MISTERI KERIS PUSAKA
TANAH MERAH, KELANTAN: Barangan pusaka memang mempunyai penjaganya yang dikenali sebagai "saka" ataupun "khodam". Jin yang diarahkan oleh pemilik sesuatu barangan lama dan klasik berkenaan mungkin telah mempunyai sejarahnya, justeru apabila pemilik berkenaan meninggal dunia, khodam yang diperintahkan masuk ke dalam barangan terbabit dianggap sebagai penjaga. Lazimnya, barangan pusaka tidak mesra untuk tinggal dengan pemilik baru, namun biasa terjadi apabila pemilik baru pula menjadi mangsanya apabila mangsa sering diganggu dengan pelbagai bunyi yang menakutkan.
Hal berkenaan bukanlah cerita dongeng tetapi hakikat sebenar yang dialami oleh Fazri bin Fauzi, 25, dari Kampung Tepi Sungai, Tanah Merah, Kelantan apabila rumah yang didiaminya sekarang sering berlaku usikan setiap kali malam menjelma. Beliau sering mendengar atap zink rumahnya seperti dipijak sesuatu benda berat dari atasnya, namun apabila dilihat ternyata tidak kelihatan dengan mata kasar. Sedangkan keadaan fizikal zink yang dipijak oleh makhluk yang tidak kelihatan itu nampak dengan jelas zink itu melengkung ke bawah.
"Memang berlaku setiap malam kejadian usikan itu terutamanya apabila menjelang jam 1.00 pagi. Kejadian ini berlaku sejak tahun 1993 dulu. Sebelum ini, tidak pernah berlaku kejadian tersebut.
"Saya syak kejadian usikan ini dari sebilah keris pusaka tujuh lot dikenali "Keris Malela". Keris ini dipinjamkan kepada saya untuk dijual. Tetapi disebabkan tidak tahan dengan gangguan yang sering saya alami, saya telah kembalikannya kepada pemiliknya yang asal", ujarnya ketika ditemui Penulis di rumah kediamannya itu.
Tambahnya, beliau percaya keris pusaka tersebut hidup kerana ada khodamnya yang diberi nama "Panglima Hitam". Menurutnya, keris pusaka Keris Malela berkenaan berasal dari Jawa yang berusia kira-kira 10 tahun. Keris berkenaan sering berpindah tangan kerana dibeli oleh individu yang menggemari keris antik apatah lagi terpesona dengan lotnya yang banyak, kemudian dijual dan bertukar tangan kepada pemilik yang lain pula. Pembeli terawal sekali adalah seorang Pendekar bernama Ho yang juga seorang bomoh berketurunan Cina.
Sambungnya, ketika keris itu berada di rumahnya, memang beliau mengalami pelbagai kejadian ganjil dan gangguan yang agak tidak masuk akal. Ketika menerima keris itu dari tangan pemiliknya, beliau tidak mengetahui bahawa keris berkenaan mempunyai penjaganya. Namun, setiap kali beliau memegang keris tersebut ternyata amat berbeza dengan lain-lain senjata yang pernah dipegangnya. Keris pusaka itu seperti mengalirkan sesuatu ke pergelangan tangannya malah beliau berasa seram setiap kali memegangnya.
"Setiap kali saya pegang keris pusaka itu, tangan saya akan berasa panas sehingga menyirap seluruh tubuh. Selepas itu, saya seolah-olah tidak dapat mengawal emosi, saya mudah berasa naik berang terhadap orang lain.
"Disebabkan tidak tahan menanggung keganjilan keris itu, saya membawanya untuk dilihat oleh seorang bomoh, apakah ada sesuatu yang ganjil terhadap keris itu", katanya.
Daripada maklumat seorang pengamal rawatan tradisional yang memaklumkan kepadanya berkata, makhluk khodam keris itu berada di salah sebuah pohon sagu dan berkemungkinan keris tersebut ditemui di rumpun pohon tersebut atau sebaliknya, namun tempatnya tidak diketahui di manakah keris itu ditemui.
Berikutan bimbang sesuatu hal terjadi terhadap ahli keluarganya disebabkan keris tersebut, beliau bertanya dengan salah seorang pengamal rawatan tradisional kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya kerana beliau pernah memegang dan menyimpan di dalam rumahnya. Apa yang diberitahu kepadanya, beliau tidak mendapat apa-apa mudarat kerana tidak bersabit dengan keturunannya.
Malahan selepas beliau menyerahkan kembali keris pusaka itu, sikapnya yang sering panas baran sebelum ini bertukar seperti sediakala. Jadi amat jelas, gangguan yang diakibatkan oleh keris pusaka tersebut mendatangkan masalah kepada dirinya. Mungkin juga menurutnya, kain yang membalut keris pusaka itu berwarna kuning tidak serasi dengan dirinya yang sering memakai pakaian berwarna merah, sebab itulah berlakunya usikan dan gangguan terhadapnya.
"Dari apa yang saya faham bahawa, keris tersebut tidak diberikan perhatian atau tidak dipedulikan oleh pemiliknya menyebabkan dia berkeadaan begitu. Apatah lagi, di zaman moden ini mereka tidak mempercayai hal-hal berkenaan dan tidak mempunyai banyak masa untuk memberikan perhatian terhadapnya, menyebabkan khodam keris itu mengganggu orang lain pula.
"Keris tersebut walaupun dianggap baru, namun buatannya daripada jenis besi yang agak baik, apatah lagi lotnya agak ganjil tentunya pernah mengorbankan banyak nyawa, tidak siapa yang tahu", ujarnya.
Setakat itu, beliau pernah melihat keris termasuk Keris Malela sebanyak dua kali. Keris terawal agak klasik adalah keris yang paling lama berbanding dengan Keris Malela itu. Keris Malela yang diminta beliau menjualnya dengan harga RM6,000, tetapi disebabkan tiada pembeli terpaksalah keris pusaka itu dikembalikan.
Apabila ditanya tentang jelmaan lembaga yang berpunca dari keris tersebut, beliau menjelaskan, setakat keris pusaka itu disimpan di dalam rumahnya, tiada jelmaan yang pernah dialaminya malah jiran-jirannya juga tidak pernah mengalami peristiwa ganjil walaupun beliau pernah diusik dan diganggu dengan bunyi yang menakutkan dari atas bumbung rumahnya setiap kali menjelang malam dan pagi.
Fazri bin Fauzi, 25 tahun.
Fazri (baju hitam) ketika ditemubual Penulis di kediamannya.
Inilah rumah kediaman miliknya.
Selain bunyi, Fazri melihat zink rumahnya melengkung ke bawah, sebagai tanda ada makhluk yang tidak kelihatan sedang memijak di atasnya.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan