RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 13 Februari 2012

Gadis Hilang Malu


GADIS HILANG MALU

MASALAH keruntuhan akhlak di kalangan remaja sering menjadi buah mulut orang ramai. Nampaknya tidak ada sebarang perubahan yang boleh menjurus agar masalah sedemikian dapat dibendung. Usaha yang sepatutnya diteruskan untuk melihat generasi muda tidak terus hanyut seolah-olah menemui jalan buntu.

Apakah pihak kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensinya sudah hilang keyakinan untuk mengambil langkah wajar. Atau mungkin sikap para ibu bapa yang enggan memberikan kerjasama dan tidak ingin campur tangan dalam mendidik dan memberikan nasihat kepada anak-anak remaja mereka yang menjadikan anak-anak naik kepala?

Kalau di bandar-bandar terkemuka umpamanya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru sering menjadi tumpuan golongan remaja dengan segala nasalahnya, tetapi kita jangan lupa masalah remaja telah menular ke seluruh negeri tanpa memilih tempat atau kawasan.

Berita tentang keruntuhan moral di kalangan remaja ini dianggap tidak berkesudahan. Apakah langkah terbaik memerlukan paradigma dan perhatian yang lebih khusus oleh pihak kerajaan?

Kita tidak menaruh bimbang sangat terhadap remaja lelaki kerana itulah sikap mereka dan mereka mudah dibentuk. Namun, hal yang paling ketara kini adalah sukarnya membentuk gadis-gadis remaja supaya mereka dapat menerima segala nasihat dan tunjuk ajar yang terbaik. Apatah lagi jika gadis-gadis remaja sudah jauh terjebak tanpa pengetahuan ibu bapa dan keluarga mereka.

Masalah yang menghantui gadis-gadis remaja kini adalah berhubung dengan cara berpakaian yang dianggap tidak senonoh, menjolok mata dan hilang kesopanan yang sepatutnya diberikan perhatian oleh insan yang bergelar 'gadis'.

Sifat kegadisan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T  yang penuh dengan kelembutan, sopan-santun dan berbudi bahasa yang sering diamalkan oleh gadis-gadis remaja zaman lampau telah beransur hilang. Kita lihat hari ini, sifat gadis telah bertukar kepada sifat 'lelaki'.

Gadis-gadis remaja hari ini kebanyakannya lebih gemar memakai pakaian ketat dan adakalanya nipis yang menampakkan anggota tubuh yang dianggapkan oleh mereka sebagai perkara biasa malah telah dijadikan amalan dalam berpakaian harian. Mereka tidak menunjukkan rasa 'malu' berpakaian seperti itu.

Sebagai gadis atau perempuan yang penuh dengan adat ketimuran, sepatutnya mereka mengenakan pakaian yang lebih sopan umpamanya berbaju kurung dan pakaian yang menutup aurat sepenuhnya supaya kelihatan lebih menarik dan dipandang mulia. Tetapi gadis-gadis remaja hari ini menganggapkan, berbaju kurung dan mengenakan pakaian yang sopan serta yang menutup seluruh tubuh itu amat tidak selesa dan telah 'ketinggalan zaman'.

Maka hari ini, kita dapat lihat di mana-mana sekalipun gadis-gadis bebas berpakaian menurut kehendak dan kemahuan mereka tanpa halangan. Mereka bukan sahaja berpakaian nipis dan ketat yang menampakkan bentuk-bentuk tubuh. Sebaliknya mereka turut berpakaian seperti lelaki iaitu berseluar panjang, berbaju-T (T-Shirt) atau berkemeja panjang yang hakikatnya dipakai oleh lelaki. Malahan baju yang selebihnya akan dililitkan di pinggang yang sepatutnya mereka memegangnya dengan tangan. Malahan apabila dilihat dari belakang, kita mungkin akan terkeliru sama ada seorang lelaki atau gadis jika berpakaian sedemikian?

Keadaan ini menyebabkan kita sebagai seorang lelaki merasa malu jika mengenakan pakaian yang seakan-akan sama dengan pakaian yang dipakai oleh gadis-gadis berkenaan. Sebaliknya gadis-gadis remaja adalah sebaliknya tanpa menunjukkan rasa segan dan malu dengan cara berpakaian sedemikian.

Dalam pada itu, kadang-kadang terdapat juga kalangan gadis-gadis remaja yang berjalan menurut rentak lelaki. Mereka berjalan terkial-kial sambil hilai ketawa dan bersorak-sorai mengalahkan remaja lelaki. Sepatutnya, mereka memulakan langkah secara teratur dan penuh sopan-santun untuk menunjukkan seorang gadis yang penuh dengan adat. Tetapi hari ini sebaliknya pula yang berlaku.

Di samping itu, mereka bebas melepak di mana-mana menurut runtunan naluri. Pergaulan mereka juga di luar batasan sebagai seorang gadis yang mempunyai harga diri. Dari konteks pergaulan harian misalnya, seorang gadis akan bersama-sama dengan dua orang lelaki atau lebih, mereka tidak menunjukkan rasa malu ataupun takut terhadap risiko yang bakal mereka hadapi jika berkeadaan begitu. Mereka boleh mengangkat sebelah kaki yang diletakkan di sebelah atas sebagai tempat untuk berpijak dan sebelah lagi diletakkan di bawah.

Perhatikan juga semasa gadis-gadis hari ini duduk di kerusi atau sebarang jenis tempat duduk. Mereka duduk dengan semahunya tanpa melapik punggung dengan tapak tangan sebagai salah satu cara penuh hormat yang sepatutnya dilakukan oleh tiap-tiap wanita beradab. Malahan mereka duduk secara 'mengangkang' di samping berseluar ketat yang menampakkan anggota tubuh tertentu.

Namun, kita tidak nampak apakah perubahan seterusnya antara sikap mereka dengan ibu bapa mereka sendiri. Apakah mereka menghormati ibu bapa sebagai orang tua berguna yang membesarkan mereka atau sebagai 'sampah?'

Jika mereka menganggap ibu bapa sebagai sampah dan hilangnya rasa hormat terhadap orang-orang tua, maka masalah keruntuhan akhlak di kalangan gadis hari ini di tahap yang serius dan ia perlu diberikan perhatian yang serius agar gadis-gadis remaja tidak menurut haluannya sendiri dan terus tersesat dengan dunianya.

Tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak akibat perubahan tersebut sama ada berpunca dari pembangunan dan persekitaran yang dialami dalam negara, masalah filem-filem menyampah melalui media elektronik dan video cakera padat (VCD) yang berlambak di pasaran, pengaruh meniru budaya dari Barat yang telah jauh meresap hingga menjadi ikutan gadis-gadis remaja di negara ini atau akibat pengaruh internet yang menjadikan gadis-gadis remaja hilang arah.

Walau apa pun yang berlaku, masalah keruntuhan akhlak yang majoritinya di kalangan remaja-remaja Melayu, langkah yang wajar dan bijaksana perlu dilakukan segera sebelum 'nasi menjadi bubur' yang akhirnya kita sendiri yang sakit mata memandangnya. Dengan demikian, para ibu bapa perlulah sentiasa memberikan nasihat serta tunjuk ajar yang terbaik bermula dari bangku sekolah supaya anak-anak gadis mereka  tidak 'menconteng arang ke muka'.


Gadis remaja sekarang gemar berpakaian ketat dan menampakkan susuk tubuh.


Berpakaian seperti ini (berbaju kurung) kelihatannya lebih bersopan sesuai dengan gadis Timur.

Gadis remaja sanggup membonceng motosikal teman lelaki.

Minum sambil berjalan pun menjadi trend gadis-gadis remaja sekarang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan