RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 23 Mei 2012

Islam Itu Bersaudara


ISLAM ITU BERSAUDARA

AGAMA ISLAM merupakan agama yang baik dan sempurna di dalam segala hal. Berdasarkan istilah lain, agama Islam adalah agama yang bermutu dalam banyak agama yang dianuti oleh seluruh penduduk dunia. Agama Islam menitikberatkan kesejagatan dalam konteks ibadat kepada Allah, hubungan di antara manusia, manusia dan kerjaya dan manusia dengan persekitarannya.

Dalam hubungan di antara umat manusia, Islam tidak memandang kepada pangkat dan kedudukan, rupa paras yang cantik atau tampan, gagah atau kurang bermaya, kaya dan miskin sebagaimana yang menjadi kebanggaan sesetengah masyarakat hari ini. Tetapi perbezaan dan perbandingan di antara status berkenaan ialah terdiri dari manusia iaitu manusia yang bertuhankan harta dan kebendaan dunia.

Melalui perhubungan di antara umat manusia, Islam hanya mementingkan perdamaian dan persaudaraan tanpa mengira batas usia, kelompok dan asal keturunan. Islam amat membenci kepada perkelahian, permusuhan dan pertumpahan darah. Apatah lagi dengan tabiat suka berperang sesama manusia dan sesama saudara seagama.

Di dalam Islam, sikap tolak ansur, bersederhana dalam segala hal serta hidup secara harmoni sentiasa dicanangkan kepada penganut-penganutnya. Jika berlaku perselisihan faham dan perbezaan pendapat, Islam menasihatkan supaya kembali ke pangkal jalan dan merujuk kepada kitab Allah kerana di situlah terdapatnya penawar yang dapat menyembuhkan segala kesakitan dan kesilapan.

Di samping itu, Islam juga menggalakkan umat-umatnya supaya sentiasa memberikan pertolongan dan bantuan walaupun seseorang yang memerlukan bantuan itu terdiri daripada umat Islam sendiri atau orang bukan Islam. Ini kerana, orang yang diberikan pertolongan dan bantuan itu akan dapat hidup dengan lebih sempurna. Hal ini amat jelas sebagaimana firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya". (Surah Al-Maidah: ayat 2)

Dalam aspek memberikan pertolongan dan bantuan ini adalah bertujuan untuk menghindarkan segala permasalahan yang dihadapi oleh individu atau kumpulan masyarakat tersebut. Di antara bentuk-bentuk pertolongan seperti dalam bentuk kewangan, tenaga kerja yang mahir, makanan, air dan sebagainya. Dalam hal ini, sudah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam sendiri yang keberatan dan enggan menghulurkan bantuan kepada umat-umat Islam yang lain, siapakah lagi yang sanggup berbuat demikian?

Dari segi betapa sukar dan rumitnya jika individu berkenaan tidak diberikan pertolongan sebagaimana yang sewajarnya, Islam menganggapkannya  sebagai dicubit paha kiri tentunya di paha kanan akan terasa sakitnya. Maknanya, Islam itu hidup bersaudara dan setiap saudaranya yang menghadapi masalah, mereka patut diberikan pertolongan.

Sementara dalam konteks individu, seorang individu muslim yang sanggup memberikan pertolongan kepada saudara-saudaranya yang muslim, individu berkenaan dianggap seorang yang beriman. Ini kerana, seorang muslim yang dianggap beriman akan merasa dirinya bersalah seandainya segala pertolongan tidak dapat diberikan kepada individu terbabit.

Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa perihal memberikan pertolongan dan bantuan yang dianjurkan oleh Islam itu dianggap baik dan digalakkan, tetapi berikutan berlaku perubahan dunia dan zaman menyebabkan sebahagian umat-umat Islam khususnya seolah-olah mengabaikannya dan berada jauh dari hidayah Allah S.W.T. Terdapat umat-umat Islam hanya memberikan bantuan kepada golongan yang lebih kaya dan golongan berada atau kepada golongan yang tidak memerlukannya atau ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Perbuatan sedemikian dianggap membazir kerana dianggap tidak bermanfaat kepada mereka untuk dinilai oleh Allah di dunia dan di akhirat nanti. Umat itu dianggap rugi kerana pemberiannya tidak bernilai malah tidak berharga di sisi Allah kerana tidak kena pada tempatnya.

Islam tidak menganjurkan penganut-penganutnya untuk memberikan pertolongan dan sumbangan bukan kepada orang yang memerlukannya atau bukan kepada tempatnya. Ini kerana, Islam adalah suatu agama yang paling baik untuk kepentingan manusia sejagat. Maka amat tidak wajar sebagai seorang Islam, orang yang sepatutnya diberikan bantuan disisihkan. Dalam hubungan ini, Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik". (Surah Ali Imran: ayat 110)

Dengan demikian, amat jelas bahawa perlunya setiap manusia memberikan pertolongan, menjaga hubungan dengan Allah S.W.T  serta menjaga hubungan di antara manusia dengan manusia. Hal ini merupakan amanah yang perlu dijaga secara keseluruhannya dan amat tidak wajar kita mengingkarinya. Ingatlah tentang amaran Allah S.W.T  bahawa akan ditimpakan kehinaan kepada umat-umat manusia yang tidak menjaga hubungan-hubungan tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Ditimpakan kepada mereka kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan mereka kembali dengan mendapat murka dari Allah dan ditimpakan kepada mereka kelemahan. Demikian itu, kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat (keterangan-keterangan) Allah dan membunuh Nabi-Nabi dengan tidak patut, mereka mendurhaka dan melanggar batas". (Surah Ali Imran: ayat 112)

Berdasarkan kepada hakikat tersebut, kita seharusnya menjadi umat yang sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia, memberikan pertolongan dan bantuan yang diperlukan dan berlaku baik kepada semua manusia tanpa membezakan status, kedudukan, keturunan, warna kulit, rupa paras mahupun kaya atau miskin. Apabila disebut manusia, kita adalah sama.

      

Hubungan manusia khususnya sesama umat Islam, ibarat cubit paha kiri akan berasa sakit di paha kanan. 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan