekarang ialah perniagaan kain tudung, barangan runcit berbanding kerja-kerja lain.

Dari konteks perniagaan, kebanyakan peniaga-peniaga di Kampung Che Him memperolehi pendapatan sehari sebanyak 200 baht (Thailand) bersamaan RM20 (Malaysia). Selain itu, kebanyakan penduduk di Kampung Che Him bekerja dengan mengambil upah membelah ikan bilis.

Sementara itu, terdapat ramai kakitangan awam yang memperolehi pendapatan dari kerajaan seperti guru, kastam, imigresen dan sebagainya. Bagi graduan yang keluar universiti lantas memperolehi sebagai penjawat awam, gaji permulaan sebanyak 2,000 baht atau RM800. Pendapatan ini akan sentiasa meningkat berdasarkan kepada kemahiran seseorang penjawat awam itu. Berbeza di Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah layak untuk memohon sebarang jenis pekerjaan. Namun, di Kampung Che Him sijil SPM itu adalah STPM iaitu dalam Tingkatan Enam. Bermakna, jika seseorang pelajar itu memperolehi sijil SPM masih belum layak untuk memperolehi sebarang pekerjaan di jabatan kerajaan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan pelajar STPM yang dibantu kerajaan untuk memenuhi beberapa jawatan khusus dari setahun ke setahun seperti di hospital. Pendapatan di sini juga dikira satu tahun ke satu tahun. Kalau sekiranya jawatan berkenaan masih wujud, pekerja terbabit dibolehkan untuk meneruskan tugasnya di tempat berkenaan, tetapi jika jawatan berkenaan tidak lagi wujud, khidmat pekerja terbabit tidak akan disambung lagi. Berbanding jika pekerja terbabit adalah lulusan universiti atau pusat pengajian tinggi akan mendapat penghormatan daripada pihak kerajaan.

Namun, terdapat beberapa penduduk di Kampung Che Him yang mempunyai lulusan universiti yang telah memperolehi pekerjaan tetapi masih ada yang belum mendapat tawaran di dalam sektor awam terbabit.

Menurut Ahmad Yaacob, terdapat tiga buah sekolah di Kampung Che Him yang jaraknya dari rumah lebih dari satu kilometer, justeru mereka menunggang motosikal sendiri ke sekolah. Sementara sekolah paling jauh yang letaknya di Tak Bai yang jaraknya kira-kira lima kilometer. Di antara tiga buah sekolah tersebut meliputi sekolah tadika, sekolah rendah (sehingga Kelas 6) dan sebuah sekolah menengah.

Menyentuh tentang masalah pengangguran yang sering dialami oleh kebanyakan negara, Kampung Che Him juga tidak terlepas dari beban tersebut. Menurutnya, masalah pengangguran amat sukar diatasi dan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus, masalah pengangguran wujud di Kampung Che Him.

Punca pengangguran di kalangan muda mudi berdasarkan kepada beberapa sebab seperti terpengaruh dengan masalah bahan terlarang seperti penagihan najis dadah. Sebabnya, jika golongan remaja mempunyai pelajaran mereka tentunya dapat berfikir dengan matang bahawa penglibatan dengan gejala dadah misalnya boleh mengundang risiko, jadi jika remaja tidak berpelajaran akan mudah terjebak ke kancah yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri. Selain kurangnya ilmu yang mendorong remaja terjebak dengan mengambil pil-pil yang mengkhayalkan, masalah pergaulan bebas juga menjadi suatu hal yang amat sukar diatasi.

"Masalah golongan remaja atau kanak-kanak terbiar setakat ini di Kampung Che Him belum berlaku lagi dan saya pun tidak pernah mendengar tentangnya. Ini disebabkan keprihatinan kerajaan dalam menangani golongan berkenaan, kerana mereka adalah sebagai aset negara di masa akan datang", katanya.

Sambungnya, dari segi bantuan kerajaan pula tidak dilupakan terutamanya kepada warga emas. Kerajaan banyak menyalurkan dan mengagih-agihkan bantuan bulanan khususnya kepada warga emas dan golongan berkenaan memperolehi 500 baht (RM50) sebulan. Bantuan seumpama ini mula diperkenalkan oleh pihak kerajaan sejak lebih setahun yang lalu bagi meringankan beban golongan terbabit kerana terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan global.

"Selain itu, bantuan kerajaan kepada golongan fakir dan miskin seperti membina sebuah rumah untuk satu keluarga yang daif, ini termasuklah bantuan kewangan berdasarkan masalah yang dihadapi oleh golongan terbabit.

"Manakala bantuan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, itik serta ayam turut tidak dilupakan kepada golongan yang layak. Setakat ini, sudah agak ramai yang telah menerimanya", ujar Ahmad Yaacob.

Tambahnya, ketika negara diancam atau dilanda banjir tsunami pada tahun 2004 dulu, sehingga hari ini tiada lagi banjir yang melanda Kampung Che Him. Bagi bencama seumpama ini, kerajaan segera menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir berdasarkan kepada keadaan kerosakan sesebuah rumah dan barangan lain yang tidak dapat diselamatkan, selain bantuan makanan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

"Misalnya jika rumah yang rosak akibat banjir, kerajaan akan mengagihkan simen sebanyak 30 kampit bagi sebuah rumah yang akan dibina baru. Manakala papan dan sebagainya hanya diberikan separuh sahaja dan pemilik rumah perlu menanggung sebahagiannya pula.

"Manakala bantuan makanan seperti beras, jika kawasan lain mengalami masalah banjir tetapi di Kampung Che Him tidak mengalaminya, bantuan kerajaan akan tetap diterima oleh penduduk Kampung Che Him ini. Manakala Raja Siam sendiri menghulurkan bantuan beras kepada penduduk yang terlibat berjumlah tiga (3) kilogram bagi setiap rumah", tambahnya.

Apabila ditanya tentang sikap prihatin kerajaan yang dikatakan sanggup memberikan bantuan kepada setiap isi rumah tentang pembahagian beras tersebut, beliau menjelaskan, sememangnya setiap rumah memperolehi bantuan beras sebanyak tiga (3) kilogram setiap rumah. Kesemua beras yang diberikan oleh pihak kerajaan itu adalah beras yang terbaik dan bermutu tinggi.

Kata Ahmad Yaacob lagi, tentang kos sara hidup bagi setiap keluarga sememangnya semakin meningkat. Ini kerana, pada masa dulu setiap isu rumah berbelanja kira-kira 200 baht atau RM20 dalam sehari dianggap mencukupi. Sebaliknya hari ini dalam tempoh sebulan, sekurang-kurangnya kos sara hidup sebanyak 5,000 baht atau RM500 terpaksa dibelanjakan kepada makanan sahaja. Hal ini bergantung kepada keadaan sesebuah rumah sama ada keluarga terbabit mempunyai kanak-kanak sekolah mungkin akan lebih dari itu.

"Sementara bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak sekolah, dianggarkan dalam sehari kira-kira 100 baht atau RM10 terpaksa dibelanjakan. Purata kos sara hidup di Kampung Che Him agak menjimatkan berikutan kos makanan di sini agak murah berbanding dengan tempat-tempat lain", jelasnya.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan Malaysia tentang harga barangan, beliau menjelaskan bahawa, dari satu segi harga barangan memang murah di Thailand dan dari segi lain murah di Malaysia. Tetapi bagi penduduk-penduduk di sempadan terutamanya di Kampung Che Him sendiri akan mendapatkan barangan makanan seperti gula, minyak masak, susu dan telur dari Malaysia kerana harganya lebih murah. Tetapi jika dibandingkan dengan Thailand, beras yang merupakan makanan asasi dianggap paling murah.

Katanya, berhubung dengan barangan tekstil seperti pakaian, kebanyakan harga pakaian sama ada di Thailand mahupun Malaysia dianggap hampir sama, tetapi jika dinilai tentang peratusan harga murah masih didominasi oleh Thailand. Namun, terdapat beberapa jenis kain yang terpaksa dibeli di Malaysia kerana harganya jauh lebih murah berbanding dengan Thailand seperti kain wanita, berbanding kain yang dipakai oleh lelaki lebih murah di Thailand. Tetapi bagi kain sepasang yang dipakai oleh orang perempuan amat murah di Malaysia.

Sementara itu, bagi barangan makanan keperluan seperti gula, susu, telur, milo, nescafe, kebanyakan penduduk di Kampung Che Him membeli di Malaysia iaitu di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan yang jauh lebih murah berbanding di Thailand. Ini kerana, barangan seumpama ini di Thailand agak tinggi yang mana bagi setiap satu kilo mencecah sehingga 30 baht (RM3) hingga 40 baht (RM4) berbanding di Malaysia.

Membicarakan tentang perkhidmatan penumpang awam, kebanyakan van di Thailand digunakan oleh pemiliknya sebagai kenderaan awam dan hal ini telah dibenarkan oleh pihak kerajaan. Kebanyakan van ini digunakan oleh pemiliknya untuk mencari sumber pendapatan keluarga yang mana ia digunakan untuk membawa penumpang ke destinasi yang dituju, selain teksi, kereta dan motosikal. Misalnya van bagi golongan dewasa boleh memuatkan seramai 20 orang penumpang, manakala bagi pelajar sekolah sehingga mencecah 25 orang. Tetapi terdapat juga pengangkutan awam paling murah turut digunakan oleh kebanyakan pemilik dan penunggang motosikal untuk mengangkut penumpang sehingga kapasiti penumpang mencecah tiga orang bagi sesebuah motosikal.

"Dari segi tambang, dari Kampung Che Him ke Narathiwat dikenakan tambang sebanyak 30 baht atau RM3 bagi orang dewasa. Manakala bagi pelajar sekolah pula, harga tambang 30 baht (RM3) itu pergi dan balik", ujar Ahmad Yaacob.

Berhubung dengan konsep ko-kurikulum yang diamalkan di kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia, di Kampung Che Him pihak sekolah mendapat peruntukan untuk projek sekolah seperti lawatan sambil belajar terutamanya kepada Kelas Satu dan Kelas Lima. Manakala bagi Kelas Enam yang akan mengakhiri zaman sekolah rendah, mereka akan melawat ke tempat-tempat menarik sebagai sebahagian dari aktiviti pihak sekolah terbabit.

"Misalnya bagi Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam, kerajaan memberikan peruntukan kepada pihak sekolah untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar mengenali tempat-tempat yang belum pernah mereka kunjungi, jadi dengan adanya peruntukan terbabit, pelajar-pelajar akan mendapat peluang itu dan seolah-olah dihargai", katanya.       

Ditanya tentang juadah dan makanan yang sering disajikan untuk keluarga, Ahmad Yaacob menjelaskan, kebanyakan keluarga dan penduduk di Kampung Che Him lebih menggemari juadah dari ikan dalam setiap masakan dan lauk-pauk yang mereka sajikan. Ini disebabkan, kebanyakan penduduk di Kampung Che Him ini terdiri daripada golongan nelayan, tentunya akan menjadikan ikan sebagai juadah kegemaran mereka sejak dulu.

"Kalau di Kampung Che Him, jika ikan dijual misalnya ikan selayang sekilo berharga 40 baht (RM4), ikan kembung 50 baht (RM5). Manakala jika ikan yang dijual itu terdiri dari ikan segar yang baru pulang dari laut pada hari tangkapan dan dijual terus kepada pembeli dengan harga 100 baht (RM10) sekilo", ujarnya.

Sebaliknya pula, bagi kebanyakan ikan yang tidak boleh dimakan atau tiada selera untuk dimakan seperti ikan kakap dan kerapu, segelintir di kalangan nelayan dan orang ramai akan menjual ikan-ikan tersebut sebagai umpan kepada kaki-kaki pancing. Kalau ikan-ikan besar dan banyak, sesetengahnya akan dijadikan sebagai ikan baja kerana dengannya boleh menambahkan sumber pendapatan sampingan kepada keluarga.

Menyentuh tentang kebanyakan hobi dan kegemaran, Ahmad Yaacob tidak menafikan tentangnya kerana hobi dan kegemaran memang tidak dapat dipisahkan. Begitu halnya dengan kebanyakan golongan muda mudi di Kampung Che Him yang terdiri daripada kaki pancing kerana ia adalah sebahagian daripada aktiviti masa lapang tetapi secara tidak langsung boleh mendapatkan sumber makanan dan pendapatan juga.

"Kita dapati kaki pancing khususnya golongan muda memang ramai di Kampung Che Him ini kerana hal ini sebahagian dari hobi mereka di masa lapang. Namun, jika dilihat kawasan untuk aktiviti yang dimaksudkan, dianggap tidak sesuai, kerana itu kita dapati hobi seumpama itu jarang dilakukan.

"Namun, bagi aktiviti memukat ikan dianggap aktiviti tersohor di Kampung Che Him. Ini kerana, ikan-ikan di kawasan ini memang banyak", katanya.

Justeru jelasnya, bagi golongan pemancing, kawasan yang sering dijadikan tempat kaki pancing ialah di antara Pengkalan Kubor dan Tak Bai. Kawasan inilah akan dapat dilihat beberapa pemancing berkumpul bersama kumpulan mereka. Kebanyakan hasil pancing yang diperolehi seperti udang, ikan kakap, ikan selangat adalah sebagai sajian makanan untuk keluarga sahaja. 


Penulis bergambar di Jabatan Imigresen Kelantan, Pengkalan Kubor, Tumpat di laluan ke Thailand.

Inilah jeti Pengkalan Kubor, Tumpat sebagai laluan ke Thailand melalui sungai.

Perkhidmatan kapal penumpang (tongkang) dengan tambang RM2 seorang sejauh 300 meter.

Ahmad bin Yaacob atau Abang Mat.

Abang Mat ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Perkhidmatan darat, kenderaan awam bersedia membawa penumpang dan pelancong ke destinasi yang dituju.


 Pekerjaan utama di Kampung Che Him adalah berniaga makanan.


Salah sebuah Sekolah Menengah Taba, di Kampung Che Him.



Inilah Taman Raja di Kampung Che Him.



Suasana dan pemandangan biasa di Kampung Che Him, Tak Bai, Thailand.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 1 Mac 2012

Karenah Gadis Remaja


KARENAH GADIS REMAJA

SEJAK kebelakangan ini kejadian rogol, pemerkosaan, mencabul kehormatan dan perlakuan sumbang sering menjadi-jadi. Perbuatan seumpama ini menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan dalam perjalanan hidup remaja-remaja kita sehinggakan sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu demi memuaskan nafsu serakah mereka.

Kejadian yang semakin parah ini pastinya menjadi bencana dan membiaknya generasi yang tidak sihat jika tindakan awal untuk membendungnya tidak dilaksanakan.

Kalau satu ketika dahulu, kita tidak menjadi hairan jika remaja-remaja telahpun mempunyai teman lelaki atau teman wanita dalam usia 20-an. Namun, remaja-remaja di waktu itu sentiasa menjadi perhatian kedua ibu bapa supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak senonoh atau menconteng arang ke muka.

Tetapi hari ini, ada pelajar sekolah rendah telahpun mempunyai teman lelaki mereka dalam usia 30-an. Maka remaja-remaja kita sama ada lelaki dan perempuan bebas ke mana-mana tempat yang mereka sukai tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu daripada ibu bapa sebagai suatu tindakan yang wajar dilakukan.

Bahkan remaja-remaja kita akan melarikan diri jika kehendak mereka tidak ditunaikan oleh ibu bapa. Untuk mengelakkan anak-anak gadis melarikan diri dari rumah, ibu bapa terpaksa mendiamkan diri dan mengalah. Fenomena sedemikian akan memberikan ruang kepada remaja-remaja kita untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh menurut kehendak hati mereka. Mereka sanggup membonceng motosikal teman lelaki dan menurutnya ke mana arah yang dibawa oleh teman lelaki mereka itu.

Kesempatan ini akan terjadilah apa yang dikatakan 'rogol', perbuatan yang paling mengerikan ialah rogol secara bergilir-gilir dan mengarahkan mangsa untuk pulang sendiri.

Dalam banyak sebab yang menjurus tentang wujudnya kejadian rogol, pemerkosaan dan perlakuan sumbang adalah berpunca daripada sikap gadis-gadis remaja sendiri yang mudah menurut hati mudanya tanpa memikirkan apakah akibat yang akan berlaku di sebalik tindakan mereka itu.

Gadis-gadis remaja kita sebenarnya mudah termakan pujuk rayu apatah lagi jika teman lelakinya sanggup berbelanja sama ada membeli pakaian baru serta mengajaknya makan dan minum. Maka terdapat kes-kes 'khayal' dan tidak sedarkan diri selepas makan dan minum bersama teman lelaki sering terjadi akibat kecuaian gadis-gadis remaja kita.

Selain itu, kejadian rogol bukan sahaja disebabkan oleh teman lelaki yang menjadikan gadis-gadis berkenaan sebagai mangsanya. Tetapi perbuatan berkenaan turut dilakukan oleh seseorang yang paling rapat dan dikenalinya yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri umpamanya abang, ayah dan atuknya. Apabila kita membaca akhbar, terpampang berita tentang anak dirogol bapa kandung atau bapa tiri, bapa saudara merogol anak saudara, abang merogol adik dan atuk merogol cucu.

Kajian yang pernah dilakukan oleh Pasukan Penderaan Seksual di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ke atas kes penderaan seksual di antara 1996 hingga 2000 menunjukkan sebahagian besar mangsa terbabit mengenali pendera atau perogol mereka, yang terdiri daripada anggota keluarga sendiri atau teman lelaki. (Utusan Pengguna, CAP, Januari 2002)

Hari ini, penyakit sosial ini yang juga dapat diistilahkan sebagai barah yang penuh dengan keganasan, penderaan dan seksual iaitu kes rogol semakin menular dalam masyarakat kita. Malah suatu perkara yang memeranjatkan ialah terdapat dari kes berkenaan melibatkan individu yang telahpun menjangkau usia 50 tahun ke atas tetapi sanggup melakukan gangguan seksual terhadap gadis bawah umur akibat desakan nafsu yang tidak terkawal.

Dalam banyak punca dan sebab yang menjurus tentang wujudnya kejadian rogol, pemerkosaan dan perlakuan sumbang terhadap gadis-gadis remaja kita ialah berhubung dengan tatacara berpakaian.

Gadis-gadis remaja kita hari ini sebenarnya telah hilang arah dan mereka tidak lagi mementingkan maruah dan harga diri dalam konteks berpakaian. Mereka enggan berpakaian yang lebih sopan, malah tidak segan-segan dengan mengenakan pakaian yang ketat, nipis dan sendat yang menampakkan bentuk tubuh mereka.

Mereka menjadi bangga jika dapat berpakaian seumpama itu apatah lagi jika ada remaja-remaja lelaki yang mengusik mereka kononnya cara berpakaian seperti itu menampakkan kecantikan sebenar seseorang gadis remaja. Tanpa disedari oleh gadis-gadis remaja kita bahawa ungkapan seumpama itu adalah suatu 'perangkap' yang boleh menjerumuskan mereka ke kancah 'menjual' kesucian mereka sendiri. Tetapi itulah yang menjadi kebanggaan gadis-gadis remaja kerana pujian tersebut menunjukkan diri mereka adalah cantik dan bersesuaian dengan citarasa kaum yang berlawanan jenis dengan mereka.

Jika dilihat kepada perkembangan gadis-gadis remaja kita hari ini bahawa, mereka sebenarnya semakin berani menunjukkan bentuk tubuh mereka di sebalik pakaian yang dipakai mereka yang hakikatnya untuk tontonan umum.

Keadaan sedemikian juga berpunca akibat banyaknya majalah-majalah menyampah seperti majalah hiburan, fesyen pakaian yang melampau, melambaknya filem-filem luar negara sama ada boleh ditonton melalui cakera padat video (VCD) mahupun melalui kaca televisyen.

Pengaruh internet juga tidak mustahil yang boleh mendorong gadis-gadis remaja kita melayari laman fesyen terkini yang hakikatnya tidak bersesuaian dengan kehendak budaya Timur serta garis panduan yang diperkenalkan oleh agama Islam berhubung dengan cara berpakaian yang sepatutnya.

Media seperti ini banyak menyajikan cerita-cerita dan gambar-gambar sama ada daripada artis-artis dalam dan luar negara kononnya berpakaian secara seksi itu adalah cantik dan indah pada pandangan mata.

Dalam hal demikian, gadis-gadis remaja malahan pelajar-pelajar sekolah yang enggan berfikir panjang dan masih belum matang terus menerima pelawaan media-media berkenaan untuk turut serta sebagai ejen perubahan kepada berpakaian yang tidak senonoh dan menjolok mata.

Masalah persekitaran, pembangunan yang tidak terkawal serta pengaruh rakan-rakan juga dikatakan turut menjadi punca gadis-gadis remaja kita bebas mengenakan pakaian yang tidak sepatutnya. Budaya berpakaian ketat yang menampakkan susuk tubuh ini adalah budaya yang paling bahaya yang dibawa oleh golongan orientalis dan Yahudi untuk cuba menyesatkan golongan gadis-gadis remaja Melayu kita yang beragama Islam.

Masalah pergaulan secara tidak sihat di antara gadis-gadis remaja akan menambahkan kemelut yang melanda gadis-gadis kita. Sindrom pergaulan yang tidak terbatas dan terlalu bebas oleh gadis-gadis remaja yang seolah-olah tidak menunjukkan sebarang kebimbangan dengan perkara-perkara yang bakal berlaku terhadap mereka menjadi punca wujudnya rogol dan pemerkosaan selain kerelaan yang ditunjukkan oleh gadis-gadis remaja kita sendiri.

Dengan itu, bagaimanakan kita dapat mengatasi masalah rogol dan pemerkosaan yang begitu tragik yang sering dialami oleh gadis-gadis remaja kita. Apakah wujudnya nafsu yang tidak mengenal batas usia di kalangan lelaki sehingga tergamak melakukan rogol terhadap darah daging mereka sendiri yang diistilahkan sebagai 'sumbang mahram?' Atau apakah kerana gadis-gadis remaja kita yang seolah-olah mencabar sifat lelaki kononnya lelaki sekarang tidak lagi dianggap bahaya kepada mereka?

Bagaimana pula dengan undang-undang Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 yang telah digubal kerajaan dalam usaha untuk mengatasi permasalahan rogol yang semakin parah ini. Apakah undang-umdang berkenaan hanya tercetak di atas kertas semata-mata tetapi penguatkuasaannya begitu lemah.

Atau mungkin juga berpunca dari sikap masyarakat kita yang tidak ingin memberikan kerjasama yang sewajarnya dalam usaha untuk membendung kejadian rogol lebih-lebih lagi terhadap gadis-gadis bawah umur yang sering menjadi mangsa kerakusan lelaki hidung belang yang tidak berperikemanusiaan.

Kita berharap supaya penyakit sosial yang paling memalukan ini tidak terus berpanjangan sehingga amat sukar untuk diatasi sedangkan dalam masa yang sama tindakan yang lebih berkesan tidak dapat dilakukan.

Justeru itu, kaunseling yang lebih kerap perlu diwujudkan kepada semua peringkat sama ada ditujukan kepada golongan dewasa dan remaja supaya masyarakat kita dapat menilai betapa buruknya jenayah rogol dalam usaha untuk membendung keganasan dan gangguan seksual daripada menjadi sebahagian budaya yang boleh memusnahkan kehidupan masyarakat kita.

Pakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh menjadi tarikan perogol.


  Kejadian rogol tidak mengira tempat jika mangsanya cuai.
 
 Tulisan dan Foto: 
AZMI MOHD. SALLEH