RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 21 Januari 2012

Daging Kalimah Allah


DAGING KALIMAH ALLAH

MACHANG, KELANTAN:  BUKTI  keagungan dan kebesaran Allah S.W.T  boleh dilihat di mana-mana bagi si pemikir yang suka memerhatikan tentang keajaiban dunia ini. Salah satu keajaiban yang sering dilihat oleh manusia ialah kalimah Allah. Bukan senang untuk menemui dan seterusnya dapat melihat kalimah mulia tersebut jika tidak diizinkan Illahi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya apabila ada individu yang menemuinya secara tidak sengaja sama ada secara langsung atau tidak apatah lagi jika penemuan itu berlaku pada hari yang mulia iaitu Hari Raya Aidiladha pula.

Menceritakan penemuan kalimah Allah oleh Azizi bin Omar, 48, dari Kampung Bukit Tiu, Machang, Kelantan kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim, katanya kejadian itu berlaku pada Hari Raya Aidiladha kelima tahun 2008 semasa majlis korban seekor lembu yang diadakan di Kampung Belukar, Machang iaitu tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya, kalimah Allah itu ditemui oleh kakak iparnya pada seketul daging yang beratnya tidak sampai sekilo semasa sedang memasaknya (menggoreng) untuk dijadikan lauk juadah kerana anak-anaknya akan pulang ke rumah masing-masing.

"Pada mula-mulanya, kakak ipar saya tidak perasan kalimah Allah itu kerana dilihat kepada urat-urat daging tidak langsung membentuk kalimah yang dimaksudkan.

"Setelah dihiriskan dan dibersihkan, beliau menyapu sedikit garam dan kunyit. Apa yang jelas, apabila dimasukkan ke dalam kuali yang siap dipanaskan dengan minyak, kelihatan kalimah tersebut timbul. Terlihat kejadian itu, beliau matikan api dapur", katanya.

Menurut Azizi, melihatkan keadaan daging itu memang tidak berurat dan sememangnya daging betul. Keadaan ini turut disahkan oleh beberapa orang jirannya yang turut melihat keajaiban daging tersebut. Akibat daripada penemuan itu, menyebabkan keluarganya enggan menjadikannya sebagai lauk kecuali sebahagian ketulan kecil lain yang masih berbaki. Jadi, daging kalimah Allah itu terpaksalah disimpan kerana tidak sampai hati untuk memakannya.

Sambungnya lagi, lembu korban pada masa itu disembelih oleh sepupu isterinya dan pada hematnya penemuan daging korban yang tertera kalimah mulia itu untuk menunjukkan kesepakatan penduduk di kampung berkenaan sendiri yang tidak membezakan pangkat dan darjat selain amalan baik pada bulan mulia tentunya mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

"Kakak ipar saya memang beria-ia sangat supaya hal ini dimaklumkan kepada pihak media. Bukan untuk mendapat pujian tetapi atas dasar bersyukur di atas nikmat yang dianugerahkan Allah", katanya.

Azizi bin Omar.

Azizi bin Omar ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

 Inilah daging kalimah Allah sebagaimana yang dimaksudkan.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan