RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 18 Mei 2012

Makanan dan Bahayanya


MAKANAN DAN BAHAYANYA

MAKANAN adalah suatu bahan keperluan yang amat diperlukan oleh tubuh. Kepentingannya memang tidak dapat disangkal lagi sebagai tenaga dan pembesaran. Makanan yang enak dan lazat sentiasa dititikberatkan oleh setiap manusia. Namun, selain fadhilat terhadap tubuh, tahukah anda bahawa makanan juga membawa implikasi terhadap kesihatan. Hal ini disebabkan, manusia hari ini dianggap tidak lagi mementingkan pengetahuan asas terhadap sesuatu makanan yang akan mereka nikmati itu. Inilah suatu gejala yang melanda manusia di zaman mutakhir kini.

Lebih dari separuh manusia menganggapkan bahawa makanan yang terhidang dalam pelbagai bentuk itu tidak perlu diselidiki sama ada dari segi kebersihan ataupun kotor, halal atau haram dan adakah makanan yang akan dinikmati itu boleh diyakini sepenuhnya ataupun menimbulkan sesuatu yang meragukan terhadapnya. Dengan demikian, ramai yang mengambilnya dalam jumlah yang berlebihan sehingga mendatangkan masalah kegemukan pada diri mereka sendiri.

Ditinjau dari sudut kesihatan, makanan merupakan suatu keperluan asasi yang amat penting kepada tubuh badan manusia. Memperolehi makanan yang banyak mengandungi garam serta vitamin yang mencukupi akan melahirkan masyarakat Islam yang sentiasa cerdas dan bertenaga. Dalam aspek lain, makanan yang mencukupi itu pastinya membawa manusia sentiasa mengingati seterusnya berbakti terhadap suruhan-suruhan Allah dan menjauhi larangan-larangan Allah S.W.T.

Sebagai manusia, kita perlu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sesuatu makanan menurut kaca mata Islam dan hal ini seharusnya diamalkan oleh setiap umat Islam. Sebabnya kita telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T  dengan akal fikiran berbanding dengan haiwan yang sekadar makan tanpa memperhitungkan sama ada baik atau buruk.

Manusia yang beriman akan mendapatkan sumber-sumber dan barangan yang bersih seterusnya menyisihkan benda-benda yang kotor dan jijik, iaitu memakan makanan yang halal dan meninggalkan makanan yang haram. Yakin terhadap sesuatu makanan bahkan mengelakkan diri terhadap perkara yang meragukan di samping makan sekadar untuk mengelakkan kelaparan tetapi tidak berlebihan.

Hakikat tentang kebersihan memang sering kita dengar. Dari sudut kesihatan, kebersihan memainkan peranan yang penting terhadap kecerdasan individu dan melahirkan jiwa yang harmonis.

Dari sudut kesihatan, kebersihan tidak sekadar mempunyai laman rumah yang bebas dari tempat pembiakan nyamuk dan penyakit-penyakit yang merbahaya. Tetapi penekanan perlu dilaksanakan dari segi memilih makanan, mengendalikan, menyediakan, menyimpan serta menghidang dan membungkus makanan.

Kaedah tersebut amat penting dilaksanakan dengan sebaik-baiknya terutama kepada para pengendali dan pengusaha makanan serta suri rumah. Pengendalian yang tidak cermat akan menimbulkan gejala penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan, taun, demam kepialu, disentri, hepatitis berjangkit dan jangkitan cacing.

Dalam hal ini, makanan yang tidak selamat dari sudut kesihatan hendaklah dielakkan seperti makanan yang rosak dan busuk, makanan yang tercemar oleh lalat dan kuman, makanan yang berulat dan berkulat, makanan tercemar oleh racun dan bahan kimia lain serta makanan telah bertukar bentuk, rasa dan bau.

Dengan demikian, untuk mendapatkan makanan yang baik dan selamat adalah amat penting diberikan perhatian oleh setiap individu Muslim khususnya. Seelok-eloknya pilihlah makanan mentah yang masih segar, makanan yang ditutup dengan sempurna, makanan yang dibungkus dengan pembungkus sempurna seperti plastik tanpa warna, hindari makanan dalam tin kemek, berkarat dan kembung serta makanan siap diproses yang tidak melebihi tempoh penggunaannya.

Manakala "kebersihan" di dalam Islam meliputi semua aspek baik dari segi rohani dan jasmani. Kerana itu, makanan yang bersih itu sahaja yang patut diutamakan kerana dari makanan itulah akan menghasilkan darah daging yang baik dan sebaliknya.

Persoalan tentang kebersihan memang telah digariskan oleh Islam dalam sebuah hadis. Sabda Nabi S.A.W  yang bermaksud:

"Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih". (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Menurut hadis tersebut, menerangkan secara umum tentang kebersihan. Walau bagaimanapun, dapatlah diterapkan di sini bahawa maksud hadis itu juga tertumpu kepada kebersihan makanan yang memainkan peranan terpenting kepada setiap individu muslim, bukan semata-mata kepada pakaian, tubuh badan dan tempat tinggal.

Namun begitu, di dalam buku "Usrah dan Dakwah" bahawa Pemimpin Pertubuhan Al-Ikhwan Muslimin, Mesir, As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna menyatakan:

"Hendaklah saudara menjaga kebersihan di dalam semua hal iaitu sama ada dalam rumah tangga, pakaian, makan minum, tubuh badan, mahupun tempat bekerja dengan sebersih-bersihnya; kerana Agama Islam itu diasaskan di atas dasar "kebersihan".

Permasalahan yang sering menggugat manusia khususnya di kalangan umat-umat Islam dewasa kini adalah berhubung dengan halal haram yang dipandang remeh oleh segelintir di kalangan umat Islam, apatah lagi yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dan mewah.

Dalam banyak hadis, manusia yang tidak mempedulikan sesuatu benda yang diambilnya (makanan) sama ada yang halal dan haram telah ditimbulkan dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Bakal datang kepada manusia suatu masa, di mana orang tiada peduli apa yang diambilnya; apakah dari yang halal atau dari yang haram". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dari aspek kesihatan, kebanyakan makanan yang berada di pasaran dewasa kini telah dicemari pelbagai bahan penambah dalam makanan (aditif). Walaupun sebahagian bahan penambah terbabit dibenarkan penggunaannya dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu apa-apa bahan yang dimasukkan dengan sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti kecil bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, tekstur, konsistensi, rupa, bau, rasa, kealkalian atau keasidan makanan tersebut atau bertujuan teknologi lain dalam pengilangan, pemprosesan, penyediaan dan sebagainya seperti bahan pengawet, perasa tiruan, pewarna tiruan dan sakarin. Malahan walaupun bahan-bahan aditif ini dianggap oleh sebilangan individu kerana dapat menikmatinya dengan lazat, sebaliknya ia menimbulkan pelbagai gejala dan ancaman terhadap kesihatan bahkan mengancam nyawa.

Di antara bahan-bahan pengawet yang membahayakan kesihatan terdiri dari Sodium Nitrite yang digunakan dalam pengeluaran daging beku, keju dan ikan kering. Ia dilaporkan sebagai satu bahan yang amat penting yang bertindak sebagai pewarna supaya daging berkenaan kelihatan kemerah-merahan. Sebaliknya ia berpotensi sebagai agen penyebab kanser dan berkemungkinan mengakibatkan kerosakan otak.

Begitu juga bahan pengawet lain seperti Asid Benzoik. Ia didapati di dalam sos, minuman ringan dan majerin. Pengambilannya yang berlebihan boleh mengakibatkan gangguan urat saraf dan alergi (alahan).

Asid Borik termasuk juga bahan pengawet yang diguna secara meluas di negara kita terutamanya dalam proses membuat mi, udang dan daging segar. Pengambilan Asis Borik mengakibatkan keracunan makanan, kadangkala boleh merosakkan buah pinggang serta kecacatan kelahiran.

Bahan perasa tiruan juga turut digunakan oleh para pengendali makanan, pengusaha restoran dan individu pengguna (suri rumah) yang kebanyakan kini bahan perasa dari negara jiran (Thailand). Di antara bahan perasa tiruan ini yang turut disenaraikan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu Monosodium Glutamate (MSG) dalam ajinomoto. Ia berperanan untuk melazatkan sesuatu makanan apabila ditambah ke dalamnya.

Berdasarkan laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melalui risalahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran, Monosodium Glutamate (MSG) yang diambil secara berlebihan di dalam sajian harian boleh mengakibatkan kanser dan kerosakan otak di kalangan bayi.

Penemuan terbaru oleh Institut Kanser Kebangsaan dan Pusat Kanser Kebangsaan Jepun mendapati, MSG berpotensi untuk mengakibatkan penyakit kanser. Di samping itu, laporan lain menyebut, MSG boleh menyebabkan sawan babi iaitu badan menjadi gementar di kalangan kanak-kanak. Ia juga menimbulkan kesan panas membahang, berpeluh, sakit kepala, lemah dan sebagainya.

Penggunaan pewarna tiruan terutamanya di dalam pembuatan oren dan sirap semakin mendapat tempat di negara kita. Ia bukan sekadar kelihatan menarik kerana warnanya, sebaliknya orang ramai telah tertipu dengan aroma dan citarasanya. Di antara bahan pewarna yang dimaksudkan seperti Tartrazine, Sunset Yellow FCF, Fast Green FCF, Brilliant Blue FCF, Brilliant Black PN, Chocolate Brown HT, Carmoisine, Ponceau 4R, Indigotine dan Erythrosine.

Tartrazine boleh menyebabkan reaksi alergi seperti ruam, bengkak dan hidung berair. Sunset Yellow FCF dikatakan sebagai agen penyebab kanser. Carmoisine boleh mengakibatkan kanser, reaksi alergi serta keracunan makanan. Ponceau 4R adalah sebagai agen penyebab kanser dan Green S sebagai agen penyebab kanser dan mutagenik.

Sakarin iaitu bahan pemanis tanpa zat yang dapat menggantikan gula kerana citarasanya yang manis. Ia banyak digunakan oleh pengeluar-pengeluar makanan yang terdiri dari buah-buahan kering yang dibungkus dan boleh diperolehi di kedai-kedai runcit dan pasar raya. Daripada kajian menunjukkan, sakarin mengakibatkan kanser kepada manusia, penyakit kencing manis, mereputkan tulang dan gejala lain lagi.

Dalam hal yang demikian, menjaga kesihatan dari diserang penyakit-penyakit merbahaya adalah wajar dilaksanakan oleh setiap umat Islam kerana ia adalah tuntutan menurut kacamata Islam sendiri. Dalam konteks ini, umat-umat Islam hendaklah mengelakkan diri dari mendapatkan bahan-bahan yang memudaratkan kesihatan. Ini kerana, di samping pengambilan bahan-bahan yang membahayakan kesihatan itu, punca utama dan penyebab umat-umat Islam terlalu berat tulang untuk melaksanakan ibadat terhadap Allah S.W.T  disebabkan pengambilan makanan-makanan yang memudaratkan kesihatan malah suatu perkara yang perlu diberikan perhatian dalam konteks Islam ialah tentang masalah halal dan haram berhubung pengambilan bahan-bahan penambah tersebut.

Pengambilan bahan-bahan makanan yang baik mempengaruhi taraf kesihatan seseorang. Sikap mengambil berat tentang makanan yang hendak dimakan adalah sebaik-baik langkah. Al-Quran telah menegaskan bahawa manusia wajib mengetahui baik dan buruknya makanan tersebut. Dari manakah sumbernya sama ada halal, haram, tentang kebersihan sesuatu makanan itu, sama ada ia memberi kemudaratan terhadap tubuh badan dan kesihatan. Allah berfirman yang bermaksud:

"(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana) Kami mentadbirkannya". (Surah 'Abasa: ayat 24) 

Seorang ulama Islam terkenal dewasa kini, Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi menggariskan di dalam kitabnya "Al-Halallu Wal Harammu" (Halal dan Haram Dalam Islam) dengan katanya:

"Setiap Muslim tidak diperkenankan untuk makan minum sesuatu yang dapat membunuh, lambat atau cepat, seperti racun dengan segala macamnya; atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan atau minum yang terlalu banyak yang menyebabkan sakit".

Allah telah menegaskan di dalam Al-Quran bagi manusia yang ingin menggali tentang maknanya bahawa, manusia telah ditegah oleh Allah S.W.T  untuk mencampakkan dirinya sendiri ke arah kebinasaan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Nafkahkanlah (berkorbanlah) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dengan tanganmu kepada kebinasaan, dan buatlah kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan". (Surah Al-Baqarah: ayat 195)

Dalam hal yang demikian, telah jelas kepada manusia bahawa Allah S.W.T  melarang makan dan minum yang terdiri dari perkara-perkara yang membawa risiko terhadap kesihatan apatah lagi melibatkan perihal halal dan haramnya. Makan minum yang terdiri dari perkara yang haram dapat dikaitkan dengan tubuh badan menjadim lemah, selalu berasa uzur untuk beribadat kepada Allah, solat yang tidak khusyuk dan hati yang tertutup untuk mendapat hidayat Allah S.W.T. Ini kerana, apabila makanan dan minuman masuk ke perut yang kurang jelas tentang halalnya akan menyebabkan segala doa yang dipohonkan kepada Allah S.W.T  tidak diterima-Nya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Kemudian ada seorang laki-laki yang datang dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus penuh dengan debu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: "Ya Rabbi! Ya Rabbi! (Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku), padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana mungkin doanya itu akan dikabulkan (Tuhan)?"
(Hadis riwayat Imam Muslim dan Ad-Termidzi)

Di samping itu, manusia yang baik dan beriman kepada Allah S.W.T  serta takut terhadap azab yang telah dijanjikan-Nya, manusia berkenaan akan berusaha untuk menjauhkan diri dari memperolehi makanan-makanan yang haram. Sebaliknya ia akan berusaha untuk mendapatkan makanan-makanan yang telah dihalalkan oleh Allah S.W.T  semata-mata. Firman-Nya yang bermaksud:

"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu beriman". (Surah Al-Maidah: ayat 88)

Firman-Nya lagi dalam surah yang lain bermaksud:


"Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan dia semata-mata". (Surah An-Nahl: 114)

Firman Allah lagi dalam surah lain bermaksud:

"Hai manusia! Makanlah sebahagian dari makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, kerana syaitan itu musuh kamu yang terang".
(Surah Al-Baqarah: ayat 168)


Sementara itu, masalah halal telah ditegaskan oleh Allah S.W.T  dan diperjelaskan kepada manusia agar manusia memahami dengan sebaik-baiknya. Begitu juga soal-soal haram telah juga dinyatakan dengan terang melalui Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W  supaya manusia dapat menjauhinya.

Walau bagaimanapun, manusia seharusnya berhati-hati di antara kedua persoalan halal dan haram itu. Ini kerana, di sebalik permasalahan yang sering dihadapi oleh masyarakat Islam di zaman mutakhir kini adalah berhubung dengan masalah syubhat atau wujudnya keraguan.

Pada umumnya, menurut keterangan Imam An-Nawawi di dalam kitabnya "Riyadhus Solihin" bahawa syubhat merangkumi dua aspek iaitu:

1. Meragui kerana dipandang dari segi hukumnya seperti barang-barang yang hukumnya syubhat (tidak jelas terhadap halal dan haramnya).

2. Meragui kerana dipandang melalui akibatnya seperti sesuatu usaha atau tindakan.

Pada hakikatnya, syubhat berpunca dari rayuan dan bisikan syaitan di hati dan dalam pancaindera manusia. Dalam masalah yang sering menghantui masyarakat Islam kini, mereka beranggapan syubhat dapat digolongkan kepada persoalan kecil dan remeh semata-mata. Walaupun ia dianggap persoalan remeh menurut pandangan manusia, tetapi di sisi Allah S.W.T  ia asalah sesuatu hal yang amat penting dan paling agung sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Ketika kamu menerima berita itu dengan lidahmu, dan mengatakan mulutmu perkara yang tidak kamu ketahui, dan kamu kira perkara kecil saja, padahal ia di sisi Allah suatu perkara besar".
(Surah An-Nur: ayat 15)

Berhati-hati dalam perkara yang menimbulkan syubhat wajar dititikberatkan oleh setiap muslimin dan muslimat yang sentiasa beriman kepada Allah S.W.T. Nabi S.A.W  selalu berwaspada terhadap hal tersebut sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Anas r.a, bahawa Nabi S.A.W  menemukan sebiji buah kurma di jalanan, lalu Baginda S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Andaikata saya tidak takut bahawa kurma ini termasuk golongan benda sedekah, pastilah saya akan memakannya". (Hadis riwayat Muttafaq'alaih)

Melalui hadis yang seterusnya, Nu'man bin Basyir r.a, bercerita bahawa, ia pernah mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud:

"Perkara yang halal telah jelas dan yang haram jelas pula. Antara keduanya ada beberapa perkara yang meragukan, yang tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan orang. Barang siapa menjauhi perkara-perkara yang diragukan itu, bererti dia memelihara agama dan kesopannya. Barang siapa mengerjakan perkara yang diragukan, sama dengan gembala yang menggembalakan ternakannya di pinggir jurang, dibimbangi dia jatuh ke dalamnya.Ketahuilah, semua raja mempunyai larangan. Ketahuilah pula, larangan Allah ialah segala yang diharamkannya.Ketahuilah, di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka baik pulalah tubuh itu semuanya. Dan apabila daging itu rosak, maka binasa pulalah tubuh itu seluruhnya. Ketahuilah, daging itu ialah "hati". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, setiap umat Islam perlu menghindari supaya tidak terjebak kepada perkara-perkara syubhat. Ia bertujuan supaya terselamat dalam agama dan kehormatan individu itu sendiri. Sebuah hadis sabda Rasulullah S.A.W  bermaksud:

"Yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, maka tinggalkan apa-apa yang meragukan engkau (syubhat) dan (ambillah) perkara-perkara yang tidak meragukan engkau". (Hadis riwayat At-Tibrani)

Di samping itu, di zaman mutakhir ini kebanyakan masyarakat Islam telah diancam kegemukan atau bengkak badan. Boleh dianggapkan bahawa kegemukan merupakan pengkhianat kepada diri sendiri. Dengan kata lain, kegemukan berpunca dari sikap cuai individu untuk menjaga kesihatan tubuh badan mereka.

Dari konteks kesihatan, badan yang gemuk berpunca dari pengambilan gula, lemak serta makanan yang berlebihan. Dalam aspek ini, sekiranya segala makanan tersebut kurang diberi kawalan yang sepatutnya ia boleh mendatangkan gejala penyakit seperti serangan jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Manakala dalam konteks lain pula, badan yang gemuk tentunya amat sukar untuk berlari dan menaiki tangga. Ia menimbulkan sesak nafas, tidur yang keterlaluan, bersifat malas dan kurang pendirian. Kebimbangan seperti ini pernah ditimbulkan dalam sebuah hadis sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud:

"Yang paling saya takuti di antara hal-hal yang saya takuti atas umatku ialah besar perutnya, gemuk kerana banyak makan, terus menerus tidur, kegemaran tidur yang melampaui batas, malas dan lemahnya keyakinan, tidak mempunyai pendirian yang tegas dan mantap". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Setiap manusia seharusnya mendapatkan makanan itu sebagai sumber keperluan zat dan garam galian yang diperlukan untuk tubuh dan kehidupan mereka. Tetapi manusia jangan lupa, Allah S.W.T  menganugerahkan akal fikiran adalah supaya manusia sentiasa berfikir dan menyedari apakah makanan perlu dimakan sebebas-bebasnya menurut tuntutan nafsu.

Apabila manusia telah sedar bahawa pengambilan makanan juga perlu mendapat kawalan, inilah masanya setiap umat Islam wajar beringat. Ini adalah kerana, umat Islam merupakan suatu kaum yang tidak akan makan kecuali setelah merasai kelaparan. Sebaliknya apabila menikmati makanan, tidak berlebihan hingga terlalu kekenyangan. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T  menegah anak-anak Adam supaya makan minum mereka tidak melampaui batas. Firman-Nya yang bermaksud:

"Hai anak-anak Adam! Pakailah perhiasanmu setiap waktu sembahyang, dan makan minumlah dan jangan melampaui batas; sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
(Surah Al-A'raf: ayat 31)

Persoalan makanan juga dapat membezakan di antara orang-orang Islam sejati dan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, katanya:

Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda: "Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Umat Islam juga perlu mengetahui ukuran dan sukatan makanan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka serta apakah tujuan makanan itu diisi menurut sukatan tersebut. Pada hakikatnya, makanan diperlukan sekadar satu pertiga, minuman satu pertiga dan satu pertiga lagi untuk pernafasan, supaya memberikan tenaga dan menguatkan tulang belakang. Hal ini telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W  dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Tiada seorang anak Adam (manusia) pun yang memenuhi sesuatu wadah yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah anak Adam (manusia) itu makan beberapa suap saja yang dapat mendirikan (menguatkan) tulang belakangnya. Oleh sebab itu, apabila perut itu mesti diisi, cukuplah satu pertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya (jiwanya)".

Ekoran dari itu, persoalan mengenai makanan bukanlah suatu perkara yang kecil dan remeh. Ini kerana, setiap bahan makanan sama ada bersih, halal dan sebaliknya akan menjadi darah daging. Darah daging yang baik berpunca dari makanan yang baik. Tetapi kalau makanan-makanan tersebut didatangkan dari sumber-sumber yang tidak elok, buruklah akibatnya. Kerana itu, ibadat yang tidak khusyuk dan kurang bersungguh-sungguh adalah berpunca dari makanan-makanan yang tidak sempura yang sewajarnya dielakkan.            


Pewarna sering digunakan oleh pengusaha makanan dan minuman proses untuk menarik pembeli.



Makanan yang akan masuk ke perut mestilah bersih dan halal.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan