RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 12 April 2012

Alam Meraung


"ALAM MERAUNG"

ALLAH S.W.T  menciptakan alam ini tidak sia-sia supaya manusia itu sentiasa berfikir tentang kejadian-Nya. Unsur-unsur dari alam seperti air, udara, tanah dan sebagainya banyak memberikan tanda dan petanda supaya manusia itu sentiasa insaf dan tidak lalai, kerana manusia yang hidup di dunia ini tidak akan kekal selamanya di dunia. Ini kerana, manusia akan dipindahkan ke suatu alam yang lebih kekal iaitu "alam akhirat". Kampung manusia yang sebenarnya ialah kampung akhirat bukannya kampung di dunia. Hanya sebagai simbolik manusia yang hidup di atas dunia perlu mengumpul bekalan yang diperlukan dalam menuju kampung akhirat.

Sebagaimana manusia mengumpul banyak wang sebagai menampung hari tua, begitulah selepas mati nanti, dunialah tempat terbaik untuk mengumpul bekalan yang sepatutnya dibawa ke sana, jika tidak amat sia-sia manusia yang hidup di atas dunia. Bukan sahaja hidup mereka tidak berguna kerana mensia-siakan masa tersebut, sebaliknya matinya mereka di atas dunia ini pun dianggap sia-sia.

Sebagai seorang muslim, Allah S.W.T menciptakan di atas dunia ini pelbagai keperluan untuk dinikmati oleh manusia seperti makanan, minuman, tempat tinggal, tidur dan sebagainya. Makhluk Allah S.W.T yang ada di sekeliling manusia seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga amat berguna kepada manusia. Walaupun manusia sentiasa menghitung diri, perlulah manusia mengambil pengajaran tentang kejadian tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Tentang kejadian langit, bulan, bintang, matahari dan sebagainya mempunyai pelbagai keperluan dan kegunaan kepada manusia. Manusia jangan sekadar menikmatinya tetapi perlu memerhatikannya. Kenapa bulan tidak sama dengan matahari malah sebaliknya pula.

Membicarakan tentang alam, sejak kebelakangan ini malah sebelum ini pun pelbagai kejadian alam yang dianggap aneh dan pelik, misalnya beberapa kalimah Allah dan Muhammad pada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Malah alam ini sendiri sentiasa menonjolkan dirinya dalam keadaan pelik yang kurang diberikan perhatian oleh manusia. Manusia yang sentiasa menyaksikan kejadian dan berfikir tentangnya yang dapat mentafsirkan menurut perkara yang sepatutnya. Namun, amat malang manusia yang sibuk dengan diri, kerja dan harta tidak mempedulikan itu semua. Manusia ini dianggap sombong kerana tidak mempedulikan apa yang diciptakan untuk mereka.

Allah S.W.T menciptakan alam ini sudah cukup dengan sifat-Nya. Peranan gunung sebagai pasak, bukit-bukau, sungai, tasik, lautan dan sebagainya. Kesemua ini bukanlah sekadar suatu pemandangan yang perlu dilihat oleh manusia. Merekalah tentera Allah, meraungnya mereka kerana sifat manusia sendiri yang sombong dan lupa diri, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai manusia lebih-lebih lagi sebagai seorang muslim, perlakuan maksiat dan sebagainya natijah perlakuan buruk manusia yang menyebabkan alam ini tiba-tiba meraung semahu-mahunya, namun manusia yang berhati batu tidak memahami keadaan itu.

Di Kelantan misalnya, kejadian aneh yang pernah berlaku pada 1 Ogos, 2009 dulu, ramai yang tidak mengetahui kejadian tersebut di mana kelihatan pancaran cahaya kuning keemasan dari arah kiblat yang memancarkan ke arah yang bertentangan. Akibat silauan tersebut menyebabkan bangunan, pokok, jalan raya dan air hujan dan segala objek yang terkena silauan itu mewujudkan warna kuning keemasan. Sementara arah bertentangannya pula kelihatan cahaya biru muda di langit malah kelihatan pula sejalur pelangi mewarnai dada langit.

Wartawan RELATIF pernah menghantar SMS kepada 10 orang rakan meminta pandangan mereka, apakah perasan dengan suasana itu dan apakah tanda serta petanda di sebalik terbitnya silauan tersebut. Ramai yang tidak dapat memberikan jawapannya. Lantas Penulis memberikan jawapan, Kelantan akan dilanda ribut yang agak pelik. Memang benar, pada 30 September, 2009 iaitu sebulan dari tarikh itu berlakulah ribut yang agak kuat melanda seluruh negeri Kelantan. Malahan kejadian yang hampir sama berlaku pula pada 20 Jun, 2011.

Kejadian berkenaan tidak habis setakat itu sahaja, kerana pada 23 Februari, 2012 Penulis dapat merakam kejadian mentari pagi berwarna kuning yang tidak pernah Penulis saksikan kejadian itu sebelum ini. Malahan suatu hal yang agak pelik ke atas diri Penulis apabila pada 6 Mac, 2012 yang lalu Penulis dapat melihat dengan jelas kejadian bumi merekah dan laut bergelora yang paling dahsyat (mungkin anugerah Allah kepada Penulis), gementar juga seluruh badan selepas itu. Hal ini Penulis majukan kepada salah seorang rakan Penulis dalam Abjad Kelantan, juga tidak dapat memberikan jawapan di sebalik peristiwa tersebut.

Selepas itu, pada 28 Mac, 2012 satu lagi kejadian alam yang agak pelik apabila Penulis dapat merakam sinar mentari pagi berwarna merah. Ketika rakaman foto, tidak kelihatan warna merah kecuali jika dilihat secara realiti. Kedua-dua hal ini Penulis telah majukan dalam Facebook (FB) meminta pandangan rakan-rakan, namun tiada yang memberikan komen di sebaliknya, apakah tanda dan apakah petanda di sebalik itu. 

Manakala pada 11 April, 2012 Penulis bersama isteri dan ahli keluarga yang lain ke Pantai Irama, Bachok, Kelantan kerana tugas yang perlu diselesaikan. Ketika jam menunjukkan pukul 2.45 petang tiada sesuatu yang pelik berlaku tetapi Penulis berasa agak terlalu mengantuk. Untuk menghindarkan masalah mengantuk itu, Penulis bergegas ke arah Pintu Gerbang Pantai Irama lalu merakam foto tempat berkenaan. Ketika melangkah dari arah itu menuju ke tempat duduk Penulis berdekatan pantai, dalam perjalanan itu Penulis melihat seluruh pantai seperti turun dan mendap ke bawah. Hairan dengan kejadian itu apatah lagi penulis tidak mengetahui petanda di sebaliknya, Penulis kemudiannya melabuhkan ke tempat duduk.

Setelah duduk beberapa ketika, dalam pukul 3.20 petang Penulis dapat mendengar suara laut yang garang dan bengis. Penulis menoleh ke arah bunyi suara tersebut seketika melihat pantai dalam keadaan tenang. Kalau dikatakan ombak yang menghempas pantai bunyi tidaklah segarang yang pernah Penulis dengar apatah lagi keadaan laut pada ketika itu dalam keadaan tenang. Tetapi suara kali kedua paling garang dan terakhir yang ketiga kali dengan bunyi yang sama. Lantas Penulis meminta isteri dan anak-anak untuk mengemas segala keperluan supaya dimasukkan ke dalam kereta untuk berangkat pulang kerana bimbang sesuatu kejadian buruk.

Setelah tiba di rumah dan sempat solat Zohor dan Asar, anak Penulis yang berada di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang mengirimkan SMS menyatakan gegaran berlaku di Pulau Pinang. Beberapa minit kemudiannya, rakan Penulis dari Wakaf Baharu, Kelantan mengirimkan SMS dengan hal yang sama apabila berita TV memberitahu berlaku gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara Indonesia

Dalam hal ini, amat jelas pada anggapan Penulis bahawa kejadian warna mentari pagi dan peristiwa yang dialami sendiri oleh Penulis untuk memberikan petanda bahawa suatu kejadian "alam meraung" sememangnya bakal berlaku dan ia berlaku pada 10 April, 2012 jam 3.38 petang (gegaran pertama) dan selepas itu berlaku gegaran kedua jam 6.45 petang.

Walau bagaimanapun, kuat, hebat dan kayanya manusia dalam di atas dunia sebenarnya masih miskin dan tidak dapat menandingi kehebatan Allah S.W.T.  Apabila berlaku kejadian gegaran tersebut, betapa kecilnya manusia yang dianggap hebat dan gagah kerana manusia tidak dapat menggegar alam ini kecuali Allah S.W.T  jua.

Justeru, sebelum terlambat berfikirlah. Alam ini bukan milik manusia. Kaya dan hebatnya manusia hanya di atas dunia sahaja. Jika manusia meninggal, tiada lagi kehebatan dan kekayaan yang dimiliki. Apatah lagi jika alam ini dikembalikan kepada asalnya, di situlah kita akan ditempatkan.




Kejadian silauan kuning keemasan dari arah Kiblat. (Gambar kecil kerana rakaman dengan telefon bimbit).

Mentari pagi berwarna kuning pada 23 Februari, 2012.

Mentari pagi berwarna merah pada 28 Mac, 2012.

Dari arah inilah Penulis melihat seluruh pantai seperti turun dan mendap untuk menggambarkan tanda dan petanda yang berlaku.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan