RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 25 Januari 2012

Madu Lebah Asli


MADU LEBAH ASLI

TANAH MERAH, KELANTANHARGA madu lebah asli memanglah mahal berbanding madu lebah tiruan yang telahpun dicampur dengan air gula. Di Kota Bharu, sebotol madu lebah asli dijual di antara RM25 hingga RM30 sebotol. Tetapi di sekitar Kampung Legeh, Ayer Lanas dan Tanah Merah harganya hanya RM17 sebotol. Memang pandangan sesetengah orang menyatakan terlalu mahal, tetapi hakikatnya perlu diketahui bahawa, kerja mencari madu lebah asli bukan perkara mudah sebagaimana yang disangkakan.

Perkara paling sukar untuk mendapatkan madu lebah berkenaan bukan sahaja sewaktu memanjat pokok yang mengandungi sarang lebah itu yang terlalu tinggi. Namun, sesuatu yang dianggap sukar apabila pencari madu lebah berkenaan perlu berhadapan dengan ibu-ibu dan tentera lebah yang begitu banyak. Kalau tiada keyakinan, kesabaran dan semangat yang tinggi untuk mendapatkannya, pencari lebah akan menemui kegagalan malah mungkin boleh membawa maut.

Mengikuti pengalaman seorang pencari madu lebah asli, Che Harun Ahmad dari Kampung Legeh, Ayer Lanas, Tanah Merah, Kelantan di mana Wartawan RELATIF turut serta menjejaki dan melihat dengan lebih dekat pengalamannya mendapatkan madu lebah di sebatang pokok berangan, kira-kira dua kilometer ke dalam bukit dan hutan belukar di Kampung Sungai Satan dekat sini adalah sesuatu yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi sebagai pengalaman berharga bagi Penulis seumur hidup, walaupun menurutnya kerja mencari madu lebah sememangnya sukar.

Sebelum berangkat ke dalam hutan yang juga terpaksa menuruni dan mengharungi beberapa bukit, lopak air dan jalan hutan yang berliku, akhirnya dalam masa satu jam Penulis dan beberapa orang kampung beliau yang ingin turut serta merasai pengalaman mendapatkan madu lebah itu.

Beliau yang turut dibantu rakannya yang berpengalaman sejak berusia 16 tahun, Mohamad Sanusi Mohamad Zaid, 30, kesukaran dalam mendapatkan madu lebah memang terasa jika tiada pengalaman, kurang sabar dan tiada keyakinan dengan kerja yang dilakukan. Sebelum memanjat batang pokok berangan yang disahkan terdapatnya sarang lebah, seorang pencari madu lebah perlu memasang api yang dikenali "obor api" untuk tujuan menghalau gangguan lebah tentera. Ini kerana, lebah sememangnya takut dengan asap, dengan cara sedemikian beliau tidak akan diganggu oleh tentera lebah itu.

Menurut Che Harun, beliau memulakan kerja mencari madu lebah asli sejak empat tahun lalu di sekitar Jeli dan tidak lebih dari itu adalah sebagai kerja sampingan sahaja kerana dalam masa yang sama beliau mengusahakan perniagaan runcit di kampungnya. Namun, tanpa diduga walaupun dianggap kerja sampingan, ia turut memberikan pendapatan yang lumayan walaupun kerjanya terlalu sukar.

"Dari pengalaman saya untuk sekali dalam setahun, setakat ini pendapatan yang diperolehi mencecah sehingga RM3,000. Bahagian dari pendapatan ini sebenarnya dibahagikan kepada rakan-rakan yang ikut serta dalam kerja-kerja seumpama itu.

"Ia juga berpandukan kepada sarang, jika sarang banyak maka pendapatan yang diperolehi akan lebih dari itu", katanya yang begitu gembira dengan bantuan rakan-rakannya.

Katanya, mencari lebah amat sukar kerana setiap sarang boleh ditemui memakan masa selama dua hingga tiga hari. Kadang-kadang seseorang pencari sarang lebah perlu mengikuti ke mana ibu-ibu lebah terbang untuk mengambil madu bunga-bunga dari beberapa pokok di beberapa tempat sebelum dibawa ke sarang.

"Setiap kali kita mengesan adanya sarang, kita perlu melihat ke mana ibu-ibu lebah terbang dari satu pokok kepada satu pokok yang lain bagi mendapatkan bunga-bunga dari pokok itu untuk dibawa ke sarang", katanya apabila ditanya bagaimana beliau boleh mengesan sarang lebah di atas pokok yang terlalu tinggi itu.

Menurutnya lagi, jika sarang bawah, ibu lebah tidak akan meninggalkan sarangnya lebih jauh dan hanya kira-kira di sekitar setengah kilometer sahaja. Berbanding dengan sarang tualang, ibu lebah akan terbang sehingga dua kilometer dari sarang. Ini menjadikan madu yang lebih berkualiti tidak sebagaimana sarang bawah.

Dalam pada itu, masa menunggu untuk medapatkan madu lebah juga perlu diketahui oleh setiap pencari sarang lebah. Berdasarkan kepada pengalaman Che Harun, madu lebah ada dan boleh diperolehi dengan banyak pada bulan Februari setiap tahun apabila bunga-bunga pokok mengembang. Bahkan dari pengalamannya juga, kualiti madu lebah amat berbeza di antara sebatang pokok dengan pokok yang lain.

Apabila seseorang pencari madu lebah telah menemui sarang yang dimaksudkan itu, seseorang pencari madu lebah perlu berpandukan kepada "kepala air" yang terletak di hujung dahan. Maksud kepala air ialah tempat isi madu tersebut. Kandungan madu yang banyak apabila kepala air tersebut menjadi besar yang hakikatnya berbeza dengan saiz sarang lebah itu.

"Kandungan atau isi madu banyak apabila kepala air tersebut membesar berbeza dengan saiz sarangnya. Ia terletak di hujung dahan, manakala di pangkal dahan akan menjadi kecil atau nipis seperti karung", ujarnya.

Misalnya bagi pokok berangan, kebiasaannya hanya sebiji sarang sahaja yang diperolehi. Sebaliknya, jika pohon tualang boleh diperolehi sehingga 30 sarang. Manakala jumlah madu yang boleh diambil dari pokok berangan yang dianggap pokok biasa sekitar 10 kilogram atau 45 botol sahaja bagi setiap sebiji sarang. Manakala bagi pohon tualang, madu boleh dipungut dalam jumlah yang banyak sehingga 20 kilogram atau 18 liter.

Justeru, setakat ini beliau gembira dengan kerjanya itu walaupun dianggap sukar dan boleh membahayakan diri sendiri termasuk rakan-rakan yang turut serta yang menunggu di bawah pokok. Namun, walaupun dikatakan bahaya beliau berpuas hati kerana itulah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah kepada beliau sebagai pekerja kampung yang sepatutnya diusahakan oleh setiap orang supaya nasibnya terus berubah dan tidak terus melarat dengan hanya mengharapkan bantuan dan sumbangan orang lain.

Che Harun Ahmad ketika diwawancara Wartawan RELATIF setelah selesai memungut madu lebah berhampiran pohon berangan di Kampung Sungai Satan.

Pohon berangan, menjadi tempat sarang lebah.

Sarang lebah dari pandangan bawah (dekat), berwarna gelap.

Walaupun nampak sedikit, madu lebah dalam baldi ini seberat 8 kilogram.

Enaknya madu lebah jika dihirup terus.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan