RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 11 Januari 2012

Remaja Kita


REMAJA KITA

KELANTAN REMAJA sekarang bukan sahaja terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat, pergaulan di luar batasan tetapi juga tidak mendapat kawalan yang sewajarnya daripada kalangan ibu bapa. Apabila ibu bapa sendiri malu untuk bertanya dan menegur kelakuan anak-anak mereka menyebabkan anak-anak seperti tidak dipedulikan dan segelintir di kalangan mereka tentunya berpendapat apa yang dilakukan oleh mereka tiada salahnya disebabkan ibu bapa mereka sendiri pernah melarangnya. Akibatnya, golongan ini khususnya remaja akan melakukannya menurut gerak hati mereka sekalipun tindakan mereka itu adalah suatu kesalahan yang nyata.

Tindakan melampau sering tidak disedari oleh kebanyakan remaja lelaki dan perempuan dewasa ini ialah tentang pergaulan bebas atas nama 'cinta' Mereka bercinta bukan lagi 'cinta monyet' sebaliknya 'cinta sulit'yang di luar kawalan. Apabila mereka sudah mengenali pasangan masing-masing, walaupun secara sedar mereka sememangnya mengetahui status mereka adalah remaja peringkat sekolah atau lepasan sekolah, namun hasil pertemuan itu akan membawa sesuatu yang tidak masuk akal. Bukan sahaja pertemuan kedua-duanya sekadar bicara sebagai pasangan dalam percintaan, namun pastinya mereka akan melakukannya lebih dari itu iaitu 'hubungan terlarang'.

Lazimnya, remaja hari ini mengadakan pertemuan tidak hanya dilakukan di rumah sendiri semata-mata tetapi mereka lakukan pertemuan sulit yang hanya di antara mereka berdua sahaja tanpa diketahui oleh orang lain sekalipun daripada kedua ibu bapa mereka sendiri. Pertemuan sulit ini pula biasanya dirancang oleh mereka berdua sebagai pasangan 'merpati sejoli' di tempat-tempat yang jauh dari pandangan umum. Ini kerana, mereka beranggapan pertemuan yang dilakukan di tempat awam dan terbuka tidaklah begitu seronok dan mengasyikkan kerana pastinya akan disaksikan oleh banyak mata. Justeru, mereka membuat keputusan lebih ke tempat-tempat yang agak tersorok daripada disaksikan oleh orang lain yang pastinya mengganggu tumpuan remaja-remaja berkenaan untuk bermesraan.

Apabila hal ini bakal terjadi, si gadis sanggup membonceng di atas motosikal teman lelaki mereka. Dari belakang, si gadis akan memeluk teman lelaki yang dicintainya itu dan menyerahkan segala keputusan itu di atas bahu teman lelaki masing-masing dan akan menurut ke mana sahaja teman lelaki mereka membawa si gadis itu kerana 'dunia ini mereka berdua yang punya'. Jadi, apabila sampai ke destinasi yang dirancang, meraka sekadar gurau-gurau kecil sehingga membawa kepada hubungan yang terlarang itu.

Apabila buat kali pertama dapat merasai hubungan atas kerelaan sendiri itu begitu manis dan indah, mereka akan mengulanginya untuk kali yang seterusnya malah si gadis pula tidak lagi berasa bimbang dengan mahkotanya telah diragut oleh kekasih hati, akhirnya si gadis hamil dan apabila cukup sembilan bulan bayi hasil hubungan terlarang itu pun dilahirkan. Apabila dalam keadaan ini, mulailah mereka mula menyedari hubungan terlarang itu pastinya menjerat mereka juga dan ketika itulah mereka menggelabah, ke mana bayi yang dikandung dan telah dilahirkan itu akan disorok atau dibuang.

Walaupun si gadis tetap pulang ke rumah, ibu bapa yang tidak prihatin memang tidak mengambil kisah tentang perubahan fizikal tubuh anak-anak gadis mereka yang telah berbadan dua atau telah bersalin itu. Manakala si gadis yang bernasib baik kerana keluarganya tidak mengetahui tentang perubahan dirinya akan bertindak nekad sama ada berusaha melahirkan bayi yang dikandung atau membunuhnya. Akhirnya bayi yang tidak berdosa lahir dari hubungan terlarang itu tidak mengenal siapakah bapanya dan tidak mengetahui tentang nasib dirinya.

Setelah diketahui penemuan bayi dalam tong sampah, ditemui terapung dalam sungai dan dimakan anjing, mulai saat itulah kedua ibu bapa mereka seumpama dipanah halilintar kerana terkejut dan lantas menafikan anak mereka terlibat dengan hubungan terlarang sehingga melahirkan bayi. Malah terdapat juga bayi itu telah meninggal dunia kerana telah dicampak seperti sampah. Akhirnya, si gadis ditangkap kerana disyakki mendera dan membunuh bayinya sendiri sedangkan teman lelakinya itu yang menjadi penyebabnya berjaya melepaskan diri.

Beginilah natijah jika cinta menurut nafsu serakah tanpa melalui ikatan perkahwinan yang sah. Sekalipun telah bertunang, belum lagi mendapat tiket untuk melakukan sebarang hubungan di antara pasangan lelaki dan perempuan. Apatah lagi jika sekadar cinta membara telah sanggup tinggal berdua-duaan, kerana pihak yang ketiganya ialah syaitan yang sentiasa mencetuskan bibit-bibit serong supaya melakukan hubungan terlarang dan maksiat. Apabila berlaku, menyesalnya tidak dapat dibendung lagi. Tetapi apakan daya, 'nasi sudah menjadi bubur', 'menyesal dulu pendapatan menyesal kemudian tiada gunanya', terpaksalah menerima hukuman undang-undang kerana menurut nafsu muda yang sebenarnya boleh memakan diri sendiri.
 


Kedua-dua remaja ini sedang menunggu pasangan masing-masing.

Pertemuan sulit kedua-dua remaja, lazimnya di tempat tersorok dan tidak diketahui umum.


Ada pasangan bertemu di tempat terbuka.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan