LORONG TIKUS?
PASIR MAS, KELANTAN: BENARKAH wujudnya "lorong tikus" di kawasan sempadan Kelantan dengan Thailand? Jika tidak, masakan boleh berlaku beberapa jenis barangan tertentu seperti mercun, beras, haiwan ternakan dan sebagainya dibawa masuk dengan mudah ke negara ini (Kelantan) yang ditakrifkan secara haram. Kaedah membawa barangan seperti itu sebenarnya untuk mengelakkan dikenakan cukai atau tanpa melalui sempadan yang sah yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Kastam dan Imigresen.
Watak penyeludup ini memang licik yang bergerak secara menyamar seperti ular 'senyap' tetapi 'berbisa'. Kalau sebelum ini kebanyakan penyeludup menggunakan beberapa laluan seperti Sungai Golok, Mundok, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Kuala Tat. Tetapi tanpa disedari, lorong tikus iaitu istilah yang ditujukan kepada laluan penyeludup begitu popular di Kampung Kolam Gelang Mas yang terletak bersempadan daerah di antara Pasir Mas dan Thailand. Sempadan ini memang tidak berpagar yang hanya dipisahkan oleh sebuah sungai berjarak 50 meter dan sebuah jambatan berwarna biru.
Tinjauan Penulis yang turut dimaklumkan oleh beberapa remaja dan kanak-kanak yang sedang bermain-main di atas sebuah jambatan yang menghubungkan daratan sebelah sini di kampung terlibat dengan negara jiran itu menunjukkan tanggapan lorong tikus sebagai laluan penyeludup memang tidak boleh dinafikan. Kedatangan Penulis ke kampung itu dilihat sebagai orang asing adalah sesuatu yang agak luar biasa, seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Paling menghairankan, terdapat sebuah Pejabat Rela yang diwujudkan beberapa tahun lalu di kawasan sempadan itu kini didapati kosong dan tidak berpenghuni. Beberapa pintu cermin pejabat berkenaan didapati telah pecah seperti dibaling dengan batu dan di kawasan sekitarnya dipenuhi semak-samun didapati terbiar turut memberikan gambaran, kemungkinan kakitangan yang bertugas di situ tidak lagi sanggup mengawal kawasan tersebut kerana beberapa faktor dan kemungkinan salah satunya ialah untuk mengelakkan menjadi mangsa golongan terbabit jika masih beroperasi di situ.
Dalam hubungan ini, anggota keselamatan seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), tentera, termasuk Rela dan Rukun Tetangga boleh berganding bahu untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap aktiviti tidak sihat di sempadan dalam usaha mencegah sesuatu yang tidak diingini terutamanya tentang penyeludupan bahan-bahan berbahaya, perbuatan menculik dan sebagainya.
Semestinya dasar penyeludup tidak akan menggunakan laluan yang telah dilaluinya sebelum ini kerana pastinya dikawal ketat, lantas mereka akan mencari alternatif lain secara mudah untuk menggerakkan aktiviti mereka tanpa mendapat halangan dan kekangan dari pihak berkuasa.
Justeru, adalah wajar beberapa kawasan sempadan yang tidak berpagar dan dikawal itu diberikan perhatian supaya aktiviti membawa masuk dan keluar barangan bernilai dapat diselamatkan.
Inilah jambatan lorong tikus, beberapa remaja memaklumkan kepada Penulis.
Papan tanda Pusat Operasi Rela masih wujud walaupun hakikatnya telah angkat kaki.
Sebuah Pejabat Rela didapati tidak berpenghuni, tidak beroperasi dan terbiar di kawasan sempadan Kelantan/Thailand.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan