RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 10 Januari 2012

Rumah Uzur


RUMAH UZUR

PASIR MAS, KELANTAN:  SEORANG ibu tunggal bakal berdepan dengan masalah apabila rumah yang berusia 60 tahun yang didiaminya sejak arwah suaminya tidak akan dapat bertahan lama. Ini kerana, kebanyakan dindingnya telah kopak, lantai berlubang, sementara bumbungnya pula sering bocor apabila hujan menimpa.

Ketika ditemui Penulis, ibu tunggal yang dimaksudkan, Kalsom Abdul Rahman atau Mak Teh, 58, dari Kampung Berangan Apam dekat sini berkata, rumah yang agak uzur yang didiaminya kini dibina ketika hayat suaminya. Sebagai penoreh getah yang hanya memperolehi pendapatan RM5 sehari meliputi 60 pohon getah yang diusahakannya, beliau tidak mampu untuk membaikpulih bahagian-bahagian rumah yang kopak itu disebabkan masalah kewangan.

"Mak Teh pernah laporkan kepada penghulu kampung ini sejak awal Mei lalu. Penghulu kampung datang melihat keadaan rumah Mak Teh. Tapi sehingga hari ini, tiada perkembangan di sebaliknya. Wakil UMNO pun pernah datang, tapi senyap begitu sahaja", ujarnya dengan nada hiba.

Apabila ditanya tentang peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi kerajaan yang lain tentang bantuan yang sepatutnya diberikan terhadap ibu tunggal sepertinya. Beliau menjelaskan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat pernah menghantar dua orang pegawainya pada bulan Ramadan tahun 2010 sambil meninjau dan melihat keadaan rumahnya itu.

"Salah seorang pegawai kebajikan masyarakat itu berjanji akan datang semula untuk berbincang dengan Mak Teh. Tapi sehingga hari ini, Mak Teh pun tak nampak batang hidung mereka. Mak Teh tidak tahu sampai bila akan berkeadaan begini", katanya.

Walau bagaimanapun, sebagai ibu tunggal beliau berharap ada pihak sama ada daripada agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri datang melihat sendiri masalah kediaman yang didudukinya sekarang dan adakah rumah berkenaan akan diganti baru sebagaimana permohonan awalnya. Ketika ini musim kemarau masalah yang dialaminya tidaklah ketara sangat, namun bagaimana pula jika berlakunya hujan ribut serta hujan turun mencurah secara berterusan, tentunya rumahnya itu akan berdepan dengan masalah sedemikian.


Kalsom Abdul Rahman atau Mak Teh di kediamannya yang uzur.


Keadaan rumah kediaman Mak Teh dari pandangan luar.


Ruang dapur yang tidak sempurna dan terdedah.


Keadaan bumbung dan atap zink yang uzur dan buruk.


Keadaan dinding yang kopak dan pintu yang terdedah tidak dapat dikunci menggambarkan suasana sebenar rumah Mak Teh.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan