RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 31 Mei 2012

Alam Sekitar Kita


ALAM SEKITAR KITA

ALAM SEKITAR yang bersih sememangnya amat penting kepada kehidupan manusia termasuk pelbagai spesis hidupan lain seperti serangga, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini kerana, apabila alam sekitar dalam keadaan bersih, manusia akan menikmati kehidupan mereka dengan lebih sihat dan cerdas.

Tumbuh-tumbuhan pula akan hidup lebih subur dan kerananya akan memberikan hasil buah-buahan dan daun yang mekar yang tentunya dapat menampung kadar vitamin serta garam galian yang tinggi yang juga menjadi keperluan kepada manusia, haiwan dan serangga. Manakala habitat haiwan dan serangga pula akan dapat mencernakan spesis masing-masing dengan pembiakan baka yang berterusan sebagai penyeri alam dan darinya manusia dapat menjalan kajian yang tentunya memberikan impak yang baik kepada manusia sendiri.

Apabila membicarakan aspek alam sekitar, ia meliputi empat juzuk penting yang terdiri dari air, udara, tanah dan bunyi. Keempat-empat juzuk tersebut begitu penting kepada alam sekitar dan saling berhubung kait di antara satu sama lain. Namun, sejak kebelakangan ini penekanan yang sentiasa diberikan pihak kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi, badan-budan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan-pertubuhan alam sekitar di seluruh dunia mendakwa, pencemaran udara adalah lebih mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan manusia jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

Hakikat sebenarnya, pencemaran udara berlaku apabila ruang udara sebagai pernafasan manusia dan haiwan diganggu bahan-bahan cemar di ruang udara sama ada berpunca dari segi kimia dan fizik.

Perlu diingatkan bahawa, pencemaran udara banyak menyumbang kemusnahan kepada kesihatan manusia, kesuburan tumbuh-tumbuhan, berlaku perubahan iklim dan menyebabkan kualiti oksigen di ruang udara turut berkurangan dan musnah. Ini kerana, udara yang tercemar itu banyak mengandungi bahan-bahan terampai seperti mikro-organisma, debu, habuk dan asap yang boleh membahayakan kesihatan manusia.

Di dunia teknologi canggih hari ini, terjadinya pencemaran udara adalah berpunca dari pengabaian, kecuaian, kurang kesedaran hasil buatan manusia sendiri akibat mementingkan keuntungan tertentu iaitu:

1. Asap kenderaan bermotor

Pelepasan asap kenderaan berenjin ke udara sama ada yang menggunakan minyak petrol dan diesel turut menyumbang dan meningkatkan kehadiran karbon monoksida, hidrokarbon, plumbum, nitrogen oksida, sulfur dioksida serta jelaga karbon di ruang udara.

Kita sedia maklum bahawa, bandar raya Mexico mengalami masalah pencemaran udara yang serius dan paling teruk di dunia akibat pelepasan adap kenderaan berenjin. Keadaan ini menyusahkan orang ramai untuk hidup dengan baik dan bebas dari pencemaran. Maka pihak kerajaan juga mengalami nasib yang sama apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi semata-mata untuk membendung pencemaran udara yang mengerikan itu. Bahkan ia memakan masa yang lama untuk melihat bandar raya berkenaan pulih sepenuhnya dari masalah udara cemar.

Dalam hubungan ini, ruang udara yang tercemar akibat kehadiran gas-gas berkenaan menyebabkan kerosakan saraf, buah pinggang dan otak, masalah usus, menaikkan tekanan darah, anemia, gangguan pada paru-paru, rasa mengantuk, pening, muntah dan pelbagai simpton kesihatan lain lagi.

2. Pembakaran sampah secara terbuka dan tidak terkawal

Di negara kita, pembakaran sampah secara terbuka boleh dikatakan sebagai suatu kegemaran masyarakat setempat ekoran kurangnya keprihatinan mereka tentang keburukan pencemaran udara kepada pernafasan manusia.

Akibat dari sikap kurang sedar segelintir di kalangan masyarakat negara ini yang mengenepikan betapa melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka itu boleh menjejaskan kualiti udara kerana melalui Jabatan Alam Sekitar telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda RM500,000 dan/atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Maka masyarakat bandar dan desa perlu sentiasa bermaklumat tentang wujudnya undang-undang dan peraturan yang boleh mendakwa mereka di mahkamah ekoran kecuaian mereka menyebabkan udara tercemar akibat pencemaran yang disengajakan. Dengan itu, tabiat mencampakkan puntung-puntung rokok ke dalam semak dan belukar perlu dibendung kerana dengannya punca pencemaran udara terbesar pernah berlaku.

3. Penggunaan racun makhluk perosak, racun rumpai dan aerosol di ladang dan di rumah

Racun makhluk perosak, racun rumpai dan aerosol boleh mendatangkan kemudaratan terhadap pernafasan manusia terutamanya kepada bayi-bayi dan kanak-kanak. Bekas-bekas racun dan aerosol yang tidak dilupuskan menurut kaedah yang sepatutnya bukan sahaja boleh mengancam ruang udara tetapi menyebabkan kualiti air menjadi beracun dan menjadikan kesuburan tanah turut terjejas.

Para petani yang menggunakan racun makhluk perosak dan racun rumpai di ladang-ladang dan sawah padi perlu kembali kepada kaedah tradisi yang lebih selamat. Keadaan ini memandangkan, jika penggunaan racun makhluk perosak dan racun rumpai menjadi teras sebagai bahan kawalan dalam pertanian, lambat-laun kualiti kesuburan tanah akan turut berkurangan. Ini kerana, bakteria pengurai tanah yang bertindak "menyuburkan tanah" tidak lagi berupaya untuk menjalankan peranannya akibat musnah diracuni. Keadaan demikian boleh merugikan semua pihak jika tidak diberikan perhatian dan kawalan yang sepatutnya.

4. Cat rumah

Penggunaan pelbagai jenis cat rumah turut memberikan akibat dan kesan buruk kepada udara kerana ia mengandungi bahan-bahan kimia beracun, umpamanya plumbum.

Plumbum adalah logam beracun yang boleh berkumpul di dalam tubuh dan menyebabkan kerosakan otak serta masalah buah pinggang. Bagi ibu-ibu hamil pula, ia boleh menyebabkan keguguran dan selepas kelahiran, manakala bayi dan kanak-kanak pula mengalami masalah terencat akal serta daya intelektual yang rendah.

Di samping itu, peningkatan bahayanya kepada kesihatan amat ketara apabila berlakunya cat yang merekah untuk menunjukkan usianya telah terlalu lama dibiarkan tanpa sebarang perhatian dan tindakan.

5. Habuk dan debu

Bahan-bahan ini sering kali dikaitkan dengan pencemaran udara kerana ia mengandungi sejumlah mikro-organisma serta kuman merbahaya kepada sistem pernafasan dan kulit manusia.

Satu kajian mendapati, bahagian dapur merupakan tempat utama bahan cemar habuk dan debu yang merupakan kadar yang tertinggi pernah dicatatkan.

Menurut Hagemeyer, satu gram habuk rumah mengandungi 3,000 kutu debu.
(Sumber: Berita Harian, 20 Julai 1990)

Habuk dan debu memang membahayakan pernafasan manusia. Ini kerana, habuk mengandungi pasir, lumpur, benang, sisa makanan, rami dan bulu binatang. Manakala spora kulat, kutu debu, debunga dan bakteria boleh mendatangkan banyak masalah dan dikatakan punca penyakit hidung serta lelah (asma).

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa permasalahan jerebu yang melanda negara sejak bulan Ogos 1997 menyebabkan pertambahan pesakit-pesakit akibat masalah pernafasan umpamanya lelah (asma), radang paru-paru, batuk dan sakit tekak yang berpunca dari permasalahan habuk dan debu di ruang udara.

6. Penanaman pokok hiasan beracun untuk tujuan kecantikan dan keindahan bandar

Pokok hiasan bandar yang sering ditanam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tujuan mencantikkan bandar dan bandar raya seperti pokok pong pong adalah beracun apabila buahnya telah masak ranum atau tua. Buah yang tua ini akan gugur di jalanan dan apabila sering terkena kepanasan matahari, ia akan mengeluarkan racun.

Sepatutnya pokok seumpama ini tidak ditanam sebagai pokok hiasan bandar kerana negara Singapura telahpun mengharamkan penanamannya sebagai pokok hiasan. Walaupun pohonnya rimbun, tetapi bahaya yang paling jelas adalah pada buahnya yang beracun.

7. Aktiviti kilang industri

Kilang-kilang industri juga merupakan penyumbang kepada pencemaran udara. Ini kerana, kilang-kilang banyak melepaskan bahan cemar beracun umpamanya asap yang mengandungi bahan zink florida ke udara. Sesiapa yang terhidu bahan berkenaan akan mengalami sakit perut, muntah, sejuk badan dan mengalami kerosakan di bahagian dalaman badan.

8. Semburan asap kawalan penyakit

Di bandar-bandar malah di bahagian pedalaman kini, aktiviti semburan asap untuk tujuan kawalan penyakit seperti mencegah nyamuk aedes dan denggi boleh membahayakan alam sekitar. Walaupun tahap racun yang digunakan didakwa tidak membahayakan pernafasan manusia, namun alam sekitar akan mendapat padahnya dalam jangka masa panjang.

Paling penting, adakah dengan semburan tersebut nyamuk aedes akan terbunuh kerana dibimbangi kebanyakan nyamuk-nyamuk kini begitu kebal dengan racun berikutan banyak racun makhluk perosak digunakan tidak memberikan sebarang kesan terhadap serangga pembawa denggi tersebut. Jadi, jika berlaku hal tersebut, bermakna tahap keberkesanan racun perlu ditambah, akhirnya yang mendapat padahnya ialah manusia dan alam sekitar pula.

9. Kebakaran hutan dan telaga minyak

Sebagai pengetahuan umum, manusia menyedut oksigen dan menghembus karbon dioksida. Kadar oksigen di udara perlu berkualiti dan mencukupi untuk membantu manusia bernafas secara sihat dan dengan sempurna. Apabila oksigen di ruang udara telah diganggu-gugat oleh pelbagai faktor yang menjadikannya turut berkurangan dan tercemar, ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti sesak nafas, sakit kepala, pening, lemah, loya, muntah, mudah meradang, mudah menjadi keliru dan di dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan tidak sedarkan diri.

Di samping itu, pencemaran udara yang berterusan dan tidak terkawal boleh menyebabkan hujan asid. Ia terjadi akibat tindakbalas di antara sulfur dioksida yang bercampur dengan wap air dan air. Kehadiran hujan asid boleh menjejaskan kekuatan mahupun kekukuhan bangunan, konkrit dan catnya. Keadaan ini menunjukkan, pencemaran seumpama ini lebih cepat merebak dan amat sukar dikawal. Malahan pernah dilaporkan, pencemaran udara berpotensi menyebabkan lapisan ozon di ruang stratosfera menjadi nipis.

Sementara itu, menurut hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kira-kira 5,000 sumber utama pencemaran udara telah dikenal pasti di Malaysia. Sumber ini termasuklah stesen janakuasa elektrik, industri berasaskan kayu, kilang simen, kilang batu-bata dan tanah liat, rumah asap getah dan kilang padi.
(Sumber: Nur Addin Naquib, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Manakala aspek-aspek lain yang menyebabkan pencemaran udara turut meningkat ialah akibat penebangan dan pemusnahan hutan yang merupakan salah satu fenomena di dunia hari ini. Ini kerana, pokok dan hutan adalah agen yang berperanan untuk mengawal keseimbangan udara, merendahkan suhu dan mencegah pencemaran dunia.

Secara langsungnya, tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida dan diikuti berlakunya proses fotosintesis. Seandainya sumber-sumber ini dimusnahkan menyebabkan udara tidak lagi dapat disedut. Dengan itu, kualiti udara tercemar kerana bahan-bahan yang memasuki udara tidak dapat diserap oleh tumbuh-tumbuhan.

Berikutan betapa pencemaran udara boleh menimbulkan kesan buruk terhadap kesihatan manusia, menyebabkan kekurangan dan kemusnahan kualiti oksigen di udara serta berlakunya perubahan iklim, adalah wajar semua pihak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tidak melakukan pembakaran secara terbuka dan pembuangan sisa-sisa toksid ke dalam sistem bekalan air atau mencampakkan sampah-sarap di merata-rata tempat dengan sewenang-wenangnya.

Ingatlah, udara bukan menjadi hak dan milik kita sendiri sebaliknya menjadi hak semua orang. Sama-samalah menjaga kualiti udara dari dicemari untuk keperluan kesihatan yang lebih sempurna.      

  

Pembakaran terbuka mengakibatkan kualiti udara rendah dan tercemar.


Semburan asap juga boleh mengurangkan kualiti udara dan meracuni alam sekitar.

Sampah adalah bahan toksik boleh mengundang padah kepada alam sekitar.


Air yang bersih jangan dibiarkan dicemari sampah atau kotoran minyak.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan