MISTERI KAMPUNG BUNOHAN
TUMPAT, KELANTAN: KAMPUNG BUNOHAN adalah sebuah perkampungan terpencil yang kini terletak dalam daerah Tumpat, Kelantan mendapat nama berikutan satu kejadian pembunuhan ngeri yang berlaku pada tahun 1950 dulu. Walau bagaimanapun, kejadian berkenaan bukan dilakukan oleh penduduk dari kampung terbabit, sebaliknya dilakukan oleh penduduk dari daerah lain yang tidak diketahui tentang identitinya tetapi dilakukan di kampung tersebut. Mayat mangsa kemudiannya dihumbankan di sebuah sawah padi di mana di kawasan itu terdapatnya saluran longkang.
Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim, seorang anak jati Kampung Bunohan, Nik Soh Yaacoub, 49, atau lebih dikenali sebagai Nik Mat berkata, Kampung Bunohan mendapat cerita berkenaan dari satu generasi ke satu generasi warga emas di kampung berkenaan tentang kejadian tersebut.
"Saya mendapat cerita ini dari orang-orang tua. Kejadian pembunuhan telah dilakukan di kampung ini, tetapi bukanlah penduduk dari kampung ini. Kejadian itu telah lama berlaku, tahun 1950 dulu. Semenjak itu, kampung ini dinamakan "Kampung Bunohan", ujar Nik Soh.
Katanya, walaupun tragedi tersebut telah lama berlaku, tidaklah menggambarkan penduduk-penduduk kampung berkenaan bersikap keras kepala, pembengis dan jahat. Sebaliknya menurutnya, penduduk Kampung Bunohan ramah dan mudah mesra dengan penduduk-penduduk dari daerah lain yang bertandang ke kampung berkenaan.
Tambahnya lagi, Kampung Bunohan pada masa lampau sememangnya dipenuhi hutan pokok gelam. Kini Kampung Bunohan telah membangun dan terletak di laluan utama ke Pengkalan Kubor dan kampung berkenaan tiba-tiba menjadi tersohor dan dikenali ramai berikutan siri penggambaran filem "Bunohan" arahan Dain Iskandar Said yang ditayangkan pada 8 Mac lalu dan sebahagian lokasi penggambaran dilakukan di kampung berkenaan.
Beliau berpendapat, mungkin akibat daripada kejadian ngeri pada masa itu, ramai penduduk dari kampung berkenaan menjadi takut. Ini kerana, telah ramai mangsa yang pernah bertembung dengan makhluk hodoh berupa lembaga yang menakutkan sering berkeliaran di beberapa laluan Kampung Bunohan. Menurutnya, ada yang menyatakan pernah bertembung dengan hantu Mat Salleh dan pelbagai makhluk halus di kampung tersebut.
Menurut Nik Soh, sebuah rumah tinggalan di kampung berkenaan dianggap menakutkan berikutan beberapa kejadian yang menyeramkan telah dialami oleh beberapa penduduk di kawasan terbabit. Lokasi rumah terbabit yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian pembunuhan dan sebuah tanah perkuburan memang memungkinkan tentang kejadian tersebut.
"Dari pengalaman mangsa yang menceritakan, mereka pernah terserempak dengan lembaga lelaki yang sedang melalui jalan terbabit. Kadang-kadang mereka melihat lembaga terbabit berada dalam sebuah rumah kosong di kampung ini.
"Dari cerita yang pernah saya dengar, lembaga yang menjelma di kawasan rumah tinggalan itu amat menakutkan. Lazimnya kejadian berkenaan berlaku antara jam 10.00 malam ke atas", katanya.
Kata Nik Soh, beberapa kejadian setahun lalu dan masih berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan makhluk halus yang mendiami rumah terbabit seperti tidak tenteram menyebabkannya mundar-mandir di jalanan. Disebabkan hal tersebut menyebabkan kanak-kanak tidak lagi sanggup melalui kawasan tersebut bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku iaitu terserempak dengan lembaga berwajah hodoh itu.
"Asalnya pemilik rumah tersebut berasal dari Kampung Kubang Batang dan berkahwin dengan penduduk dari kampung ini. Apabila suaminya meninggal akibat sakit biasa ketika berusia 50 tahun, isterinya berhasrat untuk menjualnya kerana tidak berharap untuk menetap di rumah tersebut. Namun, sehingga hari ini, rumah tersebut belum lagi berjaya dijual", ujarnya apabila ditanya perihal rumah kosong itu.
Katanya, sebab-sebab rumah terbabit ditakuti ramai sehingga berlaku jelmaan lembaga yang menyeramkan, beliau menjelaskan berkemungkinan berpunca dari masalah saka. Jin saka yang menjelma dalam bentuk manusia sebenarnya makhluk halus dan apabila dilihat orang dalam rupa yang agak pelik tentunya mangsa yang pernah melihatnya agak terkejut dan berasa takut.
"Jelmaan lembaga yang dimaksudkan berwarna hitam, tetapi tidak memperlihatkan wajahnya yang sebenar. Lembaga tersebut tidak mengganggu orang ramai, namun apabila dilihat oleh mangsa tentunya berasa takut. Akibat daripada kejadian berkenaan, rumah kosong itu kini dipenuhi semak-samun, sesiapa yang melihatnya akan menyatakan rumah tersebut "rumah misteri", jelasnya.
Setahunya, setakat ini sudah tiga orang yang berhasrat untuk membeli rumah tersebut termasuk penduduk dari Kampung Bunohan itu sendiri. Namun, setakat ini juga rumah tersebut bertapak di kawasan tersebut dalam keadaan berdiri sendiri dan orang yang melihatnya juga berasa seram untuk mendekatinya terutamanya apabila waktu malam menjelang.
Nik Soh Yaacoub atau Nik Mat.
Nik Soh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai runcit miliknya.
Pada tahun 1950 dulu, laluan umum Kampung Bunohan ini dipenuhi pokok gelam.
Di kawasan inilah mayat dibuang.
Inilah "rumah misteri" yang ditinggalkan kosong, di sekelilingnya dipenuhi semak-samun.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
bang, info abang memang terbaik. berguna dan penuh maklumat. saya sebagai anak malaysia berbangga dengan kesungguhan abang dalam menghasilkan laman web ni. segala teknologi yang abang pakai ni amat saya kagumi. mesti abang buat ni masa zaman filem Prebet Badul keluar kan? abang mesti minat Tawil dalam filem tu kan? bagus! selamat maju jaya......
BalasPadamTerima kasih Deathadder tentang majalah RELATIF dan cerita ini. Selain majalah RELATIF ini, terdapat 10 majalah lain yang turut diterbitkan iaitu HARIAN DETIK, ABJAD KELANTAN: UNIT GHOSTBUSTERS, JENDELA ALAM, JEJAK SILUMAN, DIET SIHAT, JEJAK SEJARAH, SAJIAN JUADAH, DESTINASI, RAWAT DAN NABADI VIDEO. Sila layari, pautan alamatnya terdapat dalam majalah yang disertakan.
BalasPadam