RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 17 Februari 2012

Kumpul Wang Lama


KUMPUL WANG LAMA

TUMPAT, KELANTAN:  LAIN padang lain belalang, lain orang lain pula hobi dan kegemarannya. Ternyata hobi mengumpul dan menyimpan wang lama menjadikan seseorang itu akan sentiasa prihatin terhadap harta benda sama ada miliknya sendiri ataupun daripada pemberian orang lain, malah individu berkenaan akan sentiasa berhati-hati dalam kehidupan harian. Sikap individu seumpama ini tentunya lahir dari hati yang tulus dan ikhlas akan menjadikannya lebih peka terhadap semua perkara.

Hobi mengumpul wang lama adalah aktiviti sihat sebagai pekerjaan santai-santai sambil melakukan aktiviti lain yang juga dianggap berfaedah. Begitulah halnya yang ditunjukkan oleh seorang pengumpul wang lama yang juga warga emas, Abdullah bin Che Ibrahim, 57, atau lebih dikenali sebagai Paksu Llah dari Kampung Sungai Pinang, Palekbang, Tumpat, Kelantan.

Katanya, beliau berminat dan telah menjadikan hobi sepenuhnya sejak berusia 15 tahun iaitu ketika masih di bangku persekolahan dalam Tingkatan Tiga lagi. Ia bertitik tolak daripada minat yang ditunjukkan oleh ibunya yang juga seorang pengumpul wang lama.

"Paksu mula mengumpul wang lama ini sejak berusia 15 tahun lagi. Sebab, terlalu sukar untuk mencari wang lama kalau tidak dikumpul dari awal. Kalau dapat pun, tentunya dalam cetakan baru.
"Hobi dan dorongan kuat mungkin dari sifat ibulah, sebab dia pun peminat wang lama juga", katanya ketika ditemui Penulis di warung kopi miliknya itu.

Menurutnya, kebanyakan wang lama tersebut dikumpulnya hasil pemberian daripada rakan-rakan yang mengenalinya seperti Timbalan Menteri Besar Kelantan sekarang, Y.A.B Datuk Haji Ahmad Yaakob serta rakan akrabnya yang hanya dikenali sebagai Yie yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Tambahnya, rakan-rakannya itu memintanya untuk menyimpan wang yang dimaksudkan kerana mengenali beliau salah seorang yang agak cermat dan bimbang akan hilang jika dijaga sendiri. Malahan tidak kurang juga, Paksu Llah mengusahakannya dengan mencarinya sendiri dengan memperolehinya daripada orang ramai termasuk jiran-jiran terdekat yang masih memiliki wang lama tersebut.

Selain rakan-rakan dan jiran-jirannya, tidak kurang juga wang lama tersebut diberikan oleh beberapa orang pelanggannya yang mengenalinya apabila terpandang beberapa koleksi simpanan wang lama yang terpampang di dinding warung kopinya itu. Mereka dengan ikhlas hati meminta beliau menyimpannya dan menghadiahkannya sebagai kenangan tanpa dikenakan sebarang bayaran atas dasar persahabatan dan menghargai minat yang ditunjukkan oleh Paksu Llah berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan wang lama yang dikumpulnya adalah dari luar negara seperti dari Jepun, Amerika Syarikat, England, Filipina, Indonesia, Thailand, selain wang ringgit Malaysia dalam bentuk ($) dan sebagainya.

Apabila ditanya tentang hasratnya untuk mengumpulnya secara besar-besaran, beliau berkata, usaha dan minat ke arah itu memang wujud dalam dirinya, namun beliau bimbang cita-cita tersebut terbantut.
"Usaha untuk memperbesarkan minat mengumpul wang lama ini memang ada. Tetapi bimbang tidak kesampaian, sebab banyak perkara yang perlu dilakukan", ujarnya.

Selain wang kertas lama yang terpampang di dinding warung kopinya itu, terdapat wang syiling hasil pemberian ibunya sendiri yang seolah-olah menggalakkan minatnya sejak awal turut dipampang di tempat yang sama.

Sambungnya, berita tentang minat beliau seorang pengumpul wang lama bukan sahaja sudah tersebar luas dan telah diketahui oleh penduduk-penduduk di kampung tersebut termasuk jiran-jirannya sendiri, namun ramai juga penduduk dari luar Kelantan yang telah mengetahui minatnya itu apabila telah dimuatkan dalam beberapa akhbar tempatan.

"Paksu sanggup menjual wang kertas lama dari luar negara jika ada yang berminat membelinya dengan harga yang tinggi. Ini adalah rezeki keluarga Paksu", katanya apabila diminta komen sekiranya ada peminat yang ingin membelinya dengan harga yang sewajarnya.

Justeru, hobi mengumpul wang lama adalah aktiviti berfaedah sebagai riadah untuk mendidik jiwa untuk sentiasa menyayangi harta milik sendiri terutamanya yang sukar dicari selain menghargai pemberian orang lain. Itulah hati dan jiwa tentunya akan sentiasa tenang dan berasa puas apabila hasrat untuk mewujudkannya sebagai cita-cita tercapai.

Abdullah Che Ibrahim atau Paksu Llah.

Paksu Llah ketika ditemubual Penulis di warung kopi miliknya.




Inilah beberapa contoh wang kertas lama dan syiling yang sempat dikumpul oleh Paksu Llah.

Teks dan Foto:
  AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan