RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 13 Jun 2012

Misteri Lembaga Budak Perempuan


MISTERI LEMBAGA BUDAK PEREMPUAN

PASIR MAS, KELANTAN:  MEMANG telah sedia maklum, makhluk halus gemar tinggal di kawasan sunyi. Mereka sengaja tidak ingin mencampuri urusan manusia kerana tidak ingin menyusahkan manusia. Tetapi apabila manusia cuba mencari padah dengan mengganggu kawasan mereka, makhluk halus tidak akan berdiam diri lalu bertindak dengan menyakat mangsa. Sementelah pula, di kebanyakan bahagian pedalaman Kelantan pada masa dulu, keadaannya masih dipenuhi hutan belukar dan semak-samun memang menjadi tempat makhluk berkenaan untuk dijadikan sebagai tempat tinggal.

Salah seorang mangsa ketika ditemui Wartawan RELATIF, Abdul Kadir @ Shamsuddin bin Noor, 63, atau lebih dikenali sebagai Abang Din dari Kampung Gual Kulim, Pasir Mas, Kelantan berkata, kejadian itu adalah pengalamannya yang berlaku pada tahun 1985 pada pukul 11.00 malam di Kampung Paloh dekat sini.

"Sebenarnya Abang Din bekerja di Tanah Merah. Jam 9.00 malam, Abang Din bertolak dari stesen keretapi Tanah Merah kemudiannya turun di stesen keretapi Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas. Dari stesen keretapi Kampung Chicha Tinggi, Abang Din berjalan kaki seorang diri untuk pulang ke Kampung Paloh. Keadaan persekitaran jalan di Kampung Paloh pada masa itu masih lagi dipenuhi hutan tebal dan keadaannya sunyi.

"Setibanya Abang Din di sebuah selekoh (cabang tiga) untuk memasuki Kampung Paloh, Abang Din terdengar hembusan angin yang agak kuat dan luar biasa yang tidak pernah didengari sebelum ini. Dalam keadaan remang-remang malam yang gelap di padang itu, Abang Din tengok gerombolan kawanan kerbau sedang berlari dengan agak pantas.

"Memang agak terkejut dengan kejadian itu, sehingga tersembul dari mulut Abang Din, Abang Din menjerkah haiwan itu supaya haiwan itu tidak mengganggu Abang Din", ujarnya.

Dalam kegelapan malam yang sunyi itu, Abang Din bertempik dengan suara yang agak nyaring. Apabila beliau cuba melangkah ke kawasan yang paling gelap berhampiran kawanan kerbau yang sedang berlari itu, beliau terdengar pula bunyi ribut yang agak kuat dan pelik di ruang udara pula. Bunyi yang kuat seperti ribut itu amat jelas seolah-olah hampir dengan telinganya menyebabkan pada mulanya beliau ingin berpatah balik. Namun, cetus hati kecilnya bahawa kalau beliau berpatah balik sudah tentu beliau tidak dapat pulang ke rumah pada malam berkenaan. Antara mahu dengan tidak, beliau terpaksa merempuh bunyi seperti ribut yang agak kuat itu dengan berserah kepada segala-galanya, sebarang kejadian yang menimpanya beliau sanggup menanggungnya kerana yang pentingnya beliau cepat sampai ke rumah.

"Ketika Abang Din merempuh bunyi ribut itu, Abang Din berasa ada sesuatu benda telah terjun dari udara (bahagian atas) ke arah Abang Din memandangkan bunyi yang kuat itu seperti berdengung, keadaannya tidak masuk akal.

"Telinga Abang Din memang dapat menangkap bunyi itu seperti seekor beruk yang besar telah terjun dari tempat yang tinggi dan apabila menjejakkan kaki ke tanah, bunyi tapak kaki haiwan itu amat jelas seperti seekor beruk dan jatuhnya haiwan itu berhampiran dengan sebuah busut anai-anai.

"Abang Din meneruskan perjalanan dengan tidak menghiraukan gangguan tersebut. Abang Din memang tidak nampak makhluk apakah yang mengusik Abang Din di sebuah busut itu, tetapi Abang Din memang tidak mempedulikannya kerana persekitarannya agak gelap. Walaupun begitu, tidak terjadi sesuatu yang luar biasa terhadap Abang Din ekoran gangguan berkenaan", katanya.

Menurut Abang Din, busut anai-anai tersebut pula apabila hujan turun, kelihatannya seperti ruang sebuah gua di mana seorang atau dua orang boleh muat dalam busut tersebut. Ketika itu, busut anai-anai itulah yang didakwa sering berlaku kejadian misteri dan mengusik. Terdapat pelbagai dakwaan, ada pihak yang meletakkan sejenis minyak mati bunuh. Sekarang ini, busut anai-anai di kawasan itu sudah tiada lagi kerana telah diruntuhkan untuk tanaman getah.

Katanya, dalam keadaan malam yang gelap itu matanya tidak dapat melihat suasananya apatah lagi haiwan besar yang baru terjun berhampiran dengannya, beliau meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Sehinggalah bunyi yang dimaksudkan tidak lagi kedengaran. Jadi, baginya amat jelas bunyi yang kuat itu adalah gangguan makhluk halus di kawasan hutan berkenaan yang cuba menyakat dan menghalang perjalanannya.Di kawasan berkenaan bukan sahaja beliau pernah disakat, rupa-rupanya penduduk di kampung yang sama pernah mengalami peristiwa yang sama sepertinya.

"Kejadian gangguan misteri di busut itu akan sering berlaku selepas jam 12.00 malam. Tiada siapa yang akan melalui jalan tersebut kerana bimbang disampuk makhluk halus yang sering menunggu dan menjadikan busut  anai-anai itu sebagai pos kawalannya", jelas Abang Din.

Tambah Abang Din, kejadian lain yang agak menyeramkan sering berlaku di sebuah jambatan panjang di kampung itu yang dikenali Jambatan Paloh. Apabila dikatakan Jambatan Paloh, bukan sahaja penduduk dari kampung lain, namun penduduk dari kampung itu sendiri akan berasa takut kerana pernah berlaku mangsa yang sedang melaluinya tiba-tiba terserempak dengan lembaga seperti seorang pelajar sekolah yang bertudung di kepalanya sering merayau dan berdiri di tengah-tengah jambatan terbabit.

Anggapan jelmaan lembaga perempuan seperti pelajar sekolah yang sering muncul dan melintasi jambatan itu disebabkan salah seorang pelajar dari kampung terbabit yang lemas di sebatang sungai di bawah jambatan itu adalah terlalu awalnya baginya untuk mengaitkan kejadian tersebut sebagai penyebabnya. Walaupun kejadian terserempak dengan lembaga yang dimaksudkan sering dialami leh mangsa, namun bagi Abang Din tidak pernah mengalaminya.

Di antara cerita yang pernah didengari dari mangsa yang merupakan seorang warga emas yang pernah bertembung dengan lembaga perempuan seperti pelajar sekolah (bertudung) sedang melintasi jambatan itu lalu masuk ke arah pangkal jambatan berkenaan dengan pantas lalu ghaib. Menurutnya, warga emas yang dimaksudkan yang dikenali sebagai Pak Him yang sering ke jambatan itu untuk memasang pukat di sungai terbabit pada awal pagi pernah terserempak dengan dua orang pelajar yang dimaksudkan yang sedang berdiri di tengah-tengah jambatan yang dimaksudkan.

Kerana ingin melihat secara dekat siapakah gerangan pelajar perempuan yang sedang berdiri di atas jambatan pada pagi itu, Pak Him kemudiannya bergegas ke arah lembaga itu, lembaga tersebut tiba-tiba menghilangkan diri ke arah semak-samun berdekatan dengan kepala jambatan terbabit. Jadi, tidak diketahui anak siapakah yang menjadi mangsa lemas di Jambatan Paloh itu sama ada penduduk dari kampung itu sendiri ataupun dari kampung lain.

Sambung Abang Din, mangsa yang lain pula pernah melihat jelmaan harimau berhampiran dengan Jambatan Paloh itu. Sama ada harimau sebenar atau sekadar jelmaan makhluk halus, beliau tidak dapat mengesahkannya. Malahan pernah terjadi di tempat yang sama, mangsa melihat dua biji mata yang agak besar sedang melilau seperti lampu kenderaan di kawasan berkenaan pada malam hari.

Katanya, kejadian berkenaan ramai yang pernah mengalaminya, namun hari ini kejadian berkenaan tidak lagi berlaku. Malahan ada mangsa diusik dengan dua biji mata merah yang agak besar di kawasan terbabit di mana mata tersebut bersifat seperti lampu yang sedang menyuluh sesuatu. Lazimnya, mangsa yang disakat makhluk halus ketika melalui jambatan terbabit akan berlari sekuat hati dan berpatah balik ke laluan utama dengan meredah waktu malam pekat melalui jalan lain yang agak jauh.

"Kejadian lain yang dialami penduduk dari Kampung Paloh itu adalah di sebatang jalan yang kini terletak dalam sebuah kebun getah. Salah seorang mangsa yang melaluinya dapat melihat sebuah gua sedangkan tidak kelihatan gua sebagaimana yang dimaksudkan", ujar Abang Din.

Tambahnya, kejadian berkenaan menyebabkan mangsa lari lintang pukang kerana ketakutan. Mangsa yang terkejut dengan kejadian yang dialami ketika melalui jalan terbabit akan berpatah balik sebaliknya sanggup pulang ke rumah melalui laluan yang agak jauh. Setakat yang beliau tahu, walaupun mangsa pernah beberapa kali terserempak dengan jelmaan lembaga makhluk halus di kawasan itu, beliau tidak pernah mendengar berita tentang mangsa pengsan disebabkan terkejut dengan gangguan berkenaan. 


Abdul Kadir @ Shamsuddin bin Noor atau Abang Din.

 Abang Din ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi.

Di simpang tiga inilah Abang Din diganggu gerombolan kawanan kerbau.

Inilah busut anai-anai yang dimaksudkan, makhluk halus sering menunggu di busut ini.

Jambatan Paloh: di sinilah lembaga budak perempuan yang dikatakan sebagai pelajar sekolah dan jelmaan harimau.

 Ada mangsa yang melihat gua, sedangkan ia adalah sebaliknya. Kini ditanam getah.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan