RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 6 Januari 2012

Tasbih Teras Kayu


TASBIH TERAS KAYU

KOTA BHARU, KELANTAN:  TASBIH banyak digunakan oleh umat-umat Islam khusus untuk menghitung doa atau zikir. Tetapi dalam industri kraftangan, tasbih secara kreatif masih dihasilkan oleh segelintir pengusaha Melayu secara kecil-kecilan walaupun industri ini dikatakan turut bersaing dengan tasbih yang dicipta dari plastik dari negara China. Walaupun pembuatannya terpaksa bersaing dari luar negara, namun tasbih yang dibuat dari kayu-kayu yang bermutu tinggi terutamanya teras kayu yang berkhasiat ataupun disebut juga 'kayu unik' masih lagi mendapat tempat di hati penggemarnya.

Mengapa tidak, tempahan tasbih yang dihasilkan dari kayu-kayu unik itu datang mencurah-curah sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Hal ini memang diakui sendiri oleh Pengusaha Tasbih dan Barangan Kraftangan dari teras kayu, Shukri Ismail, 41, atau lebih dikenali sebagai Yie ketika ditemui Wartawan RELATIF di Pusaka Kraf, Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Balai, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Shukri, dia menghasilkan tasbih dari teras kayu itu sebenarnya bukan sekadar minat terhadap barangan kraftangan tersebut. Tetapi disebabkan dia tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk menanggung keluarganya kerana beliau adalah dari keluarga miskin.

Asalnya dia mengetahui cara membuat tasbih dari teras kayu terbabit ialah dari arwah yang beliau gelarkan sebagai 'Ayah Pa' dari Pasir Tumboh, Kota Bharu. Selepas itu, tasbih tersebut disambung oleh salah seorang orang kurang upaya (OKU) tetapi telah juga meninggal dunia. Akhirnya, antara terpaksa dan tidak beliau mengambil alih perusahaan tersebut sehingga sekarang supaya tidak terus berkubur begitu sahaja.

Pada permulaan membuat tasbih itu adalah ketika beliau masih usia remaja kira-kira 17 tahun, apatah lagi tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, jadi amat terlalu sukar untuk beliau mendapat sebarang pekerjaan, jadi terpaksalah beliau tingkatkan usaha untuk terus hidup. Waktu itu, seutas tasbih yang meliputi 100 jenis kayu dijual dengan harga RM15, berbanding kini harganya mencecah di antara RM150 hingga RM250. Peningkatan harga berkenaan atas dasar kesukaran untuk mendapatkan teras kayu yang bermutu tinggi menurut kegemaran pelanggan masing-masing.

"Pada waktu itu, saya buat tasbih dari kayu biasa sahaja kerana tidak mengetahui jenis-jenis kayu berbanding kini", ujarnya untuk menunjukkan pengalaman mengenali dan memilih kayu belum diperolehi.

Menurut Shukri lagi, di awal proses membuat tasbih tersebut dilakukan di sebuah bangsal yang agak uzur dan setelah mendirikan rumahtangga beliau memindahkan tempat membuatnya di rumahnya di Pasir Mas. Tetapi berikutan keadaan kayu berkenaan yang berselerakan sehingga menyempitkan dan mendatangkan masalah terhadap rumahnya, beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengusahakannya di sebuah gerai di Pasir Pekan, Wakaf Baharu pula. Asal dari Pasir Pekan itulah beliau telah dipelawa oleh salah seorang Pegawai Kraftangan Negeri Kelantan supaya mengusahakan perusahaan tersebut di Pusaka Kraf di Kampung Kraftangan sehingga hari ini.

"Kebanyakan teras kayu saya perolehi dari bukit sekitar Gua Musang, Jeli, Gunung Stong (Kuala Krai) dan Gunung Tebu di Besut, Terengganu.

"Dari pengalaman saya mencari teras kayu pelik itu adalah sewaktu saya masih tinggal di Pasir Mas. Apabila dicari buat kali kedua, tidak lagi ditemui", ujarnya mengingatkan pengalaman bermakna sewaktu menemui teras kayu terlalu aneh dan unik itu.

Di antara beberapa jenis kayu dan teras kayu yang beliau perolehi dari beberapa tempat tersebut umpamanya Nibong Tunggal, Kayu Bercabang Dua, Kemuning Hitam, Teras Keluat, Chandan, Tebu Gajah, Semeru, Serai Wangi yang tumbuh di Gunung Stong, Penawar Hitam serta Penawar Putih. Manakala teras kayu yang terlalu sukar diperolehi seperti Teras Pisang, Teras Gemunggal, Teras Beluru, Cintamani Laut dan Cintamani Putih.

Seutas tasbih yang dibuat dari kayu Cintamani Laut dan Cintamani Putih beliau menjualnya dengan harga di antara RM700 hingga RM800. Sementara bagi sekilo teras Kayu Chandan dan Tebu Gajah berharga RM300. Manakala tasbih yang dibuat dari kayu Gaharu Gred A dijual dengan harga RM2,000. Teras kayu gaharu mahal harganya kerana terlalu sukar untuk memperolehi kayu sedemikian, dengan itu dalam sekilo dijual dengan harga RM550.

Shukri menambah, jika dibandingkan di antara jualan 20 tahun dulu dengan hari ini memang berbeza. Ini kerana, jualan tasbih pada waktu itu amat menyedihkan walaupun teras kayu cukup banyak. Keadaan ini dapat ditafsirkan bahawa kebanyakan pembeli bukan sahaja tidak dapat menilai di antara barangan berkualiti malah pada masa itu minat terhadap tasbih dari kayu berkenaan belum popular lagi. Apatah lagi sumber kewangan pada masa itu turut tidak mengizinkan pembeli untuk memperolehi tasbih yang dijualnya.

Tambahnya, kerana ingin mencari sesuap makanan sebagai bekalan untuk hidup ialah mengharapkan jualan tasbih dari kayu-kayu unik itu dibeli oleh pelanggan. Tempat yang sering dijadikan kawasan jualan bersama hamparan kertas akhbar ialah di hadapan bangunan perniagaan Jaafar Rawas, Kota Bharu. Hanya bangunan Jaafar Rawas sahaja yang wujud pada masa itu. Namun, pendapatan yang diperolehi dari jualan tersebut amat menghampakannya kerana jualannya tidak begitu menggalakkan.

Seringkali juga dia berfikir di antara wang hasil jualan yang tidak seberapa itu cukup atau tidak sebagai tambang bas untuk pulang ke rumahnya di Pasir Mas. Hari demi hari terpaksalah beliau mengikat perut menahan lapar dan dahaga demi perbelanjaan tambang kenderaan untuk pulang.

"Pada hari berikutnya, saya masih mengharapkan ada juga pelanggan membeli tasbih bernilai itu walaupun terpaksa menerima penghinaan orang yang lalu lalang. Tetapi itulah yang dikatakan kehendak Tuhan, sehinggalah pada suatu hari Jaafar Rawas memberitahu, saya tidak perlu lagi menjualnya. Buat tasbih banyak-banyak, biar dia yang tolong jual", jelasnya yang turut terkejut dengan kesanggupan Jaafar Rawas untuk menjual tasbihnya kerana terlalu kasihan terhadapnya.

Maka apabila hari telah berganti musim, selain pihak Jaafar Rawas memberikan pertolongan untuk menjual tasbih uniknya itu, beliau tidak berpeluk tubuh dengan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Justeru, jualan tasbih terus diusahakannya sendiri sementara ada ruang di antara menjual dan membuatnya.

Sejak hari itu apatah lagi minda masyarakat telah berkembang, tasbih hasil usaha kreatif tangannya terus mendapat perhatian pelanggan kerana merasakannya lain dari yang lain. Tasbih yang dihasilkan oleh Shukri amat berbeza dengan tasbih dari kayu biasa yang dihasilkan oleh orang lain. Jadi, semenjak dari itulah beliau dikenali ramai bukan sahaja diminati oleh masyarakat tempatan sebaliknya menjadi tumpuan dan buruan beberapa penggemar dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Brunei dan Singapura.

Apabila tasbih bermutu beliau telah dikenali ramai seperti 'goreng pisang panas', pernah seorang pelanggan perempuan dari Kuala Lumpur yang memberitahunya bahawa tasbih seumpama itu tidak ada di sana. Jadi pelanggan tersebut terpaksa turun ke Kelantan untuk mendapatkan tasbih yang bernilai itu.

"Bagi saya peliklah, sebab tasbih saya diminati oleh seorang perempuan. Dia kata tasbih yang saya buat ini bermutu tinggi berbanding tasbih yang lain. Dia minta saya buatkan untuknya. Saya menolaknya kerana bimbang disalah gunakan. Namun, kerana memikirkan pelanggan perempuan itu datang dari jauh semata-mata mengharapkan tasbih yang saya buat, saya terpaksalah buat", ujarnya sambil ketawa kecil mengingatkan bahawa ada juga perempuan berminat terhadap tasbih.

Selain itu, beliau juga turut menerima tempahan dari seorang Sami Cina yang memintanya dibuatkan tasbih tersebut. Beliau pada mulanya menolak dengan baik, kerana tidak lagi menerima sebarang tempahan. Ini disebabkan bimbang disalah ertikan oleh pelanggan kononnya beliau melaksanakan kerja lambat sehingga membuatkan pelanggan tertunggu-tunggu. Walaupun begitu, oleh kerana Sami Cina itu sering datang ke kedainya berhari-hari, terpaksalah beliau menerima tempahan dan menyudahkannya seberapa cepat yang boleh.

"Jika dibandingkan di antara pendapatan sekarang dengan dahulu, kira bagus jugalah. Dapatlah saya bernafas sikit, sementelah peningkatan harga teras kayu sekarang, dapatlah menanggung keluarga seadanya", cetusnya mengingatkan perolehan pendapatan dahulu dan hari ini.

Apabila ditanya adakah beliau masih menerima tempahan untuk membuat tasbih itu atau akan menolaknya. Beliau menjelaskan, beliau sanggup menerima tempahan asalkan memberikan ruang masa kepadanya bukannya terlalu terburu-buru untuk menghasilkan tasbih tersebut kerana proses membuatnya bukannya perkara senang. Ini kerana, beliau membuat tasbih menurut kelasnya tersendiri supaya setiap pelanggan yang membayarnya berpuas hati. Paling penting menurutnya, setiap tempahan perlu disediakan wang pendahuluan kerana beliau terpaksa membeli kayu-kayu berkenaan dari pakar-pakar pencari kayu di hutan dan bukit-bukau.

Itulah yang dikatakan usaha tangga kejayaan. Apatah lagi, beliau mengharapkan sempena Tahun Melawat Kelantan 2007 yang sedang rancak kini akan merubah segalanya. Selain penduduk tempatan, harapannya menggunung supaya pelancong luar Kelantan apatah lagi pelancong asing dapat menilai sendiri kemampuan warga Malaysia menandingi kehebatan mereka dalam mencipta dan mencorakkan kraftangan tempatan supaya terus dikenali seanteri dunia. Kraftangan negara kita akan terus kekal dan disanjungi jika masyarakat kita sendiri yang menghargainya.

Shukri Ismail atau Yie boleh dihubungi di talian:
019-9239666
 
Shukri Ismail atau Yie bersama seutas tasbih dari teras kayu unik yang dihasilkannya.


Hanya ini sahaja teras kayu yang masih tinggal untuk dijadikan tasbih.

Seketul kayu Tongkat Ali (kiri) menikam batang kayu.

Sarang burung tempua.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum, saya dari Pahang ingin benar menghubungi Encik Shukri Ismail bagi menenmpah tasbih teras kemuning hitam. Sila e-mail

    langareel@gmail.com

    BalasPadam