MAUT DISERET 5 KM
RANTAU PANJANG, KELANTAN: Memandu secara cuai, tidak berhemah dan terlalu laju adalah beberapa contoh cara memandu yang tidak bertimbang rasa dan hanya mementingkan diri sendiri. Kenderaan yang dipandu terlalu laju merupakan penyebab kepada berlakunya nahas jalan raya, kerana kenderaan yang bergerak dalam keadaan demikian memang sukar untuk dikawal, natijahnya bukan sahaja mendatangkan masalah kepada pemandu itu sendiri sebaliknya boleh mengancam nyawa orang lain.
Hakikat ini bukanlah suatu kisah yang sengaja diada-adakan kerana terdapat beberapa kes kenderaan yang dipandu laju memang sukar dikawal, penyudahnya ialah "nahas maut".
Tragedi nahas ngeri di kilometer 17, Lebuh raya Pasir Mas - Rantau Panjang dekat Kg. Gual Tinggi, Rantau Panjang, Kelantan pada 13 November, 2008 dulu melibatkan sebuah Proton Wira yang dipandu laju dan dikatakan ingin memotong sebuah teksi yang diparkir di tepi jalan tersebut akhirnya merempuh sebuah motosikal yang sedang berada di atas garisan berkembar bertujuan ingin membelok ke arah sebuah kedai mekanik milik bapa mangsa. Motosikal yang dinaiki mangsa itu dirempuh dari arah belakang menyebabkan penunggang motosikal Yamaha itu terjatuh dan melambung di tempat kejadian, manakala mangsanya telah diseret sejauh lima (5) kilometer.
Bapa mangsa, Suhairi bin Yusoff, 35, dari Jalan Sekolah Cina, Rantau Panjang, Kelantan yang dikunjungi Penulis berkata, selain mangsa, Mohd. Hanafiz, 10, yang merupakan anak sulungnya selaku pembonceng motosikal terbabit yang ditunggang oleh anak saudaranya, Redzuan Razali, 19, yang masih dalam keadaan koma.
Katanya, kejadian nahas itu berlaku hari Khamis pada 13 November, 2008 kira-kira jam 8.00 malam berhampiran dengan sebuah kedai mekanik miliknya. Semasa kejadian, beliau sedang membaiki beberapa buah kenderaan dan beliau sedia maklum mangsa bersama anak keduanya, Mohd. Hafizi, 7, turut membonceng motosikal yang sama yang turut ditemani anak saudaranya itu untuk ke kedai berdekatan sebagai penunggang.
Ketika pulang dari kedai itulah, nahas itu berlaku apabila motosikal terbabit tiba-tiba dilanggar sebuah Proton Wira dari arah belakang. Mendengar bunyi dentuman yang agak kuat dan jelas pada malam itu, beliau pada mulanya tidak mengesyakki apa-apa sehinggalah beliau ke tempat kejadian dan menyaksikan sendiri mangsa yang terjatuh adalah anak saudaranya dan anak keduanya. Sementara anak sulungnya tidak kelihatan di tempat kejadian.
"Hanya kelihatan anak saudara saya dan anak kedua di tempat kejadian. Pada mulanya saya sangka anak sulung saya itu terjatuh dalam sebuah parit berhampiran kerana beliau tidak kelihatan di tempat nahas itu", ujar Suhairi yang mempunyai tiga anak termasuk yang bongsu berusia empat bulan ketika menceritakan detik-detik nahas tersebut.
Menurut Suhairi lagi, oleh kerana anak sulungnya tiada si tempat kejadian beliau berusaha mencarinya kalau-kalau terpelanting ke dalam sebuah parit di tepi jalan tersebut, namun tidak kelihatan di situ. Kebetulan pula, pihak Bomba dan Penyelamat berada di tempat kejadian turut memberikan bantuan dengan membawa kedua-dua pesakit ke sebuah Klinik Rantau Panjang. Sambil ditemani isterinya bergegas ke klinik yang sama, beliau kembali ke tempat kejadian meneruskan pencarian anak sulungnya yang masih belum ditemui sejak nahas itu.
"Kebetulan pula bertemu dengan rakan saya bernama Abang Joe memberitahu supaya mencarinya di tepi Sungai Pengkalan Pauh di stesen teksi lama", ujarnya menyorot peristiwa nahas pada malam Jumaat itu.
Beliau kemudiannya bergegas ke Sungai Pengkalan Pauh yang terletak berdekatan dengan stesen teksi lama sebagaimana yang dimaksudkan oleh Abang Joe itu. Setelah tiba di tebing sungai tersebut, kelihatan mangsa terbaring dan memang benarlah dengan kata-kata rakannya itu.
"Memang agak terkejut juga kerana mangsa dirempuh di tempat kejadian kemudian ditemui di sebuah sungai, jaraknya agak jauh. Memang tidak masuk akal", ujarnya yang sedih dengan kejadian itu.
Katanya, beliau turut dimaklumkan bahawa pemandu kenderaan Proton Wira terbabit sebenarnya ingin memotong kereta sewa yang diparkir di tepi jalan tersebut. Semasa pemandu kenderaan itu ingin memotong teksi tersebut pemandu berkenaan tidak menyedari kereta yang dipandunya telah berada di garisan tengah jalan raya berkenaan. Manakala anak saudaranya yang sedang menunggang motosikal terbabit telah berada di garisan tengah itu juga untuk tujuan membelok ke arah bengkel kenderaan miliknya yang terletak di sebelah kanan jalan.
Jadi, disebabkan sikap cuai pemandu kenderaan terbabit yang memandu laju pada ketika itu tentunya tidak dapat mengawal kenderaan yang dipandunya lalu merempuh di sebelah kanan motosikal dari arah belakang. Akibat rempuhan itu menyebabkan bunyi yang agak kuat dan turut didengari oleh beberapa pelanggan yang masih berada di bengkelnya pada malam kejadian.
Mangsa kemudiannya dikebumikan pada 14 November, 2008 jam 11.00 pagi di Tanah Perkuburan Rantau Panjang. Manakala pemandu kenderaan yang menyebabkan kematian anak sulungnya ditahan di Balai Polis Pasir Mas dan penahanan tersebut turut dibantu oleh orang-orang kampung terbabit kerana bersimpati dengan beliau yang kehilangan anak yang disayangi.
Berikutan dengan kejadian berkenaan, beliau menyarankan kepada pemandu-pemandu kenderaan yang melalui lebuh raya tersebut supaya sentiasa beringat dan berwaspada. Kecuaian semasa memandu boleh membawa padah dan natijahnya akan dialami oleh orang lain terutamanya yang memiliki kenderaan ringan seperti motosikal. Katanya, pemandu-pemandu kenderaan perlu mematuhi peraturan jalan raya dan elakkan memandu kenderaan secara melulu dan terlalu laju kerana akibatnya akan hilang kawalan.
Suhairi bin Yusoff.
Suhairi bin Yusoff (kanan) ketika ditemubual Penulis (kiri) di kediamannya.
Adik mangsa, Mohd. Hafizi, 7, sekadar mengalami cedera ringan.
Anak saudara Suhairi, Redzuan Razali, 19, penunggang motosikal dalam keadaan koma.
Di sinilah nahas ngeri itu berlaku sehingga meragut nyawa mangsa.
Inilah motosikal Yamaha yang dinaiki mangsa, dirempuh di sebelah kanan (belakang).
Bengkel kenderaan milik Suhairi terletak berhampiran nahas.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan