RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 8 Januari 2012

Tok Langgar


TOK LANGGAR
(DATUK HULUBALANG RAJA)

KOTA BHARU, KELANTANGENERASI baru khususnya golongan muda mungkin sudah lupa atau tidak lagi mempedulikan kepentingan sejarah dalam kehidupan mereka, apatah lagi yang berhubung kait dengan generasi keluarga dan tokoh terkemuka di zaman lampau. Sebagai contoh di Kelantan misalnya, banyak tempat dan kesan sejarah peninggalan tokoh-tokoh tersohor khususnya di zaman raja-raja yang memerintah Kelantan satu ketika dahulu kini tidak lagi dapat dirungkai sepenuhnya kerana kebanyakan kawasan dan tempat-tempat berkenaan telah dijadikan penempatan dan gedung-gedung perniagaan.

Tokoh dalam sejarah Kesultanan Raja Jembal dalam abad ke-16 sewaktu ketika dahulu umpamanya kisah "Tok Langgar" juga didapati tenggelam dalam lipatan sejarah. Walaupun hakikatnya kisah Tok Langgar tidak pernat dicatat atau ditulis oleh pengkaji sejarah di mana tokoh berkenaan juga berperanan untuk ditunjukkan kepada generasi seterusnya, namun pada hemat Penulis kelebihan dan keperibadian yang tentunya dimiliki serba sedikit oleh Tok Langgar sepanjang hayatnya perlu juga diketengahkan.

Alasan Penulis ialah, jika Tok Langgar tidak dianggap hebat, mengapa laluan utama yang wujud di Jalan Panji, Kota Bharu hari ini terdapat beberapa lorong dan kampung di situ dinamakan Lorong dan Kampung Tok Langgar adalah sempena dengan namanya. Ini bermakna, kehebatan arwah selain seorang yang berkebolehan, mempunyai keistimewaan serta berkuasa sehingga berjaya mewujudkan perkampungan dan penempatan yang akhirnya dapat didiami oleh beberapa lapis generasi yang terdiri daripada generasinya sendiri hari ini.

Bagi mendapatkan sedikit gambaran dan kisah Tok Langgar yang ditenggelamkan sejarah, Penulis sempat menemui beberapa orang penduduk yang sebahagiannya terdiri daripada warga emas yang masih meneruskan kehidupan keluarga masing-masing sehingga hari ini walaupun terdapat darinya yang tidak dapat bertutur secara lancar akibat faktor usia.

Salah seorang dari generasi Raja Jembal yang sempat ditemui, Mamat Jusoh Ibrahim, 57, atau lebih dikenali Abang Mat dari Kampung Teluk, Panji, Kota Bharu, Kelantan menceritakan asal usul Tok Langgar pada masa itu menetap di Kampung Langgar yang kini bersebelahan Jalan Sultan Yahya Petra.

"Tok Langgar ini sebenarnya berpangkat Datuk Hulubalang Raja yang hidup di zaman sebelum Puteri Sa'adong lagi", ujar Abang Mat ketika diminta menjelaskan tentang Tok Langgar itu.

Katanya, Tok Langgar sebenarnya hidup di zaman Raja Jembal yang memerintah dalam kurun ke-16 di mana pada masa itu Puteri Sa'adong hanyalah sekadar gelaran sahaja, tetapi nama sebenarnya ialah Puteri Mariam yang masih lagi kecil ketika ayahandanya, Raja Loyor ditabal menjadi Raja pada tahun 1649 Masihi (1059 Hijrah).

Menurutnya, di samping seorang Hububalang Raja yang disegani, beliau juga berketurunan Raja Jembal. Tok Langgar ini mempunyai kuasa mutlak dan disebabkan kuasa itulah beliau diberikan peranan untuk membolehkannya membuka kawasan baru sebagai tempat persinggahan, penempatan dan perkampungan sebagai jajahan takluk. Lorong dan Kampung Tok Langgar yang berjiran dengan Kampung Tapang dan Kampung Teluk di Panji, Kota Bharu hari ini adalah sempena dengan namanya kerana Tok Langgar sering datang ke padang itu dengan keinderaan gajahnya.

"Apabila Tok Langgar meninggal, mayatnya dikebumikan di Kampung Teluk ini kerana itu amanatnya. Pada masa itu, pohon bunut ini ada dua pohon sebagai batu nisan pusaranya. Tetapi hari ini, hanya sepohon batu nisan di bahagian kepala sahaja yang ada, manakala pohon yang satu lagi di bahagian kakinya telah ditebang kerana projek perumahan", jelasnya sambil menunjukkan sepohon bunut yang masih ada sehingga sekarang.

Menurut Abang Mat lagi, pohon bunut yang dimaksudkan itu sebenarnya telah berusia lebih 500 tahun kerana ia tumbuh sejak zaman Kesultanan Raja Jembal lagi selain kolam milik Puteri Sa'adong ada berhampiran pusara Tok Langgar yang  kini telah ditimbus kerana projek perumahan. Manakala bersebelahan pusara Tok Langgar pada masa itu juga terdapat pusara Haji Hassan, seorang bomoh tersohor pada masa itu dari keturunan Raja Jembal. Beliau meninggal dunia ketika Abang Mat masih kecil lagi.

Manakala berdekatan pusara Tok Langgar juga pada masa itu terdapat sebuah 'baluh raja'. Istilah baluh ialah tempat simpanan padi sebagai makanan raja. Manakala datuknya dikenali Tok Senik merupakan orang suruhan raja. Justeru, Tok Seniklah yang menjaga baluh raja itu sehingga datuknya meninggal dunia.

"Selepas kematian Tok Langgar dan dikebumikan di Kampung Teluk ini, ramai orang yang melaluinya berasa takut, apatah lagi untuk mendekatinya. Bapa saudara Abang Mat sendiri takut ke kubur ini kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku, padahal beliau memiliki ilmu yang tinggi", ujarnya sambil ketawa.

Tambah Abang Mat, beliau juga amat kecewa kerana beliau yang mewarisi keturunan dari kelaurganya memang berharap untuk melihat "batu hampar" milik Tok Langgar yang terdampar dalam kolam Puteri Sa'adong itu. Ini kerana, menurut ceritanya salah seorang ahli keluarga Abang Mat yang merupakan seorang tukang urut yang sering mandi-manda di kolam tersebut setiap kali pulang dari mengerjakan sawah padi, padahal kolam tersebut sebenarnya memang ditakuti oleh kebanyakan penduduk di kampung itu kerana dikatakan terlalu 'keras'. Tetapi bagi tukang urut berkenaan seperti biasa sahaja, bukan sahaja dapat mandi namun telah beberapa kali melihat dan bersila di atas batu hampar yang sememangnya cantik sebagai menghiasi dasar kolam milik Puteri Sa'adong itu.

"Sepatutnya kesan sejarah ini dijaga untuk menjadi kenangan generasi yang akan datang. Tapi Abang Mat nak buat macam mana, kerana pembangunan, orang perlukan tanah dan rumah sebagai tempat tinggal. Jadi, walaupun ada kesan sejarah terpaksalah dihapuskan", cetusnya dengan nada kecewa apabila ditanya perasaannya berhubung kesan sejarah Tok Langgar itu terpaksa dihapuskan.

Seorang warga emas yang ditemui, Mat bin Ibrahim, 80, atau dikenali dengan panggilan Pak Mat dari Kampung Tapang-Langgar, Panji, Kota Bharu, Kelantan turut menceritakan tentang kelebihan dan keistimewaan Tok Langgar yang baginya cukup menarik. Beliau yang telah menetap di kampung itu sejak lebih 30 tahun lalu sekadar memperolehi sedikit bahan dari arwah isterinya dari generasi Raja Jembal.

"Arwah Tok Langgar memang cukup hebat di zamannya kerana seorang yang 'bermulut masin'. Setiap kata-katanya sama ada buruk atau baik umpama 'doa'. Jika katanya baik, maka baiklah orang itu. Tetapi jika sebutannya tidak baik, padahlah orang yang dimaksudkan itu", katanya dengan suara terketar-ketar.

Menurut Pak Mat lagi, beliau mengetahui kelebihan Tok Langgar kerana pandai mengubati individu yang diserang sakit melalui kelebihan ilmu yang dimilikinya semasa hayat malah ketika kematiannya, masyarakat asal di kampung tersebut  menganggapnya sebagai 'keramat'. Ini kerana, apabila didapati ada seseorang yang ditimpa sakit terutamanya kanak-kanak akan datang ke rumah seorang Bomoh Besar di kampung bersebelahan lalu memandikan kanak-kanak yang ditimpa sakit itu  di pusara Tok Langgar itu sebagai salah sayu ikhtiar penduduk daif pada masa itu.

Katanya lagi, pusara Tok Langgar masih lagi kekal sehingga hari ini ini yang terletak di atas tebing tinggi dan dikebumikan bersama arwah isterinya. Pusara tersebut juga terletak berdekatan dengan Kolam Puteri Sa'adong di tepi laluan umum di mana perkampungan tersebut dinamakan Kampung Teluk sempena dengan nama kolam berkenaan yang bentuknya seperti teluk.

Seorang warga emas yang paling berusia di kampung yang sama, Yusof bin Awang, 90, atau lebih dikenali sebagai Pak Soh pada masa itu merupakan seorang Pengamal Rawatan Tradisional dan Ketua Main Puteri yang tersohor juga sependapat dengan Pak Mat kerana mereka berdua membesar bersama.

"Kehebatan Tok Langgar ialah dapat mengubati mangsa yang dikhianati oleh seseorang yang menggunakan ilmu sihir atau santau. Salah satu lagi yang diketahui pakcik ialah pada lelangit lidahnya berwarna hitam sebagaimana lelangit Raja Jembal.

"Lelangit hitam ini menurut pendapat orang-orang tua dulu umpama 'mulut masin', apa yang diucapkannya pasti menjadi", ujarnya dengan suara yang serak-serak sekejap lantang dan sekejap perlahan.

Manakala bagi Md. Fauzi Haji Omar, 58, atau lebih mesra dipanggil Abang Zi adalah dari generasi baru dari kampung yang sama mendakwa, rumah kediamannya sekarang pada masa dulu merupakan tempat persinggahan dan laluan utama Raja Jembal dan Tok Langgar bersama keinderaan gajah lalu dinamakan "Padang Langgar".

"Apa yang Abang Zi dapat tahu dari orang tua ialah Tok Langgar ini seorang ahli pertapaan, kerana itu Tok Langgar mempunyai ilmu peringkat tinggi yang luar biasa. Setelah kematiannya, penduduk-penduduk di kampung ini menganggapnya keramat. Contohnya, semasa diadakan pertandingan rebana waktu itu, peserta dari kampung ini akan mendapatkan berkatnya dahulu sebelum menyertai pertandingan itu. Ternyata, setiap kali bertanding peserta rebana dari kampung ini menang dan lawannya tidak dapat mengangkat rebana mereka sebagai penunjuk kekalahan lawan", jelasnya.

Tambah Abang Zi seterusnya, sebuah kolam milik Puteri Sa'adong yahg terletak berhampiran pusaranya pada masa itu terdapat batu hampar milik Tok Langgar di mana hari ini tempat itu dinamakan Kampung Teluk. Dikatakan batu hampar kerana batu berkenaan merupakan batu hidup yang boleh membesar dari sehari ke sehari. Namun, orang ramai yang pernah melihatnya amat takut untuk menyentuhnya, kerana pasti terjadi sesuatu yang tidak diingini jika berbuat demikian.

"Bapa Tok Penghulu Mat cuba mengambil batu hampar milik Tok Langgar untuk diletakkan di tempat mengambil wuduk di sebuah surau pada masa itu. Padah yang menimpa, mulutnya menjadi herot sebelah. Walaupun dikembalikan ke tempat asal, penyakit ganjil itu masih tidak sembuh", ujarnya mengingatkan peristiwa tersebut.

Menurutnya, bukan sahaja tidak boleh menyentuh barangan yang ditinggalkannya, tabiat kencing merata-rata jika dilakukan di tempat itu juga tidak boleh dilakukan sama sekali. Ini kerana, kalau ada sesiapa yang terasa untuk berbuat demikian perlulah berfikir dua kali, jika tidak akan terima bahananya.

Di samping itu, menurut Kamaruddin Deraman, 44, sewaktu ditemui di kediamannya dari kampung yang sama turut mengakui kelebihan yang dimiliki oleh Tok Langgar semasa hayatnya. Beliau yang mendirikan penempatan sejak tahun 2002 itu mengetahui kisah Tok Langgar dari beberapa jiran yang dikunjunginya.

"Pada masa kematian Tok Langgar, penempatan yang ada sekarang merupakan sebuah padang, bendang padi dan sebahagiannya hutan belukar. Manakala pada tahun 1970, selain sebuah padang tempat bermain layang-layang, jalan yang ada pada masa itu sekadar lorong  kecil yang sesuai untuk pejalan kaki. Hanya pada tahun 1980 sahaja barulah jalan mula diturap, manakala pada tahun 1995 setelah Perumahan Desa Kujid dibangunkan, JPJ dari Jalan Kuala Krai dipindahkan ke Panji, barulah kawasan ini mula dibangunkan sepenuhnya. Memanglah tanah di sini pada zaman dulu dianggap tempat sejarah dan tersohor, tetapi akibat pembangunan semuanya terhakis", ujarnya.

Dalam hubungan ini, walaupun pusara Tok Langgar ditakuti ramai pada masa lampau, namun suasana berkenaan tidak lagi wujud lagi hari ini. Pohon Jembal yang tumbuh berdekatan dengan pusara Tok Langgar di masa dulu kini telah gugur tetapu diganti dengan pohon bunut yang hidup subur sebagai batu nisan arwah Tok Langgar. Pusaranya yang masih lagi wujud di atas tebing tinggi kerana kaum keluarganya melarang pusara tersebut diusik adalah peninggalan sejarah yang masih kekal sehingga kini walaupun sewajarnya kawasan berkenaan yang kini telah dibersihkan sepatutnya dijaga untuk tatapan generasi yang akan datang.


Mamat Jusoh Ibrahim atau Abang Mat.

Mat bin Ibrahim atau Pak Mat.

Yusof bin Awang atau Pak Soh.

Md. Fauzi Haji Omar atau Abang Zi.

Kamaruddin Deraman.

Inilah Makam Tok Langgar terletak di Kampung Teluk, Panji, Kota Bharu, Kelantan.

Pohon Bunut ini berusia lebih 500 tahun, sebagai batu nisan Makam Tok Langgar.

Dulu di sini adalah Kolam Puteri Sa'adong terletak bersebelahan Makam Tok Langgar. Sempena kolam yang berteluk dinamakan Kampung Teluk.

Inilah Lorong Tok Langgar di Jalan Panji sempena nama Tok Langgar.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. bagaimana pulok dgn kubur Tok Langgar yg ada di Kg Pemanok, Machang tu? adakah Tok Langgar yg sama?

    BalasPadam