RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 15 Jun 2012

Pulau Tongkang (Tumpat)


PULAU TONGKANG
(TUMPAT)
TUMPAT, KELANTAN: PULAU TONGKANG yang termasuk dalam gugusan 36 buah pulau di perairan Sungai Kelantan yang terletak dalam daerah Tumpat, Kelantan adalah sebuah pulau kecil yang juga terletak berdekatan dengan perairan Thailand. Jarak perjalanan dari daratan sebelah sini di Pengkalan Kok Majid, Tumpat ke Pulau Tongkang sejauh kira-kira 4 kilometer. Pulau Tongkang dikelilingi sungai untuk sampai ke pulau berkenaan perlu melalui tiga buah pulau yang terdiri dari Pulau Teluk Renjuna, Pulau Beluru dan Pulau Seratus.

Bagi pengunjung yang ingin ke Pulau Tongkang, pengangkutan utama di sini ialah kapal atau bot tambang di mana penumpang dewasa akan dikenakan bayaran sebanyak RM15 seorang untuk perkhidmatan pergi dan balik.

Wartawan RELATIF cuba menjengah kehidupan masyarakat di Pulau Tongkang dan sempat menemui pengusaha kedai runcit, Mustafa bin Salleh, 55, atau lebih dikenali sebagai Pa dan isterinya, Azizah binti Mamat, 45, atau lebih dikenali sebagai Kak Zah.

Menurut Mustafa, kehidupan penduduk di Pulau Tongkang tidaklah dianggap mewah jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan penduduk di daratan sebelah sini seperti di Pengkalan Kok Majid, Tumpat dan Kota Bharu. Disebabkan Pulau Tongkang dikelilingi seratus peratus sungai, tentunya segala aktiviti harian agak terhad.

"Penduduk di Pulau Tongkang meliputi 800 orang sahaja yang meliputi 80 buah rumah. Purata setiap ahli keluarga seramai 10 orang", ujar Mustafa apabila ditanya tentang jumlah penduduk di pulau berkenaan.

Katanya, kehidupan masyarakat di Pulau Tongkang amat berbeza dengan Pulau Teluk Renjuna. Bukan sahaja jaraknya agak jauh dari daratan Pengkalan Kok Majid, namun kebanyakan pekerja di Pulau Tongkang bergantung sebagai pekerja kampung semata-mata sebagai nelayan sungai dan pantai, hasil kelapa dan peruncit.

"Kebanyakan nelayan di Pulau Tongkang sebagaimana nelayan di pulau-pulau lain yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan ikan. Jika hasil tangkapan yang diperolehi itu banyak, maka mereka pastinya akan mendapat lebih dari biasa berbanding dengan nelayan sungai yang sekadar mendapatkan sumber ikan yang tidak seberapa", jelasnya.

Tambahnya, begitu juga dengan pekerja yang sekadar mengharapkan sumber dari hasil kelapa sebagai pemanjat pokok kelapa dengan menggunakan khidmat "beruk". Lazimnya dalam sehari, mereka dapat menurunkan sebanyak 500 biji buah kelapa sahaja dengan upah sebanyak RM30. Kelapa ini pula akan ditempah oleh peraih untuk dibawa dan dijual di bandar Tumpat atau daerah-daerah lain di Kelantan. Jualan kelapa ini pula bergantung kepada tempahan dari masyarakat di daratan sebelah sini.

Sementara itu, menurut isterinya, Azizah Mamat berkata, bagi golongan peruncit juga adalah sekadar menjual barangan yang mampu dibeli oleh penduduk-penduduk di kampung berkenaan. Disebabkan faktor kewangan yang mendesak, kebanyakan peruncit di Pulau Tongkang sepertinya terpaksa menjual dengan harga yang dijual oleh pemborong dan peruncit di Tumpat.

Kebanyakan peruncit sepertinya mendapatkan barangan keperluan untuk jualan di Pulau Tongkang dari pemborong di Tumpat. Mereka perlu membawanya dengan bot tambang ke Pulau Tongkang dan sekiranya barangan habis, terpaksalah mereka ke daratan di Tumpat untuk mendapatkan barangan keperluan tersebut. Sesetengah barangan runcit, mereka terpaksa menaikkan harga di antara 20 sen hingga 30 sen disebabkan tambang bot yang membawa barangan keperluan tersebut.

Menurut Kak Zah, Pulau Tongkang sebenarnya di kelilingi sungai yang agak dalam. Walaupun begitu, dianggap suatu keuntungan besar kerana kebanyakan penduduk di Pulau Tongkang tidak perlu membayar bil air kerana mereka boleh mendapatkan bekalan air di sungai terbabit atau memasang paip air ke rumah, cuma masalahnya ialah berhubung dengan bekalan elektrik yang hanya 12 jam sahaja, kemudahan tandas untuk saluran najis serta pembuangan sampah.

Apabila ditanya tentang banjir, beliau amat bersyukur kerana keadaan Pulau Tongkang agak tinggi berbanding dengan lain-lain pulau. Kalau pun mereka terpaksa berpindah disebabkan masalah banjir besar dan untuk tujuan keselamatan, terpaksalah penduduk-penduduk terbabit berpindah ke Tumpat untuk mengelakkan sesuatu tragedi yang tidak diingini.

"Setakat ini, alhamdulillah kerana walaupun banjir melanda, Pulau Tongkang ini agak tinggi. Biasanya, jika terpaksa berpindah, tempat yang dituju ialah ke Tumpat", ujarnya.

Sesuatu yang membebankan kebanyakan penduduk di Pulau Tongkang ialah berhubung dengan pelajar sekolah. Sebagaimana masalah di Pulau Teluk Renjuna, masalah yang sama di Pulau Tongkang ialah pelajar sekolah yang ingin ke sekolah terpaksa menggunakan pengangkutan sungai iaitu bot tambang.

"Penduduk Pulau Tongkang pernah menerima kunjungan wakil rakyat dari Tumpat, namun kehadiran mereka sebagai lawatan untuk menjenguk kehidupan masyarakat di pulau ini sahaja, namun tiada tindakan yang dibuat", celah Mustafa apabila ditanya tentang wakil rakyat terbabit.

Begitulah serba ringkas tentang kehidupan penduduk di Pulau Tongkang. Antara mahu atau tidak, jika diminta untuk berpindah tidak mungkin mereka akan berbuat demikian kerana itulah tanah dan perkampungan jati yang mereka miliki. Malah mereka tidak mungkin mampu membeli dan memiliki sebidang tanah sebagaimana semestinya. Apatah lagi kehidupan masyarakat di pulau itu tidak memiliki kenderaan sebagaimana penduduk di daratan sebelah sini. Jika adapun, hanyalah sekadar motosikal cabuk yang hanya digunakan untuk ke beberapa kawasan di pulau itu dengan kadar yang cepat dan tidak lebih dari itu.

Mustafa bin Salleh atau Pa.

Mustafa ketika ditemubual oleh Wartawan RELATIF (Kanan).

Azizah binti Mamat atau Kak Zah.


Persekitaran rumah di Pulau Tongkang.

Boleh dikatakan, hasil kelapa adalah pekerjaan utama penduduk di Pulau Tongkang.

Nelayan sungai hanya mengharapkan sumber ikan untuk sesuap rezeki.

Jeti atau Pengkalan Pulau Tongkang.

Perairan di Pulau Tongkang.


Bot tambang: hanya inilah pengangkutan popular untuk ke lain-lain pulau termasuk ke Pulau Tongkang. Pemandu dan penumpang terdedah kepada bahaya kerana tidak memakai jaket keselamatan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

2 ulasan:

  1. Nak minta gambar boleh..n terima kasih untuk artikel..saya pun org pulau tongkang jgk..

    BalasPadam
  2. Sebenarnya, rencana dan foto dalam 12 majalah termasuk majalah RELATIF: SIRI 01 ini adalah "Hak Cipta Terpelihara" dan dilarang sama sekali untuk menciplak, mencuri, mengedit, mengedar, menerbit dan berkongsi dalam mana-mana penerbitan sama ada dalam akhbar, majalah, makalah, blog, media sosial (facebook, twitter, instagram) dan internet. Tetapi untuk tujuan rujukan dan majalah sekolah, saya mengizinkan. - Editor Relatif, Azmi Mohd. Salleh.

    BalasPadam