ISU SAMPAH
KOTA BHARU, KELANTAN: ISU sampah di Kelantan khususnya di sekitar bandar Kota Bharu bukanlah isu baru untuk diperkatakan. Budaya membuang sampah iaitu sejenis sisa dari rumah yang dianggap kotor, busuk dan menjijikkan itu merupakan isu lama yang ternyata tidak menemui jalan penyelesaiannya. Pelbagai kempen kesedaran diadakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada masa itu dikenali Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), namun budaya membuang sampah masih lagi dilakukan di kalangan individu dan masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Misalnya dalam tahun 2002, pihak MPKB dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan dan Persatuan Pengguna-Pengguna Kelantan (KCA) turut mengadakan kempen di mana kumpulan sasaran seperti penduduk di bandar Kota Bharu dan golongan peniaga telah diadakan di Dataran MPKB dengan tujuan memperluaskan skop kempen secara terbuka.
Dalam ucapan Pengarah JAS Negeri Kelantan, Encik Mohamad Sayuti Sepeai pada 24 Oktober, 2002 bersempena Pelancaran Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2002 itu amat jelas menekankan antara lain beliau berkata, golongan peniaga perlu mengamalkan satu sikap supaya sentiasa menjaga kebersihan di tempat berniaga kerana merekalah punca wujudnya pencemaran itu.
Setelah PBT tersebut ditukar dari MPKB kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di mana Kota Bharu Bandar Raya Islam turut dinobatkan pada 20 Februari, 2005 dalam usaha menukar persepsi dan imej masyarakat terhadap kewibawaan PBT berkenaan, sehinggalah perasmian Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada 1 Oktober pada tahun yang sama, sehingga hari ini tidak wujud suatu pun perbezaan dari pentadbiran PBT bercorak kuno dahulu kepada PBT berteraskan Islam hari ini. Tabiat membuang sampah dengan sewenang-wenangnya masih dilakukan oleh individu yang gatal tangan walaupun PBT berkenaan telah berubah wajah.
Di bawah MPKB dahulu, pelbagai kempen diadakan pihak PBT berkenaan seperti menetapkan undang-undang pembuangan sampah. Menurut Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPKB) 1983 bahawa, adalah menjadi satu kesalahan membuang sampah merata-rata. Tindakan tegas boleh dikenakan di mana kompaun yang ditetapkan sehingga RM250 dan denda RM2,000 atau setahun penjara. Penubuhan Skuad Bersih oleh pihak PBT berkenaan juga tidak ke mana kerana beberapa bulan selepas itu, skuad berkenaan tidak dapat dikesan di manakah kuburnya.
Manakala selepas perubahan PBT kepada MPKB-BRI pula, kempen yang agak ketat dilakukan dalam usaha untuk membendung gejala membuang sampah merata-rata. Salah satunya ialah dengan penyebaran risalah 'Amalkan Sikap Jumpa Sampah Kutip' bersempena Program Kota Bharu Bandar Raya Islam bagi menjayakan Kempen Kebersihan Sepanjang Masa bertemakan 'Kota Bharu Come Sokmo'. Pada masa itu, penyebaran risalah berkenaan begitu popular di beberapa buah masjid dan premis perniagaan, sehinggakan kanak-kanak begitu teruja untuk mendapatkan risalah berkenaan yang pada mulanya dianggap cantik dan mempunyai tulisan dan kata-kata yang menarik. Tetapi tahukah anda apa jadi selepas itu, risalah itu kemudiannya menjadi sampah kerana telah dibuang di merata-rata tempat.
Sikap pihak MPKB-BRI yang tidak serik dengan setiap kempen yang ternyata gagal kerana tidak mendapat sambutan di kalangan masyarakat warga kota tidak habis setakat itu. Ini kerana, mulai 1 November, 2008 pihak MPKB-BRI telah menjadualkan semula waktu pembuangan sampah dari jam 7.00 malam hingga 10.00 malam dan pungutan sampah selepas jam 10.00 malam pada setiap hari melibatkan 13 jalan protokol bagi memastikan sepanjang jalan tersebut termasuk persekitarannya sentiasa dalam keadaan bersih. Kompaun sebanyak RM500 di bawah Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB 1983 boleh dikenakan sekiranya terdapat penduduk-penduduk di kawasan terlibat masih ingkar.
Walaupun pihak MPKB-BRI melihat kaedah dan langkah yang diperkenalkan itu boleh mencegah gejala membuang sampah, namun dari tinjauan Penulis mendapati, masih ada golongan dan warga kota yang tidak mematuhi arahan tersebut. Masih ada individu yang melonggok sampah di luar tong, membuangnya merata-rata dan membakarnya sesuka hati bagaikan tidak hairan dengan tindakan yang bakal dikenakan.
Terdapat juga beberapa buah tong sampah milik MPKB-BRI yang didapati berlubang, rosak dan tidak dapat digunakan lagi dilonggokkan sesuka hati. Sepatutnya tong berkenaan dapat menampung sampah, namun disebabkan terbiar rosak dan tidak dapat digunakan lagi akhirnya ia dilabelkan sebagai sampah pula.
Dalam hal berkenaan, terdapat di beberapa tempat sampah dilonggokkan di luar tong terutamanya berdekatan dengan sebuah sekolah menengah di Jalan Telipot. Keadaan ini tentunya menimbulkan bau yang busuk dan meloyakan, apatah lagi jika ada pihak yang gatal tangan dengan membakarnya boleh mengundang padah kepada ruang udara iaitu udara pastinya akan tercemar. Pihak MPKB-BRI sepatutnya menyediakan tong sampah yang mencukupi dan boleh ditutup bagi mengelakkan tempat longgokan sampah itu diganggu haiwan.
Namun, dalam masa yang sama pihak PBT itu juga perlu mematuhi masa memungut sampah sebagaimana yang ditetapkannya. Jika hal berkenaan boleh dipatuhi oleh pihak PBT sendiri, adalah sesuai individu yang mengabaikan aspek kebersihan boleh dikenakan tindakan tegas dalam usaha untuk memberikan pendidikan supaya masalah pembuangan sampah merata-rata dapat diatasi. Sebaliknya, jika MPKB-BRI sendiri gagal dan berjalan tempang malah dalam masa yang sama meminta masyarakat mematuhi undang-undang, arahan berkenaan diumpamakan seperti seekor ketam menyuruh anaknya berjalan betul.
Dalam konteks ini, jika bukan negara Islam seperti Singapura dan Australia boleh mengurus masalah sampah dengan sempurna sehinggakan rakyatnya boleh mematuhinya menurut undang-undang dan penguatkuasaan dalam negara berkenaan dengan baik, kenapa tidak di Kelantan yang terkenal dengan 'Serambi Mekah' yang melaung-laungkan slogan 'Membangun Bersama Islam', apatah lagi dalam hadis Nabi S.A.W amat jelas menyarankan supaya setiap umat Islam menjaga kebersihan kerana kebersihan itu asas keimanan dan boleh membawa ke syurga. Jadi di mana silapnya?
Risalah dan poster kempen menjaga kebersihan di bawah Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Inilah sikap masyarakat kita, sampah dari bekas makanan ditinggalkan di merata-rata tempat.
Sampah dibiarkan berselerakan ditiup angin boleh mencacatkan pandangan.
Sampah dilonggokkan di luar tong yang kosong.
Tabiat membakar sampah mengundang padah kepada kualiti udara.
Tong buruk dan rosak terbiar menjadi sampah.
Sampah dilonggokkan di luar tong yang kosong.
Tabiat membakar sampah mengundang padah kepada kualiti udara.
Tong buruk dan rosak terbiar menjadi sampah.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan