MAJLIS PERASMIAN ANTOLOGI SAJAK - BISIKAN 7
KOTA BHARU, KELANTAN: PENULISAN sajak dan syair dalam Islam bukan sahaja sebagai cabang seni tetapi juga sebagai satu medium dakwah. Hakikat ini telah dibuktikan sejak zaman berzaman daripada zaman para ulama terdahulu sehinggalah hari ini. Justeru, buat kali keduanya usaha Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) melalui Ketua Satunya, Dr. Abdul Aziz Haji Mahmood menjadikan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) sebagai tempat untuk majlis pelancaran dan perasmian Antologi Sajak Bisikan 7 ini akan menjadikan satu sumbangan penulisan tanahair dan juga sebagai salah satu daripada pendekatan dakwah kepada masyarakat.
Tidak terkecuali juga dengan peranan dan sumbangan PUSPA itu akan menambahkan lagi pengetahuan dalam bidang penulisan supaya dapat dimanfaatkan untuk masa depan dakwah kepada semua pihak khususnya kepada pelajar IDIP apabila mereka tamat belajar nanti.
"Majlis pelancaran antologi tersebut juga akan menjadi sebahagian daripada majlis ilmu yang insya Allah akan diberkati Allah S.W.T dan juga akan menjadi sebahagian daripada amal soleh dalam kehidupan masyarakat di dunia ini.
"Bagi pihak IDIP juga, kami mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan sebagai penyair, penulis, penggiat dan peminat sastera bukan sahaja pada hari ini tetapi juga buat masa-masa yang akan datang", kata Timbalan Pengarah, Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Ustaz Mohd. Farhan Mahmud sewaktu memberikan ucapan pelancaran dan perasmian Majlis Bicara Antologi Sajak "Bisikan 7" oleh Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) baru-baru ini.
Sebelum itu, Ketua Satu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Dr. Abdul Aziz Mahmood atau Dr. Abham TR sewaktu memberikan ucapan alu-aluan dalam majlis yang sama berkata, semenjak ditubuhkan PUSPA telah banyak menerbitkan buku-buku terutamanya buku sajak dan buku cerpen dalam pelbagai nama, antaranya Tanah Serendah Sekebun Bunga, Perjalanan Hutan Simpan dan Aktiviti. Namun, antologi sajak Bisikan ini agak sesuai sebab itulah beliau meneruskan nama ini sampai tujuh keluaran.
Menurut Dr. Abham TR, istilah Bisikan ini sebenarnya diambil daripada Pantai Bisikan Bayu yang terletak di Pasir Puteh, sesuailah sebabnya PUSPA ini lahirnya di Pasir Puteh. Justeru tambahnya, disebabkan Bisikan sebagai satu nostalgia di mana di situ ada pantai yang indah dikenali sebagai Pantai Bisikan Bayu. Daripada Bisikan Bayu itulah kita ambil 'Bisikan'.
"Jadi, isi yang terkandung dalam antologi ini merupakan bisikan nurani para penyair yang mengalunkan sajak-sajak mereka dalam pelbagai gaya dan tema yang barangkali penyair-penyair terbabit sudah memperolehi dan membacanya.
"Insya Allah jika diizinkan Allah pada kesempatan lain kita akan terus menerbitkan Bisikan 8 dan saya haraplah yang hadir pada hari ini dapat memberikan sumbangan supaya dapat kita abadikan karya-karya saudara saudari ke dalam buku Bisikan 8", katanya sewaktu memberikan ucapan alu-aluan di Majlis Bicara Antologi Sajak Bisikan 7 bertempat di Dewan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Taman Putera, Pengkalan Chepa dekat sini.
Penulis juga yang turut hadir kerana mendapat undangan apabila dua buah sajak Penulis turut dimuatkan dalam Antologi Sajak Bisikan 7 PUSPA berjodol "Angin Barat" serta "Suatu Masa".
Di antara penyair tersohor Kelantan turut hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada Pensyarah Institut Perguruan Kota Bharu, Nassury Ibrahim selaku Pembicara Antologi Sajak Bisikan 7, Zulkifli Mohd. Zin (Ketua 2 PUSPA), Haji Norhisham Mustafa, Nawawee Mohamed, Wadi Leta S.A, Leo A.W.S, Abdul Hadi Muhammad, Abdul Hadi Yusoff serta Mazli Husma.
Timbalan Pengarah Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Ustaz Mohd. Farhan Mahmud sewaktu memberikan ucapan pelancaran dan perasmian Majlis Bicara Antologi Sajak PUSPA
Bisikan 7.
Bisikan 7.
Penyair terkenal selaku Pembicara Antologi Sajak Bisikan 7 PUSPA, Nassury Ibrahim.
Ketua Satu PUSPA, Dr. Abdul Aziz Hj. Mahmood (duduk hadapan, tengah).
Barisan penyair terkenal Kelantan, Haji Norhisham Mustafa (berketayap, baju putih).
Sebahagian AJK PUSPA serta pelajar IDIP.
Inilah buku Antologi Sajak Bisikan 7 PUSPA.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan