RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 16 Jun 2012

Judi: Dakyah Syaitan

JUDI: DAKYAH SYAITAN

ISU judi bukanlah satu perkara baru untuk diperkatakan tetapi merupakan isu lama yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Ini kerana, kegiatan ini semakin lama kian berkembang dari kota kosmopolitan hinggalah kepada peringkat negeri dan daerah.

Pada hakikatnya, ramai yang mengetahui bahawa berjudi hukumnya haram. Tetapi oleh kerana ingin memperolehi kekayaanlah mereka mengenepikan hukum berkenaan. Kononnya apabila memperolehi wang dari kegiatan tersebut, keinginan yang diharap-harapkan akan tercapai.

Dalam soal demikian, pelbagai bentuk judi seperti Empat Nombor Ekor, Sports Toto, Big Sweep, perjudian melalui hotel-hotel terkemuka, internet dan sebagainya perlu diharamkan. Bentuk-bentuk judi berkenaan merupakan suatu perbuatan mungkar, perbuatan kotor yang didalangi syaitan malah sepatutnya dilenyapkan dari sebuah negara Islam. Dalam Al-Quran telah menegaskan hal yang sedemikian berdasarkan firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman! Minuman keras, main judi, berhala dan mengundi nasib dengan panah itu, sesungguhnya perbuatan kotor, termasuk pekerjaan syaitan, sebab itu hendaklah kamu tinggalkan, supaya kamu menjadi beruntung". (Surah Al-Maidah: ayat 90)

Allah S.W.T  menerangkan lagi tentang hakikat judi itu bahawa ia termasuk dalam kancah dosa-dosa besar. Firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka menanyakan kepada engkau tentang minuman keras dan judi. Katakan: Pada keduanya itu ada dosa besar dan ada manfaatnya kepada manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka menanyakan kepada engkau: Apakah yang akan mereka nafkahkan? Katakan: Kelebihan dari yang perlu. Begitulah Allah menjelaskan keterangan-Nya kepada kamu supaya kamu fikirkan".
(Surah Al-Baqarah: ayat 219)

Takrif judi adalah segala jenis pertaruhan yang mungkin membawa keuntungan atau kerugian sama ada wang pertaruhan tersebut dalam kadar yang banyak ataupun sedikit.

Sekiranya di dalam setiap bentuk perjudian, wang mereka menjadi bertambah, dengan itu mereka akan mendapatkannya lagi sehinggalah wang ringgit bertambah, berkurangan dan muflis. Perbuatan ini dianggap buruk dan kotor kerana orang-orang berjudi tidak akan mementingkan waktu ibadat, lupa tentang keluarga seperti anak dan isteri yang di bawah tanggungan sehingga kerananya berlakunya perceraian yang merugikan diri sendiri.

Sebenarnya pengharaman judi di dalam sesebuah negara Islam yang dipimpin oleh orang-orang Islam amatlah perlu kerana perbuatan tersebut mendatangkan bahaya yang besar kepada masyarakat khususnya terhadap umat-umat Islam. Mereka akan bersikap bengis sekiranya mereka mengalami kekalahan dan mereka tentunya akan melakukan berbagai cara ganas seperti merompak, mencuri dan sebagainya bertujuan untuk mendapatkan wang serta membalas dendam di atas kekalahan mereka.

Apabila mengetahui bahawa judi adalah haram, perihal makanan dan minuman ekoran dari hasil judi yang ditelan dan masuk ke perut sehingga menjadi darah daging pula adalah juga dianggap haram. Sedangkan Allah S.W.T  memerintahkan manusia mencari serta mendapatkan makanan dari rezeki yang halal seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Makanlah dari makanan yang baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu. Dan patuhlah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman". (Surah Al-Maidah: ayat 88)

Tertegaknya Institusi Judi adalah suatu rancangan oleh golongan yang antikan Islam yang ingin melihat agama Islam dan umat-umatnya terumbang-ambing dan musnah. Mereka menganggap, inilah satu bentuk perniagaan mudah dan dapat memperolehi keuntungan yang segera dan hakiki tanpa berpenat lelah. Golongan ini memberi tafsiran bahawa judi merupakan satu keperluan hidup bagi memperolehi kekayaan dan kesenangan yang sebenar.

Akhirnya apabila sampai ke negara-negara Islam, ia mendapat sambutan di luar dugaan. Perintan dan larangan diketepikan. Beginilah akibat manusia yang lupa daratan. Sepatutnya, apabila mengetahui bahawa berjudi itu adalah haram, perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan. Sebaliknya mereka terus mengagung-agungkannya seolah-olah mereka mempersendakan, meringankan hukum dan menentang perintah serta larangan Allah S.W.T, padahal di dalam Al-Quran menyatakan, hendaklah mentaati perintah Allah dan turutlah perintah Rasul supaya amal kebajikan yang dikerjakan selama ini tidak akan terhapus. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman! Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul; dan janganlah kamu hapus amal baikmu". (Surah Muhammad: ayat 33)

Manusia diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja berfaedah dan bermanfaat, halal dan terbaik sahaja kerana pekerjaan sedemikian akan berguna kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya orang-orang yang kerap melakukan kejahatan sama ada secara terang atau tersembunyi dari pengetahuan manusia yang lain akan membahayakan diri sendiri.

Berdasarkan kenyataan itulah, setiap peringatan itu perlu diberikan perhatian kerana darinya mendatangkan kebaikan kepada kita. Masalah mahu mendengar atau tidak adalah terpulang kepada budi bicara sendiri. Kalau difikirkan bahawa peringatan itu dianggap baik, terimalah dengan hati yang terbuka. Jika tidak, kuburkan saja kerana Allah S.W.T  memberikan peringatan demikian adalah untuk orang-orang yang bertakwa dan takut kepada Allah dan hari pembalasan nanti.

Di samping itu, jalan yang elok dan baik telah Allah tunjukki supaya manusia mengetahui dan berfikir. Tetapi orang-orang yang termasuk dalam golongan yang malang, mereka akan menjauhkan diri dari-Nya malah memilih jalan yang lain pula. Kononnya peringatan dan jalan yang ditunjukki Allah S.W.T  tidak berguna baginya dan menyekat kebebasan seseorang.

Pengaruh judi itu bukanlah satu perkara yang dianggap ringan di dalam sesebuah negara Islam. Sekiranya ia dipandang sebelah mata, tidak mempedulikan atau menganggap judi itu satu keperluan dalam sesebuah negara, seolah-olah kita yang menggalakkan perkara-perkara mungkar.

Maruah sesebuah negara Islam tidak akan tercabar atau hilang sekiranya judi dihapuskan. Bahkan kemunduran dalam sesebuah negara bukan kerana kita tidak mengambil judi sebagai asa kekuatan dalam sistem kewangan dan sumber negara. Allah S.W.T  akan menolong lebih dari itu jika perkara-perkara mungkar dibanteras. Dengan lain perkataan, tanpa judi sumber kewangan pastinya masih mencukupi di sebalik memeliharan hukum Allah dan mentaati perintah-Nya.

Sesebuah negara yang sentiasa mengalami kemunduran, masalah sosial dan kemelesetan ekonomi berpunca dari sikap dan tabiat manusia itu sendiri. Apabila setiap manusia menuruti perintah Allah S.W.T  dan mematuhi sunnah Rasul, menjauhi larangan dan kemungkaran, tentunya manusia akan sentiasa di dalam aman sentosa malah bebas dari segala bencana. Kerana yang sebenarnya, bala bencana itu berpunca dari perbuatan manusia sendiri. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu, adalah disebabkan tangan kamu sendiri; dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya". (Surah Asy-Syura: ayat 30)

Firman Allah seterusnya dalam ayat yang lain bermaksud:

"Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali".
(Surah Ar-Rum: ayat 41)

Bagaimanapun, hakikatnya manusia memang mengetahui bahawa judi adalah buruk, kotor dan merupakan tingkah laku syaitan. Bahkan akan ditimpakan bencana apabila perbuatan demikian dibiarkan berleluasa di atas muka bumi Allah ini. Berdasarkan kenyataan inilah bahawa jalan kebaikan dan keburukan terbentang luas. Hanya terserah kepada kehendak manusia itu sendiri, jalan apakah yang akan dilaluinya.

Jika diturutinya jalan yang baik, ia memperolehi kebaikan. Sebaliknya, apabila dengan sengaja menuju jalan yang buruk, buruklah akan diterima. Namun, semuanya akan binasa apabila banyak yang buruk, sebagaimana dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Zainab binti Jahsyi r.a, bahawa dia berkata:

"Pada suatu kali Nabi S.A.W  bangun dari tidurnya dengan muka merah. Beliau mengucapkan; Tiada Tuhan Melainkan Allah. Malang bangsa Arab, disebabkan bahaya yang hampir terjadi. Di hari ini telah terbuka tembok Yakjuj dan Makjuj, serupa ini". Sufyan yang meriwayatkan hadis mengisyaratkan dengan jarinya sembilan puluh atau seratus. Ada orang bertanya: "Binasakah kami, sedang di antara kami masih ada orang-orang yang baik?" Jawab Nabi: "Ya, binasa! Apabila banyak yang buruk".
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa segala perbuatan buruk seperti judi dan lain-lain lagi jika dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela di dalam sesebuah negara Islam khususnya, kebinasaan akan dialami oleh semua peringkat.

Kalau diperhatikan keadaan manusia dan dunia kini, ternyata perbuatan buruk lebih halus dari sebatang jarum, lebih tajam dari mata pisau dan lebih pantas menjalar dari seekor ular berbisa. Betapa tidak, bentuk-bentuk budaya kuning dan pengaruh kebendaan dan sayangkan harta dunia adalah dicanang oleh pengaruh Yahudi. Mereka melakukan diskriminasi ke atas umat-umat Islam seolah-olah seperti sebatang jarum. Sekali suntik ia terus merebak dan menjadi ikutan.

Kerana itu, kalau ditinjau keadaan manusia, persekitarannya mahupun dunia itu sendiri, didapati hal-hal yang haram lebih mendapat tempat. Sebaliknya yang halal tertinggal jauh ke belakang. Manusia zaman ini boleh digolongkan kepada satu zaman yang tidak mempedulikan lagi sama ada yang diambilnya halal atau haram, sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, dari Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Bakal datang kepada manusia satu masa, di mana orang tidak peduli akan apa yang diambilnya; apakah dari yang halal ataukah dari yang haram". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Justeru, tinggalkan judi jika amalannya masih diteruskan. Bahkan banteras perbuatan judi dan yang menjurus ke arah bentuk perjudian, kerana jika sampai laknat Allah bukan seorang yang akan menerima bala bencana itu tetapi sebaliknya akan dialami secara keseluruhannya.

      
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan