ISLAM AGAMA SYUMUL
PADA dasarnya, definisi Islam merupakan agama yang dibawa oleh para Rasul dan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Manakala Nabi Muhammad S.A.W ialah penyudah segala Rasul dan tiada lagi Nabi sesudah Baginda.
Di samping itu, agama Islam itu juga dapat ditakrifkan sebagai petunjuk Allah S.W.T yang terakhir yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W bertujuan untuk menggantikan peraturan-peraturan sebelumnya sebagai pengetahuan serta amalan umat manusia di seluruh dunia. Berikutan itu, tiada lagi agama yang diredhai di sisi Allah kecuali Islam. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah ialah Islam". (Surah Ali Imran: ayat 19)
Kerana itu, individu yang mencari selain Islam ternyata mereka menempuh kerugian di akhirat. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan siapa yang mencari agama selain Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya dan dia di hari akhirat termasuk orang-orang yang mendapat kerugian". (Surah Ali Imran: ayat 85)
Menurut Ustaz Ismail Kamus, tertegaknya agama Islam mempunyai beberapa tujuan sebagaimana dalam bukunya "Panduan Fardu Ain" iaitu:
1. Memperbaiki kepercayaan kepada zat Allah Yang Maha Esa.
2. Menghapuskan kepercayaan kepada yang lain selain daripada Allah S.W.T.
3. Memberi petunjuk bagaimana cara mengabdikan diri kepada Allah.
4. Mengatur cara beribadat.
5. Menegakkan keadilan dan keturunan.
6. Mempertinggikan akhlak manusia.
Ini menunjukkan bahawa, untuk hidup dalam Islam sepenuhnya, wajarlah setiap masyarakat Islam mematuhi segala yang telah digariskan oleh Islam, serta meninggalkan perbuatan maksiat dan kemungkaran. Setiap perintah dan kewajipan yang perlu ditunaikan meliputi rukun-rukun tertentu seperti Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, menunaikan zakat harta dan zakat badan, puasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Mekah.
Setiap umat Islam perlu menyedari bahawa setelah berjaya menunaikan Rukun Islam yang lima itu, masih belum sempurna sekiranya Rukun Iman belum dipercayai dan diyakini sepenuh hati. Maksud "iman" ialah kepercayaan dengan penuh yakin terhadap Allah S.W.T, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat serta qada' dan qadar.
Dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, katanya pada suatu hari Nabi S.A.W duduk bersama-sama jemaah, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki bertanya: "Apakah ertinya iman?"
Jawab Rasulullah: "Iman ialah percaya kepada Allah, kepada malaikat-Nya, kepada rasul-Nya dan kepada berbangkit (sesudah mati)".
Tanya orang itu pula: "Apakah ertinya Islam?"
Jawab Rasulullah: "Islam itu ialah menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya, menegakkan solat, membayar zakat dan puasa Ramadan".
Dia bertanya lagi: "Apakah ertinya ihsan?"
Jawab Nabi S.A.W: "Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Biarpun engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau".
Tanya orang itu pula: "Bilakah hari kiamat?"
Jawab Nabi S.A.W: "Orang yang ditanya (Nabi) tidak lebih tahu dari orang yang menanyanya. Tetapi akan kuterangkan tanda-tandanya:
1. Apabila hamba perempuan melahirkan majikannya dan
2. Apabila gembala unta telah bermegah-megah dalam gedung yang indah mewah.
Dan kiamat itu salah satu dari lima rahsia yang hanya Allah mengetahuinya". Kemudian Nabi S.A.W membaca ayat yang bermaksud:
"Hanya Allah yang mengetahui hari kiamat dan turunnya hujan dan mengetahui bayi apa yang di dalam rahim ibu, (Allah jua mengetahui) apa yang tidak diketahui orang, kerja apa yang akan dilakukan esok, (Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang, di bumi mana dia akan meninggal. Sesungguhnya Allah Maha Tahu Lagi Maha Pintar". (Surah Lukman: ayat 31-34)
Setelah itu, orang tersebut pergi. Maka sabda Nabi: "Panggillah dia kembali!" Tetapi mereka tidak nampak orang itu lagi.
Nabi bersabda: "Itulah Jibril, dia mengajarkan agama kepada umat manusia".(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Dalam pada itu, telah seringkali kita mendengar istilah 'yakin' dan sebutannya memang agak popular dalam pelbagai keadaan. Kalau kita menghidapi penyakit, kita akan menyebutkan yakin sembuh, bukan sekadar mententeramkan hati dan perasaan, tetapi dalam keadaan tertentu ia boleh mewujudkan satu semangat untuk terus berusaha sehingga mencapai kejayaan.
Begitu juga di dalam Islam. Setiap perkara yang membabitkan kita terhadap Islam, keyakinan kepada sesuatu tujuan itu amatlah berharga. Tanpa keyakinan yang jitu segala perkara dan amalan tidak berhasil atau gagal. Dalam hal ini, perlulah ada sifat yakin dalam diri individu muslim supaya akidah seseorang akan sentiasa kekal dan jitu.
Seperti kita sedia maklum, memang setiap yang dinamakan Islam adalah sudah boleh dianggap Islam walaupun pada hakikatnya Islam itu hanyalah satu agama. Penganut-penganutnya yang menyemarakkan dan menegakkan daulah Islamiah itu. Kerana itu, tertegaknya Islam itu berpunca dari umat-umatnya, manakala mundur dan tercemarnya Islam kerana umat-umatnya juga.
Justeru, Islam bukanlah di mulut semata-mata tetapi di atas niat, sikap, akhlak di samping mengerjakan ibadat. Berikutan itu, penganut-penganut Islam boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu:
1. Islam yang tulen.
2. Islam yang disebabkan baka dan keturunan.
3. Islam tetapi masih melakukan maksiat dan kemungkaran.
Hebat dan kuatnya Islam kerana umatnya, mundur dan goyahnya Islam juga kerana umatnya.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan