RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com
Memaparkan catatan dengan label Agama Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama Islam. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Jun 2012

Judi: Dakyah Syaitan

JUDI: DAKYAH SYAITAN

ISU judi bukanlah satu perkara baru untuk diperkatakan tetapi merupakan isu lama yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Ini kerana, kegiatan ini semakin lama kian berkembang dari kota kosmopolitan hinggalah kepada peringkat negeri dan daerah.

Pada hakikatnya, ramai yang mengetahui bahawa berjudi hukumnya haram. Tetapi oleh kerana ingin memperolehi kekayaanlah mereka mengenepikan hukum berkenaan. Kononnya apabila memperolehi wang dari kegiatan tersebut, keinginan yang diharap-harapkan akan tercapai.

Dalam soal demikian, pelbagai bentuk judi seperti Empat Nombor Ekor, Sports Toto, Big Sweep, perjudian melalui hotel-hotel terkemuka, internet dan sebagainya perlu diharamkan. Bentuk-bentuk judi berkenaan merupakan suatu perbuatan mungkar, perbuatan kotor yang didalangi syaitan malah sepatutnya dilenyapkan dari sebuah negara Islam. Dalam Al-Quran telah menegaskan hal yang sedemikian berdasarkan firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman! Minuman keras, main judi, berhala dan mengundi nasib dengan panah itu, sesungguhnya perbuatan kotor, termasuk pekerjaan syaitan, sebab itu hendaklah kamu tinggalkan, supaya kamu menjadi beruntung". (Surah Al-Maidah: ayat 90)

Allah S.W.T  menerangkan lagi tentang hakikat judi itu bahawa ia termasuk dalam kancah dosa-dosa besar. Firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka menanyakan kepada engkau tentang minuman keras dan judi. Katakan: Pada keduanya itu ada dosa besar dan ada manfaatnya kepada manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka menanyakan kepada engkau: Apakah yang akan mereka nafkahkan? Katakan: Kelebihan dari yang perlu. Begitulah Allah menjelaskan keterangan-Nya kepada kamu supaya kamu fikirkan".
(Surah Al-Baqarah: ayat 219)

Takrif judi adalah segala jenis pertaruhan yang mungkin membawa keuntungan atau kerugian sama ada wang pertaruhan tersebut dalam kadar yang banyak ataupun sedikit.

Sekiranya di dalam setiap bentuk perjudian, wang mereka menjadi bertambah, dengan itu mereka akan mendapatkannya lagi sehinggalah wang ringgit bertambah, berkurangan dan muflis. Perbuatan ini dianggap buruk dan kotor kerana orang-orang berjudi tidak akan mementingkan waktu ibadat, lupa tentang keluarga seperti anak dan isteri yang di bawah tanggungan sehingga kerananya berlakunya perceraian yang merugikan diri sendiri.

Sebenarnya pengharaman judi di dalam sesebuah negara Islam yang dipimpin oleh orang-orang Islam amatlah perlu kerana perbuatan tersebut mendatangkan bahaya yang besar kepada masyarakat khususnya terhadap umat-umat Islam. Mereka akan bersikap bengis sekiranya mereka mengalami kekalahan dan mereka tentunya akan melakukan berbagai cara ganas seperti merompak, mencuri dan sebagainya bertujuan untuk mendapatkan wang serta membalas dendam di atas kekalahan mereka.

Apabila mengetahui bahawa judi adalah haram, perihal makanan dan minuman ekoran dari hasil judi yang ditelan dan masuk ke perut sehingga menjadi darah daging pula adalah juga dianggap haram. Sedangkan Allah S.W.T  memerintahkan manusia mencari serta mendapatkan makanan dari rezeki yang halal seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Makanlah dari makanan yang baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu. Dan patuhlah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman". (Surah Al-Maidah: ayat 88)

Tertegaknya Institusi Judi adalah suatu rancangan oleh golongan yang antikan Islam yang ingin melihat agama Islam dan umat-umatnya terumbang-ambing dan musnah. Mereka menganggap, inilah satu bentuk perniagaan mudah dan dapat memperolehi keuntungan yang segera dan hakiki tanpa berpenat lelah. Golongan ini memberi tafsiran bahawa judi merupakan satu keperluan hidup bagi memperolehi kekayaan dan kesenangan yang sebenar.

Akhirnya apabila sampai ke negara-negara Islam, ia mendapat sambutan di luar dugaan. Perintan dan larangan diketepikan. Beginilah akibat manusia yang lupa daratan. Sepatutnya, apabila mengetahui bahawa berjudi itu adalah haram, perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan. Sebaliknya mereka terus mengagung-agungkannya seolah-olah mereka mempersendakan, meringankan hukum dan menentang perintah serta larangan Allah S.W.T, padahal di dalam Al-Quran menyatakan, hendaklah mentaati perintah Allah dan turutlah perintah Rasul supaya amal kebajikan yang dikerjakan selama ini tidak akan terhapus. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman! Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul; dan janganlah kamu hapus amal baikmu". (Surah Muhammad: ayat 33)

Manusia diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja berfaedah dan bermanfaat, halal dan terbaik sahaja kerana pekerjaan sedemikian akan berguna kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya orang-orang yang kerap melakukan kejahatan sama ada secara terang atau tersembunyi dari pengetahuan manusia yang lain akan membahayakan diri sendiri.

Berdasarkan kenyataan itulah, setiap peringatan itu perlu diberikan perhatian kerana darinya mendatangkan kebaikan kepada kita. Masalah mahu mendengar atau tidak adalah terpulang kepada budi bicara sendiri. Kalau difikirkan bahawa peringatan itu dianggap baik, terimalah dengan hati yang terbuka. Jika tidak, kuburkan saja kerana Allah S.W.T  memberikan peringatan demikian adalah untuk orang-orang yang bertakwa dan takut kepada Allah dan hari pembalasan nanti.

Di samping itu, jalan yang elok dan baik telah Allah tunjukki supaya manusia mengetahui dan berfikir. Tetapi orang-orang yang termasuk dalam golongan yang malang, mereka akan menjauhkan diri dari-Nya malah memilih jalan yang lain pula. Kononnya peringatan dan jalan yang ditunjukki Allah S.W.T  tidak berguna baginya dan menyekat kebebasan seseorang.

Pengaruh judi itu bukanlah satu perkara yang dianggap ringan di dalam sesebuah negara Islam. Sekiranya ia dipandang sebelah mata, tidak mempedulikan atau menganggap judi itu satu keperluan dalam sesebuah negara, seolah-olah kita yang menggalakkan perkara-perkara mungkar.

Maruah sesebuah negara Islam tidak akan tercabar atau hilang sekiranya judi dihapuskan. Bahkan kemunduran dalam sesebuah negara bukan kerana kita tidak mengambil judi sebagai asa kekuatan dalam sistem kewangan dan sumber negara. Allah S.W.T  akan menolong lebih dari itu jika perkara-perkara mungkar dibanteras. Dengan lain perkataan, tanpa judi sumber kewangan pastinya masih mencukupi di sebalik memeliharan hukum Allah dan mentaati perintah-Nya.

Sesebuah negara yang sentiasa mengalami kemunduran, masalah sosial dan kemelesetan ekonomi berpunca dari sikap dan tabiat manusia itu sendiri. Apabila setiap manusia menuruti perintah Allah S.W.T  dan mematuhi sunnah Rasul, menjauhi larangan dan kemungkaran, tentunya manusia akan sentiasa di dalam aman sentosa malah bebas dari segala bencana. Kerana yang sebenarnya, bala bencana itu berpunca dari perbuatan manusia sendiri. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu, adalah disebabkan tangan kamu sendiri; dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya". (Surah Asy-Syura: ayat 30)

Firman Allah seterusnya dalam ayat yang lain bermaksud:

"Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali".
(Surah Ar-Rum: ayat 41)

Bagaimanapun, hakikatnya manusia memang mengetahui bahawa judi adalah buruk, kotor dan merupakan tingkah laku syaitan. Bahkan akan ditimpakan bencana apabila perbuatan demikian dibiarkan berleluasa di atas muka bumi Allah ini. Berdasarkan kenyataan inilah bahawa jalan kebaikan dan keburukan terbentang luas. Hanya terserah kepada kehendak manusia itu sendiri, jalan apakah yang akan dilaluinya.

Jika diturutinya jalan yang baik, ia memperolehi kebaikan. Sebaliknya, apabila dengan sengaja menuju jalan yang buruk, buruklah akan diterima. Namun, semuanya akan binasa apabila banyak yang buruk, sebagaimana dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Zainab binti Jahsyi r.a, bahawa dia berkata:

"Pada suatu kali Nabi S.A.W  bangun dari tidurnya dengan muka merah. Beliau mengucapkan; Tiada Tuhan Melainkan Allah. Malang bangsa Arab, disebabkan bahaya yang hampir terjadi. Di hari ini telah terbuka tembok Yakjuj dan Makjuj, serupa ini". Sufyan yang meriwayatkan hadis mengisyaratkan dengan jarinya sembilan puluh atau seratus. Ada orang bertanya: "Binasakah kami, sedang di antara kami masih ada orang-orang yang baik?" Jawab Nabi: "Ya, binasa! Apabila banyak yang buruk".
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa segala perbuatan buruk seperti judi dan lain-lain lagi jika dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela di dalam sesebuah negara Islam khususnya, kebinasaan akan dialami oleh semua peringkat.

Kalau diperhatikan keadaan manusia dan dunia kini, ternyata perbuatan buruk lebih halus dari sebatang jarum, lebih tajam dari mata pisau dan lebih pantas menjalar dari seekor ular berbisa. Betapa tidak, bentuk-bentuk budaya kuning dan pengaruh kebendaan dan sayangkan harta dunia adalah dicanang oleh pengaruh Yahudi. Mereka melakukan diskriminasi ke atas umat-umat Islam seolah-olah seperti sebatang jarum. Sekali suntik ia terus merebak dan menjadi ikutan.

Kerana itu, kalau ditinjau keadaan manusia, persekitarannya mahupun dunia itu sendiri, didapati hal-hal yang haram lebih mendapat tempat. Sebaliknya yang halal tertinggal jauh ke belakang. Manusia zaman ini boleh digolongkan kepada satu zaman yang tidak mempedulikan lagi sama ada yang diambilnya halal atau haram, sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, dari Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Bakal datang kepada manusia satu masa, di mana orang tidak peduli akan apa yang diambilnya; apakah dari yang halal ataukah dari yang haram". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Justeru, tinggalkan judi jika amalannya masih diteruskan. Bahkan banteras perbuatan judi dan yang menjurus ke arah bentuk perjudian, kerana jika sampai laknat Allah bukan seorang yang akan menerima bala bencana itu tetapi sebaliknya akan dialami secara keseluruhannya.

      
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 23 Mei 2012

Islam Itu Bersaudara


ISLAM ITU BERSAUDARA

AGAMA ISLAM merupakan agama yang baik dan sempurna di dalam segala hal. Berdasarkan istilah lain, agama Islam adalah agama yang bermutu dalam banyak agama yang dianuti oleh seluruh penduduk dunia. Agama Islam menitikberatkan kesejagatan dalam konteks ibadat kepada Allah, hubungan di antara manusia, manusia dan kerjaya dan manusia dengan persekitarannya.

Dalam hubungan di antara umat manusia, Islam tidak memandang kepada pangkat dan kedudukan, rupa paras yang cantik atau tampan, gagah atau kurang bermaya, kaya dan miskin sebagaimana yang menjadi kebanggaan sesetengah masyarakat hari ini. Tetapi perbezaan dan perbandingan di antara status berkenaan ialah terdiri dari manusia iaitu manusia yang bertuhankan harta dan kebendaan dunia.

Melalui perhubungan di antara umat manusia, Islam hanya mementingkan perdamaian dan persaudaraan tanpa mengira batas usia, kelompok dan asal keturunan. Islam amat membenci kepada perkelahian, permusuhan dan pertumpahan darah. Apatah lagi dengan tabiat suka berperang sesama manusia dan sesama saudara seagama.

Di dalam Islam, sikap tolak ansur, bersederhana dalam segala hal serta hidup secara harmoni sentiasa dicanangkan kepada penganut-penganutnya. Jika berlaku perselisihan faham dan perbezaan pendapat, Islam menasihatkan supaya kembali ke pangkal jalan dan merujuk kepada kitab Allah kerana di situlah terdapatnya penawar yang dapat menyembuhkan segala kesakitan dan kesilapan.

Di samping itu, Islam juga menggalakkan umat-umatnya supaya sentiasa memberikan pertolongan dan bantuan walaupun seseorang yang memerlukan bantuan itu terdiri daripada umat Islam sendiri atau orang bukan Islam. Ini kerana, orang yang diberikan pertolongan dan bantuan itu akan dapat hidup dengan lebih sempurna. Hal ini amat jelas sebagaimana firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya". (Surah Al-Maidah: ayat 2)

Dalam aspek memberikan pertolongan dan bantuan ini adalah bertujuan untuk menghindarkan segala permasalahan yang dihadapi oleh individu atau kumpulan masyarakat tersebut. Di antara bentuk-bentuk pertolongan seperti dalam bentuk kewangan, tenaga kerja yang mahir, makanan, air dan sebagainya. Dalam hal ini, sudah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam sendiri yang keberatan dan enggan menghulurkan bantuan kepada umat-umat Islam yang lain, siapakah lagi yang sanggup berbuat demikian?

Dari segi betapa sukar dan rumitnya jika individu berkenaan tidak diberikan pertolongan sebagaimana yang sewajarnya, Islam menganggapkannya  sebagai dicubit paha kiri tentunya di paha kanan akan terasa sakitnya. Maknanya, Islam itu hidup bersaudara dan setiap saudaranya yang menghadapi masalah, mereka patut diberikan pertolongan.

Sementara dalam konteks individu, seorang individu muslim yang sanggup memberikan pertolongan kepada saudara-saudaranya yang muslim, individu berkenaan dianggap seorang yang beriman. Ini kerana, seorang muslim yang dianggap beriman akan merasa dirinya bersalah seandainya segala pertolongan tidak dapat diberikan kepada individu terbabit.

Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa perihal memberikan pertolongan dan bantuan yang dianjurkan oleh Islam itu dianggap baik dan digalakkan, tetapi berikutan berlaku perubahan dunia dan zaman menyebabkan sebahagian umat-umat Islam khususnya seolah-olah mengabaikannya dan berada jauh dari hidayah Allah S.W.T. Terdapat umat-umat Islam hanya memberikan bantuan kepada golongan yang lebih kaya dan golongan berada atau kepada golongan yang tidak memerlukannya atau ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Perbuatan sedemikian dianggap membazir kerana dianggap tidak bermanfaat kepada mereka untuk dinilai oleh Allah di dunia dan di akhirat nanti. Umat itu dianggap rugi kerana pemberiannya tidak bernilai malah tidak berharga di sisi Allah kerana tidak kena pada tempatnya.

Islam tidak menganjurkan penganut-penganutnya untuk memberikan pertolongan dan sumbangan bukan kepada orang yang memerlukannya atau bukan kepada tempatnya. Ini kerana, Islam adalah suatu agama yang paling baik untuk kepentingan manusia sejagat. Maka amat tidak wajar sebagai seorang Islam, orang yang sepatutnya diberikan bantuan disisihkan. Dalam hubungan ini, Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik". (Surah Ali Imran: ayat 110)

Dengan demikian, amat jelas bahawa perlunya setiap manusia memberikan pertolongan, menjaga hubungan dengan Allah S.W.T  serta menjaga hubungan di antara manusia dengan manusia. Hal ini merupakan amanah yang perlu dijaga secara keseluruhannya dan amat tidak wajar kita mengingkarinya. Ingatlah tentang amaran Allah S.W.T  bahawa akan ditimpakan kehinaan kepada umat-umat manusia yang tidak menjaga hubungan-hubungan tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Ditimpakan kepada mereka kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan mereka kembali dengan mendapat murka dari Allah dan ditimpakan kepada mereka kelemahan. Demikian itu, kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat (keterangan-keterangan) Allah dan membunuh Nabi-Nabi dengan tidak patut, mereka mendurhaka dan melanggar batas". (Surah Ali Imran: ayat 112)

Berdasarkan kepada hakikat tersebut, kita seharusnya menjadi umat yang sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia, memberikan pertolongan dan bantuan yang diperlukan dan berlaku baik kepada semua manusia tanpa membezakan status, kedudukan, keturunan, warna kulit, rupa paras mahupun kaya atau miskin. Apabila disebut manusia, kita adalah sama.

      

Hubungan manusia khususnya sesama umat Islam, ibarat cubit paha kiri akan berasa sakit di paha kanan. 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 22 Mei 2012

Islam Agama Syumul


ISLAM AGAMA SYUMUL

PADA dasarnya, definisi Islam merupakan agama yang dibawa oleh para Rasul dan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Manakala Nabi Muhammad S.A.W  ialah penyudah segala Rasul dan tiada lagi Nabi sesudah Baginda.

Di samping itu, agama Islam itu juga dapat ditakrifkan sebagai petunjuk Allah S.W.T  yang terakhir yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W  bertujuan untuk menggantikan peraturan-peraturan sebelumnya sebagai pengetahuan serta amalan umat manusia di seluruh dunia. Berikutan itu, tiada lagi agama yang diredhai di sisi Allah kecuali Islam. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah ialah Islam". (Surah Ali Imran: ayat 19)

Kerana itu, individu yang mencari selain Islam ternyata mereka menempuh kerugian di akhirat. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan siapa yang mencari agama selain Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya dan dia di hari akhirat termasuk orang-orang yang mendapat kerugian". (Surah Ali Imran: ayat 85)

Menurut Ustaz Ismail Kamus, tertegaknya agama Islam mempunyai beberapa tujuan sebagaimana dalam bukunya "Panduan Fardu Ain" iaitu:

1. Memperbaiki kepercayaan kepada zat Allah Yang Maha Esa.
2. Menghapuskan kepercayaan kepada yang lain selain daripada Allah S.W.T.
3. Memberi petunjuk bagaimana cara mengabdikan diri kepada Allah.
4. Mengatur cara beribadat.
5. Menegakkan keadilan dan keturunan.
6. Mempertinggikan akhlak manusia.

Ini menunjukkan bahawa, untuk hidup dalam Islam sepenuhnya, wajarlah setiap masyarakat Islam mematuhi segala yang telah digariskan oleh Islam, serta meninggalkan perbuatan maksiat dan kemungkaran. Setiap perintah dan kewajipan yang perlu ditunaikan meliputi rukun-rukun tertentu seperti Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, menunaikan zakat harta dan zakat badan, puasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Mekah.

Setiap umat Islam perlu menyedari bahawa setelah berjaya menunaikan Rukun Islam yang lima itu, masih belum sempurna sekiranya Rukun Iman belum dipercayai dan diyakini sepenuh hati. Maksud "iman" ialah kepercayaan dengan penuh yakin terhadap Allah S.W.T, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada' dan qadar.

Dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, katanya pada suatu hari Nabi S.A.W  duduk bersama-sama jemaah, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki bertanya: "Apakah ertinya iman?"
Jawab Rasulullah: "Iman ialah percaya kepada Allah, kepada malaikat-Nya, kepada rasul-Nya dan kepada berbangkit (sesudah mati)".
Tanya orang itu pula: "Apakah ertinya Islam?"
Jawab Rasulullah: "Islam itu ialah menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya, menegakkan solat, membayar zakat dan puasa Ramadan".
Dia bertanya lagi: "Apakah ertinya ihsan?"
Jawab Nabi S.A.W: "Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Biarpun engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau".
Tanya orang itu pula: "Bilakah hari kiamat?"
Jawab Nabi S.A.W: "Orang yang ditanya (Nabi) tidak lebih tahu dari orang yang menanyanya. Tetapi akan kuterangkan tanda-tandanya:
1. Apabila hamba perempuan melahirkan majikannya dan
2. Apabila gembala unta telah bermegah-megah dalam gedung yang indah mewah.
Dan kiamat itu salah satu dari lima rahsia yang hanya Allah mengetahuinya". Kemudian Nabi S.A.W  membaca ayat yang bermaksud:
"Hanya Allah yang mengetahui hari kiamat dan turunnya hujan dan mengetahui bayi apa yang di dalam rahim ibu, (Allah jua mengetahui) apa yang tidak diketahui orang, kerja apa yang akan dilakukan esok, (Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang, di bumi mana dia akan meninggal. Sesungguhnya Allah Maha Tahu Lagi Maha Pintar". (Surah Lukman: ayat 31-34)
Setelah itu, orang tersebut pergi. Maka sabda Nabi: "Panggillah dia kembali!" Tetapi mereka tidak nampak orang itu lagi.
Nabi bersabda: "Itulah Jibril, dia mengajarkan agama kepada umat manusia".(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam pada itu, telah seringkali kita mendengar istilah 'yakin' dan sebutannya memang agak popular dalam pelbagai keadaan. Kalau kita menghidapi penyakit, kita akan menyebutkan yakin sembuh, bukan sekadar mententeramkan hati dan perasaan, tetapi dalam keadaan tertentu ia boleh mewujudkan satu semangat untuk terus berusaha sehingga mencapai kejayaan.

Begitu juga di dalam Islam. Setiap perkara yang membabitkan kita terhadap Islam, keyakinan kepada sesuatu tujuan itu amatlah berharga. Tanpa keyakinan yang jitu segala perkara dan amalan tidak berhasil atau gagal. Dalam hal ini, perlulah ada sifat yakin dalam diri individu muslim supaya akidah seseorang akan sentiasa kekal dan jitu.

Seperti kita sedia maklum, memang setiap yang dinamakan Islam adalah sudah boleh dianggap Islam walaupun pada hakikatnya Islam itu hanyalah satu agama. Penganut-penganutnya yang menyemarakkan dan menegakkan daulah Islamiah itu. Kerana itu, tertegaknya Islam itu berpunca dari umat-umatnya, manakala mundur dan tercemarnya Islam kerana umat-umatnya juga.

Justeru, Islam bukanlah di mulut semata-mata tetapi di atas niat, sikap, akhlak di samping mengerjakan ibadat. Berikutan itu, penganut-penganut Islam boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu:
1. Islam yang tulen.
2. Islam yang disebabkan baka dan keturunan.
3. Islam tetapi masih melakukan maksiat dan kemungkaran.




Hebat dan kuatnya Islam kerana umatnya, mundur dan goyahnya Islam juga kerana umatnya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 21 Mei 2012

Kufurnya Tinggal Solat



KUFURNYA TINGGAL SOLAT

SOLAT (SEMBAHYANG) bolehlah diertikan iaitu beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam. Pengertian ini didasarkan dari segi bahasanya yang bermaksud "doa". Setiap mukmin yang mengerjakan solat wajib mengetahui syarat-syarat sah yang terdiri dari lima perkara dan rukun-rukun solat yang mengandungi tiga belas rukun.

Untuk mengerjakan solat, setiap mukmin juga dituntut mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan mengamalkan apa yang telah dipelajarinya itu dengan sebaik-baiknya. Ini kerana, sekiranya solat tidak ditunaikan dengan betul dari awal (semasa takbiratul ihram) hingga salam, solat tersebut tidak akan sah. Begitu juga ketika mengangkat kedua belah tangan untuk takbiratul ihram. Kedua tapak tangan hendaklah menghadap arah kiblat dan jari-jemarinya tidak boleh terlampau lebar renggangnya atau terlalu dirapatkan malah hendaklah dilakukan seperti yang kebiasaan dibuat.

Di samping itu, sebutan semasa takbiratul ihram tadi hendaklah juga dibetulkan. Tidak boleh disebut selain yang dituntut. Misalnya kesalahan sebutan yang lazim didengar, "Ollah huakhbar". Sebutan yang sebenarnya berbunyi: "Allah hu akhbar" (lengkap dengan bunyi nahu, panjang dan pendek sebutan).

Berikutan solat merupakan tiang seri agama, iaitu sesiapa yang menunaikan kewajipannya bermakna dia telah menegakkan agama Islam dan jika dia meninggalkannya bererti dengan sendirinya runtuhlah agama. Bertolak dari hal inilah, setiap mukmin hendaklah menunaikannya serta menjaga solatnya dengan baik dan sempurna sebagaimana ia menjaga dirinya sendiri. Bahkan sekiranya seseorang mukmin itu meninggalkan solat bermakna dia telah mengingkari perintah Allah S.W.T  supaya setiap umat Islam menunaikan solat apabila telah cukup syarat-syaratnya seperti Islam, baligh dan berakal. Berdasarkan firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Sungguhnya sembahyang itu adalah suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman". (Surah An-Nisa': ayat 103)

Berikutnya pula, Allah telah mengarahkan Nabi Muhammad S.A.W  supaya menyeru umat-umat Baginda betapa pentingnnya menunaikan solat. Sedangkan dengan mengerjakannya Allah S.W.T  tidak mengkehendaki sebarang balasan setelah perintah-Nya dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Firman-Nya yang berbunyi:

"Dan perintahkanlah umat engkau bersembahyang dan bersabarlah engkau dalam mengerjakannya; Kami tidaklah meminta rezeki pada engkau (sebaliknya) Kamilah yang memberi rezeki kepada engkau; dan akibat (kesudahan) yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa". (Surah Taaha: ayat 132)

Solat mempunyai banyak faedah, manfaat dan kebaikannya apabila dikerjakan dengan baik tanpa melalaikannya. Di antara kebaikan-kebaikan yang dapat diterapkan di sini ialah:

1. Dapat menghapuskan segala kesalahan dan dosa serta dapat mencegah seseorang dari melakukan perkara-perkara keji dan mungkar. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Sungguhnya sembahyang (fardu) itu dapat mencegah (manusia) dari melakukan kekejian dan kemungkaran". (Surah Al-Ankabut: ayat 45)

2. Seseorang yang mengerjakannya akan sentiasa memperolehi cahaya (nur) dan terlepas dari siksaan di hari kiamat. Sabda Nabi S.A.W  dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat ke satu Jumaat adalah mengkifaratkan dosa (yang terjadi) antaranya selama dia tidak melakukan dosa-dosa besar".
(Hadis riwayat Imam Muslim dan At-Termidzi)

Walaupun begitu, terdapat rumusan-rumusan mengenai hukum orang-orang yang meninggalkan solat berdasarkan Pendapat Imam-Imam Mazhab dan Para Alim Ulama. Di antaranya:


1. Mengingkari kewajipan solat dan mengatakan tidak wajib:


Seseorang yang meninggalkan solat, mengingkari akan kewajipannya dengan mengatakannya solat itu tidak wajib untuk orang Islam adalah dihukumkan "kufur" (ingkar: menjadi kafir) disebabkan menurut suatu kaedah syarak: "Siapa yang mengingkari sesuatu hukum (perintah atau larangan) Allah yang mempunyai nas (punca pegangan) daripada sumber kitab Al-Quran (Nas Qat'i: yang tiada keraguan mengenai sumbernya) seperti mengatakan tidak wajib mana yang diwajibkan Al-Quran, menghalalkan yang diharamkan Al-Quran atau sebaliknya, maka perlakuannya adalah kufur". 
(Petikan: Ijmak Kata Sepakat-Empat Orang Mazhab).

Menurut hukum tersebut, darahnya adalah halal serta boleh dibunuh sekiranya amaran dan disuruh bertaubat sedangkan ia masih berdegil juga. Kematiannya dikira dalam kekufuran bahkan mayatnya tidak dimandikan, tidak dikafan, tidak disembahyangkan dan tidak dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam. Segala hartanya tidak boleh dimiliki sesiapa kecuali dimilik negarakan.

2. Kerana malas tanpa keuzuran:

Seseorang yang meninggalkan solat secara sengaja tanpa keuzuran tetapi tidak ingkar terhadap kewajipannya dan hanya kerana malas semata-mata, sebahagian ulama menghukumnya 'kufur'. Berdasarkan sebuah hadis yang diberitakan daripada Anas bin Malik r.a, Nabi S.A.W  bersabda bermaksud:

"Siapa sengaja meninggalkan sembahyang (sebab malas, tanpa keuzuran) maka terang-teranglah ia kufur". (Hadis riwayat At-Tayaalisi - Sahih)

Sedangkan Imam Malik dan Imam Asy-Syaafi'i dan kebanyakan ulama Salaf dan Khalaf berpendapat seseorang meninggalkan solat kerana malas, belumlah dihukumkan kufur malah bolehlah dikatakan 'fasik' (pelaku dosa besar) yang boleh dibunuh jika dia berdegil dan tidak mahu bertaubat. Setelah dibunuh, dia tidak boleh dihukum 'orang kafir' tetapi atas nama 'denda' (had) ataupun tindakan biasa. Mayatnya itu wajib dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Manakala pendapat Imam Abu Hanifah termasuk sahabatnya Sufyaan Ath-Thauri diikuti segolongan Ahli Ilmu di Kota Kufah dan Al-Muzani (daripada Mazhab Syaafi'i) menyatakan orang yang meninggalkan solat kerana malas belumlah kufur dan fasik malah belum boleh dibunuh tetapi hendaklah didenda dengan memenjarakan sahaja sehingga ia insaf dan menunaikan solat.

3. Kerana lupa, tidak sedar dan tertidur: 

Orang yang meninggalkan solat disebabkan perkara-perkara seperti itu tidak dikenakan dosa dan kesalahan tetapi wajib diqada' akan solat yang ditinggalkannya.

Rumusan dari kata-kata Imam Malik dan Imam Abu Hanifah bahawa, solat yang ditinggalkan dengan sengaja terlebih dahulu solat yang telah luput itu hendaklah diqada'kan sebelum menunaikan solat lain yang hadir dalam waktu itu dan luput kerananya. Oleh itu, jika solat ditinggalkannya itu terpaksa diqada' sampai lima waktu berturut-turut baharulah ia boleh melakukan solat yang hadir itu.

Rumusan dari kata-kata Imam An-Nawawi melalui kitabnya "Syarh Muslim" berpendapat, tidak wajib qada' solat yang ditinggalkan dengan sengaja bahkan ia tidak tepat, tidak logik, melampau dan tidak wajar.

Malahan berbeza pula dengan pendapat Jumhur Ulama supaya mengqada'kan solat fardu yang luput sehingga qada' itu boleh dilakukan dalam waktu terlarang (waktu Makruh Tahriim) sama ada yang meninggalkannya sebab sengaja, lupa atau tertidur. Pengertian "lupa" (meninggalkan solat) sama ada kesibukan dan kifarat (denda) dikenakan itu disebabkan kesalahan 'sengaja'. Maka hutang Allah adalah patut dibayar berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:

"Maka hutang Allah adalah lebih patut engkau jelaskan (bayar)". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sesetengah di kalangan ulama berpendapat dan telah sepakat adalah wajib setiap orang yang keluputan solat atau tertidur menjadi wajib baginya menunaikannya setelah teringat. Pendapat ini didasarkan dari dalil hadis-hadis sabda Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Siapa lupa untuk bersembahyang, maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia teringat; tiadalah cara mengatasinya selain berbuat demikian". (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi S.A.W  lagi dalam hadis yang lain bermaksud:

"Maka apabila seseorang kamu lupa akan sembahyang atau dia tertidur; maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia teringat". (Hadis riwayat At-Termidzi)

Berbalik kepada hal-hal seseorang yang meninggalkan solat boleh menjadi kufur. Dalam konteks ini, telah berlaku perdebatan di antara Imam Asy-Syaafi'i dengan muridnya, Imam Ahmad bin Hanbal.

Syaafi'i:  Apakah pendapatmu tentang orang yang meninggalkan sembahyang? Adakah dia menjadi kufur?
Ahmad:  Malah! Dia itu kafir.
Syaafi'i:  Kalau dia telah kafir, maka dengan (jalan) apa dia masuk Islam kembali?
Ahmad:  Dengan ucapan: "La illah ha illallah Muhammadan Rasulullah". Ucapan lengkapnya: "Asy-hadu allah illah ha illallah waasy-hadu an namuhammadan Rasulullah".
Syaafi'i:  Seseorang yang tidak berhenti-henti mengucapkan kalimah itu, bagaimana halnya.
Ahmad:  Islam (Muslim), jika ia sembahyang.
Syaafi'i:  Sembahyang orang kafir itu adalah tidak sah; dan tidaklah dihukumkan seseorang itu menjadi Islam dengan semata-mata sembahyang sahaja.
Ahmad:  (Diam tidak menjawab lagi, sambil terus berfikir).

Terdapat juga pendapat yang mengatakan supaya orang yang meninggalkan suatu solat fardu (sahaja) secara sengaja (berbeza dengan orang yang melengahkan solat sebab dia berazam akan melakukan juga solat itu dalam waktunya) tetapi tidak juga menunaikannya hingga tamat waktunya, dia dihukum pancung dengan pedang. Mayatnya diurus seperti orang Islam, disolatkan mayatnya dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Rumusan dari pendapat ini datangnya daripada Imam Al-Ghazali (seorang tokoh Fiqah Islam yang diberi gelaran "Asy-Syaafi'i Kedua" menerusi kitabnya "Al-Wajiiz").

Sedangkan pendapat Ibnu Hazm (tokoh ulama Islam terkenal) telah menggemparkan dunia Islam bahawa tidak boleh mengqada'kan solat yang telah ditinggalkan secara sengaja. Seseorang itu hendaklah memperbanyakkan solat sunat, mesti bertaubat dan memohon ampun dari Allah S.W.T. Rumusan pendapat ini didapati menerusi kitabnya "Al-Muhalla".

Allah S.W.T  telahpun memberikan peringatan berhubung dengan solat ini. Ada batas-batas atau sempadan tertentu yang boleh dilakukan untuk mengerjakan solat sama ada dalam waktunya dan luar waktunya. Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan siapa yang melampaui batas Allah (melanggar hukum, solat di luar waktunya), maka dia telah menganiayai dirinya sendiri". (Surah Ath-Thalaq: ayat 1)

Sementara itu, bagi individu Islam yang sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing dan sanggup meninggalkan solatnya, mereka akan ditempatkan bersama-sama empat tokoh kekufuran di hari kiamat nanti. Tokoh-tokoh tersebut adalah seperti berikut:

1. Sesiapa yang meninggalkan solat sebab sibuk menguruskan harta bendanya, maka dia akan bersama-sama "Qarun".

2. Sesiapa yang sibuk dengan urusan kerajaannya sedangkan dia meninggalkan solat, maka bersama-samalah dia dengan "Firaun".

3. Sesiapa yang sibuk oleh urusan pentadbirannya dan meninggalkan solatnya, maka dia bersama-sama "Haman".

4. Siapa-siapa yang meninggalkan solatnya kerana sibuk dengan perniagaannya, maka dia akan bersama-sama "Ubay bin Khalaf".

Dalam sebuah hadis, sabda Nabi S.A.W  bersumberkan peristiwa di kala para sahabat menyebutkan "solat" di sisi Nabi S.A.W:

"Siapa memelihara sembahyang (fardu) adalah dia akan memperoleh cahaya, kenyataan dan kelepasan di Hari Kiamat; dan siapa tidak memeliharanya, tidaklah akan memperoleh cahaya, kenyataan dan kelepasan; dan di Hari Kiamat adalah bersama-sama Qarun, Firaun, Haman dan Ubay bin Khalaf".
(Hadis riwayat Imam Ahmad dengan isnad yang bagus: Jayyid)

Bagaimanapun, empat faktor yang dapat dirumuskan mengenai penyakit-penyakit dalam solat yang terdiri dari:

1. Penyakit sengaja meninggalkan solat.
2. Penyakit sengaja membuat rancangan meninggalkan solat untuk mengqada'nya di lain waktu.
3. Penyakit sengaja melewatkan waktu solat.
4. Penyakit solat ekspres (tanpa tumakninah).

Berdasarkan penyakit-penyakit dalam solat tersebut, dewasa ini hal demikian memang wujud adalah disebabkan keimanan yang lemah sama ada kurang percaya kepada (Allah S.W.T, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat, Qada' dan Qadar), kurang mendapat pendidikan agama, memberikan alasan diserang penyakit, berasa segan dan malu kalau-kalau tersalah mengerjakannya, tidak sempat disebabkan lebih menumpukan untuk mengumpul harta benda dan memberikan anggapan usia masih panjang, solat yang ditinggalkan itu boleh diqada' apabila menjangkau dewasa kelak.

Sejajar dengan itu, marilah bersama-sama kita bersegera untuk menunaikan solat serta menyempurnakan (tanpa meninggalkannya walaupun untuk satu fardu). Hasil ketekunan yang bersungguh-sungguh sudah tentu kita akan mendapat kebahagiaan lahir dan batin kerana solat itu adalah "anak kunci syurga". Hadis yang diberitakan daripada Abdullah bin Ab. Rahman, Nabi S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Anak kunci syurga itu ialah sembahyang". (Hadis riwayat Ad-Daarimi)

Lagipun suasana yang lebih dekat antara seorang hamba dengan Allah ialah dalam masa sujud (solat). Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan bersujud serta dekatkanlah (dirimu) kepada Tuhan". (Surah Al-'Alaq: ayat 19)

Justeru, mulai saat ini berubahlah dari sikap yang malas kepada seorang yang sentiasa bertakwa, bersegera mengerja solat tanpa mengabaikannya. Lagipun kita tidak perlu berangan-angan untuk mengerjakan solat apabila tiba waktu usia sudah lanjut. Ketika usia muda inilah segala amalan perlu diperbanyakkan sebagai bekalan di hari yang paling kekal buat manusia seluruhnya.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T  telah menjanjikan kebahagiaan serta akan mendapat kurniaan syurga Firdaus bagi seseorang yang sentiasa menjaga solatnya. Firman-Nya yang bermaksud:

".... Mereka itu adalah pewaris-pewaris (yang mewarisi syurga Firdaus) dan di situlah mereka akan kekal selama-lamanya". (Surah Mukmin: ayat 10-11)


            
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Nota:
Ucapan Penghargaan dan Terima kasih kepada Ustaz Haji Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S) - cucu Tok Kenali yang memberi izin dan pendapatnya untuk menghasilkan Rencana ini.

Ahad, 20 Mei 2012

Zina: Jalan Ke Neraka


ZINA: JALAN KE NERAKA

DUNIA ini adalah hak milik Allah S.W.T. Allah S.W.T  menciptakan dunia ini untuk tujuan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada setiap manusia menjalani penghidupan, beribadah, menjalinkan perhubungan yang baik sesama manusia serta mengawal dunia ini dari berlakunya kerosakan akibat salah faham dan tindakan agresif yang terdiri dari segelintir di kalangan manusia sendiri.

Namun, setakat manakah umat manusia berjaya menuruti kehendak peraturan yang digariskan oleh Allah S.W.T  terhadap dunia yang diciptakan-Nya itu, kita sebagai manusia masih lagi mengabaikan kehendak Allah. Seringkali berlaku banyak kerosakan di atas muka bumi ini seperti perbuatan zina, peperangan, persengketaan, pembunuhan, fitnah memfitnah masih terus dilakukan sebagai satu budaya hidup yang patut diamalkan.

Perbuatan zina yang dilakukan oleh manusia bersama pasangannya iaitu antara lelaki dan perempuan adalah dari konsep kerelaan atau suka sama suka tanpa sebarang paksaan untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Walaupun perbuatan demikian dikatakan keji dan terkutuk dan lebih bersifat haiwan serta termasuk di dalam kancah dosa-dosa besar, tetapi masih ada di kalangan manusia yang berakal tetapi bernafsu untuk melakukan perbuatan hina dan keji itu. Ini bermakna, manusia menggunakan nafsu untuk menunggangi akal, maka ia akan tersesat. Sebaliknya jika manusia menggunakan akal dan iman untuk mengawal kehendak nafsunya nescaya perkara seperti itu tidak akan berlaku.

Kita dapat ambil beberapa contoh perbuatan demikian yang kerap dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan. Di antaranya, terdapat kes perbuatan zina di antara adik lelaki dengan kakak kandung sendiri. Malah ada kes membabitkan anak tiri dengan ibu tiri sendiri yang melakukan zina sehingga melahirkan anak yang seolah-olah hidup sebagai suami isteri. Tidak kurang juga seorang wanita yang sudah bersuami telah didapati bersalah kerana berzina dengan lelaki lain.

Dari konteks Islam, zina bukan sahaja ditegah malah umat Islam telah dilarang untuk mendekatinya. Tegahan dan larangan tersebut telah dijelaskan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan keji dan jalan yang salah". (Surah Al-Isra': ayat 32)

Berdasarkan ayat tersebut, mengapakah Islam melarang keras umatnya untuk tidak mendekati dan melakukan zina? Di antara faktor Islam melarang perbuatan demikian kerana perzinaan boleh merosakkan keturunan, menghancurkan rumahtangga, meretakkan perhubungan di antara keluarga serta suami isteri, merebaknya penyakit-penyakit kelamin seperti siplis dan AIDS, kejahatan nafsu dan merosotnya akhlak.

Dalam pada itu, perkara yang perlu dielakkan ialah pergaulan atau perhubungan bebas dan tidak terkawal di kalangan lelaki dan wanita sekalipun dengan ipar sendiri. Ini kerana, dengannya boleh menimbulkan bibit-bibit perzinaan. Hal ini telah diperjelaskan dalam sebuah hadis sabda Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Hindarilah keluar masuk rumah seorang perempuan. Kemudian ada seorang laki-laki dari sahabat Anshar bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana pendapatmu tentang ipar? Maka jawab Nabi: Bersendirian dengan ipar itu sama dengan menjumpai mati". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Nabi S.A.W  lagi yang bermaksud:

"Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhir, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan".
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hal ini, apakah hukumannya bagi seseorang yang melakukan perbuatan zina menurut kacamata Islam? Di dalam Islam, seseorang yang melakukan zina boleh dijatuhkan hukuman seperti berikut:

1. Seorang yang pernah berkahwin tetapi melakukan zina, ia hendaklah direjam.
2. Seorang yang berzina tetapi belum berkahwin, ia hendaklah dipukul 100 kali dan pembuangan (penjara) satu tahun.

Di samping itu, perbuatan yang dianggap keji dan tidak berperikemanusiaan atau di luar batas-batas kemanusiaan masih dilakukan malah semakin bermaharajalela. Kita dapat dengar berita-berita tentang kes-kes rogol dan pemerkosaan. Kes-kes seumpama ini tertumpu kepada satu pihak yang tidak rela diapa-apakan ke atas dirinya dan tanpa disedari oleh mangsa tetapi satu pihak lagi dengan rakus dan penuh nafsu melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan.

Daripada berita-berita yang disiarkan itu dapat difahamkan bahawa ada gadis membonceng kenderaan teman lelakinya tetapi ekoran teman lelakinya tidak jujur telah membawa mangsa ke satu tempat yang tidak diketahuinya lalu dirogol secara bergilir-gilir bersama rakan-rakannya yang sudah lama menunggu. Terdapat juga berita seorang atuk merogol cucu perempuannya sendiri, ataupun seorang bapa mencabul kehormatan anak gadisnya. Malah ada kalangan bomoh yang merogol perlanggannya sendiri yang sekadar datang untuk mendapatkan penawar bagi menyelesaikan masalahnya.

Inilah gambaran tentang bagaimana dunia ini telah dicemari unsur-unsur seks dan lucah yang dicipta oleh manusia untuk tujuan memuaskan nafsu serakah manusia itu sendiri. Keadaan ini disebabkan banyak dari unsur-unsur seks dan bahan-bahan lucah yang dapat disaksikan dengan mata sendiri secara meluas dan terbuka sama ada melalui media cetak dan elektronik. Kini, bukan sahaja segelintir manusia dapat menyaksikan bahan-bahan lucah dan unsur-unsur pornografi melalui komputer yang menggunakan saluran maklumat maya (internet). Malahan terdapat juga kes di mana kesemua cakera padat video (VCD) dan DVD yang dihasilkan dengan kemudahan dan teknologi komputer melalui saluran internet.

Walau bagaimanapun kehebatan dan kebuasan manusia untuk melakukan keburukan, kejahatan dan perbuatan keji, Al-Quran telah menjelaskan bahawa perbuatan berkenaan adalah arahan dari syaitan yang dilaknat. Firman Allah yang bermaksud:

"Syaitan itu hanyalah menyuruh kamu mengerjakan kejahatan dan perbuatan keji dan mengada-ngadakan tentang yang kamu tidak ketahui". (Surah Al-Baqarah: ayat 169)

Berdasarkan hal-hal yang telah disebutkan itu menunjukkan manusia berkenaan telah terpedaya dengan dakyah nafsu dan kerananya sanggup melakukan maksiat dan perzinaan. Dalam hubungan ini, Allah S.W.T  menggambarkan keadaan mereka seolah-olah sebagai binatang ternak malah telah tersesat jalan. Firman Allah yang bermaksud:

"Tiadakah engkau perhatikan orang yang mengambil kemahuan nafsunya menjadi Tuhannya? Engkaukah yang menjadi penjaganya? Atau apakah engkau mengira, bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memikirkan? Tidak! Mereka adalah sebagai binatang ternak. Bahkan lebih tersesat jalannya".
(Surah Al-Furqan: ayat 43-44)

Dalam hubungan ini juga, Al-Imam Ali bin Abi Talib pernah memberikan nasihat betapa individu manusia yang melakukan maksiat, Allah S.W.T  akan tunjukkan kemurkaan-Nya sebagaimana kata-katanya:

"Wahai anak Adam! Kamu melihat dan tahu bahawa Tuhan kamu S.W.T  memberi nikmat ke atasmu sedangkan kamu berbuat maksiat kepada-Nya, maka jagalah balasan kemurkaan-Nya".

Memang jelas dan tepat apa yang telahn disarankan oleh Al-Imam Ali bin Abi Talib itu. Ini kerana, individu manusia yang menurut kehendak dan kesenangan hawa nafsu malah berbangga di dalam melakukan kemaksiatan dan perzinaan, Allah S.W.T  menjanjikan untuknya Neraka Jahanam. Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya neraka jahanam tempat yang telah dijanjikan buat mereka semuanya".
(Surah Al-Hijr: ayat 43)

Berikutan itu, semua pihak mempunyai tanggungjawab yang tersendiri di dalam memastikan perbuatan yang keji dan terkutuk itu tidak terus bermaharajalela dan wajar membendung dan membanterasnya dengan segera. Peranan ibu bapa amat perlu diutamakan di dalam memberikan pendidikan dan bimbingan agama terhadap anak-anak mereka.

Justeru, peranan masyarakat juga adalah sama penting untuk mencegahnya dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Malah, pihak berkuasa agama juga perlu lebih giat untuk mengawal dan membanteras perbuatan keji dan terkutuk itu dengan memberikan nasihat, panduan, tunjuk ajar di samping menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas lagi sekiranya individu berkenaan masih ingkar. Bahkan pihak media cetak dan elektronik sebagai badan penyiar patut memberikan kerjasama dalam mengurangkan unsur-unsur lucah di dalam siaran mereka. Ini kerana, sekiranya perbuatan buruk tidak cuba dicegah, maka tunggulah kebinasaannya.

  

Manusia yang bernafsu tetapi tidak berakal sahaja akan melakukan maksiat seperti ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 19 Mei 2012

Sikap Remaja Kita


SIKAP REMAJA KITA

REMAJA atau belia adalah pelapis generasi hari ini, mereka adalah generasi masa depan yang bakal menerajui kepemimpinan negara. Mereka juga sebagai penggerak generasi seterusnya bukan sahaja dalam konteks negara tetapi juga dalam aspek agama dan insan. Tanpa kehadiran mereka, generasi akan goyah dan tanpa mereka juga negara akan pincang. Pentingnya remaja atau belia mengisi perjalanan hidup yang bakal mereka tempuhi kelak adalah terletak di atas bahu mereka, ke mana arah tujuan mereka, merekalah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Remaja hari ini amat berbeza dengan remaja zaman lampau walaupun sekadar perubahan zaman dan masa. Remaja hari ini banyak terdedah kepada persekitaran, pergaulan dan perubahan teknologi yang begitu ketara. Remaja yang cekal sahaja akan dapat meneruskan perjalanan tersebut. Ini kerana, mereka bukan sahaja dicengkam oleh teknologi yang melalaikan, namun dalam masa yang sama turut ditekan oleh anasir luar yang ingin melihat remaja-remaja Islam khususnya terumbang-ambing dipukul gelombang dunia yang akan menghanyutkan dan menguburkan mereka ke dasar dunia yang tidak bertepi.

Seharusnya remaja-remaja Islam perlu berhati-hati dalam setiap langkah dan tindak-tanduk mereka. Mereka sebenarnya sentiasa dalam pemerhatian pihak yang antikan Islam lalu menjadikan remaja Islam sebagai mangsa dan kuda tunggangan. Berita-berita tentang berlakunya tentang penzinaan dan persetubuhan haram, perbuatan membuang bayi dan ada remaja yang dikatakan keluar dari agama Islam semata-mata terpengaruh dengan hasutan dan dakyah Barat untuk mencemarkan imej Islam dan penganut-penganutnya yang lain.

Setiap remaa perlu fokus dan berfikir, untuk apa mereka hidup. Adakah sekadar untuk menikmati kehidupan dunia. Mereka yang lahir, dapat bernafas dan melangkah di alam ini mempunyai tujuan tertentu. Mereka tentunya jangan lupa, amalan yang diwajibkan ke atas mereka perlu ditunaikan. Namun, melihatkan remaja-remaja Islam hari ini yang sememangnya terumbang-ambing seolah-olah hidup mereka tidak mempunyai tujuannya dan ke mana pula mereka selepas hidup nanti?

Ada remaja yang sanggup membanting tulang sekadar untuk mendapatkan rezeki tetapi meninggalkan suruhan seperti solat lima waktu, malahan ada yang enggan berpuasa dan sebagainya. Kerana kelalaian merekakah atau berpunca dari sikap kedua-dua orang yang sentiasa dilalaikan dengan kemewahan duniawi tanpa menitikberatkan kehidupan ukhrawi yang bakal mereka tempuhi nanti.

Hari ini, selain remaja kita lalai dengan kemewahan dunia malah ada di antaranya yang meninggalkan solat dan melakukan maksiat. Malahan mereka sering beranggapan "hidup hanya sekali" marilah sama-sama habiskan sisa-sisa hidup dengan berfoya-foya dan bersandiwara. Hal seumpama ini disebabkan kemodenan dunia yang semakin ketara dan mencengkam jiwa remaja, lantas remaja kita menggunakan kesempatan itu untuk membazirkan masa. Hasil aktiviti Yahudi yang sentiasa memusuhi Islam dan penganut-penganutnya digunakan sepenuhnya untuk menyekat kebangkitan Islam. Bagi Yahudi dan kuncu-kuncunya, mereka tidak berpuas hati jika kebangkitan Islam itu boleh menggugat kedudukan mereka, tanpa banyak bicara mereka cuba merancang pelbagai cara dan melancarkan agenda supaya Islam dan penganut-penganutnya kacau-bilau dan terus merana.

Kini golongan remaja Islam menjadi sasaran Yahudi yang sentiasa iri hati. Mereka akan cuba memperdaya remaja-remaja Islam kita dengan apa jua tindakan sama ada melalui ceramah, saluran media cetak, elektronik dan maya (internet) serta menyebarkan fahaman songsang untuk tujuan berlakunya perkelahian sesama Islam. Remaja yang cekal akan selamat, sebalik bagi remaja yang mudah termakan pujuk dan terjebak mereka pasti kecundang.

Benarlah menurut sebuah hadis dari Ali r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Akan timbul pada akhir zaman golongan pemuda yang kurang akal. Mereka mengucapkan perkataan yang amat baik. Mereka keluar dari Islam bagai panah keluar dari busarnya. Keimanan mereka tiada melampaui kerongkongannya. Bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai. Sesungguhnya siapa yang membunuh mereka memperoleh pahala di hari Kiamat". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di antara gejala yang sering mengancam kelakuan dan telah menjadi ikutan remaja kini seperti suka membuang masa, lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki. Tabiat merokok juga menjadi satu igauan ngeri, kerana bukan sahaja remaja-remaja merokok tetapi kanak-kanak di bangku sekolah rendah juga turut merokok.

Membicarakan tentang masa yang dianggap berguna, masa yang berlalu tidak akan dapat diputar kembali pada kedudukannya, sebab itulah pepatah ada menyebutkan "masa itu emas" dan "masa itu tidak akan menunggu kita" adalah beberapa pepatah yang sering kita dengar. Ini menunjukkan masa yang dibiarkan berlalu akan mendatangkan kerugian kepada manusia.

Kerana itu, Al-Quran telah menggariskan tentang kepentingan masa terhadap manusia. Kerugian yang didapati oleh manusia disebabkan ia tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat, ini termasuklah amalan-amalan yang soleh yang lebih berfaedah untuk mereka. Dalam hal ini Allah S.W.T  berfirman yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran". (Surah Al-Asr: ayat 1-3)

Sikap gemar membuang masa pada hakikatnya boleh memberikan gambaran imej yang tidak sihat, menjatuhkan maruah diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Remaja-remaja tidak sewajarnya mengamalkan sikap meremehkan masa yang berguna dan menghabiskan usia muda mereka kepada perkara-perkara yang tidak bermanfaat, membazir dan melakukan maksiat.

Bagi individu yang bekerja tentunya akan memahami konsep pentingnya masa. Seorang pekerja tidak akan membohongi majikannya semata-mata untuk curi tulang, masa telah terbuang, kerja tidak dapat dihabiskan tetapi upah dan gaji diterima. Tetapi bagi remaja yang tidak bekerja, menjadi lazimnya mereka meremehkan soal-soal ibadat dan majlis-majlis ilmu, tetapi mengutamakan kegiatan sosial dan hiburan.

Golongan remaja patut bertindak dari sekarang kerana mereka mempunyai kesempurnaan dalam segala hal seperti tenaga yang masih banyak, fikiran tajam dan bernas serta mempunyai perasaan yang sempurna.

Sejajar kepentingan masa dan manfaatnya kepada manusia, remaja wajar merebut masa itu dari terus berlalu begitu sahaja. Sebuah hadis yang diberitakan daripada Amr ibni Maimun r.a, Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah masa yang lima sebelum masa yang lima mendatang, iaitu waktu mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu masih berada sebelum kamu fakir, masa lapangmu sebelum masa sibuk dan masa kamu masih hidup sebelum maut menjemputmu".

Oleh kerana betapa besarnya kepentingan masa dalam kehidupan manusia, amalan yang baik perlu dilaksanakan secara ikhlas. Walaupun di waktu muda kelihatan gagah dan cantik pada pandangan mata tetapi ia tidak akan tahan lama dan pasti luntur juga. Begitu juga jika dikatakan tubuh yang sihat, namun pada ketika-ketikanya kesihatan turut terganggu akibat serangan penyakit yang tidak diduga oleh kita.

Di samping itu, menggunakan masa yang lapang untuk melakukan ibadat yang sepatutnya sememangnya perlu diteruskan. Ini kerana, apabila tibanya masa yang sibuk tentunya membantutkan masa yang lapang dan pada ketika itu fikiran juga terganggu dan bercelaru. Sebelum kematian menjemput seseorang, hidup ini hendaklah dipergunakan untuk perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Menyedari hakikat tersebut, umat-umat Islam di zaman ini hanya dapat hidup dalam usia yang terbatas iaitu di antara enam puluh dan tujuh puluh tahun sahaja. Baginda Rasulullah S.A.W  sendiri wafat sewaktu berusia enam puluh tiga tahun dalilnya di dalam sebuah hadis Baginda S.A.W  yang bermaksud:

"Masa penuaian umur umatku dari enam puluh hingga tujuh puluh tahun".

Ini membuktikan bahawa betapa pentingnya masa itu dipergunakan kepada sesuatu amalan yang mendatangkan manfaat. Ini kerana, amalan baik yang dilakukan di dunia ini menjadi bekalan dan jambatan untuk ke negeri akhirat nanti. Tetapi seandainya kehidupan yang terlalu singkat ini kita cuba melengah-lengahkan dan mengabaikannya apatah lagi ibadat yang dilakukan sebelum ini belum tentu bermutu sepenuhnya, bilakah kita akan menunaikan dan menjelaskan segala hutan-hutang Allah S.W.T.  Sedangkan hutang Allah wajib ditunaikan sebagaimana sabda Nabi S.A.W  dalam sebuah hadis bermaksud:

"Maka hutang Allah adalah lebih patut engkau jelaskan (bayar)". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah S.W.T  malah Rasulullah S.A.W  sendiri menyuruh umat-umat Islam tidak kira seorang remaja mahupun golongan dewasa supaya sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan ibadat dan kebaikan kerana amalan berkenaan amat bermanfaat kepada mereka sendiri. Firman Allah bermaksud:

"Maka berlumba-lumbalah engkau sekalian untuk mengerjakan berbagai kebaikan". (Surah Al-Baqarah: ayat 148)

Dalam pada itu, agar kehidupan tidak berlalu dengan sia-sia, umat-umat Islam sentiasa diperingatkan supaya sentiasa berlumba-lumba mencari ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk masa depan tetapi ia amat bernilai untuk keperluan sejagat apatah lagi Islam amat menuntut umat-umatnya mencari ilmu sebanyak mungkin. Perintah mencari ilmu ini telah ditimbulkan dalam sebuah hadis Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Carilah ilmu walaupun antara dirimu dengan ilmu itu ada lautan api".

Bahkan dengan mempelajari ilmu itu pula merupakan satu kebaikan nyata dan satu-satunya ibadah yang sangat-sangat dituntut di dalam Islam. Dalam konteks ini, sebuah hadis yang diterima daripada Mu'adz bin Jabat r.a, katanya Rasulullah S.A.W  bersabda:

"Pelajarilah ilmu itu dengan sungguh-sungguh, sebab mempelajarinya dengan sungguh-sungguh kerana Allah adalah suatu kebaikan. Adapun mentadaruskan ilmu itu adalah tasbih, membahasnya adalah jihad, sedangkan menuntutnya adalah ibadah. Adapun mengajarkan ilmu sama dengan bersedekah, memberikan ilmu kepada ahlinya adalah suatu korban, memikirkan ilmu menyamai puasa, muzakarah ilmu sama dengan mengerjakan sembahyang sunat".

Di samping itu, remaja yang berakhlak sempurna tidak mudah terpedaya dengan segala dakyah yang disesatkan dalam segala program yang mereka lalui. Salah satunya adalah berhubung dengan soal berpakaian. Jika pada masa dulu, remaja gemar berambut panjang sehingga ke bahu tetapi sejak akhir-akhir ini pula, remaja didombakan dengan karenah berpakaian yang menjolok mata, sama ada lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.

Penularan gejala seumpama ini menyebabkan mereka terbawa-bawa dengan tingkahlaku yang tidak sempurna. Bukan sahaja mereka terkeliru, sebenarnya mereka dikelirukan oleh budaya songsang yang dibawa oleh Barat yang terdiri daripada golongan Yahudi dan Kristian. Golongan ini menyalurkan fahaman kononnya pakaian adalah menjadi kelaziman, tidak sepatutnya Islam menitikberatkannya asalkan menutup aurat.

Masalah menutup aurat memang perkara utama, tetapi pakaian yang menjolok mata juga amat diberikan perhatian di dalam Islam. Ini kerana, jika berpakaian tidak senonoh akan mewujudkan gejala kurang sihat seperti berlakunya rogol dan mencabul kehormatan. Sebab itulah, dari awal lagi Islam menitikberatkan soal-soal berpakaian. Rasulullah S.A.W  mengutuk umat-umat Islam khususnya di kalangan gadis-gadis dan wanita yang mengenakan pakaian tidak sesuai. Sebuah hadis yang diberitakan daripada Ibnu Abbas r.a, katanya: "Rasulullah S.A.W  mengutuk laki-laki yang berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti laki-laki". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam konteks ini menunjukkan banyak hal-hal yang buruk telah dilakukan oleh manusia tanpa disedari, biarpun menurut mereka tidak melakukannya. Sedangkan bagi Allah S.W.T  hal yang buruk itu tidak sama. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Katakan: Yang buruk dan yang baik tiada sama, biarpun hatimu tertarik kerana (melihat) banyaknya yang buruk itu, sebab itu patuhlah kepada Allah, hai orang-orang yang berakal supaya kamu beruntung".
(Surah Al-Maidah: ayat 100)

Seterusnya, masalah yang masih menghantui kalangan remaja-remaja Islam hari ini berhubung dengan tabiat merokok. Tabiat ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja-remaja lelaki tetapi gadis-gadis remaja dan kanak-kanak juga turut merokok disebabkan pengaruh dan dakyah yang disebarkan oleh Yahudi dan Kristian yang sengaja ingin melihat remaja-remaja kita berfikiran lesu dengan merokok. Sedangkan tabiat merokok adalah suatu perbuatan ke arah pembaziran. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan berilah jiran-jiran kamu haknya, dan orang-orang miskin, dan orang yang berjuang di jalan Allah dan janganlah anda melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu bagi Tuhanmu golongan kafir". (Surah Al-Isra': ayat 26-27)

Merokok ditakrifkan sebagai satu perbuatan yang buruk dan kotor. Islam sendiri mengharamkan benda-benda yang buruk dan kotor serta menghalalkan hanya benda-benda yang baik. Firman Allah bermaksud:

"Mereka menyuruh dengan kebaikan dan menegah dari kemungkaran, dan Allah menghalalkan bagimu benda-benda yang baik dan mengharamkan ke atasmu benda-benda yang jijik-jijik dan kotor".
(Surah Al-'Araf: ayat 157)

Allah S.W.T  dan Nabi S.A.W  sentiasa berharap umat-umat Islam menuruti jalan yang lurus, akur kepada suruhan Allah S.W.T  supaya mereka tidak tersesat, sementara larangan dan kemungkaran hendaklah dijauhi agar terpelihara dari kejahatan dan siksaan Allah. Firman-Nya yang bermaksud:    
 
"Sesungguhnya inilah jalan yang lurus maka turutlah. Dan janganlah kamu turutkan jalan-jalan (yang lain) kerana nanti kamu terpisah dari jalan Allah. Itulah yang diperintahkan Tuhan kepada kamu, mudah-mudahan kamu terpelihara (dari kejahatan)". (Surah Al-An'am: ayat 153)

Kerana itu, setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini hendaklah sentiasa beringat dari melakukan perbuatan di luar batasan. Hidup di dunia ini adalah sebagai suatu cubaan semata-mata. Suatu masa kelak, manusia akan dibangkitkan dari bumi ini juga. Firman Allah bermaksud:

"Tuhan mengatakan: Di bumi itu kamu hidup, dan di bumi itu kamu mati dan dari bumi itu pula kamu nanti dibangkitkan". (Surah Al-A'raaf: ayat 25)

Justeru, kehidupan manusia di dunia ini bukanlah kehidupan yang sengaja diada-adakan oleh Allah S.W.T. Sebaliknya suatu masa yang ditetapkan, setiap manusia akan dibicarakan di mahkamah Allah tentang amalan-amalan yang pernah atau tidak pernah dilakukan oleh manusia semasa tinggal di dunia dulu. Di sana manusia tidak dapat berdolak-dalik atau berbohong terhadap kerana setiap perlakuan tersebut telah tercatat dan tersusun rapi. Setiap amalan yang baik yang pernah dikerjakan oleh manusia semasa di dunia dulu akan memperolehi kebaikannya dan sekiranya kejahatan yang menjadi pilihan, balasan siksa yang teramat pedih sesuai dengan perbuatan masing-masing.    





Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 18 Mei 2012

Busana: Wanita Keliru


BUSANA: WANITA KELIRU
(Tentang Fesyen Pakaian)

WANITA dan kegemaran mereka bagaikan "aur dengan tebing" adalah suatu sifat yang terbit dari hati dan naluri setiap gadis dan wanita. Bermulanya celik mata, wanita gemarkan sesuatu yang berlegar di dunia mereka seperti masakan, hiburan, solekan, iklan, model serta fesyen pakaian. Dalam dunia fesyen pakaian (busana) misalnya, mereka sudah mengenali apakah pakaian yang dipakainya itu sesuai dengan dirinya ataupun tidak. Mereka suka dipuji kalau pakaian yang dipakainya dianggap cantik, secantik si pemakainya. Sebab itulah, dunia wanita memang penuh dengan kecantikan, keindahan, warna-warni dan glamour.

Memang ternyata, wanita tidak dapat dipisahkan dari hal-hal tersebut apabila mereka semakin terdedah kepada perkembangan semasa dan zaman. Dalam keadaan tertentu, terdapat banyak manfaatnya apabila setiap wanita dapat mempergunakan segala anugerah Allah S.W.T  itu dengan cara yang sebaik-baiknya. Malah jika tanpa kawalan, ia akan menjadi lebih buruk.

Hal yang paling jelas dewasa ini adalah soal fesyen pakaian di kalangan gadis-gadis remaja malah wanita-wanita dewasa pun begitu gatal menurut peredaran zaman dengan mengenakan pakaian yang tidak sewajarnya. Pada umumnya, fesyen lebih dekat dan berkait rapat dengan soal berpakaian termasuk corak pakaian itu sendiri.

Wanita dan gadis-gadis remaja memang menggemari fesyen atau corak pakaian yang paling menarik hatinya malah amat seronok apabila orang lain turut menuji pakaian yang dipakainya itu. Dengan itu, tidak hairanlah jika salah seorang mencuba pakaian yang agak menarik sesuai dengan warnanya, ia akan ditiru oleh wanita-wanita lain pula.

Pertembungan budaya berpakaian dewasa kini dengan masa lampau tentunya berbeza. Kita masih dapat saksikan ramai di kalangan wanita kini yang memakai baju kurung dan baju labuh dan sebagainya walaupun sedikit sebanyak ia telah diubah suai menurut citarasa fesyen hari ini.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, kita telah dikejutkan dengan budaya berpakaian yang paling mudah dan ringkas yang juga digemari oleh wanita-wanita dan gadis-gadis remaja. Wanita dan gadis-gadis belasan tahun amat gemar memakai seluar panjang ketat dipadankan dengan baju-T tanpa kolar dikenali "baju adik" ataupun baju labuh dipadankan dengan seluar panjang ketat.

Walau bagaimanapun corak pakaian yang digemari manusia, memakai pakaian adalah harus untuk manusia. Berpakaian adalah untuk membezakan di antara manusia dengan haiwan. Paling penting, memakai pakaian adalah untuk menutup aurat. Hal ini telah dijelaskan melalui firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Hai anak cucu Adam! Sungguh Kami (Allah) telah turunkan untuk kamu pakaian yang dapat menutup aurat-auratmu dan untuk perhiasan". (Surah Al-A'raf: ayat 26)

Dalam konteks pakaian juga, memakai pakaian jangan dianggap sesuatu yang mudah atau dipandang remeh atau berpakaian sesuka hati. Berpakaian merupakan suatu perintah Allah terhadap manusia. Firman-Nya yang bermaksud:

"Hai anak-anak Adam! Pakailah perhiasanmu setiap waktu sembahyang, dan makan minumlah dan jangan melampau batas; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
(Surah Al-A'raf: ayat 31)

Perintah berpakaian dan kepentingan pakaian kepada manusia sama ada ia amat sesuai dan cantik pada pandangan manusia, namun Allah S.W.T  amat menyenangi hamba-hamba-Nya yang dapat berhias secara elok, sopan dan menarik.

Dalil ini telah jelas sebagaimana sebuah hadis, seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W, pakaiannya amat menjijikkan. Nabi bertanya kepadanya: "Apakah kamu mempunyai wang?" Orang tersebut menjawab: "Ya saya ada". Nabi bertanya lagi: "Dari mana wang itu?" Orang itu menjawab: "Dari setiap harta yang Allah berikan kepadaku". Maka kata Nabi: "Kalau Allah memberimu harta, maka sungguh Dia (lebih senang) menyaksikan bekas nikmat-Nya yang diberikan kepadamu dan bekas kedermawannya itu".
(Hadis riwayat An-Nasa'i)

Berhubung dengan hal tersebut, kita berasa bimbang berhubung dengan kemajuan, rekaan serta corak pakaian hari ini walaupun ia kelihatan sesuai dan cantik bagi pandangan sesetengah wanita, namun apakah fesyen pakaian hari ini amat baik untuk wanita menurut kaca mata Islam?

Sebuah hadis menjelaskan sebagaimana yang diberitakan daripada Abu Umamah r.a, bahawa Nabi S.A.W  bersabda bermaksud:

"Kelak akan ada orang-orang dari umatku, mereka memakan berbagai-bagai macam makanan, meminum berbagai-bagai minuman, memakai berbagai-bagai pakaian, banyak berbicara tanpa memikirkan terlebih dahulu apa sebetulnya yang dibicara itu, maka itulah seburuk-buruk umatku".
(Hadis riwayat At-Tibrani dan Abu Nu'aim)

Berdasarkan kepada hadis tersebut, ternyata didapati wanita-wanita di zaman ini mampu memakai berbagai jenis pakaian menurut kehendak dan citarasa masing-masing. Paling ketara ialah wanita dan gadis-gadis kini memang menggemari pakaian ringkas dan mudah dipakai seperti baju-T (T-Shirt) ketat atau baju labuh dan berseluar panjang ketat. Secara langsung atau tidak, corak dan gaya berpakaian seperti ini boleh mengelirukan pandangan orang lain sama ada ia seorang lelaki atau wanita.

Dari konteks lahiriah, fesyen pakaian berkenaan mudah dituruti dan tidak sesuai kepada wanita dan gadis-gadis remaja. Gadis dan wanita yang mempunyai akhlak dan berbudi pekerti yang luhur tidak akan mengenakan pakaian seperti itu kerana ia menampakkan tidak ada unsur kesopanan walaupun dikatakan agak selamat dan lebih menyenangkan untuk melakukan tugas-tugas mencabar.

Manakala dalam konteks Islam, Islam amat memandang berat dan melarang muslimat berpakaian seperti lelaki sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Ibnu Abbas r.a, katanya:

"Rasulullah S.A.W  mengutuk laki-laki yang berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti lelaki".
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di samping corak dan bentuk pakaian yang dianggap mengelirukan pandangan orang lain, terdapat segelintir di kalangan wanita yang cuba meniru secara total budaya golongan Barat dengan memakai pakaian yang mendedahkan aurat serta menjolok mata seperti berpakaian yang menonjolkan bentuk tubuh, berpakaian nipis dan sesetengahnya mendedahkan seluruh tubuh sama ada di kolam-kolam renang, tepi tasik, pantai, menjadi seorang model atau mempamerkan tubuh badan yang hanya mengenakan pakaian kecil untuk ditontoni oleh khalayak umum.

Di dalam sebuah hadis, wanita-wanita berkenaan berpakaian tetapi telanjang. Mereka akan menjadi penghuni neraka, tidak akan memasuki syurga bahkan mencium bau wanginya. Hadis ini yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata: Rasulullah S.A.W  bersabda:

"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (Penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggok-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya". (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan kepada perkembangan dan kemajuan corak atau fesyen pakaian kini menunjukkan wanita-wanita dan gadis remaja muslim telah diperalatkan oleh golongan Yahudi dan Kristian melalui pelbagai rekaan, model dan pengiklanan. Sepatutnya wanita-wanita muslim sentiasa berwaspada dengan dakyah dan tipu muslihat golongan yang antikan Islam itu. Wanita dan gadis-gadis remaja muslim perlu kental dalam menghadapi era teknologi canggih yang dapat memperdaya dan menjerumuskan wanita-wanita Islam kepada kebinasaan serta keruntuhan akhlak.

Wanita-wanita Islam boleh memakai pakaian yang hanya telah digariskan oleh Islam semata-mata seperti pakaian-pakaian yang menutup aurat tetapi tidak mengenakan pakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh atau menjolok mata. Bertindaklah dari sekarang, kerana jika anda yang mendedahkan aurat, anda yang mendedahkan tubuh anda sendiri untuk tontonan umum yang mencemarkan kesucian Islam. Tutuplah auratmu dengan busana atau pakaian-pakaian yang sempurna kerana ia adalah sebaik-baik untuk wanita muslim.



Fesyen pakaian gadis sekarang, berseluar dan berbaju sendat sehingga menampakkan bentuk tubuh.

 Lebih sesuai dan manis dipandang jika gadis dan wanita berpakaian seperti ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Makanan dan Bahayanya


MAKANAN DAN BAHAYANYA

MAKANAN adalah suatu bahan keperluan yang amat diperlukan oleh tubuh. Kepentingannya memang tidak dapat disangkal lagi sebagai tenaga dan pembesaran. Makanan yang enak dan lazat sentiasa dititikberatkan oleh setiap manusia. Namun, selain fadhilat terhadap tubuh, tahukah anda bahawa makanan juga membawa implikasi terhadap kesihatan. Hal ini disebabkan, manusia hari ini dianggap tidak lagi mementingkan pengetahuan asas terhadap sesuatu makanan yang akan mereka nikmati itu. Inilah suatu gejala yang melanda manusia di zaman mutakhir kini.

Lebih dari separuh manusia menganggapkan bahawa makanan yang terhidang dalam pelbagai bentuk itu tidak perlu diselidiki sama ada dari segi kebersihan ataupun kotor, halal atau haram dan adakah makanan yang akan dinikmati itu boleh diyakini sepenuhnya ataupun menimbulkan sesuatu yang meragukan terhadapnya. Dengan demikian, ramai yang mengambilnya dalam jumlah yang berlebihan sehingga mendatangkan masalah kegemukan pada diri mereka sendiri.

Ditinjau dari sudut kesihatan, makanan merupakan suatu keperluan asasi yang amat penting kepada tubuh badan manusia. Memperolehi makanan yang banyak mengandungi garam serta vitamin yang mencukupi akan melahirkan masyarakat Islam yang sentiasa cerdas dan bertenaga. Dalam aspek lain, makanan yang mencukupi itu pastinya membawa manusia sentiasa mengingati seterusnya berbakti terhadap suruhan-suruhan Allah dan menjauhi larangan-larangan Allah S.W.T.

Sebagai manusia, kita perlu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sesuatu makanan menurut kaca mata Islam dan hal ini seharusnya diamalkan oleh setiap umat Islam. Sebabnya kita telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T  dengan akal fikiran berbanding dengan haiwan yang sekadar makan tanpa memperhitungkan sama ada baik atau buruk.

Manusia yang beriman akan mendapatkan sumber-sumber dan barangan yang bersih seterusnya menyisihkan benda-benda yang kotor dan jijik, iaitu memakan makanan yang halal dan meninggalkan makanan yang haram. Yakin terhadap sesuatu makanan bahkan mengelakkan diri terhadap perkara yang meragukan di samping makan sekadar untuk mengelakkan kelaparan tetapi tidak berlebihan.

Hakikat tentang kebersihan memang sering kita dengar. Dari sudut kesihatan, kebersihan memainkan peranan yang penting terhadap kecerdasan individu dan melahirkan jiwa yang harmonis.

Dari sudut kesihatan, kebersihan tidak sekadar mempunyai laman rumah yang bebas dari tempat pembiakan nyamuk dan penyakit-penyakit yang merbahaya. Tetapi penekanan perlu dilaksanakan dari segi memilih makanan, mengendalikan, menyediakan, menyimpan serta menghidang dan membungkus makanan.

Kaedah tersebut amat penting dilaksanakan dengan sebaik-baiknya terutama kepada para pengendali dan pengusaha makanan serta suri rumah. Pengendalian yang tidak cermat akan menimbulkan gejala penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan, taun, demam kepialu, disentri, hepatitis berjangkit dan jangkitan cacing.

Dalam hal ini, makanan yang tidak selamat dari sudut kesihatan hendaklah dielakkan seperti makanan yang rosak dan busuk, makanan yang tercemar oleh lalat dan kuman, makanan yang berulat dan berkulat, makanan tercemar oleh racun dan bahan kimia lain serta makanan telah bertukar bentuk, rasa dan bau.

Dengan demikian, untuk mendapatkan makanan yang baik dan selamat adalah amat penting diberikan perhatian oleh setiap individu Muslim khususnya. Seelok-eloknya pilihlah makanan mentah yang masih segar, makanan yang ditutup dengan sempurna, makanan yang dibungkus dengan pembungkus sempurna seperti plastik tanpa warna, hindari makanan dalam tin kemek, berkarat dan kembung serta makanan siap diproses yang tidak melebihi tempoh penggunaannya.

Manakala "kebersihan" di dalam Islam meliputi semua aspek baik dari segi rohani dan jasmani. Kerana itu, makanan yang bersih itu sahaja yang patut diutamakan kerana dari makanan itulah akan menghasilkan darah daging yang baik dan sebaliknya.

Persoalan tentang kebersihan memang telah digariskan oleh Islam dalam sebuah hadis. Sabda Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih". (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Menurut hadis tersebut, menerangkan secara umum tentang kebersihan. Walau bagaimanapun, dapatlah diterapkan di sini bahawa maksud hadis itu juga tertumpu kepada kebersihan makanan yang memainkan peranan terpenting kepada setiap individu muslim, bukan semata-mata kepada pakaian, tubuh badan dan tempat tinggal.

Namun begitu, di dalam buku "Usrah dan Dakwah" bahawa Pemimpin Pertubuhan Al-Ikhwan Muslimin, Mesir, As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna menyatakan:

"Hendaklah saudara menjaga kebersihan di dalam semua hal iaitu sama ada dalam rumah tangga, pakaian, makan minum, tubuh badan, mahupun tempat bekerja dengan sebersih-bersihnya; kerana Agama Islam itu diasaskan di atas dasar "kebersihan".

Permasalahan yang sering menggugat manusia khususnya di kalangan umat-umat Islam dewasa kini adalah berhubung dengan halal haram yang dipandang remeh oleh segelintir di kalangan umat Islam, apatah lagi yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dan mewah.

Dalam banyak hadis, manusia yang tidak mempedulikan sesuatu benda yang diambilnya (makanan) sama ada yang halal dan haram telah ditimbulkan dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Bakal datang kepada manusia suatu masa, di mana orang tiada peduli apa yang diambilnya; apakah dari yang halal atau dari yang haram". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dari aspek kesihatan, kebanyakan makanan yang berada di pasaran dewasa kini telah dicemari pelbagai bahan penambah dalam makanan (aditif). Walaupun sebahagian bahan penambah terbabit dibenarkan penggunaannya dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu apa-apa bahan yang dimasukkan dengan sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti kecil bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, tekstur, konsistensi, rupa, bau, rasa, kealkalian atau keasidan makanan tersebut atau bertujuan teknologi lain dalam pengilangan, pemprosesan, penyediaan dan sebagainya seperti bahan pengawet, perasa tiruan, pewarna tiruan dan sakarin. Malahan walaupun bahan-bahan aditif ini dianggap oleh sebilangan individu kerana dapat menikmatinya dengan lazat, sebaliknya ia menimbulkan pelbagai gejala dan ancaman terhadap kesihatan bahkan mengancam nyawa.

Di antara bahan-bahan pengawet yang membahayakan kesihatan terdiri dari Sodium Nitrite yang digunakan dalam pengeluaran daging beku, keju dan ikan kering. Ia dilaporkan sebagai satu bahan yang amat penting yang bertindak sebagai pewarna supaya daging berkenaan kelihatan kemerah-merahan. Sebaliknya ia berpotensi sebagai agen penyebab kanser dan berkemungkinan mengakibatkan kerosakan otak.

Begitu juga bahan pengawet lain seperti Asid Benzoik. Ia didapati di dalam sos, minuman ringan dan majerin. Pengambilannya yang berlebihan boleh mengakibatkan gangguan urat saraf dan alergi (alahan).

Asid Borik termasuk juga bahan pengawet yang diguna secara meluas di negara kita terutamanya dalam proses membuat mi, udang dan daging segar. Pengambilan Asis Borik mengakibatkan keracunan makanan, kadangkala boleh merosakkan buah pinggang serta kecacatan kelahiran.

Bahan perasa tiruan juga turut digunakan oleh para pengendali makanan, pengusaha restoran dan individu pengguna (suri rumah) yang kebanyakan kini bahan perasa dari negara jiran (Thailand). Di antara bahan perasa tiruan ini yang turut disenaraikan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu Monosodium Glutamate (MSG) dalam ajinomoto. Ia berperanan untuk melazatkan sesuatu makanan apabila ditambah ke dalamnya.

Berdasarkan laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melalui risalahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran, Monosodium Glutamate (MSG) yang diambil secara berlebihan di dalam sajian harian boleh mengakibatkan kanser dan kerosakan otak di kalangan bayi.

Penemuan terbaru oleh Institut Kanser Kebangsaan dan Pusat Kanser Kebangsaan Jepun mendapati, MSG berpotensi untuk mengakibatkan penyakit kanser. Di samping itu, laporan lain menyebut, MSG boleh menyebabkan sawan babi iaitu badan menjadi gementar di kalangan kanak-kanak. Ia juga menimbulkan kesan panas membahang, berpeluh, sakit kepala, lemah dan sebagainya.

Penggunaan pewarna tiruan terutamanya di dalam pembuatan oren dan sirap semakin mendapat tempat di negara kita. Ia bukan sekadar kelihatan menarik kerana warnanya, sebaliknya orang ramai telah tertipu dengan aroma dan citarasanya. Di antara bahan pewarna yang dimaksudkan seperti Tartrazine, Sunset Yellow FCF, Fast Green FCF, Brilliant Blue FCF, Brilliant Black PN, Chocolate Brown HT, Carmoisine, Ponceau 4R, Indigotine dan Erythrosine.

Tartrazine boleh menyebabkan reaksi alergi seperti ruam, bengkak dan hidung berair. Sunset Yellow FCF dikatakan sebagai agen penyebab kanser. Carmoisine boleh mengakibatkan kanser, reaksi alergi serta keracunan makanan. Ponceau 4R adalah sebagai agen penyebab kanser dan Green S sebagai agen penyebab kanser dan mutagenik.

Sakarin iaitu bahan pemanis tanpa zat yang dapat menggantikan gula kerana citarasanya yang manis. Ia banyak digunakan oleh pengeluar-pengeluar makanan yang terdiri dari buah-buahan kering yang dibungkus dan boleh diperolehi di kedai-kedai runcit dan pasar raya. Daripada kajian menunjukkan, sakarin mengakibatkan kanser kepada manusia, penyakit kencing manis, mereputkan tulang dan gejala lain lagi.

Dalam hal yang demikian, menjaga kesihatan dari diserang penyakit-penyakit merbahaya adalah wajar dilaksanakan oleh setiap umat Islam kerana ia adalah tuntutan menurut kacamata Islam sendiri. Dalam konteks ini, umat-umat Islam hendaklah mengelakkan diri dari mendapatkan bahan-bahan yang memudaratkan kesihatan. Ini kerana, di samping pengambilan bahan-bahan yang membahayakan kesihatan itu, punca utama dan penyebab umat-umat Islam terlalu berat tulang untuk melaksanakan ibadat terhadap Allah S.W.T  disebabkan pengambilan makanan-makanan yang memudaratkan kesihatan malah suatu perkara yang perlu diberikan perhatian dalam konteks Islam ialah tentang masalah halal dan haram berhubung pengambilan bahan-bahan penambah tersebut.

Pengambilan bahan-bahan makanan yang baik mempengaruhi taraf kesihatan seseorang. Sikap mengambil berat tentang makanan yang hendak dimakan adalah sebaik-baik langkah. Al-Quran telah menegaskan bahawa manusia wajib mengetahui baik dan buruknya makanan tersebut. Dari manakah sumbernya sama ada halal, haram, tentang kebersihan sesuatu makanan itu, sama ada ia memberi kemudaratan terhadap tubuh badan dan kesihatan. Allah berfirman yang bermaksud:

"(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana) Kami mentadbirkannya". (Surah 'Abasa: ayat 24) 

Seorang ulama Islam terkenal dewasa kini, Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi menggariskan di dalam kitabnya "Al-Halallu Wal Harammu" (Halal dan Haram Dalam Islam) dengan katanya:

"Setiap Muslim tidak diperkenankan untuk makan minum sesuatu yang dapat membunuh, lambat atau cepat, seperti racun dengan segala macamnya; atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan atau minum yang terlalu banyak yang menyebabkan sakit".

Allah telah menegaskan di dalam Al-Quran bagi manusia yang ingin menggali tentang maknanya bahawa, manusia telah ditegah oleh Allah S.W.T  untuk mencampakkan dirinya sendiri ke arah kebinasaan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Nafkahkanlah (berkorbanlah) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dengan tanganmu kepada kebinasaan, dan buatlah kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan". (Surah Al-Baqarah: ayat 195)

Dalam hal yang demikian, telah jelas kepada manusia bahawa Allah S.W.T  melarang makan dan minum yang terdiri dari perkara-perkara yang membawa risiko terhadap kesihatan apatah lagi melibatkan perihal halal dan haramnya. Makan minum yang terdiri dari perkara yang haram dapat dikaitkan dengan tubuh badan menjadim lemah, selalu berasa uzur untuk beribadat kepada Allah, solat yang tidak khusyuk dan hati yang tertutup untuk mendapat hidayat Allah S.W.T. Ini kerana, apabila makanan dan minuman masuk ke perut yang kurang jelas tentang halalnya akan menyebabkan segala doa yang dipohonkan kepada Allah S.W.T  tidak diterima-Nya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Kemudian ada seorang laki-laki yang datang dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus penuh dengan debu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: "Ya Rabbi! Ya Rabbi! (Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku), padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana mungkin doanya itu akan dikabulkan (Tuhan)?"
(Hadis riwayat Imam Muslim dan Ad-Termidzi)

Di samping itu, manusia yang baik dan beriman kepada Allah S.W.T  serta takut terhadap azab yang telah dijanjikan-Nya, manusia berkenaan akan berusaha untuk menjauhkan diri dari memperolehi makanan-makanan yang haram. Sebaliknya ia akan berusaha untuk mendapatkan makanan-makanan yang telah dihalalkan oleh Allah S.W.T  semata-mata. Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu beriman". (Surah Al-Maidah: ayat 88)

Firman-Nya lagi dalam surah yang lain bermaksud:


"Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan dia semata-mata". (Surah An-Nahl: 114)

Firman Allah lagi dalam surah lain bermaksud:

"Hai manusia! Makanlah sebahagian dari makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, kerana syaitan itu musuh kamu yang terang".
(Surah Al-Baqarah: ayat 168)


Sementara itu, masalah halal telah ditegaskan oleh Allah S.W.T  dan diperjelaskan kepada manusia agar manusia memahami dengan sebaik-baiknya. Begitu juga soal-soal haram telah juga dinyatakan dengan terang melalui Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W  supaya manusia dapat menjauhinya.

Walau bagaimanapun, manusia seharusnya berhati-hati di antara kedua persoalan halal dan haram itu. Ini kerana, di sebalik permasalahan yang sering dihadapi oleh masyarakat Islam di zaman mutakhir kini adalah berhubung dengan masalah syubhat atau wujudnya keraguan.

Pada umumnya, menurut keterangan Imam An-Nawawi di dalam kitabnya "Riyadhus Solihin" bahawa syubhat merangkumi dua aspek iaitu:

1. Meragui kerana dipandang dari segi hukumnya seperti barang-barang yang hukumnya syubhat (tidak jelas terhadap halal dan haramnya).

2. Meragui kerana dipandang melalui akibatnya seperti sesuatu usaha atau tindakan.

Pada hakikatnya, syubhat berpunca dari rayuan dan bisikan syaitan di hati dan dalam pancaindera manusia. Dalam masalah yang sering menghantui masyarakat Islam kini, mereka beranggapan syubhat dapat digolongkan kepada persoalan kecil dan remeh semata-mata. Walaupun ia dianggap persoalan remeh menurut pandangan manusia, tetapi di sisi Allah S.W.T  ia asalah sesuatu hal yang amat penting dan paling agung sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Ketika kamu menerima berita itu dengan lidahmu, dan mengatakan mulutmu perkara yang tidak kamu ketahui, dan kamu kira perkara kecil saja, padahal ia di sisi Allah suatu perkara besar".
(Surah An-Nur: ayat 15)

Berhati-hati dalam perkara yang menimbulkan syubhat wajar dititikberatkan oleh setiap muslimin dan muslimat yang sentiasa beriman kepada Allah S.W.T. Nabi S.A.W  selalu berwaspada terhadap hal tersebut sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Anas r.a, bahawa Nabi S.A.W  menemukan sebiji buah kurma di jalanan, lalu Baginda S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Andaikata saya tidak takut bahawa kurma ini termasuk golongan benda sedekah, pastilah saya akan memakannya". (Hadis riwayat Muttafaq'alaih)

Melalui hadis yang seterusnya, Nu'man bin Basyir r.a, bercerita bahawa, ia pernah mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Perkara yang halal telah jelas dan yang haram jelas pula. Antara keduanya ada beberapa perkara yang meragukan, yang tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan orang. Barang siapa menjauhi perkara-perkara yang diragukan itu, bererti dia memelihara agama dan kesopannya. Barang siapa mengerjakan perkara yang diragukan, sama dengan gembala yang menggembalakan ternakannya di pinggir jurang, dibimbangi dia jatuh ke dalamnya.Ketahuilah, semua raja mempunyai larangan. Ketahuilah pula, larangan Allah ialah segala yang diharamkannya.Ketahuilah, di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka baik pulalah tubuh itu semuanya. Dan apabila daging itu rosak, maka binasa pulalah tubuh itu seluruhnya. Ketahuilah, daging itu ialah "hati". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, setiap umat Islam perlu menghindari supaya tidak terjebak kepada perkara-perkara syubhat. Ia bertujuan supaya terselamat dalam agama dan kehormatan individu itu sendiri. Sebuah hadis sabda Rasulullah S.A.W  bermaksud:

"Yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, maka tinggalkan apa-apa yang meragukan engkau (syubhat) dan (ambillah) perkara-perkara yang tidak meragukan engkau". (Hadis riwayat At-Tibrani)

Di samping itu, di zaman mutakhir ini kebanyakan masyarakat Islam telah diancam kegemukan atau bengkak badan. Boleh dianggapkan bahawa kegemukan merupakan pengkhianat kepada diri sendiri. Dengan kata lain, kegemukan berpunca dari sikap cuai individu untuk menjaga kesihatan tubuh badan mereka.

Dari konteks kesihatan, badan yang gemuk berpunca dari pengambilan gula, lemak serta makanan yang berlebihan. Dalam aspek ini, sekiranya segala makanan tersebut kurang diberi kawalan yang sepatutnya ia boleh mendatangkan gejala penyakit seperti serangan jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Manakala dalam konteks lain pula, badan yang gemuk tentunya amat sukar untuk berlari dan menaiki tangga. Ia menimbulkan sesak nafas, tidur yang keterlaluan, bersifat malas dan kurang pendirian. Kebimbangan seperti ini pernah ditimbulkan dalam sebuah hadis sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud:

"Yang paling saya takuti di antara hal-hal yang saya takuti atas umatku ialah besar perutnya, gemuk kerana banyak makan, terus menerus tidur, kegemaran tidur yang melampaui batas, malas dan lemahnya keyakinan, tidak mempunyai pendirian yang tegas dan mantap". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Setiap manusia seharusnya mendapatkan makanan itu sebagai sumber keperluan zat dan garam galian yang diperlukan untuk tubuh dan kehidupan mereka. Tetapi manusia jangan lupa, Allah S.W.T  menganugerahkan akal fikiran adalah supaya manusia sentiasa berfikir dan menyedari apakah makanan perlu dimakan sebebas-bebasnya menurut tuntutan nafsu.

Apabila manusia telah sedar bahawa pengambilan makanan juga perlu mendapat kawalan, inilah masanya setiap umat Islam wajar beringat. Ini adalah kerana, umat Islam merupakan suatu kaum yang tidak akan makan kecuali setelah merasai kelaparan. Sebaliknya apabila menikmati makanan, tidak berlebihan hingga terlalu kekenyangan. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T  menegah anak-anak Adam supaya makan minum mereka tidak melampaui batas. Firman-Nya yang bermaksud:

"Hai anak-anak Adam! Pakailah perhiasanmu setiap waktu sembahyang, dan makan minumlah dan jangan melampaui batas; sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
(Surah Al-A'raf: ayat 31)

Persoalan makanan juga dapat membezakan di antara orang-orang Islam sejati dan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, katanya:

Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda: "Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Umat Islam juga perlu mengetahui ukuran dan sukatan makanan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka serta apakah tujuan makanan itu diisi menurut sukatan tersebut. Pada hakikatnya, makanan diperlukan sekadar satu pertiga, minuman satu pertiga dan satu pertiga lagi untuk pernafasan, supaya memberikan tenaga dan menguatkan tulang belakang. Hal ini telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W  dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Tiada seorang anak Adam (manusia) pun yang memenuhi sesuatu wadah yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah anak Adam (manusia) itu makan beberapa suap saja yang dapat mendirikan (menguatkan) tulang belakangnya. Oleh sebab itu, apabila perut itu mesti diisi, cukuplah satu pertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya (jiwanya)".

Ekoran dari itu, persoalan mengenai makanan bukanlah suatu perkara yang kecil dan remeh. Ini kerana, setiap bahan makanan sama ada bersih, halal dan sebaliknya akan menjadi darah daging. Darah daging yang baik berpunca dari makanan yang baik. Tetapi kalau makanan-makanan tersebut didatangkan dari sumber-sumber yang tidak elok, buruklah akibatnya. Kerana itu, ibadat yang tidak khusyuk dan kurang bersungguh-sungguh adalah berpunca dari makanan-makanan yang tidak sempura yang sewajarnya dielakkan.            


Pewarna sering digunakan oleh pengusaha makanan dan minuman proses untuk menarik pembeli.



Makanan yang akan masuk ke perut mestilah bersih dan halal.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH