RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 18 Mei 2012

Busana: Wanita Keliru


BUSANA: WANITA KELIRU
(Tentang Fesyen Pakaian)

WANITA dan kegemaran mereka bagaikan "aur dengan tebing" adalah suatu sifat yang terbit dari hati dan naluri setiap gadis dan wanita. Bermulanya celik mata, wanita gemarkan sesuatu yang berlegar di dunia mereka seperti masakan, hiburan, solekan, iklan, model serta fesyen pakaian. Dalam dunia fesyen pakaian (busana) misalnya, mereka sudah mengenali apakah pakaian yang dipakainya itu sesuai dengan dirinya ataupun tidak. Mereka suka dipuji kalau pakaian yang dipakainya dianggap cantik, secantik si pemakainya. Sebab itulah, dunia wanita memang penuh dengan kecantikan, keindahan, warna-warni dan glamour.

Memang ternyata, wanita tidak dapat dipisahkan dari hal-hal tersebut apabila mereka semakin terdedah kepada perkembangan semasa dan zaman. Dalam keadaan tertentu, terdapat banyak manfaatnya apabila setiap wanita dapat mempergunakan segala anugerah Allah S.W.T  itu dengan cara yang sebaik-baiknya. Malah jika tanpa kawalan, ia akan menjadi lebih buruk.

Hal yang paling jelas dewasa ini adalah soal fesyen pakaian di kalangan gadis-gadis remaja malah wanita-wanita dewasa pun begitu gatal menurut peredaran zaman dengan mengenakan pakaian yang tidak sewajarnya. Pada umumnya, fesyen lebih dekat dan berkait rapat dengan soal berpakaian termasuk corak pakaian itu sendiri.

Wanita dan gadis-gadis remaja memang menggemari fesyen atau corak pakaian yang paling menarik hatinya malah amat seronok apabila orang lain turut menuji pakaian yang dipakainya itu. Dengan itu, tidak hairanlah jika salah seorang mencuba pakaian yang agak menarik sesuai dengan warnanya, ia akan ditiru oleh wanita-wanita lain pula.

Pertembungan budaya berpakaian dewasa kini dengan masa lampau tentunya berbeza. Kita masih dapat saksikan ramai di kalangan wanita kini yang memakai baju kurung dan baju labuh dan sebagainya walaupun sedikit sebanyak ia telah diubah suai menurut citarasa fesyen hari ini.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, kita telah dikejutkan dengan budaya berpakaian yang paling mudah dan ringkas yang juga digemari oleh wanita-wanita dan gadis-gadis remaja. Wanita dan gadis-gadis belasan tahun amat gemar memakai seluar panjang ketat dipadankan dengan baju-T tanpa kolar dikenali "baju adik" ataupun baju labuh dipadankan dengan seluar panjang ketat.

Walau bagaimanapun corak pakaian yang digemari manusia, memakai pakaian adalah harus untuk manusia. Berpakaian adalah untuk membezakan di antara manusia dengan haiwan. Paling penting, memakai pakaian adalah untuk menutup aurat. Hal ini telah dijelaskan melalui firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Hai anak cucu Adam! Sungguh Kami (Allah) telah turunkan untuk kamu pakaian yang dapat menutup aurat-auratmu dan untuk perhiasan". (Surah Al-A'raf: ayat 26)

Dalam konteks pakaian juga, memakai pakaian jangan dianggap sesuatu yang mudah atau dipandang remeh atau berpakaian sesuka hati. Berpakaian merupakan suatu perintah Allah terhadap manusia. Firman-Nya yang bermaksud:

"Hai anak-anak Adam! Pakailah perhiasanmu setiap waktu sembahyang, dan makan minumlah dan jangan melampau batas; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
(Surah Al-A'raf: ayat 31)

Perintah berpakaian dan kepentingan pakaian kepada manusia sama ada ia amat sesuai dan cantik pada pandangan manusia, namun Allah S.W.T  amat menyenangi hamba-hamba-Nya yang dapat berhias secara elok, sopan dan menarik.

Dalil ini telah jelas sebagaimana sebuah hadis, seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W, pakaiannya amat menjijikkan. Nabi bertanya kepadanya: "Apakah kamu mempunyai wang?" Orang tersebut menjawab: "Ya saya ada". Nabi bertanya lagi: "Dari mana wang itu?" Orang itu menjawab: "Dari setiap harta yang Allah berikan kepadaku". Maka kata Nabi: "Kalau Allah memberimu harta, maka sungguh Dia (lebih senang) menyaksikan bekas nikmat-Nya yang diberikan kepadamu dan bekas kedermawannya itu".
(Hadis riwayat An-Nasa'i)

Berhubung dengan hal tersebut, kita berasa bimbang berhubung dengan kemajuan, rekaan serta corak pakaian hari ini walaupun ia kelihatan sesuai dan cantik bagi pandangan sesetengah wanita, namun apakah fesyen pakaian hari ini amat baik untuk wanita menurut kaca mata Islam?

Sebuah hadis menjelaskan sebagaimana yang diberitakan daripada Abu Umamah r.a, bahawa Nabi S.A.W  bersabda bermaksud:

"Kelak akan ada orang-orang dari umatku, mereka memakan berbagai-bagai macam makanan, meminum berbagai-bagai minuman, memakai berbagai-bagai pakaian, banyak berbicara tanpa memikirkan terlebih dahulu apa sebetulnya yang dibicara itu, maka itulah seburuk-buruk umatku".
(Hadis riwayat At-Tibrani dan Abu Nu'aim)

Berdasarkan kepada hadis tersebut, ternyata didapati wanita-wanita di zaman ini mampu memakai berbagai jenis pakaian menurut kehendak dan citarasa masing-masing. Paling ketara ialah wanita dan gadis-gadis kini memang menggemari pakaian ringkas dan mudah dipakai seperti baju-T (T-Shirt) ketat atau baju labuh dan berseluar panjang ketat. Secara langsung atau tidak, corak dan gaya berpakaian seperti ini boleh mengelirukan pandangan orang lain sama ada ia seorang lelaki atau wanita.

Dari konteks lahiriah, fesyen pakaian berkenaan mudah dituruti dan tidak sesuai kepada wanita dan gadis-gadis remaja. Gadis dan wanita yang mempunyai akhlak dan berbudi pekerti yang luhur tidak akan mengenakan pakaian seperti itu kerana ia menampakkan tidak ada unsur kesopanan walaupun dikatakan agak selamat dan lebih menyenangkan untuk melakukan tugas-tugas mencabar.

Manakala dalam konteks Islam, Islam amat memandang berat dan melarang muslimat berpakaian seperti lelaki sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Ibnu Abbas r.a, katanya:

"Rasulullah S.A.W  mengutuk laki-laki yang berpakaian seperti wanita dan wanita berpakaian seperti lelaki".
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di samping corak dan bentuk pakaian yang dianggap mengelirukan pandangan orang lain, terdapat segelintir di kalangan wanita yang cuba meniru secara total budaya golongan Barat dengan memakai pakaian yang mendedahkan aurat serta menjolok mata seperti berpakaian yang menonjolkan bentuk tubuh, berpakaian nipis dan sesetengahnya mendedahkan seluruh tubuh sama ada di kolam-kolam renang, tepi tasik, pantai, menjadi seorang model atau mempamerkan tubuh badan yang hanya mengenakan pakaian kecil untuk ditontoni oleh khalayak umum.

Di dalam sebuah hadis, wanita-wanita berkenaan berpakaian tetapi telanjang. Mereka akan menjadi penghuni neraka, tidak akan memasuki syurga bahkan mencium bau wanginya. Hadis ini yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata: Rasulullah S.A.W  bersabda:

"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (Penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggok-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya". (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan kepada perkembangan dan kemajuan corak atau fesyen pakaian kini menunjukkan wanita-wanita dan gadis remaja muslim telah diperalatkan oleh golongan Yahudi dan Kristian melalui pelbagai rekaan, model dan pengiklanan. Sepatutnya wanita-wanita muslim sentiasa berwaspada dengan dakyah dan tipu muslihat golongan yang antikan Islam itu. Wanita dan gadis-gadis remaja muslim perlu kental dalam menghadapi era teknologi canggih yang dapat memperdaya dan menjerumuskan wanita-wanita Islam kepada kebinasaan serta keruntuhan akhlak.

Wanita-wanita Islam boleh memakai pakaian yang hanya telah digariskan oleh Islam semata-mata seperti pakaian-pakaian yang menutup aurat tetapi tidak mengenakan pakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh atau menjolok mata. Bertindaklah dari sekarang, kerana jika anda yang mendedahkan aurat, anda yang mendedahkan tubuh anda sendiri untuk tontonan umum yang mencemarkan kesucian Islam. Tutuplah auratmu dengan busana atau pakaian-pakaian yang sempurna kerana ia adalah sebaik-baik untuk wanita muslim.



Fesyen pakaian gadis sekarang, berseluar dan berbaju sendat sehingga menampakkan bentuk tubuh.

 Lebih sesuai dan manis dipandang jika gadis dan wanita berpakaian seperti ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan