RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 10 Jun 2012

Misteri Gua Ikan


MISTERI GUA IKAN

KUALA KRAI, KELANTAN:  GUA IKAN yang terletak berhampiran dengan Kampung Slow Pak Long dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan adalah sebuah gua batu kapur. Perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Ikan sejauh 150 kilometer, dari Kuala Krai (95 kilometer) dan dari Pekan Dabong (7 kilometer). Pada tahun 1970 dulu, Gua Ikan adalah sebuah gua yang agak tersohor bukan sahaja keadaan sungainya yang agak dalam malah dipenuhi ikan-ikan yang agak besar sifatnya, selain persekitarannya masih dipenuhi hutan dan pohon-pohon yang hidup subur menghijau.

Melihat kepada persekitaran dan pemandangan dari luarnya, Gua Ikan tidak sunyi dari kicauan burung dan unggas tanpa mengenal waktu pagi atau petang, namun tanpa disedari umum, gua batu kapur yang tersergam gagah itu mempunyai teman yang menjaganya iaitu makhluk halus dan gua ini sebenarnya dipenuhi dengan kejadian misteri. Memang agak biasa bagi penduduk asal di situ, tetapi bagi penduduk dari daerah lain yang baru mengenali Gua Ikan akan berasa terasing dan sememangnya bagi setiap tetamu yang datang akan diperhatikan oleh makhluk halus yang didakwa dari bangsa "bunian" yang menghuni di permukaan gua termasuk di puncaknya adalah dunia dan perkampungan asalnya.

Salah seorang penduduk asal yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung Gua Ikan itu berkata, bagi orang luar yang pertama kali menjejakkan kaki ke Gua Ikan seolah-olah memberikan gambaran untuk tidak memasuki gua berkenaan. Pengalaman beberapa pengunjung Gua Ikan sebelum ini yang pernah mendengar suara aneh tetapi tidak kelihatan batang tubuhnya, malahan terdapat juga yang dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian serba putih tiga beranak yang sering mundar-mandir di kawasan Gua Ikan itu seolah-olah sebagai pengawal gua terbabit yang sering dilihat di beberapa tempat terutamanya di kawasan permukaan gua tersebut.

Menurut Pak Da Soh, kejadian misteri Gua Ikan semakin popular ketika pembukaan dengan rasminya Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun 2006. Salah satu cerita yang agak tersohor dari mulut ke mulut ialah tentang jelmaan kumpulan pendakwah muda seramai 12 orang yang entah dari mana munculnya, dengan tiba-tiba menuju ke arah gerai makanan milik Kak Da yang barangkali untuk menjamu selera.

"Cerita 12 orang pendakwah muda yang memakai jubah putih, memang kacak dan lawa, tidak siapa tahu munculnya dari arah mana. Bagi pelanggan yang sedang makan tetapi tidak dapat melihat kelibat mereka, mungkin tidak ada apa-apa.

"Tetapi salah seorang pelanggan yang dapat melihat gerombolan mereka sedang menuju ke arah gerai Kak Da, terpaksa menghabiskan makanan dengan cepat lalu beredar keluar dari gerai itu", cerita Pak Da Soh.

Katanya, dalam masa sejam selepas pendakwah muda itu selesai menjamu selera dan membayar harga makanan, mereka beredar seorang demi seorang menuju ke sebuah jambatan yang menghubungkan dataran di taman rekreasi itu dengan laluan ke gua terbabit yang dipisahkan dengan sebuah sungai lalu ghaib di kawasan itu.

Setelah dipastikan kumpulan pendakwah muda itu kesemuanya beredar dari gerai makanan Kak Da dan tiada lagi di situ, salah seorang pelanggan yang keluar agak tergesa-gesa dari gerai tersebut tiba-tiba masuk kembali lalu menerpa ke arah Kak Da untuk mendapatkan butiran cerita dan pandangan Kak Da tentang kumpulan pendakwah muda yang agak ramai itu datangnya dari mana?

Menurut Pak Da Soh, soalan yang dikemukakan oleh pelanggan terbabit agak menghairankan Kak Da kerana dirinya tidak melihat apa-apa terhadap gerombolan itu tetapi sekadar melihat seperti manusia biasa sahaja dan bukannya seperti pendakwah yang memakai jubah putih sebagaimana yang dimaksudkan oleh pelanggannya itu. Mereka adalah manusia biasa yang sekadar singgah di gerainya semata-mata untuk menjamu selera.

Apabila ditanya Pak Da Soh tentang komennya berhubung dengan dakwaan pelanggan terbabit yang dilihatnya bahawa pendakwah muda yang agak luar biasa dari segi sifat sebagai manusia telah mengunjungi gerai Kak Da, tetapi tidak dapat dilihat oleh orang lain atau pelanggan-pelanggan yang sedang menikmati hidangan sekadar melihat pemuda-pemuda itu seperti manusia biasa, Pak Da Soh menjelaskan, memang Gua Ikan adalah suatu tempat yang penuh misteri.

"Gerombolan pemuda itu sebenarnya dari bangsa bunian yang turun dari puncak Gua Ikan itu untuk menjamu selera di gerai Kak Da. Di puncak Gua Ikan itu sememangnya perkampungan mereka, ada masjid, tempat dakwah dan rumah kediaman", jelas Pak Da Soh.

Justeru, amat jelas bahawa Gua Ikan bukan sekadar sebuah tempat yang sunyi dan menenangkan fikiran, pengunjung juga tidak wajar berada di kawasan tamannya untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan menjolok mata. Disebabkan kawasan berkenaan perkampungan makhluk halus yang asal apatah lagi kelemahan manusia yang tidak dapat melihat makhluk halus seperti bunian di tempat terbabit, jadi sama-samalah kita berkongsi alam ini sebagai makhluk Allah dengan menjaga adat dan tata susila di tempat masing-masing.

Zakaria bin Mohamed atau Pak Da Soh.


Papan tanda arah ke Gua Ikan.

Jalan masuk ke Gua Ikan.

Puncak Gua Ikan adalah perkampungan bunian.


Bunian dari bangsa lain menjadikan dalam Gua Ikan sebagai penempatannya.

Inilah gerai makanan Kak Da yang dikunjungi pendakwah muda berjubah putih.

Seramai 12 orang bunian yang dikatakan pendakwah muda duduk di sini untuk menjamu selera.

Arah jambatan inilah gerombolan bunian berjubah putih ghaib.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan