ANTOLOGI SAJAK BERSAMA
BISIKAN 7
Buku Antologi Sajak ini dinamakan "Bisikan 7" yang diterbitkan oleh Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) adalah cetakan pertama tahun 2009 yang diselenggarakan oleh Zulkifli Mohd. Zin dan Rogayah Abbas. Buku ini memuatkan 52 orang Penulis/Penyair/Penyajak. Terdapat dua buah sajak Penulis telah dimuatkan dalam Antologi Sajak Bersama ini sebagaimana berikut:
Angin Barat
Biar pun angin tengkujuh telah berlalu
Membawa petaka bersamanya
Dingin dan mati
Sedar atau sesal manusia
Apakah ada hikmah di sebaliknya
Ujian getir bukan permainan
Yang harus dialpakan
Tiba-tiba angin panas yang garang
Bukan pemalu menyatakan hasratnya
Manusia sedar, bukan sesal tetapi jahil
Anak-anak terbiar melarat
Tanpa siapa-siapa
Muda mudi dengan gelojohnya
Melangkah ke mana saja
Menurut kehendak dan desakan
Tanpa mengenal suatu masa
Mereka menemui pencipta-Nya
Penuh kekotoran dan noda
Angin barat menyerang
Ke mana umat ini akan pergi
Di kiri kanan tersesat
Sesaat undur ada senjata menanti
Melangkah
Ada musuh bersedia
Meratah daging-daging enak
Untuk sesuap makanan,
Masih ada lagikah sesalan
Kalau sedar itu dilupakan.
Azmi Mohd. Salleh
Media Terkini
1 September 2006
Suatu Masa
Panasnya api
Dalamnya ada nafsu bergejolak
Mendidih dan membakar
Sepasang jiwa yang sedang rakus
Menyusur dunianya
Alpa tentang dirinya
Anak-anak muda itu
Sedang bermain dengan kuntumnya
Yang merah
Genap ketikanya
Seorang jiwa muncul dalam nikmat
Penuh noda
Dan jiwa tidak berdosa itu
Terkubur kerana kejahilan
Terlampau
Anak muda
Sanggupkah mengganti titik hitam
Yang kau tinggalkan dalam dunia
Sementara
Pandanglah dari jauh
Pasti kau bertemu kembali
Dosa-dosa telah ditinggalkan
Di suatu masa
Azmi Mohd. Salleh
Kota Bharu
14 Mei, 2008
Puisi dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
___________________________________ANTOLOGI PUISI BERSAMA
MEMORI VI
Buku Antologi Puisi ini dinamakan "Memori VI" yang diterbitkan pada tahun 1990 dan telah diselenggarakan oleh Allahyarham Mat Daud Molly daripada Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) memuatkan 61 orang Penulis/Penyair/Penyajak. Di antara puisi Penulis yang turut dimuatkan dalam Antologi Puisi Bersama ini adalah seperti berikut:
Bagai Air Mengalir
daun-daun gugur luruh
ternoda angin lalu
usia pepohon sedetak
hari esok terus layu
hilang bakti
terlalu terlewat bermohon
detik adalah air mengalir
tiada perhentian
berlindung lagi
Ngah Abadi
Puisi dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
___________________________________
ANTOLOGI PUISI BERSAMA
TIFA VI
Buku Antologi Puisi ini dinamakan "Tifa VI" adalah Siri Kumpulan Puisi GEMA yang diterbitkan oleh Gabungan Penulis-Penulis Muda Kelantan (GEMA) pada 31 Julai, 1993 bersempena "Diskusi Puisi Lata Rek 93" bertempat di Hutan Lipur Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang diselenggarakan oleh Azmi Taib dan Ezanee Daud. Buku ini memuatkan 27 orang Penulis/Penyair/Penyajak. Terdapat dua buah puisi Penulis telah dimuatkan dalam Antologi Puisi Bersama ini sebagaimana berikut:
Ketika Damai Yang Masih Perlu
Damai
semalam aku bermimpi
perang bertabur di bumi
waktu zaman mutakhir kini
telah undur
dari medan yang sia-sia
aku telah terhidu bau hanyir darah
manusia yang luka dan terkorban
Damai
aku terlalu rindu sebuah kedamaian
dari kemusnahan harta, negara dan manusia
atau alam sekitar yang gemilang
dari dinodai peluru-peluru kimia
dan asap beracun
Damai
hulurkan tanganmu
buangkan senjatamu
dan di hari ini
persahabatan adalah perlu
sebelum dunia kembali goncang
meluap oleh kepanasan
damailah antara kita.
Ngah Abadi
GEMA, Kelantan
Perjalanan Abad 21
Peristiwa silam
yang tercatat
telah terbenam
dalam lipatan sejarah
ketika abad dua puluh satu menyampai salam
wawasan anggun yang gemerlap
penuh harap
merubah musim timur
melengkapkan tamadun
yang masih tertidur di ranjau hari
Hakikat belum ternoktah
perjalanan ini masih jauh
ada resah meronta-ronta
berbaur kelam menyelubungi
menyaksikan
luka ini bercampur nanah
busuknya menikam nafas
tersungkur diheret peredaran usia
Di daerah ini
budaya santun penuh lembut
menyemarakkan bunga-bunga diri
tetapi tiba-tiba menjadi layu
meninggalkan abad yang lesu.
Ngah Abadi
Jalan Telipot
27 Jun, 1993
Puisi dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
__________________________________
ANTOLOGI PUISI BERSAMA
TIFA VII
Buku Antologi Puisi ini dinamakan "Tifa VII" adalah Siri Kumpulan Puisi GEMA yang diterbitkan oleh Gabungan Penulis-Penulis Muda Kelantan (GEMA) sempena "Malam Apresiasi Puisi Ramadan 1415H" pada 27 Januari, 1995 bertempat di Gelanggang Seni, Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan yang diselenggarakan oleh Azmi Taib dan Allahyarham Mustafa Jusoh. Buku Antologi ini memuatkan 18 orang Penulis/Penyair/Penyajak. Terdapat dua buah puisi Penulis telah dimuatkan dalam Antologi Puisi Bersama ini sebagaimana berikut:
Fikir
Sungguh indah alam ini
sayapnya hijau
setiap insan bertabur di bumi
sekadar menyaksi
tumbuhan melata
berbilang warna
segar menghijau
wangi semesta
di perutmu bumi
ada zat penuh nikmat
nitrogen dan bakteria pengurai tanah
turut membantu
kerdil tetapi rajin.
Sungai dan lautan tersenyum puas
di dadamu
perahu dan kapal
sedang belayar seketika berlabuh
menuju muara
di dasarmu
terpancar kilauan khazanah
adalah rezeki melimpah
untuk insan mengerti.
Gunung dan bukit-bukau berdiri megah
bagaikan tiang alam
yang tiba-tiba
meraung dengan suara parau
memuntahkan lava dan debu
umpama dosa insan
janjinya melanggar hukum.
Habitat serangga dan haiwan
kerap berganti
mencari kurnia-Mu
dengan suara merdu
melafaz rasa syukur
sewaktu hayat.
Fikirlah
hayati kebesaran Allah
sebelum waktu berfikir
berakhir.
Ngah Abadi
Jalan Telipot '94
Menjejak Hari-hari Yang Pasti
Sewaktu menjejak hari-hari yang punah
kerana kepalsuan melanda
di dunia fana.
Bukar sekadar untuk bangkit
dari tidur yang panjang
di hujung nafas
ada insan tersesat
dimamah nafsu.
Belum pasti
hari ini akan gemilang
setelah noda-noda
berakar dalam diri.
Usia masih jauh
untuk terlelap seketika.
Ngah Abadi
Temangan Lama '94
Puisi dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan