PENDEKLAMATOR CILIK
KOTA BHARU, KELANTAN: NEGERI KELANTAN sememangnya tersohor dengan kemunculan beberapa penyair dan dalam masa yang sama lahir beberapa orang pendeklamator sajak terbaik. Namun begitu, sejak kebelakangan ini pula telah muncul "pendeklamator cilik" yang dipelopori oleh beberapa orang pelajar dari sekolah rendah yang ternyata sebelum ini tidak ada penggiat di bidang itu.
Kemunculan pendeklamator ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa, selain penulis dan penyair yang dapat mengharumkan nama negeri Cik Siti Wan Kembang bergelar Tanah Serendah Sekebun Bunga ini, pendeklamator cilik ini juga dianggap sebagai pewaris generasi penyair dan pendeklamator yang dimaksudkan itu.
Salah seorang pendeklamator cilik yang semakin meningkat naik, adik Mohd. Anas bin Malik, 10, dari Kampung Chicha, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau yang kini sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan Pak Badol, Melor, Kota Bharu begitu teruja setiap kali menghadiri majlis-majlis yang dibarisi penyair-penyair terkenal khususnya majlis sayembara deklamasi puisi.
Menurut adik Mohd. Anas, sewaktu beliau menuntut di Sekolah Kebangsaan Siffil, Seberang Jaya, Kuala Lumpur dan kemudian ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Siffil (3), beliau tidak mempunyai sebarang cita-cita untuk menjadi seorang pendeklamator kerana di sana beliau tidak terdedah tentang selok-belok dan suasana seperti yang dialaminya sekarang walaupun beliau pernah berbuat demikian ketika dalam Tahun Satu. Walau bagaimanapun, tunas mula bercambah apabila bertukar ke Sekolah Kebangsaan Kemudi, Bachok, Kelantan. Malahan minatnya semakin menyerlah dan mendalam apabila bertukar pula ke Sekolah Kebangsaan Pak Badol menurut ibu bapanya sekarang.
"Adik dapat rasakan, setelah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Pak Badol minat untuk membuat persembahan deklamasi sajak semakin membara. Sebabnya adik pernah tengok abang-abang pendeklamator lain beraksi di pentas, adik sendiri rasanya dapat lakukan perkara yang sama", jelas adik Mohd. Anas ketika ditemui Penulis selepas mendeklamasikan sajak hasil karya Ahmad Sarju di Majlis Bicara Antologi Sajak "Bisikan 7" anjuran Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Taman Putera, Pengkalan Chepa dekat sini baru-baru ini.
Suasana berada di sekolah berkenaan agak berlainan apatah lagi ibunya sendiri turut memberikan pendedahan dan dorongan kepadanya tentang hakikat seorang pendeklamator. Apatah lagi, peluangnya memasuki dewan sambil melihat beberapa pendeklamator tersohor di Kelantan sedang beraksi di pentas sambil mengalunkan sajak-sajak indah, dalam pemerhatiannya itu beliau merasakan dapat melakukannya juga. Sejak dari itu, minatnya bermula walaupun sekadar berjinak-jinak dengan persembahan selingan untuk sekolah. Namun, pada masa itu beliau masih belum ke pentas pertandingan kerana agak terasa loya dan bimbang untuk tidak dapat melakukannya.
Tambahnya, selain ibunya sendiri sebagai idolanya yang turut memberikan sepenuh galakan, adik Mohd. Anas juga mendapat bantuan dan bimbingan daripada Ketua Dua, Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Cikgu Zulkifli Mohd. Zin sebagai jurulatihnya, sekaligus sebagai pendorongnya yang kuat supaya beliau tabah dalam apa jua rintangan sebagai seorang pendeklamator. Sementara itu, adik Mohd. Anas juga turut dibantu oleh seorang penyair dan pendeklamator terkenal Kelantan, Abdul Hadi Muhammad. Atas inisiatif dan galakan merekalah, beliau sampai ke tahapnya hari ini.
Sejarah pendeklamator sajak yang beliau ceburi bermula pada tahun 2009 ketika usia 10 tahun di Sekolah Kebangsaan Pak Badol tidak disia-siakannya walaupun pada mulanya sekadar mengadakan persembahan biasa sahaja. Namun, beliau mula menjejakkan kaki ke pentas pertandingan sebagai tuan rumah dan wakil bagi sekolahnya setelah dirasakan kemampuannya boleh diasah sedikit demi sedikit. Walau bagaimanapun, dalam pertandingan itu adik Mohd. Anas tewas. Ini kerana, lawannya yang turut serta dalam pertandingan tersebut bukan calang-calang orang.
Walaupun pernah tewas buat pertama kali dalam pertandingan terbabit, adik Mohd. Anas sebenarnya bukan seorang yang mudah putus asa, kerana memang sudah adat dalam bertanding tentunya ada yang menang dan ada yang kalah. Cuma kekalahannya itu akan dijadikan sempadan dan pada lain-lain masa beliau akan bangkit untuk menyertai pertandingan yang tentunya kejayaan akan berpihak kepadanya pula.
Telahannya memang benar, apabila beliau sebagai wakil sekolahnya selaku tuan rumah bagi pertandingan deklamasi puisi ketiga, hatinya berasa lega apabila diumumkan beliau menyandang tempat ketiga, untuk menunjukkan usahanya yang tidak kenal penat lelah itu akhirnya membuahkan hasil.
Apabila ditanya bagaimana adik Mohd. Anas dapat membahagikan masa antara menumpukan di bidang pelajaran dengan bakatnya sebagai pendeklamator dalam usaha sebagai persediaan untuk sesuatu persembahan dan pertandingan, adik Mohd. Anas menjelaskan, beliau berlatih pada waktu malam kerana pada masa-masa berkenaan suasananya agak tenang dan tidak lagi memikirkan tentang masalah dengan kerja-kerja sekolah.
"Kadang-kadang apabila ada ruang masa di sebelah petang selepas pulang dari sekolah, adik akan mula berlatih sambil ditemani mama.
"Sementara pada hari cuti sekolah, adik mendapat tunjuk ajar daripada Cikgu Zulkili. Namun, pada hari-hari Jumaat dan Sabtu, adik akan berlatih pada sebelah petang kerana pada masa itu semangat adik agak tinggi kerana boleh menghayati setiap baris-baris sajak dengan baik", ujarnya.
Sebelum beliau berlatih mendeklamasikan sajak-sajak terbaik yang dipilih atas keserasiannya sendiri, adik Mohd. Anas akan membacanya sampai selesai untuk mengetahui kehendak sajak yang dimaksudkan. Manakala langkah kedua dengan cara menghafal. Sementara dalam proses menghafal ini, adik Mohd. Anas memerlukan ruang masa yang sebaiknya agar tidak terlalu gopoh dan tertekan dalam usaha mengingati setiap patah perkataan yang tertulis itu. Apabila proses menghafal dapat dilakukan dengan sempurna, barulah beliau akan meneruskan langkah ketiga iaitu membuat persembahan dengan melakukan pelbagai gaya menurut kefahamannya berhubung sesuatu sajak yang dibacanya itu.
Adik Mohd. Anas juga menyanjung tinggi peranan dan bantuan gurunya yang dianggap sebagai idolanya. Namun, beliau juga meminati salah seorang pendeklamator cilik lain bernama Mohd. Daniel Afrifi, kerana persembahan idolanya itu agak menarik malah begitu kreatif.
Adik Mohd. Anas menambah, sekiranya ada pihak-pihak berhasrat untuk mengundang atau mengadakan majlis sayembara deklamasi puisi, beliau tidak akan menolaknya. Beliau akan berlatih bersungguh-sungguh dalam memenuhi impiannya untuk memenangi setiap pertandingan apatah lagi mengadakan persembahan di khalayak ramai, tentunya persiapan rapi diperlukan supaya memuaskan hati setiap hadirin yang datang.
Sebagai akhir bicara, oleh kerana adik Mohd. Anas adalah seorang pendeklamator muda yang pernah tewas dalam satu pertandingan, jadi apabila dewasa kelak beliau akan meneruskan misi dan perjuangannya untuk mencapai satu tahap yang memuaskan dalam usaha menurut jejak langkah pendeklamator tersohor hari ini sesuai dengan gagasan gurunya yang berharap kepada kejayaannya di suatu masa kelak.
Adik Mohd. Anas bin Malik begitu teruja untuk menjadi seorang pendeklamator sajak yang disegani.
Antara gaya persembahan adik Mohd. Anas ketika mendeklamasikan sajak di Majlis Bicara Antologi Sajak Bisikan 7 anjuran PUSPA.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan