RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 24 Mei 2012

Kenali Vitamin A


KENALI VITAMIN A

APAKAH peranan vitamin di dalam tubuh manusia, itulah soalan yang lazim diutarakan. Sesetengah masyarakat langsung tidak mengambil kisah tentangnya, asalkan perut berasa kenyang menikmati setiap juadah yang dihidangkan. Sebenarnya, vitamin adalah bahan kimia yang mempunyai khasiat makanan yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dalam keadaan normal. Setiap vitamin yang terdiri dari vitamin A, B, C, D, E dan K mempunyai fungsi dan tugas-tugasnya yang tersendiri.

Sebab itulah, semua makanan yang dimakan seharusnya mencakupi segala khasiat vitamin yang diperlukan; kerana sekiranya kekurangan salah satu dalam zat makanan, tumbesaran tubuh akan terbantut dan boleh mendatangkan risiko terhadap sistem dalam tubuh manusia.

Oleh hal yang demikian, janganlah menganggap bahawa vitamin tidak perlu disebabkan adanya zat dan khasiat makanan yang lainnya. Ia bukan sahaja berperanan penting untuk orang-orang dewasa tetapi juga perlu diutamakan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan vitamin yang secukupnya dalam proses tumbesaran mereka. Vitamin boleh mempengaruhi perkembangan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak yang tidak terdapat pada bahan-bahan lain.

Apabila kita membicarakan persoalan mengenai vitamin, kita tentunya ingin mengetahui apakah sumber yang terhasil dalam setiap vitamin, khususnya Vitamin A.

Sumber-sumber Vitamin A lazimnya diperolehi daripada haiwan seperti minyak ikan, kuning telur, susu tulen, hati, keju dan banyak lagi. Ia dikenali sebagai pra-pembentukan Vitamin A yang dipanggil "retinol".

Manakala kandungan Vitamin A yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran seperti kangkung, daun pudina, lobak merah, betik, mangga dan labu dikenali sebagai pro-Vitamin A (karoten). Karoten bermaksud kandungan hijau daun. Semakin banyak hijau sesuatu daun, semakin tinggilah kandungan karotennya.

Menurut laporan Asian Health dan Diet Plan, Hodder (1985), berhubung dengan kandungan Vitamin A dalam makanan tempatan adalah seperti berikut:


Di samping itu, mungkin terdapat ibu bapa yang tidak mengetahui bahawa Vitamin A amat bernilai untuk anak-anak kerana ia dikatakan boleh mencegah sesuatu penyakit yang dialami oleh anak-anak seperti:

1. Mencegah rabun malam.
2. Membantu dalam merawat pesakit 'hipertiroidisme'.
3. Menggalakkan pembesaran tulang yang kuat, rambut, kulit, gigi dan gusi yang sihat.
4. Membentuk daya tahanan terhadap jangkitan saluran pernafasan.
5. Membantu merawat kes gangguan mata dan memperbaiki penglihatan yang lemah.

Menurut laporan itu lagi, Vitamin A dikatakan mempunyai ciri-ciri penyembuhan. Ramai saintis mempercayai bahawa Vitamin A boleh mengurangkan risiko kanser paru-paru, saluran kencing, pundi kencing dan peti suara (larinks).

Dalam pada itu, terdapat juga vitamin yang boleh memburukkan keadaan manusia kerana tidak dapat diserapkan di dalam tubuh. Ia dikenali sebagai 'vitamin tiruan' dan mendatangkan risiko kepada penggunanya apabila pengambilannya terlalu kerap.

Vitamin tiruan dihasilkan dalam pelbagai bentuk, di mana pengambilannya telah dianggap memudahkan penggunanya. Bentuk-bentuk tersebut seperti kapsul, pil-pil atau cecair adalah beberapa contoh vitamin tiruan yang digabungkan dengan vitamin serta zat makanan yang lain. Sukatannya boleh dikatakan tidak seimbang, malahan campuran gula di dalamnya akan mengakibatkan risiko kesihatan khususnya terhadap kanak-kanak.

Cara yang paling selamat untuk anak-anak memperolehi zat makanan yang seimbang dan baik adalah dengan mendapatkan makanan tulen tanpa dicampur sebarang bentuk makanan lain yang dikhuatiri boleh mendatangkan risiko. Mendapatkan makanan yang tulen bukanlah sesuatu yang sukar, bahkan ia lebih murah dan mempunyai khasiat yang banyak.

Hindarkanlah daripada mendapatkan makanan yang kekurangan zat serta vitamin tiruan agar tumbesaran anak-anak tidak terencat dan kesihatan mereka terjaga. Sebab itulah, adakalanya terdapat anak-anak yang tidak juga membesar dengan sempurna sedangkan pelbagai jenis vitamin tiruan diambil. Perlu diketahui juga, bahawa tidak semua makanan yang mahal itu melambangkan banyaknya khasiat dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh.

Dengan demikian, berhati-hatilah apabila memberikan vitamin tambahan kepada anak-anak sama ada dalam bentuk pil, kapsul mahupun cecair. Pastikan bahawa vitamin yang diberikan benar-benar menjamin khasiat dan bermutu tinggi dalam konteks kandungannya.

Justeru, anda juga tidak harus terpedaya dengan iklan dan promosi serta persembahan mengenai kelebihan vitamin tambahan yang dihasilkan kerana ada di antaranya yang meragukan, sungguhpun ada yang mendakwa bahawa ia mempunyai khasiat yang tinggi. Namun, sebaik-baik langkah yang boleh diambil ialah dengan mendapatkan pakar pemakanan terlebih dahulu seperti dari segi jenis vitamin yang perlu diambil dan kadar pengambilannya.   
                  


Buah labu memang kaya dengan Vitamin A.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan