RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 4 Mei 2012

Misteri Alam Jin


MISTERI ALAM JIN

PASIR MAS, KELANTAN ALAM ini bukan sahaja didiami oleh manusia tetapi turut dihuni oleh makhluk ghaib yang dikenali makhluk jin yang diistilahkan oleh manusia sebagai makhluk halus. Alam jin dan alam manusia sebenarnya letaknya sangat berdekatan dan dikatakan dalam keadaan bertindih, kecuali berbeza dimensi. Kehidupan jin sama dengan manusia, ada yang suka berkeliaran dan melakukan kerja. Kehidupan mereka sama seperti manusia mempunyai akal, nafsu, berilmu, berkelamin, mempunyai keturunan, makan minum, usaha dan ikhtiar, ada yang beribadat kepada Allah seperti jin Islam. Cuma yang berbeza dengan manusia ialah, manusia di alam nyata tetapi jin pula berada di alam ghaib dan mereka berjalan sangat pantas.

Apabila kita menyorot alam jin pula, alam berkenaan mempunyai tiga peringkat iaitu alam ghaib biasa, alam ghaib pertengahan dan alam kebatinan. Misalnya alam ghaib biasa yang dihuni kumpulan makhluk jin membolehkan makhluk berkenaan dapat menjelmakan dirinya dalam pelbagai bentuk. Manakala alam pertengahan yang dihuni makhluk ini pun boleh menjelma juga, namun amat berbeza dengan alam ghaib biasa terutamanya dari segi pakaian. Manakala yang ketiga pula dalam peringkat roh.

Menjelaskan tentang hal berkenaan kepada Wartawan RELATIF, seorang Pengamal Rawatan Alternatif dan Tukang Urut, Raja Ismail Raja Salleh atau Pak Ku Mat, 58, dari Kampung Buluh Melintang dekat sini berkata, makhluk jin yang menghuni alam ghaib biasa mampu menjelma dalam semua peringkat.

"Makhluk jin mampu menjelma menurut kehendak mereka. Cuma satu sahaja yang tidak mampu dilakukan oleh jin untuk menjelma atau meniru wajah Nabi S.A.W", katanya ketika ditemui Penulis di kampung berkenaan.

Katanya, di alam ghaib biasa, pakaian yang dipakai oleh makhluk jin dalam kategori ini sama juga dengan pakaian yang dipakai oleh manusia. Cuma berbezanya dengan manusia, jin yang jahat akan menjelma dalam rupa serangga dan binatang seperti belalang, ular, harimau, gajah, lembu, kucing dan sebagainya. Masyarakat Kelantan mengistilahkan jin dalam kelompok ini sebagai "jin tanah".

"Makhluk jin dalam kategori ini kadang-kadang gemar berpakaian hitam dan putih silih berganti, menjelma dalam kategori manusia yang baik-baik dan alim. Ia termasuk dalam kategori alam ghaib biasa, disebabkan makhluk jin jenis ini mampu berbuat demikian dengan ilmu yang dimiliki oleh mereka. Jin dalam kumpulan ini dianggap jin paling jahat", ujarnya.

Menurutnya, makhluk jin yang menghuni dalam alam pertengahan mampu memasuki tubuh manusia sebagaimana kehendak dan peranan yang akan mereka lakukan terhadap manusia. Makhluk jin dalam kategori ini, adalah makhluk paling ahat. Misalnya hal yang bersabit dengan pemujaan adalah termasuk dalam kategori dalam alam pertengahan, makhluk jin dalam kategori ini boleh memasuki tubuh manusia sebagaimana yang diarahkan oleh manusia yang menggunakan khidmatnya untuk mengenakan mangsa yang terdiri dari kalangan manusia.

Tambahnya, alam kebatinan dikenali juga sebagai alam roh. Misalnya tentang roh manusia yang meninggal dunia, makhluk jin dalam kategori ini mampu menjelma dalam bentuk roh dengan rupa manusia yang mati itu.

"Ketiga-tiga alam yang dihuni makhluk jin ini adalah hampir sama berdasarkan ilmu yang dimiliki oleh makhluk-makhluk halus terbabit. Dalam keadaan tertentu, manusia boleh melakukan rundingan dengan makhluk berkenaan bagi kepentingan manusia tertentu pula", katanya.

Menceritakan pengalamannya sebagai Pengamal Rawatan Alternatif dan Tukang Urut, Pak Ku Mat berkata, kehidupan makhluk jin yang menghuni dalam ketiga-tiga alam berkenaan hampir sama sahaja. Beliau pernah menyelam masuk ke dalam alam makhluk terbabit sewaktu merawat mangsa atau  pesakit akibat gangguan makhluk halus terbabit dan beliau mendapati alam jin hampir sama dengan alam manusia (alam realiti).

"Dari segi masa amat berbeza antara alam jin dan manusia. Makhluk jin tidak pernah tidur, tidak sebagaimana manusia yang perlukan tidur sebagai masa untuk rehat. Manakala makhkuk jin pula tidak mempunyai masa untuk tidur", jelas Pak Ku Mat.

Sambung Pak Ku Mat lagi, dari konteks masa juga, masa dalam alam jin lebih mendahului dari masa manusia. Contohnya, siang hari di alam manusia bermakna waktu malam di alam jin.

Apatah lagi dari segi makanan pula amat banyak bezanya dengan manusia. Kalau kita lihat makanan yang dimakan oleh makhluk seolah-olah seperti nasi, tetapi hakikatnya  makanan tersebut ialah telur semut. Sering berlaku, melalui pengalaman merawat pesakit yang memberitahunya berkata, mereka pernah melihat seorang wanita cantik sedang membawa buah-buahan ketika melaluinya ketika waktu larut malam yang ingin menumpang mangsa terbabit.

Apabila dilihat buah-buahan yang dibawa oleh lembaga wanita cantik yang menjelmakan dalam rupa manusia itu memang kelihatannya seperti buah epal, namun hakikatnya ialah "buah ara". kadang-kadang makhluk ini tidak ingin menyusahkan manusia dengan memberikan buah-buahan yang memabukkan, namun mata kasar manusia tidak sama dengan penglihatan makhluk jin yang mampu menjelmakan buah-buahan terbabit menjadi buah-buahan yang berlainan namanya. Inilah yang dikatakan makhluk jin sebenarnya satu makhluk yang suka menipu, melakukan pengkhianatan, penganiayaan dan penyamaran terhadap manusia.

Jelas Pak Ku Mat, apabila kita menyelam memasuki alam jin, manusia mampu masuk ke dalam alam makhluk terbabit sehingga kepada tujuh hingga lapan lapis alam jin. Namun, lazimnya kebanyakan manusia dapat masuk ke dalam alam jin hanya setakat tiga lapis sahaja. Begitulah juga dengan jin yang ingin masuk ke dalam alam manusia sehingga ke lapan lapis alam, tetapi makhluk berkenaan mampu hanya memasuki setakat tiga lapis alam juga.

"Misalnya dalam konteks pakaian, kalau makhluk halus mampu datang ke alam manusia dengan berpakaian seperti manusia. Manusia juga mampu masuk ke dalam alam jin sebagaimana pakaian yang dipakai oleh manusia pada ketika itu.

"Ini bermakna, jika makhluk halus ingin datang ke alam manusia, mereka perlukan kaedah, cara dan ilmu yang tinggi. Begitu juga dengan manusia yang ingin masuk ke dalam alam makhluk halus perlukan kaedah, cara dan ilmu yang tinggi juga", katanya.

Dalam konteks rawatan yang melibatkan gangguan makhluk halus berkenaan yang berpunca dari manusia sendiri pernah dilakukannya. Sebelum terjadi hal berkenaan, mangsa ingin mengadakan tazkirah kepada makmum dalam sebuah masjid, namun terpaksa dibatalkan akibat air liur melilih dari bibir mulutnya agak luar biasa. Sementara itu, ketika mangsa ingin menikmati makanan menjadi masalah buatnya apabila makanan yang masuk ke perut, beliau muntah secara tiba-tiba.

Kejadian ini menurutnya akibat sihir oleh pihak tertentu bertujuan untuk mengenakan mangsa yang merupakan seorang pegawai penjawat awam di Kampung Cherang dekat Kota Bharu melalui teknik pemujaan dengan tujuh anak patung.

Katanya, ketujuh-tujuh anak patung berkenaan diikat dengan kain kapan orang yang telah meninggal dunia membentuk tujuh lapis lalu melakukan pemujaan terhadapnya. Menurutnya, mangsa telah dianiayai oleh pihak yang irihati dan orang yang bertanggungjawab mengenakan mangsa ialah bomoh upahan. Akibat daripada sihir itu menyebabkan satu tingkat rumah mangsa didapati hangus terbakar. Kejadian berkenaan berlaku apabila menjelang larut malam iaitu mulai jam 12.00 malam kerana jin terbabit mula bekerja dan menjalankan peranannya setelah diarahkan pihak terbabit dalam waktu-waktu berkenaan.

"Satu kes lagi, saya terpaksa menarik makhluk jin yang telah memasuki tubuh seorang mangsa. Jin itu kemudiannya saya masukkan ke dalam botol. Tindakan ini berpunca daripada sihir yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap mangsa.

"Jin berkenaan akan menurut arahan manusia yang mengarahkannya sama ada akan mendatang masalah kepada mangsa seperti sakit, perut menjadi buncit atau sebagainya", ujar Pak Ku Mat.

Apabila ditanya tentang kehidupan makhluk jin yang dapat hidup dalam udara, gelombang, aura dan cahaya, beliau menjelaskan kesemuanya itu adalah sama sahaja cuma berbeza dari segi istilah sahaja.

Kebanyakan masyarakat jin menurutnya sama seperti manusia, masing-masing melakukan kerja untuk mendapatkan makanan dan kehidupan. Sementara apabila menjelang waktu Maghrib, masa inilah makhluk berkenaan cuba mencari mangsanya, sekiranya didapati bayi-bayi menangis tetapi tidak ditenangkan ketika dilintasi makhluk berkenaan pastinya bayi berkenaan akan diganggu.

Menurut Pak Ku Mat, dalam kelompok makhluk jin, walaupun dikatakan jin Islam manusia tidak harus mempercayainya. Ini kerana, Islam itu adalah agama tetapi jin itu makhluk yang hampir sama seperti manusia iaitu suka bergurau. Kadang-kadang gurauan itu melebihi batasan, akibat yang diterima oleh manusia ialah merana. Misalnya dalam kehidupan realiti manusia, "penampar" itu adalah "cuit" bagi makhluk jin. Ini bermakna, sikap dalam makhluk jin Islam juga ada yang suka melakukan  pengkhianatan. Kadang-kadang bagi orang yang dapat mendengar bunyi suara sedang memanggil mangsa, sememangnya suara tersebut adalah suara jin berkenaan yang ingin mengganggu mangsa terbabit.

Katanya, mangsa yang lemah semangat lazimnya akan sentiasa diganggu makhluk jin yang suka mengambil kesempatan di atas kelalaian dan kelemahan manusia. Misalnya bagi gadis dan wanita yang didatangi haid bermakna tubuh tidak suci dan lemah, wanita berkenaan pastinya akan menjadi mangsa makhluk halus itu yang nakal dan suka bergurau.

Justeru, beliau berharap umat-umat Islam menjauhi hal-hal yang bersangkutan dengan makhluk berkenaan. Katanya, seringlah membaca surah tiga kul untuk menghindari gangguan makhluk jin kerana ada di antara makhluk-makhluk berkenaan yang dianggap jin yang boleh menyusahkan kehidupan manusia.   
 

Raja Ismail Raja Salleh atau Pak Ku Mat.

Pak Ku Mat ketika ditemubual Penulis.

Bukit Keluang (Besut, Terengganu) adalah perkampungan jin Islam dan jin bukan Islam terbesar.

Gua Seto (Dabong, Kuala Krai) sebuah perkampungan bunian utama.

Kolam Tujuh di Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai dihuni bunian wanita.

Sungai Cakah Dua di Gunung Tebu (Besut, Terengganu) adalah perkampungan bunian terbesar di Malaysia.

Pulau Tengkorak di Tumpat adalah penempatan jin Islam dan bukan Islam yang ditakuti manusia.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan