RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 13 Januari 2012

Silat Ghaib


SILAT GHAIB

KOTA BHARU, KELANTANSILAT menurut Kamus Dewan (DBP) mendefinisikan sebagai seni atau kepandaian berjuang dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri atau disebut juga pencak. Misalnya silat cekak, silat gayung, silat lincah, silat sendeng, gerak kilat serta silat pulut adalah beberapa jenis silat yang amat dibanggakan oleh kebanyakan pelajar dan guru dalam pertubuhan silat terbabit, apatah lagi hasil tuntutan yang berterusan menjadikan pelajar-pelajarnya mahir dan dianggap pakar dalam bidang tersebut.

Dalam hubungannya dengan masyarakat Melayu, silat pada masa dulu dianggap sesuatu yang wajar dan individu yang mempunyai ilmu persilatan yang secukupnya dianggap seorang 'pendekar' yang sememangnya digeruni kawan dan pihak lawan malah ia turut dipertandingkan untuk menguji kehebatan ilmu persilatan yang dituntut oleh pesilat masing-masing.
Membicarakan tentang silat ini, terdapat banyak jenis silat yang dituntut, disebarkan malah telah diperkembangkan dalam dunia persilatan Melayu di mana kebanyakan pelajar-pelajarnya perlu mempelajari beberapa jurus asas untuk menjadi seorang pesilat yang mahir. Namun, percayakah anda bahawa, dalam kategori ilmu persilatan Melayu itu terdapat jenis silat yang boleh dipelajari dan dipraktikkan sendiri tanpa memerlukan seorang guru.

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang keanehan jenis silat berkenaan, Wartawan RELATIF telah menemui Pengasas Mind Gym Groups, Pengasas Pusat Rawatan Qalbun Salim serta Pengasas Produk Herba Anugerah Alam dan Kelantan Alternative Therapy & Training Centre, Profesor Dr. Haji Shahrin Abd. Rahman tentang pengalaman beliau berhubung dengan silat tersebut.

Menurut Profesor Dr. Haji Shahrin, dalam tahun 1974 iaitu sewaktu berusia 13 tahun beliau telah bertemu dengan seorang guru yang dikenali Pak Nik Lah Langgar (Kota Bharu) yang telah mengajarkannya 'silat ghaib' yang dinamakan Silat Isim Tanpa Guru atau di Kelantan dikenali juga sebagai 'Silat Seru'. Silat ini menurutnya perlu diamalkan selama tujuh hari. Setelah dimandi limaukan menurut cara dan langkah sebagai ijazah dalam Silat Seru ini, beliau terus diisikan dengan satu tenaga yang menyebabkan badannya terasa bergetar dan dalam masa yang sama seluruh tubuhnya berasa kebas-kebas ringan.

Paling menghairankannya, dalam waktu beliau memperolehi tenaga itu, Profesor Dr. Haji Shahrin ternyata dapat melakukan gerak silat secara perlahan dan dianggapnya sumbang kerana beliau sebenarnya tidak pernah mempelajari silat. Beliau akhirnya diminta oleh gurunya itu supaya pulang tetapi perlu melakukan amalan selama tujuh hari pula. Setelah genap tujuh hari amalan, beliau terus boleh bersilat dengan pantas walaupun tanpa belajar secara asasnya.

Profesor Dr. Haji Shahrin juga banyak pengalaman berhubung dengan dengan ilmu silat ghaib ini dari beberapa orang guru di Kelantan termasuklah silat pertamanya dikenali Silat Lintau daripada guru pertamanya dikenali Pak Nik Lah Langgar (Kota Bharu) pada tahun 1974, manakala Silat Isim Tanpa Guru itu tadi pada tahun 1975. Minatnya terhadap silat ghaib tersebut terus menyemarakkan lagi tekadnya apabila pada tahun 1976 beliau seterusnya mempelajari pula Silat Lintau dengan Ayah Eil atau Ismail di Jalan Telipot (Kota Bharu), Silat Gerak Ilham dari Su Sabak (Kota Bharu) pada tahun 1980, Silat Gayuman 1 dan 3 dari Pak Nik Pa Pasir Hor (Kota Bharu) pada tahun 1981, Silat Tapak Suci dari Paksu Him Tanjung Chat (Kota Bharu) pada tahun 1981, Silat Gerak Haq dari Paksu Juna Semerak (Pasir Puteh) pada tahun 1986, Silat Isim Tanpa Guru pada tahun 1988, Silat Al-Asrar dari Ayah Wan Kok Lanas (Kota Bharu) pada tahun 2000 dan ramai lagi.

Semenjak memperolehi ijazah ilmu silat ghaib dari beberapa orang guru berkenaan beliau mengalami beberapa pengalaman ngeri yang tidak mungkin dapat dilupakan sehingga kini. Kejadian pada bulan November 1982 sewaktu beliau menjalani latihan percubaan sebagai Inspektor Polis di Tupah, Kedah beliau telah diserang seekor ular tedung yang amat besar. Pada waktu itu, beliau bersama rakan-rakannya yang seramai lima orang sedang menjalankan latihan rondaan.

Pada masa kejadian kehadiran ular tedung itu, anak telinganya dapat menangkap seperti bunyi ayam berkokok. Rakan-rakannya tidak menaruh sebarang kebimbangan kerana menganggap bunyi tersebut adalah kokokan ayam hutan semata-mata, namun gerak hatinya beranggapan bunyi tersebut bukannya ayam hutan tetapi seekor ular tedung.

"Dalam sekelip mata, tangan saya seperti menepis sesuatu benda. Rifle M16 yang saya pegang terlepas dari tangan dan dalam masa yang sama saya dapat melihat ada seekor ular tedung besar sedang berada di hadapan saya. Secara 'reflect action' saya telah bersilat dengan ular tersebut yang berdiri dengan ekornya dan cuba hendak mematuk saya.

"Tepisan demi tepisan dapat saya lakukan dan akhirnya ular itu mengalah yang akhirnya berlalu dari situ. Saya dapat melihat panjangnya ular tedung itu lebih kurang 3 hingga 4 meter. Rakan-rakan saya yang ada bersama dalam keadaan kaget dan hanya dapat memerhatikannya sahaja. Dari situ mereka percaya saya pandai bersilat, tetapi saya beritahu mereka yang saya tidak tahu bersilat. Ini semua adalah hasil gerakan dari Silat Ghaib itu", katanya kepada Penulis yang membuka tirai tentang silat ghaib yang jarang diketahui oleh ramai rakyat Malaysia tentang kewujudan jurus berkenaan.

"Tujuan ditunjukkan aksi demo ini bukan bertujuan untuk bermegah dengannya, tetapi sekadar untuk membuktikan kewujudan Silat Ghaib ini kepada umum", tambahnya.

Menurut Profesor Dr. Haji Shahrin lagi, Silat Ghaib yang sering disebut Silat Tanpa Guru, Silat Seru atau Pencak Gerak Karomah adalah suatu keilmuan yang dapat mewujudkan satu bayangan gerak imaginatif (bayangan atau khayalan) menjadi satu gerakan yang benar-benar betul dalam diri manusia yang mempelajarinya.

Walaupun pada hakikatnya kita belum mengenalinya sedangkan kita memerlukan sebuah gerakan seperti tarian bunga silat, serangan silat atau gerakan lainnya, maka energi dalam tubuh kita akan melakukan induksi magnetik terhadap imaginasi kita sehingga kita berkemampuan untuk melakukan gerakan-gerakan tertentu seperti apa yang kita inginkan.

"Dalam satu latihan, misalnya kita mengkehendaki untuk melakukan gerakan silat atau yang lainnya, maka dengan tatacara dan pola tertentu tubuh kita akan secara reflek mampu memunculkan gerakan tersebut. Silat ghaib ini dapat terjadi kerana semata-mata adalah proses induksi magnetik yang di dalam istilah mistiknya adalah melakukan penghadiran gerak ghaib.

"Dengan pemahaman tersebut bahawa, Silat Ghaib itu sangat mudah sekali untuk dipelajari dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk orang awam sendiri. Hakikatnya ia tidak ada sangkut paut dengan jin atau khodamnya kerana ia merupakan induksi magnetik badan", tegas Profesor Dr. Haji Shahrin lagi.

Tambahnya, ramai juga yang tidak mengetahui kewujudan ilmu persilatan seumpama ini di negara ini. Namun, bagi beliau ilmu persilatan ini sememangnya wujud tetapi tidak ada pihak tertentu yang cuba membuat kajian apatah lagi memberikan perhatian terhadap kewujudannya di arena persilatan Melayu, mungkin Kelantan adalah pelopor atau perintis silat jenis ini. Ini kerana menurutnya, walaupun dianggap janggal kerana dianggap silat ghaib tetapi pada dasarnya ia banyak memberikan manfaat dan kebaikan tersendiri malah dapat membantu orang yang memilikinya apabila berlakunya sesuatu perkara di luar dugaan sama ada melalui serangan hendap, ia dengan cara serta merta dan tanpa sedar dapat melahirkan satu gerakan reflek yang cepat dan pantas.

"Saya masih ingat pengalaman pada tahun 1989 iaitu dalam perjalanan pulang dari rumah kawan saya di Kampung Cherang, Kota Bharu, saya telah diserang oleh sekumpulan pemuda seramai lebih kurang 10 hingga 15 orang. Mereka mengepung saya sambil membaling batu, bateri dan senjata seperti parang, pisau dan lembing. Alhamdulillah, dengan bantuan Allah S.W.T  melalui ilmu yang saya pelajari dapat menangkis semua senjata dan serangan mereka. Akhirnya mereka semua tidak dapat bergerak dan kaku seperti patung. Saya berlalu dari situ dengan penuh kesyukuran", katanya.

Profesor Dr. Haji Shahrin menambah, banyak manfaatnya apabila mempelajari silat ghaib iaitu:
  1. Pada asasnya apa yang kita olah adalah energi magnetik iaitu energi diri dan bukannya energi jin atau khodam, maka secara pasti kepekaan kita akan semakin terbuka untuk dapat merasakan energi tersebut. Dengan demikian, akan sempurnalah di dalam kita melakukan gerakan-gerakan ghaib tersebut.
  2. Putaran energi magnetik secara automatiknya akan membuka semua simpul energi di dalam diri kita secara sistematik. Dengan kata lain, ia tentunya dapat membantu di waktu kita sedang berlatih dengan ilmu yang lainnya kerana energi magnetik adalah satu elemen yang paling mendasar di waktu kita mempelajari ilmu hikmah pada khususnya.
  3. Dengan semakin mantap energi diri yang kita bangunkan, maka akan semakin terbuka ketajaman batin kita untuk melakukan pengesanan magnetik (keberadaan sesuatu penyakit, jin atau yang lainnya).
  4. Secara spiritual, latihan Silat Ghaib (dengan pola latihan tertentu) adalah merupakan bahagian pembentukan atau suntikan spiritual dalam diri kita yang tentunya akan berkaitan dalam pembentukan sifat diri kita.
"Kematangan kita dalam berlatih silat ghaib akan memberikan kemampanan potensi Energi Ilahiah dalam diri kita dan akan semakin melengkapi pelbagai ragam ilmu hikmah yang ada.

"Namun walaupun pergerakan tersebut merupakan pergerakan reflek, kita harus berlatih setiap hari agar pergerakan tersebut dapat menyatu bersama diri kita. Situasi ini samalah dengan seseorang yang belajar silat secara fizikal yang memerlukan masa untuk pandai dan lincah", sambung Profesor Dr. Haji Shahrin lagi.

Justeru, dengan pemahaman Silat Ghaib ini maka secara jelas individu yang mempelajarinya akan dapat memahami ilmu hikmah demikian secara proporsional tanpa menghilangkan sudut spiritualnya tetapi akan tetap dalam wacana keilmuan sehingga secara akidah kita akan tetap terjaga. Ini kerana, segala perbuatan atau gerakan yang berlaku adalah datangnya dengan keizinan Allah S.W.T.  Setiap permohonan hanyalah kepada Allah S.W.T  tanpa bergantung kepada makhluk lain seperti jin atau khodamnya atau yang sejenisnya, bahkan sewaktu sedang bersilat individu berkenaan sebenarnya sedar seratus peratus.
 

Profesor Dr. Haji Shahrin Abd. Rahman.

 Inilah Pusat Rawatan Qalbun Salim milik Profesor Dr. Haji Shahrin terletak di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.


Profesor Dr. Haji Shahrin sedang menunjukkan jurus silat ghaib.


Aksi silat ghaib sewaktu menyerang.

Tulisan dan Foto Bersama:
AZMI MOHD. SALLEH DAN
PROFESOR DR. HAJI SHAHRIN ABD. RAHMAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan