RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 16 Jun 2012

Judi: Dakyah Syaitan

JUDI: DAKYAH SYAITAN

ISU judi bukanlah satu perkara baru untuk diperkatakan tetapi merupakan isu lama yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Ini kerana, kegiatan ini semakin lama kian berkembang dari kota kosmopolitan hinggalah kepada peringkat negeri dan daerah.

Pada hakikatnya, ramai yang mengetahui bahawa berjudi hukumnya haram. Tetapi oleh kerana ingin memperolehi kekayaanlah mereka mengenepikan hukum berkenaan. Kononnya apabila memperolehi wang dari kegiatan tersebut, keinginan yang diharap-harapkan akan tercapai.

Dalam soal demikian, pelbagai bentuk judi seperti Empat Nombor Ekor, Sports Toto, Big Sweep, perjudian melalui hotel-hotel terkemuka, internet dan sebagainya perlu diharamkan. Bentuk-bentuk judi berkenaan merupakan suatu perbuatan mungkar, perbuatan kotor yang didalangi syaitan malah sepatutnya dilenyapkan dari sebuah negara Islam. Dalam Al-Quran telah menegaskan hal yang sedemikian berdasarkan firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman! Minuman keras, main judi, berhala dan mengundi nasib dengan panah itu, sesungguhnya perbuatan kotor, termasuk pekerjaan syaitan, sebab itu hendaklah kamu tinggalkan, supaya kamu menjadi beruntung". (Surah Al-Maidah: ayat 90)

Allah S.W.T  menerangkan lagi tentang hakikat judi itu bahawa ia termasuk dalam kancah dosa-dosa besar. Firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka menanyakan kepada engkau tentang minuman keras dan judi. Katakan: Pada keduanya itu ada dosa besar dan ada manfaatnya kepada manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka menanyakan kepada engkau: Apakah yang akan mereka nafkahkan? Katakan: Kelebihan dari yang perlu. Begitulah Allah menjelaskan keterangan-Nya kepada kamu supaya kamu fikirkan".
(Surah Al-Baqarah: ayat 219)

Takrif judi adalah segala jenis pertaruhan yang mungkin membawa keuntungan atau kerugian sama ada wang pertaruhan tersebut dalam kadar yang banyak ataupun sedikit.

Sekiranya di dalam setiap bentuk perjudian, wang mereka menjadi bertambah, dengan itu mereka akan mendapatkannya lagi sehinggalah wang ringgit bertambah, berkurangan dan muflis. Perbuatan ini dianggap buruk dan kotor kerana orang-orang berjudi tidak akan mementingkan waktu ibadat, lupa tentang keluarga seperti anak dan isteri yang di bawah tanggungan sehingga kerananya berlakunya perceraian yang merugikan diri sendiri.

Sebenarnya pengharaman judi di dalam sesebuah negara Islam yang dipimpin oleh orang-orang Islam amatlah perlu kerana perbuatan tersebut mendatangkan bahaya yang besar kepada masyarakat khususnya terhadap umat-umat Islam. Mereka akan bersikap bengis sekiranya mereka mengalami kekalahan dan mereka tentunya akan melakukan berbagai cara ganas seperti merompak, mencuri dan sebagainya bertujuan untuk mendapatkan wang serta membalas dendam di atas kekalahan mereka.

Apabila mengetahui bahawa judi adalah haram, perihal makanan dan minuman ekoran dari hasil judi yang ditelan dan masuk ke perut sehingga menjadi darah daging pula adalah juga dianggap haram. Sedangkan Allah S.W.T  memerintahkan manusia mencari serta mendapatkan makanan dari rezeki yang halal seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Makanlah dari makanan yang baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu. Dan patuhlah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman". (Surah Al-Maidah: ayat 88)

Tertegaknya Institusi Judi adalah suatu rancangan oleh golongan yang antikan Islam yang ingin melihat agama Islam dan umat-umatnya terumbang-ambing dan musnah. Mereka menganggap, inilah satu bentuk perniagaan mudah dan dapat memperolehi keuntungan yang segera dan hakiki tanpa berpenat lelah. Golongan ini memberi tafsiran bahawa judi merupakan satu keperluan hidup bagi memperolehi kekayaan dan kesenangan yang sebenar.

Akhirnya apabila sampai ke negara-negara Islam, ia mendapat sambutan di luar dugaan. Perintan dan larangan diketepikan. Beginilah akibat manusia yang lupa daratan. Sepatutnya, apabila mengetahui bahawa berjudi itu adalah haram, perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan. Sebaliknya mereka terus mengagung-agungkannya seolah-olah mereka mempersendakan, meringankan hukum dan menentang perintah serta larangan Allah S.W.T, padahal di dalam Al-Quran menyatakan, hendaklah mentaati perintah Allah dan turutlah perintah Rasul supaya amal kebajikan yang dikerjakan selama ini tidak akan terhapus. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman! Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul; dan janganlah kamu hapus amal baikmu". (Surah Muhammad: ayat 33)

Manusia diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja berfaedah dan bermanfaat, halal dan terbaik sahaja kerana pekerjaan sedemikian akan berguna kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya orang-orang yang kerap melakukan kejahatan sama ada secara terang atau tersembunyi dari pengetahuan manusia yang lain akan membahayakan diri sendiri.

Berdasarkan kenyataan itulah, setiap peringatan itu perlu diberikan perhatian kerana darinya mendatangkan kebaikan kepada kita. Masalah mahu mendengar atau tidak adalah terpulang kepada budi bicara sendiri. Kalau difikirkan bahawa peringatan itu dianggap baik, terimalah dengan hati yang terbuka. Jika tidak, kuburkan saja kerana Allah S.W.T  memberikan peringatan demikian adalah untuk orang-orang yang bertakwa dan takut kepada Allah dan hari pembalasan nanti.

Di samping itu, jalan yang elok dan baik telah Allah tunjukki supaya manusia mengetahui dan berfikir. Tetapi orang-orang yang termasuk dalam golongan yang malang, mereka akan menjauhkan diri dari-Nya malah memilih jalan yang lain pula. Kononnya peringatan dan jalan yang ditunjukki Allah S.W.T  tidak berguna baginya dan menyekat kebebasan seseorang.

Pengaruh judi itu bukanlah satu perkara yang dianggap ringan di dalam sesebuah negara Islam. Sekiranya ia dipandang sebelah mata, tidak mempedulikan atau menganggap judi itu satu keperluan dalam sesebuah negara, seolah-olah kita yang menggalakkan perkara-perkara mungkar.

Maruah sesebuah negara Islam tidak akan tercabar atau hilang sekiranya judi dihapuskan. Bahkan kemunduran dalam sesebuah negara bukan kerana kita tidak mengambil judi sebagai asa kekuatan dalam sistem kewangan dan sumber negara. Allah S.W.T  akan menolong lebih dari itu jika perkara-perkara mungkar dibanteras. Dengan lain perkataan, tanpa judi sumber kewangan pastinya masih mencukupi di sebalik memeliharan hukum Allah dan mentaati perintah-Nya.

Sesebuah negara yang sentiasa mengalami kemunduran, masalah sosial dan kemelesetan ekonomi berpunca dari sikap dan tabiat manusia itu sendiri. Apabila setiap manusia menuruti perintah Allah S.W.T  dan mematuhi sunnah Rasul, menjauhi larangan dan kemungkaran, tentunya manusia akan sentiasa di dalam aman sentosa malah bebas dari segala bencana. Kerana yang sebenarnya, bala bencana itu berpunca dari perbuatan manusia sendiri. Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu, adalah disebabkan tangan kamu sendiri; dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya". (Surah Asy-Syura: ayat 30)

Firman Allah seterusnya dalam ayat yang lain bermaksud:

"Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali".
(Surah Ar-Rum: ayat 41)

Bagaimanapun, hakikatnya manusia memang mengetahui bahawa judi adalah buruk, kotor dan merupakan tingkah laku syaitan. Bahkan akan ditimpakan bencana apabila perbuatan demikian dibiarkan berleluasa di atas muka bumi Allah ini. Berdasarkan kenyataan inilah bahawa jalan kebaikan dan keburukan terbentang luas. Hanya terserah kepada kehendak manusia itu sendiri, jalan apakah yang akan dilaluinya.

Jika diturutinya jalan yang baik, ia memperolehi kebaikan. Sebaliknya, apabila dengan sengaja menuju jalan yang buruk, buruklah akan diterima. Namun, semuanya akan binasa apabila banyak yang buruk, sebagaimana dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Zainab binti Jahsyi r.a, bahawa dia berkata:

"Pada suatu kali Nabi S.A.W  bangun dari tidurnya dengan muka merah. Beliau mengucapkan; Tiada Tuhan Melainkan Allah. Malang bangsa Arab, disebabkan bahaya yang hampir terjadi. Di hari ini telah terbuka tembok Yakjuj dan Makjuj, serupa ini". Sufyan yang meriwayatkan hadis mengisyaratkan dengan jarinya sembilan puluh atau seratus. Ada orang bertanya: "Binasakah kami, sedang di antara kami masih ada orang-orang yang baik?" Jawab Nabi: "Ya, binasa! Apabila banyak yang buruk".
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa segala perbuatan buruk seperti judi dan lain-lain lagi jika dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela di dalam sesebuah negara Islam khususnya, kebinasaan akan dialami oleh semua peringkat.

Kalau diperhatikan keadaan manusia dan dunia kini, ternyata perbuatan buruk lebih halus dari sebatang jarum, lebih tajam dari mata pisau dan lebih pantas menjalar dari seekor ular berbisa. Betapa tidak, bentuk-bentuk budaya kuning dan pengaruh kebendaan dan sayangkan harta dunia adalah dicanang oleh pengaruh Yahudi. Mereka melakukan diskriminasi ke atas umat-umat Islam seolah-olah seperti sebatang jarum. Sekali suntik ia terus merebak dan menjadi ikutan.

Kerana itu, kalau ditinjau keadaan manusia, persekitarannya mahupun dunia itu sendiri, didapati hal-hal yang haram lebih mendapat tempat. Sebaliknya yang halal tertinggal jauh ke belakang. Manusia zaman ini boleh digolongkan kepada satu zaman yang tidak mempedulikan lagi sama ada yang diambilnya halal atau haram, sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, dari Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Bakal datang kepada manusia satu masa, di mana orang tidak peduli akan apa yang diambilnya; apakah dari yang halal ataukah dari yang haram". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Justeru, tinggalkan judi jika amalannya masih diteruskan. Bahkan banteras perbuatan judi dan yang menjurus ke arah bentuk perjudian, kerana jika sampai laknat Allah bukan seorang yang akan menerima bala bencana itu tetapi sebaliknya akan dialami secara keseluruhannya.

      
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 15 Jun 2012

Pulau Tongkang (Tumpat)


PULAU TONGKANG
(TUMPAT)
TUMPAT, KELANTAN: PULAU TONGKANG yang termasuk dalam gugusan 36 buah pulau di perairan Sungai Kelantan yang terletak dalam daerah Tumpat, Kelantan adalah sebuah pulau kecil yang juga terletak berdekatan dengan perairan Thailand. Jarak perjalanan dari daratan sebelah sini di Pengkalan Kok Majid, Tumpat ke Pulau Tongkang sejauh kira-kira 4 kilometer. Pulau Tongkang dikelilingi sungai untuk sampai ke pulau berkenaan perlu melalui tiga buah pulau yang terdiri dari Pulau Teluk Renjuna, Pulau Beluru dan Pulau Seratus.

Bagi pengunjung yang ingin ke Pulau Tongkang, pengangkutan utama di sini ialah kapal atau bot tambang di mana penumpang dewasa akan dikenakan bayaran sebanyak RM15 seorang untuk perkhidmatan pergi dan balik.

Wartawan RELATIF cuba menjengah kehidupan masyarakat di Pulau Tongkang dan sempat menemui pengusaha kedai runcit, Mustafa bin Salleh, 55, atau lebih dikenali sebagai Pa dan isterinya, Azizah binti Mamat, 45, atau lebih dikenali sebagai Kak Zah.

Menurut Mustafa, kehidupan penduduk di Pulau Tongkang tidaklah dianggap mewah jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan penduduk di daratan sebelah sini seperti di Pengkalan Kok Majid, Tumpat dan Kota Bharu. Disebabkan Pulau Tongkang dikelilingi seratus peratus sungai, tentunya segala aktiviti harian agak terhad.

"Penduduk di Pulau Tongkang meliputi 800 orang sahaja yang meliputi 80 buah rumah. Purata setiap ahli keluarga seramai 10 orang", ujar Mustafa apabila ditanya tentang jumlah penduduk di pulau berkenaan.

Katanya, kehidupan masyarakat di Pulau Tongkang amat berbeza dengan Pulau Teluk Renjuna. Bukan sahaja jaraknya agak jauh dari daratan Pengkalan Kok Majid, namun kebanyakan pekerja di Pulau Tongkang bergantung sebagai pekerja kampung semata-mata sebagai nelayan sungai dan pantai, hasil kelapa dan peruncit.

"Kebanyakan nelayan di Pulau Tongkang sebagaimana nelayan di pulau-pulau lain yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan ikan. Jika hasil tangkapan yang diperolehi itu banyak, maka mereka pastinya akan mendapat lebih dari biasa berbanding dengan nelayan sungai yang sekadar mendapatkan sumber ikan yang tidak seberapa", jelasnya.

Tambahnya, begitu juga dengan pekerja yang sekadar mengharapkan sumber dari hasil kelapa sebagai pemanjat pokok kelapa dengan menggunakan khidmat "beruk". Lazimnya dalam sehari, mereka dapat menurunkan sebanyak 500 biji buah kelapa sahaja dengan upah sebanyak RM30. Kelapa ini pula akan ditempah oleh peraih untuk dibawa dan dijual di bandar Tumpat atau daerah-daerah lain di Kelantan. Jualan kelapa ini pula bergantung kepada tempahan dari masyarakat di daratan sebelah sini.

Sementara itu, menurut isterinya, Azizah Mamat berkata, bagi golongan peruncit juga adalah sekadar menjual barangan yang mampu dibeli oleh penduduk-penduduk di kampung berkenaan. Disebabkan faktor kewangan yang mendesak, kebanyakan peruncit di Pulau Tongkang sepertinya terpaksa menjual dengan harga yang dijual oleh pemborong dan peruncit di Tumpat.

Kebanyakan peruncit sepertinya mendapatkan barangan keperluan untuk jualan di Pulau Tongkang dari pemborong di Tumpat. Mereka perlu membawanya dengan bot tambang ke Pulau Tongkang dan sekiranya barangan habis, terpaksalah mereka ke daratan di Tumpat untuk mendapatkan barangan keperluan tersebut. Sesetengah barangan runcit, mereka terpaksa menaikkan harga di antara 20 sen hingga 30 sen disebabkan tambang bot yang membawa barangan keperluan tersebut.

Menurut Kak Zah, Pulau Tongkang sebenarnya di kelilingi sungai yang agak dalam. Walaupun begitu, dianggap suatu keuntungan besar kerana kebanyakan penduduk di Pulau Tongkang tidak perlu membayar bil air kerana mereka boleh mendapatkan bekalan air di sungai terbabit atau memasang paip air ke rumah, cuma masalahnya ialah berhubung dengan bekalan elektrik yang hanya 12 jam sahaja, kemudahan tandas untuk saluran najis serta pembuangan sampah.

Apabila ditanya tentang banjir, beliau amat bersyukur kerana keadaan Pulau Tongkang agak tinggi berbanding dengan lain-lain pulau. Kalau pun mereka terpaksa berpindah disebabkan masalah banjir besar dan untuk tujuan keselamatan, terpaksalah penduduk-penduduk terbabit berpindah ke Tumpat untuk mengelakkan sesuatu tragedi yang tidak diingini.

"Setakat ini, alhamdulillah kerana walaupun banjir melanda, Pulau Tongkang ini agak tinggi. Biasanya, jika terpaksa berpindah, tempat yang dituju ialah ke Tumpat", ujarnya.

Sesuatu yang membebankan kebanyakan penduduk di Pulau Tongkang ialah berhubung dengan pelajar sekolah. Sebagaimana masalah di Pulau Teluk Renjuna, masalah yang sama di Pulau Tongkang ialah pelajar sekolah yang ingin ke sekolah terpaksa menggunakan pengangkutan sungai iaitu bot tambang.

"Penduduk Pulau Tongkang pernah menerima kunjungan wakil rakyat dari Tumpat, namun kehadiran mereka sebagai lawatan untuk menjenguk kehidupan masyarakat di pulau ini sahaja, namun tiada tindakan yang dibuat", celah Mustafa apabila ditanya tentang wakil rakyat terbabit.

Begitulah serba ringkas tentang kehidupan penduduk di Pulau Tongkang. Antara mahu atau tidak, jika diminta untuk berpindah tidak mungkin mereka akan berbuat demikian kerana itulah tanah dan perkampungan jati yang mereka miliki. Malah mereka tidak mungkin mampu membeli dan memiliki sebidang tanah sebagaimana semestinya. Apatah lagi kehidupan masyarakat di pulau itu tidak memiliki kenderaan sebagaimana penduduk di daratan sebelah sini. Jika adapun, hanyalah sekadar motosikal cabuk yang hanya digunakan untuk ke beberapa kawasan di pulau itu dengan kadar yang cepat dan tidak lebih dari itu.

Mustafa bin Salleh atau Pa.

Mustafa ketika ditemubual oleh Wartawan RELATIF (Kanan).

Azizah binti Mamat atau Kak Zah.


Persekitaran rumah di Pulau Tongkang.

Boleh dikatakan, hasil kelapa adalah pekerjaan utama penduduk di Pulau Tongkang.

Nelayan sungai hanya mengharapkan sumber ikan untuk sesuap rezeki.

Jeti atau Pengkalan Pulau Tongkang.

Perairan di Pulau Tongkang.


Bot tambang: hanya inilah pengangkutan popular untuk ke lain-lain pulau termasuk ke Pulau Tongkang. Pemandu dan penumpang terdedah kepada bahaya kerana tidak memakai jaket keselamatan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 13 Jun 2012

Misteri Lembaga Budak Perempuan


MISTERI LEMBAGA BUDAK PEREMPUAN

PASIR MAS, KELANTAN:  MEMANG telah sedia maklum, makhluk halus gemar tinggal di kawasan sunyi. Mereka sengaja tidak ingin mencampuri urusan manusia kerana tidak ingin menyusahkan manusia. Tetapi apabila manusia cuba mencari padah dengan mengganggu kawasan mereka, makhluk halus tidak akan berdiam diri lalu bertindak dengan menyakat mangsa. Sementelah pula, di kebanyakan bahagian pedalaman Kelantan pada masa dulu, keadaannya masih dipenuhi hutan belukar dan semak-samun memang menjadi tempat makhluk berkenaan untuk dijadikan sebagai tempat tinggal.

Salah seorang mangsa ketika ditemui Wartawan RELATIF, Abdul Kadir @ Shamsuddin bin Noor, 63, atau lebih dikenali sebagai Abang Din dari Kampung Gual Kulim, Pasir Mas, Kelantan berkata, kejadian itu adalah pengalamannya yang berlaku pada tahun 1985 pada pukul 11.00 malam di Kampung Paloh dekat sini.

"Sebenarnya Abang Din bekerja di Tanah Merah. Jam 9.00 malam, Abang Din bertolak dari stesen keretapi Tanah Merah kemudiannya turun di stesen keretapi Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas. Dari stesen keretapi Kampung Chicha Tinggi, Abang Din berjalan kaki seorang diri untuk pulang ke Kampung Paloh. Keadaan persekitaran jalan di Kampung Paloh pada masa itu masih lagi dipenuhi hutan tebal dan keadaannya sunyi.

"Setibanya Abang Din di sebuah selekoh (cabang tiga) untuk memasuki Kampung Paloh, Abang Din terdengar hembusan angin yang agak kuat dan luar biasa yang tidak pernah didengari sebelum ini. Dalam keadaan remang-remang malam yang gelap di padang itu, Abang Din tengok gerombolan kawanan kerbau sedang berlari dengan agak pantas.

"Memang agak terkejut dengan kejadian itu, sehingga tersembul dari mulut Abang Din, Abang Din menjerkah haiwan itu supaya haiwan itu tidak mengganggu Abang Din", ujarnya.

Dalam kegelapan malam yang sunyi itu, Abang Din bertempik dengan suara yang agak nyaring. Apabila beliau cuba melangkah ke kawasan yang paling gelap berhampiran kawanan kerbau yang sedang berlari itu, beliau terdengar pula bunyi ribut yang agak kuat dan pelik di ruang udara pula. Bunyi yang kuat seperti ribut itu amat jelas seolah-olah hampir dengan telinganya menyebabkan pada mulanya beliau ingin berpatah balik. Namun, cetus hati kecilnya bahawa kalau beliau berpatah balik sudah tentu beliau tidak dapat pulang ke rumah pada malam berkenaan. Antara mahu dengan tidak, beliau terpaksa merempuh bunyi seperti ribut yang agak kuat itu dengan berserah kepada segala-galanya, sebarang kejadian yang menimpanya beliau sanggup menanggungnya kerana yang pentingnya beliau cepat sampai ke rumah.

"Ketika Abang Din merempuh bunyi ribut itu, Abang Din berasa ada sesuatu benda telah terjun dari udara (bahagian atas) ke arah Abang Din memandangkan bunyi yang kuat itu seperti berdengung, keadaannya tidak masuk akal.

"Telinga Abang Din memang dapat menangkap bunyi itu seperti seekor beruk yang besar telah terjun dari tempat yang tinggi dan apabila menjejakkan kaki ke tanah, bunyi tapak kaki haiwan itu amat jelas seperti seekor beruk dan jatuhnya haiwan itu berhampiran dengan sebuah busut anai-anai.

"Abang Din meneruskan perjalanan dengan tidak menghiraukan gangguan tersebut. Abang Din memang tidak nampak makhluk apakah yang mengusik Abang Din di sebuah busut itu, tetapi Abang Din memang tidak mempedulikannya kerana persekitarannya agak gelap. Walaupun begitu, tidak terjadi sesuatu yang luar biasa terhadap Abang Din ekoran gangguan berkenaan", katanya.

Menurut Abang Din, busut anai-anai tersebut pula apabila hujan turun, kelihatannya seperti ruang sebuah gua di mana seorang atau dua orang boleh muat dalam busut tersebut. Ketika itu, busut anai-anai itulah yang didakwa sering berlaku kejadian misteri dan mengusik. Terdapat pelbagai dakwaan, ada pihak yang meletakkan sejenis minyak mati bunuh. Sekarang ini, busut anai-anai di kawasan itu sudah tiada lagi kerana telah diruntuhkan untuk tanaman getah.

Katanya, dalam keadaan malam yang gelap itu matanya tidak dapat melihat suasananya apatah lagi haiwan besar yang baru terjun berhampiran dengannya, beliau meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Sehinggalah bunyi yang dimaksudkan tidak lagi kedengaran. Jadi, baginya amat jelas bunyi yang kuat itu adalah gangguan makhluk halus di kawasan hutan berkenaan yang cuba menyakat dan menghalang perjalanannya.Di kawasan berkenaan bukan sahaja beliau pernah disakat, rupa-rupanya penduduk di kampung yang sama pernah mengalami peristiwa yang sama sepertinya.

"Kejadian gangguan misteri di busut itu akan sering berlaku selepas jam 12.00 malam. Tiada siapa yang akan melalui jalan tersebut kerana bimbang disampuk makhluk halus yang sering menunggu dan menjadikan busut  anai-anai itu sebagai pos kawalannya", jelas Abang Din.

Tambah Abang Din, kejadian lain yang agak menyeramkan sering berlaku di sebuah jambatan panjang di kampung itu yang dikenali Jambatan Paloh. Apabila dikatakan Jambatan Paloh, bukan sahaja penduduk dari kampung lain, namun penduduk dari kampung itu sendiri akan berasa takut kerana pernah berlaku mangsa yang sedang melaluinya tiba-tiba terserempak dengan lembaga seperti seorang pelajar sekolah yang bertudung di kepalanya sering merayau dan berdiri di tengah-tengah jambatan terbabit.

Anggapan jelmaan lembaga perempuan seperti pelajar sekolah yang sering muncul dan melintasi jambatan itu disebabkan salah seorang pelajar dari kampung terbabit yang lemas di sebatang sungai di bawah jambatan itu adalah terlalu awalnya baginya untuk mengaitkan kejadian tersebut sebagai penyebabnya. Walaupun kejadian terserempak dengan lembaga yang dimaksudkan sering dialami leh mangsa, namun bagi Abang Din tidak pernah mengalaminya.

Di antara cerita yang pernah didengari dari mangsa yang merupakan seorang warga emas yang pernah bertembung dengan lembaga perempuan seperti pelajar sekolah (bertudung) sedang melintasi jambatan itu lalu masuk ke arah pangkal jambatan berkenaan dengan pantas lalu ghaib. Menurutnya, warga emas yang dimaksudkan yang dikenali sebagai Pak Him yang sering ke jambatan itu untuk memasang pukat di sungai terbabit pada awal pagi pernah terserempak dengan dua orang pelajar yang dimaksudkan yang sedang berdiri di tengah-tengah jambatan yang dimaksudkan.

Kerana ingin melihat secara dekat siapakah gerangan pelajar perempuan yang sedang berdiri di atas jambatan pada pagi itu, Pak Him kemudiannya bergegas ke arah lembaga itu, lembaga tersebut tiba-tiba menghilangkan diri ke arah semak-samun berdekatan dengan kepala jambatan terbabit. Jadi, tidak diketahui anak siapakah yang menjadi mangsa lemas di Jambatan Paloh itu sama ada penduduk dari kampung itu sendiri ataupun dari kampung lain.

Sambung Abang Din, mangsa yang lain pula pernah melihat jelmaan harimau berhampiran dengan Jambatan Paloh itu. Sama ada harimau sebenar atau sekadar jelmaan makhluk halus, beliau tidak dapat mengesahkannya. Malahan pernah terjadi di tempat yang sama, mangsa melihat dua biji mata yang agak besar sedang melilau seperti lampu kenderaan di kawasan berkenaan pada malam hari.

Katanya, kejadian berkenaan ramai yang pernah mengalaminya, namun hari ini kejadian berkenaan tidak lagi berlaku. Malahan ada mangsa diusik dengan dua biji mata merah yang agak besar di kawasan terbabit di mana mata tersebut bersifat seperti lampu yang sedang menyuluh sesuatu. Lazimnya, mangsa yang disakat makhluk halus ketika melalui jambatan terbabit akan berlari sekuat hati dan berpatah balik ke laluan utama dengan meredah waktu malam pekat melalui jalan lain yang agak jauh.

"Kejadian lain yang dialami penduduk dari Kampung Paloh itu adalah di sebatang jalan yang kini terletak dalam sebuah kebun getah. Salah seorang mangsa yang melaluinya dapat melihat sebuah gua sedangkan tidak kelihatan gua sebagaimana yang dimaksudkan", ujar Abang Din.

Tambahnya, kejadian berkenaan menyebabkan mangsa lari lintang pukang kerana ketakutan. Mangsa yang terkejut dengan kejadian yang dialami ketika melalui jalan terbabit akan berpatah balik sebaliknya sanggup pulang ke rumah melalui laluan yang agak jauh. Setakat yang beliau tahu, walaupun mangsa pernah beberapa kali terserempak dengan jelmaan lembaga makhluk halus di kawasan itu, beliau tidak pernah mendengar berita tentang mangsa pengsan disebabkan terkejut dengan gangguan berkenaan. 


Abdul Kadir @ Shamsuddin bin Noor atau Abang Din.

 Abang Din ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi.

Di simpang tiga inilah Abang Din diganggu gerombolan kawanan kerbau.

Inilah busut anai-anai yang dimaksudkan, makhluk halus sering menunggu di busut ini.

Jambatan Paloh: di sinilah lembaga budak perempuan yang dikatakan sebagai pelajar sekolah dan jelmaan harimau.

 Ada mangsa yang melihat gua, sedangkan ia adalah sebaliknya. Kini ditanam getah.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 10 Jun 2012

Misteri Gua Ikan


MISTERI GUA IKAN

KUALA KRAI, KELANTAN:  GUA IKAN yang terletak berhampiran dengan Kampung Slow Pak Long dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan adalah sebuah gua batu kapur. Perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Ikan sejauh 150 kilometer, dari Kuala Krai (95 kilometer) dan dari Pekan Dabong (7 kilometer). Pada tahun 1970 dulu, Gua Ikan adalah sebuah gua yang agak tersohor bukan sahaja keadaan sungainya yang agak dalam malah dipenuhi ikan-ikan yang agak besar sifatnya, selain persekitarannya masih dipenuhi hutan dan pohon-pohon yang hidup subur menghijau.

Melihat kepada persekitaran dan pemandangan dari luarnya, Gua Ikan tidak sunyi dari kicauan burung dan unggas tanpa mengenal waktu pagi atau petang, namun tanpa disedari umum, gua batu kapur yang tersergam gagah itu mempunyai teman yang menjaganya iaitu makhluk halus dan gua ini sebenarnya dipenuhi dengan kejadian misteri. Memang agak biasa bagi penduduk asal di situ, tetapi bagi penduduk dari daerah lain yang baru mengenali Gua Ikan akan berasa terasing dan sememangnya bagi setiap tetamu yang datang akan diperhatikan oleh makhluk halus yang didakwa dari bangsa "bunian" yang menghuni di permukaan gua termasuk di puncaknya adalah dunia dan perkampungan asalnya.

Salah seorang penduduk asal yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung Gua Ikan itu berkata, bagi orang luar yang pertama kali menjejakkan kaki ke Gua Ikan seolah-olah memberikan gambaran untuk tidak memasuki gua berkenaan. Pengalaman beberapa pengunjung Gua Ikan sebelum ini yang pernah mendengar suara aneh tetapi tidak kelihatan batang tubuhnya, malahan terdapat juga yang dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian serba putih tiga beranak yang sering mundar-mandir di kawasan Gua Ikan itu seolah-olah sebagai pengawal gua terbabit yang sering dilihat di beberapa tempat terutamanya di kawasan permukaan gua tersebut.

Menurut Pak Da Soh, kejadian misteri Gua Ikan semakin popular ketika pembukaan dengan rasminya Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun 2006. Salah satu cerita yang agak tersohor dari mulut ke mulut ialah tentang jelmaan kumpulan pendakwah muda seramai 12 orang yang entah dari mana munculnya, dengan tiba-tiba menuju ke arah gerai makanan milik Kak Da yang barangkali untuk menjamu selera.

"Cerita 12 orang pendakwah muda yang memakai jubah putih, memang kacak dan lawa, tidak siapa tahu munculnya dari arah mana. Bagi pelanggan yang sedang makan tetapi tidak dapat melihat kelibat mereka, mungkin tidak ada apa-apa.

"Tetapi salah seorang pelanggan yang dapat melihat gerombolan mereka sedang menuju ke arah gerai Kak Da, terpaksa menghabiskan makanan dengan cepat lalu beredar keluar dari gerai itu", cerita Pak Da Soh.

Katanya, dalam masa sejam selepas pendakwah muda itu selesai menjamu selera dan membayar harga makanan, mereka beredar seorang demi seorang menuju ke sebuah jambatan yang menghubungkan dataran di taman rekreasi itu dengan laluan ke gua terbabit yang dipisahkan dengan sebuah sungai lalu ghaib di kawasan itu.

Setelah dipastikan kumpulan pendakwah muda itu kesemuanya beredar dari gerai makanan Kak Da dan tiada lagi di situ, salah seorang pelanggan yang keluar agak tergesa-gesa dari gerai tersebut tiba-tiba masuk kembali lalu menerpa ke arah Kak Da untuk mendapatkan butiran cerita dan pandangan Kak Da tentang kumpulan pendakwah muda yang agak ramai itu datangnya dari mana?

Menurut Pak Da Soh, soalan yang dikemukakan oleh pelanggan terbabit agak menghairankan Kak Da kerana dirinya tidak melihat apa-apa terhadap gerombolan itu tetapi sekadar melihat seperti manusia biasa sahaja dan bukannya seperti pendakwah yang memakai jubah putih sebagaimana yang dimaksudkan oleh pelanggannya itu. Mereka adalah manusia biasa yang sekadar singgah di gerainya semata-mata untuk menjamu selera.

Apabila ditanya Pak Da Soh tentang komennya berhubung dengan dakwaan pelanggan terbabit yang dilihatnya bahawa pendakwah muda yang agak luar biasa dari segi sifat sebagai manusia telah mengunjungi gerai Kak Da, tetapi tidak dapat dilihat oleh orang lain atau pelanggan-pelanggan yang sedang menikmati hidangan sekadar melihat pemuda-pemuda itu seperti manusia biasa, Pak Da Soh menjelaskan, memang Gua Ikan adalah suatu tempat yang penuh misteri.

"Gerombolan pemuda itu sebenarnya dari bangsa bunian yang turun dari puncak Gua Ikan itu untuk menjamu selera di gerai Kak Da. Di puncak Gua Ikan itu sememangnya perkampungan mereka, ada masjid, tempat dakwah dan rumah kediaman", jelas Pak Da Soh.

Justeru, amat jelas bahawa Gua Ikan bukan sekadar sebuah tempat yang sunyi dan menenangkan fikiran, pengunjung juga tidak wajar berada di kawasan tamannya untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan menjolok mata. Disebabkan kawasan berkenaan perkampungan makhluk halus yang asal apatah lagi kelemahan manusia yang tidak dapat melihat makhluk halus seperti bunian di tempat terbabit, jadi sama-samalah kita berkongsi alam ini sebagai makhluk Allah dengan menjaga adat dan tata susila di tempat masing-masing.

Zakaria bin Mohamed atau Pak Da Soh.


Papan tanda arah ke Gua Ikan.

Jalan masuk ke Gua Ikan.

Puncak Gua Ikan adalah perkampungan bunian.


Bunian dari bangsa lain menjadikan dalam Gua Ikan sebagai penempatannya.

Inilah gerai makanan Kak Da yang dikunjungi pendakwah muda berjubah putih.

Seramai 12 orang bunian yang dikatakan pendakwah muda duduk di sini untuk menjamu selera.

Arah jambatan inilah gerombolan bunian berjubah putih ghaib.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 2 Jun 2012

Barah: Rawatan Tradisional


BARAH: RAWATAN TRADISIONAL

TUMPAT, KELANTAN:  BARAH menurut Kamus Dewan (DBP) adalah ketumbuhan berbahaya pada kulit atau pada tisu di dalam tubuh yang disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak mengikut kadar yang normal (disebabkan oleh pengaruh bahan-bahan karsinogen seperti bahan kimia dan virus). Penyakit barah ini boleh merebak dan menular yang menyebabkan secara sedar atau tidak pesakit akan berasa kesakitannya, namun secara tidak sedar jika penyakit berkenaan sampai ke kemuncaknya, pesakit barah pastinya akan menderita disebabkan tidak mempedulikan rawatan yang sepatutnya diterima.

Membicarakan tentang barah yang kebanyakannya dialami oleh golongan lelaki dan wanita dewasa, ada orang berkata lebih baik mendapatkan rawatan secara tradisional kerana kaedah yang digunakan ialah secara sentuhan, menggunakan air penawar dan doa-doa serta wirid yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan, malahan bayaran yang dikenakan juga agak rendah. Berbanding rawatan secara moden yang tentunya menyakitkan melalui beberapa sessi pembedahan dalam tempoh tertentu, bahkan bayaran yang dikenakan juga agak tinggi dan membebankan pesakit. Berikutan itu, ramai yang mendapatkan rawatan secara tradisional kerana masih mempercayai kaedah berkenaan lebih relevan dan selamat.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, salah seorang pakar Perubatan Barah Tradisional, Haji Che Awang bin Chik, 61, atau lebih dikenali sebagai Paksu Wil dari Kampung Periuk, Tumpat, Kelantan mengakui, semakin ramai kalangan orang-orang dewasa sama ada lelaki, wanita termasuk kanak-kanak yang mendapatkan rawatan darinya.

Paksu Wil yang merupakan anak bongsu dan beliau memperolehi ilmu mengubati barah daripada arwah bapanya, Allahyarham Paksu Chik yang merupakan Bomoh Barah Tradisional yang agak tersohor di kampung berkenaan. Paksu Wil adalah keturunan keempat yang memperolehi ilmu berkenaan. Manakala masalah "terseliuh" beliau belajar daripada guru yang lain pula.

Pelbagai jenis penyakit yang dirawat oleh beliau seperti penyakit kenan, kayap, kudis, sarat, bertih, campak, senggugut dan medu. Penyakit barah adalah lebih utama, beliau merupakan seorang pakar dalam bidang berkenaan. Kaedah menghasilkan ramuan ubat-ubatan berkaitan dengan penyakit terbabit adalah menjadi rahsianya, sebab hanya keluarganya sahaja yang boleh memberitahunya.

"Paksu mula belajar ilmu merawat barah ini ketika peringkat remaja dalam usia 17 tahun lagi. Paksu hanya menerima "ilmu ibu" dengan cara mempelajari dan mengenalinya sendiri, selepas itu akan masuk sendiri.

"Dengan demikian, secara automatik Paksu akan dapat membacanya walaupun ketika sedang tidur. Selepas itu, Paksu hendaklah menghafal sedikit demi sedikit", jelasnya menyorot sejarah awal beliau mendapat ilmu merawat barah terbabit.

Ketika ingin membuat rawatan terhadap pesakit terbabit, beliau akan dapat mengetahui keadaan pesakit melalui deria dengan cara menyentuh pesakit di bahagian yang sememangnya akan dirasai oleh deria jari-jemarinya. Apabila sampai di tempat yang dikatakan barah itu, dengan tiba-tiba jari-jemarinya tidak dapat merasai apa-apa lagi. Beliau akan meniup di tempat yang dimaksudkan, dengan tiba-tiba beliau akan merasai tindakbalas dari pesakit tersebut seperti ingin beradu kekuatan dengannya. Ketika itulah beliau akan mengetahui penyakit yang dimaksudkan itu.

Beliau kemudiannya akan melakukannya secara ulangan sebanyak tiga kali dan kali ketiga itulah penyakit berkenaan akan memberikan tindakbalas terhadapnya sehingga akan dirasai di bahagian tengkuk. Penyakit ini sememangnya suka mengambil tindakan terhadap orang yang cuba menyembuhkannya, sebab itulah anak-anaknya sendiri tidak ingin mempelajari ilmu berkenaan darinya disebabkan sifat penyakit berkenaan.

"Penyakit barah ini berpunca dari makanan yang dimakan oleh pesakit sehingga menyebabkan barah. Penyakit barah semakin membesar apabila individu memakan kulit ayam, hati dan perut akan menyebabkan barah semakin membiak. Penyakit dari keturunan lazimnya amat jarang berlaku", jelasnya.

Katanya, barah yang paling bahaya ialah "barah tulang" di mana pesakit yang mengalaminya akan berasa seperti dicucuk-cucuk. Di antara penyakit barah lain seperti barah daging, barah angin, barah urat, barah darah dan "raja saton" termasuk dalam kategori yang sama. Kesemua penyakit barah ini mempunyai "penjaganya" di mana barah ini berpunca dari darah dalam tubuh pesakit itu sendiri.

Sambungnya, dalam kes barah tulang di mana pesakit berkenaan akan berasa seperti dicucuk-cucuk. Barah ini perlu diberikan rawatan dan jika rawatan tidak dipedulikan pastinya pesakit akan menderita kesakitan dalam tempoh yang agak lama. Apabila menerima rawatan pastinya barah berkenaan akan sembuh dengan segera. Kalau di hospital, barah seumpama ini hanya diberikan ubat penahan sakit sahaja.

"Paksu pernah memberikan rawatan terhadap pesakit yang dalam keadaan seperti kain buruk (tidak bermaya). Selepas Paksu meniup tubuh pesakit terbabit, dengan tiba-tiba pesakit berkenaan segar dan sembuh seperti biasa", katanya.

Tambahnya lagi, dalam satu kes seorang bayi asyik menangis tidak henti-henti menyebabkan keluarganya dalam keadaan resah. Keluarga berkenaan berasa serba salah kerana apabila diberikan susu kepada bayinya, bayinya itu menolak, sudahnya menangis semahu-mahunya. Bimbangkan sesuatu bentuk gangguan luar yang menimpa bayinya, bapa bayi tersebut menyatakan hasratnya untuk menemui Paksu Wil. Dengan tidak semena-mena, apabila menyebut sahaja nama Paksu Wil, secara tiba-tiba bayinya itu diam serta merta dan tidak lagi menangis sebagaimana sebelumnya.

Sambung Paksu Wil, dalam kes bayi berkenaan walaupun bayi itu tidak lagi menangis dan masalah keluarga berkenaan dianggap selesai, namun keluarga berkenaan perlu berjumpa dengan Paksu Wil juga. Jika keluarga berkenaan enggan berbuat demikian, masalah berkenaan akan wujud kembali selepas itu dan bayinya akan menangis semahunya tanpa henti.

Katanya, Paksu Wil pernah memberikan rawatan terhadap sebuah keluarga Cina yang datang ke rumahnya. Menurutnya, kaum Cina mempercayai rawatan yang dijalankan oleh Paksu Wil ternyata sembuh sepenuhnya dan mereka menemui Paksu Wil bukan dalam masa sehari tetapi sehingga lima dan enam hari tidak sebagaimana bangsa Melayu yang hanya sekali sahaja.

Apabila ditanya tentang bayaran yang dikenakan terhadap pesakit yang datang menerima rawatan darinya, Paksu Wil menjelaskan, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas rawatan yang pernah diberikan kepada pesakit tidak sebagaimana rawatan moden. Beliau hanya mengharapkan keikhlasan dari pesakit itu sendiri. Maksud keikhlasan dari segi menerima rawatan adalah suatu kejujuran yang diharapkan dari pesakit, sebab itulah sesukar manapun rawatan yang dijalankan, penyudahnya adalah kejayaan. Cuma, beliau hanya mengenakan bayaran bagi ubat-ubatan yang dihasilkannya sendiri, kerana untuk menghasilkan ubat terbabit adalah sesuatu yang paling sukar berikutan bahan-bahan herbanya terlalu sukar diperolehi.

"Selain rawatan barah, Paksu juga pernah memberikan rawatan penyakit sarat yang dialami oleh kanak-kanak yang berusia di antara 5 hingga 8 tahun. Namun, kesemua rawatan yang diberikan menemuik kejayaan yang diharapkan", ujarnya.

Ditanya tentang jumlah pesakit dari kalangan masyarakat tempatan (Kelantan) yang pernah menerima rawatan darinya, beliau tidak dapat memberikan jumlahnya kerana agak terlalu ramai yang datang dari semua daerah di negeri ini. Sementara pesakit dari luar negara seperti dari Negara Brunei, Singapura dan paling jauh beliau pernah merawat pesakit dari Amerika Syarikat yang mengalami barah usus. Rawatan terhadap pesakit berkenaan hanya sekali sahaja, tetapi mereka mendapatkan ubat-ubatan darinya sebanyak dua kali.

Menariknya menurut pesakit dari negara tersebut yang memuji rawatan yang dijalankannya mendapati sembuh sepenuhnya dan beliau kini sedang menjalani kehidupan seperti biasa disebabkan penyakitnya telah sembuh. Pesakit berkenaan sering menghubunginya bertanya khabar tentangnya.

Menurutnya, purata pesakit yang pernah menerima rawatan darinya paling ramai dialami oleh golongan wanita dewasa. Kebanyakan masalah masalah yang dihadapi berhubung dengan barah payu dara dan barah pangkal rahim. Sementara yang lelaki pula, masalah yang sering dihadapi oleh golongan berkenaan ialah tentang paru-paru, hati, jantung tersumbat dan ketumbuhan dalam tengkuk.

Justeru, beliau amat berharap jika mengalami sebarang ketidakselesaan, segeralah datang menemui beliau dan Paksu Wil bersedia menghulurkan bantuan yang sewajarnya supaya setiap pesakit akan dapat menjalani kehidupan yang baik dan sempurna seperti sebelumnya.

Untuk mendapatkan rawatan, Paksu Wil boleh dihubungi
melalui talian: 012-9214671 atau 09-7194181  

Haji Che Awang bin Chik atau Paksu Wil.

Di antara pesakit yang sedang menerima rawatan darinya.

Di hadapan rumah beliau sebagai Pusat Perubatan Barah. 

Sebahagian ubat yang dihasilkannya sendiri.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH